Arkib Tag: rv

CamperV Malaysia tawar kenderaan RV mesra muslim

INDUSTRI kenderaan rekreasi (RV) boleh dikatakan masih baharu di negara ini, dan ia mungkin menjadi pendorong kepada Shamsul Rosli untuk menubuhkan CamperV Malaysia.

Ia bermula kira-kira empat tahun lepas apabila beliau hanya sekadar mencuba untuk membaik pulih RV sebelum mengembangkannya dengan menubuhkan sebuah kilang bagi memenuhi permintaan industri itu yang kini semakin mendapat tempat.

Kilang CamperV yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan itu menyediakan khidmat profesional dan kepakaran bagi membaik pulih, mereka cipta, dan mengubah suai pelbagai jenis RV seperti karavan, campervan dan motorhome yang diimport dari luar negara.

Lebih membanggakan, usahanya sejak beberapa tahun telah membolehkan kenderaan pacuan empat roda atau trak pikap diubah menjadi campertruck. Menurut laporan Bernama, kilang CamperV merupakan antara yang terawal di negara ini dengan kemampuan itu.

Shamsul yang juga bekas jurutera marin baru-baru ini berkongsi bahawa sebelum membuka kilang, beliau telah ke United Kingdom (UK) semata-mata untuk membeli dan mempelajari selok-belok memiliki sebuah karavan.

“Di UK, saya beli sebuah van Mercedes-Benz Sprinter WB kosong untuk diubah suai dijadikan karavan. Pada masa sama, saya juga melawat beberapa kilang bagi mempelajari kaedah pembuatan karavan dengan pakar di sana,” katanya.

Menurut Shamsul, selepas membawa pulang van itu ke Malaysia, ada perkara yang beliau kurang berpuas hati kerana dalam kabinnya tiada ruang solat walaupun sudah dilengkapi katil, dapur dan tandas.

“Jadi, bermulalah idea untuk ‘DIY’ karavan saya. Secara tak sengaja, inovasi saya yang lebih mesra muslim itu mendapat perhatian khsusunya peminat RV tempatan, apatah lagi Ketika itu memang sukar dan tiada individu yang mahir membaik pulih kenderaan jenis ini,” kata Shamsul.

Setakat ini, lebih 80 RV pelbagai jenis telah berjaya dibaik pulih dan diubah suai mengikut cita rasa serta kehendak pemilik kenderaan tersebut.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata kebanyakan peralatan RV seperti tandas, penyaman udara atas bumbung serta peralatan elektrik seperti ketuhar, peti ais dan seterika menggunakan kuasa elektrik 12 volt dan diimport dari luar negara.

Sumber gambar: Facebook CamperV Malaysia

Bowlus Heritage Edition – RV mewah gaya retro, paling ringan di dunia

Bowlus merupakan syarikat yang menghasilkan treler pelancongan (RV) antara paling mewah di dunia. RV dengan rupa retro yang kemas ini juga antara paling mahaldalam pasaran, harganya boleh melebihi USD300,000 (RM1.3 juta) jika dipasang dengan kelengkapan kustom yang anda mahu.

Untuk 2023 pula, Bowlus memperkenalkan model permulaan yang dikatakan ‘paling murah’ dari barisan model lain yang ditawarkan. Heritage Edition hadir dengan rupa mill finish dengan warna perak satin, sedikit berbeza dengan warna polished aluminium pada model-model lebih mahal.

Bentuk RV Bowlus yang ikonik dihasilkan dari aluminium rivet dengan pembinaan monocoque, sama seperti pesawat. Tetapi buat pertama kali, Bowlus menawarkan pilihan balutan (wrap) untuk Heritage Edition, membolehkan anda pilih warna hitam matte atau kelabu satin.

Bowlus menekankan bahawa berat RV baharu ini cuma bermula sekitar 1,315kg sahaja – dimana mereka mendakwa ianya merupakan RV paling ringan yang dihasilkan di dunia buat masa ini.

Bowlus juga menjanjikan lebih 80 peratus jarak pemanduan apabila kenderaan elektrik (EV) menundanya, sama seperti model Terra Firma dan Volterra.

Setiap unit Bowlus Heritage Edition hadir dengan pek bateri 2kWh, manakala Power Package I memberikan anda tambahan 2kWh, inverter 2,000watt, kuasa solar, pemantauan kuasa Bluetooth, dan penyaman udara off-grid untuk empat jam.

Bagi Power Package II pula, kelengkapan ditambah menjadi inverter 3,000 watt, pek bateri 6kWh, panel kuasa skrin sesentuh, dan penyaman udara off-grid sehingga lapan jam. Bowlus berkata pilihan ini membolehkan anda tinggal secara off-grid sehingga seminggu setengah.

Walauapun Heritage Edition merupakan produk asas Bowlus, ia tetap mempunyai semua keperluan anda untuk tinggal lebih seminggu. Kabinnya mampu memuatkan empat orang dewasa berserta satu katil saiz King.

Anda juga boleh membuat tempahan kustom untuk susunan katil dan bumbung luar. Tempahan Heritage Edition kini dibuka dengan pembiayaan bermula USD1,027 sebulan (RM4,475 sebulan).

Rumah bergerak mewah Dembell Motorhome siap boleh sumbat kereta sports!

MUNGKIN anda suka akan idea rumah bergerak tetapi rasa RV (Recreational Vehicle) biasa kurang selesa.

Kini anda boleh melihat kepada kondominium atau banglo bergerak Dembell Motorhomes. Firma Eropah ini menawarkan kemewahan lain dari yang lain, mereka menggelar motorhome ini sebagai “land superyacht” atau ‘kapal layar darat’.

Anda mungkin ternampak logo Mercedes dalam gambar, ya, ini kerana Dembell Motorhomes menggunakan trak Mercedes-Benz Actros sebagai platformnya. Lebih menarik lagi, ia mempunyai tiga fungsi garaj.

Paling kecil ialah Side Package Room yang membolehkan anda membawa basikal, motosikal atau quad ke destinasi berkelah anda.

Seterusnya ialah Small Garage dengan dua ruang gelungsur seperti laci. Ia cukup untuk membawa kereta kompak seperti Smart.

Yang ketiga ini paling besar, iaitu Large Garage. Ia mempunyai ruang yang mampu memuatkan kereta dengan panjang hingga 4.5 meter. Malah Dembell dengan terperinci menunjukkan sebuah Ferrari California sebagai contoh di laman web mereka dengan rupa sebuah Ferrari Roma.

Dembell Motorhomes juga menayangkan ciri premium pada kabinnya. Ia memang mempunyai ruang dalaman selesa seperti sebuah kapal layar mewah dengan tiga pilihan lantai kayu untuk dipilih.

Terdapat juga dua katil, dimana satu di dalam bilik tidur utama dengan saiz lebih besar dari King.

Gambar-gambar ini tidak cukup untuk menunjukkan suasana sebenar motorhome ini, anda boleh terus ke laman web mereka untuk membuat tour 360-darjah di dalamnya.