Arkib Tag: safari

Ini Nissan Skyline GT-R R32 yang boleh masuk off-road, dengan 500hp!

KAMI rasa semakin suka pula konsep kereta sports dengan kemampuan off-road. Sebagai contoh Porsche 911 Dakar dan Lamborghini Huracan Sterrato. Tetapi kedua-dua ini adalah keluaran rasmi syarikat kereta.

Terinspirasi dengan model-model ini, seorang Youtuber, Adam LZ membina “Safari GTR” menggunakan Nissan Skyline R32. Boleh dikatakan inilah Nissan Skyline GT-R R32 off-road pertama di dunia.

Adam memulakan projek ini dengan membeli R32 GT-R tanpa enjin pada harga USD10,000 (RM46,410). Selepas sedikit restorasi, dia terus memasukkan enjin RB26 6-silinder sebaris dari projek R32 lain miliknya, lengkap dengan turbo Gen 2, intercooler baharu, ECU diubah, lantas mendapat output 500hp.

Dari situ, GT-R ini mula mendapat komponen ‘Safari’ seperti suspensi long travel dengan kelegaan tanah 10.5 inci – dua kali ganda lebih tinggi dari R32 biasa. Cukup untuk menakluki jalan-jalan off-road.

Kemudian rim 17-inci Rays dibaluti dengan tayar Nitto Nomad Grappler bersaiz 215/65, manakala mud flap adalah dari WRX. Sistem pacuan semua-roda aftermarket digunakan untuk kawalan di jalan off-road tetapi boleh ditukar menjadi RWD untuk drifting nakal-nakal.

Bahgian depan diberikan bar khas powder-coated dengan lampu kabus LED 6-inci, sementara bumbung pula dilengkapi rak Nismo berserta lampu kabus 4-inci. Warna badan olive green ini adalah dari balutan, dan ruangan kabin mendapat roll-cage penuh lengkap dengan tempat duduk kustom dan harness.

Projek ini dikatakan memakan masa kurang tiga minggu untuk disiapkan, dan keseluruhan perjalanan ini didokumentasikan dalam channel Youtube Adam LZ.

Tetapi menurut Adam, beliau mempunyai perancangan lebih besar untuk projek ini seperti diberikan brek lebih baik dan sistem snorkel. Bolehlah masuk sungai lebih dalam, bukan?

Intip: Porsche 911 dengan spring lebih tinggi, versi Safari bakal kembali?

TIDAK cukup dengan berpuluh variasi 911 yang Porsche tawarkan, ada lagi beberapa tambahan yang sedang dibangunkan oleh pengeluar Jerman itu.

Antaranya ialah varian hibrid, tetapi bukan model itu yang hendak kita bincangkan hari ini. Sebaliknya imej-imej intipan menampakkan 911 yang sangat berbeza.

Tiada powertrain hibrid di sini (setakat yang kita tahu) tapi yang pasti, nampaknya ia mempunyai ground clearance lebih tinggi dari 911 biasa. Tetapi ia tidak setinggi 911 Safari yang pernah dikeluarkan dulu.

Imej-imej intipan di Nurburgring ini menampakkan satu dari dua konsep Safari yang dibina berdasarkan 911 generasi terbaharu. Selain dari suspensi lebih tinggi, prototaip ini juga mengenakan gerbang roda tambahan yang mungkin memberi petunjuk kepada gandar depan dan belakang lebih lebar.

911 Safari sebelum ini mendapat pacuan semua-roda (AWD), jadi tidak mengejutkan ia akan diasaskan dari varian Carrera 4S. Adakah ia akan menjadi varian kekal untuk 911, juga masih belum diketahui.

Memandangkan prototaip pertama mula dilihat pada Oktober 2020, boleh disimpulkan bahawa pelancaran rasmi mungkin dibuat menjelang hujung tahun ini atau awal 2022 nanti.