Arkib Tag: retro

MForce lancar QJMotor LTR150 di Malaysia – RM8,888

MForce Bike Holdings telah melancarkan skuter retro 150cc serba baharu untuk pasaran tempatan menerusi QJMotor LTR150. 

Hadir dengan empat pilihan warna menarik; Lime Creme, Sky Blue, Mint Green dan Carnation Pink. Skuter retro ini ditawarkan pada harga RM8,888. 

Meskipun bergaya retro, skuter ini hadir dengan kelengkapan moden termasuk lampu LED, panel meter digital, port pengecas USB, fork teleskopik dan ABS dwi-saluran. 

Kelengkapan lain ditawarkan termasuk tangki 6.5L serta rim 12-inci depan/belakang yang dipadankan bersama cakera 190mm depan dan 225mm belakang.

Selain itu, turut ditawarkan fungsi lampu kecemasan dan fungsi idle stop yang mematikan enjin ketika berhenti di lampu isyarat bagi menjimatkan penggunaan bahan api. 

Atas kertas, LTR150 ini menawarkan 16hp dan 14.8Nm hasil penggunaan enjin satu silinder 149cc SOHC.

Menurut MForce, setiap pembelian QJMotor LTR150 ini hadir dengan waranti dua tahun atau 20,000km (mana yang sampai dulu). 

Olskool Mega Gathering himpun peminat kereta, fesyen, dan barangan lama

SETELAH berehat beberapa tahun disebabkan pandemik yang melanda dunia, Olskool Mega Gathering (OMG) kini kembali, diadakan pada 4 November lepas.

Diadakan di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang, edisi 2023 itu membawakan tema Olskool Party. Ia telah menghimpunkan penggiat dan penggemar jentera retro, selain peminat fesyen dan barangan lama.

Acara bermula seawal jam 8 pagi dimana peserta dan pengunjung mula memasuki kawasan pameran. Sesi bergambar Red Carpet dibuat untuk peserta yang hadir masuk.

Penyertaan juga melihatkan gabungan antara peserta tempatan dan luar negara seperti Thailand, selain penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat dan kaum.

Pengisian acara agak unik. Untuk kali ini, OMG menyajikan kehadiran komuniti dua roda seperti motosikal scrambler retro dan Suzuki Panther, selain kemunculan beberapa individu berkumpulan mengenakan pakaian era 70an.

Terdapat meja jualan barangan seperti model Hot Wheels dan die cast, jualan baju dan cenderahati, pakai terpakai, dan makanan serta minuman.

Di sebelah petang, acara diteruskan dengan sesi cabutan bertuah, dimana hadiah utama sepasang tempat duduk Recaro berharga RM4,000. Uniknya, ia merupakan tempat duduk yang dibaik pulih khas oleh Rolla Resources & Retrofast Garage, dengan balutan fabrik dan Alcantara.

Hadiah lain termasuklah satu set rim Atara Racing, basikal BMX, dan minyak pelincir JTX.

Kemuncak OMG 2023 ialah pemilihan 10 kereta pemenang untuk pelbagai kategori, yang dipilih oleh barisan juri tempatan serta juri antarabangsa iaitu FakeWagon Art (Indonesia) dan Kuala Belait Squad (Brunei).

Secara keseluruhan, acara OMG 2023 mencatatkan penyertaan lebih 400 kenderaan dan 3,000 pengunjung. Nantikan edisi seterusnya tahun hadapan pula.

TAS 2023: Toyota Hiace dan Perodua Ativa versi retro dari Alpine Style

JIKA anda peminat modifikasi kereta moden bertemakan retro, maka anda perlu tengok hasil kerja terbaharu Alpine Style ini.

Mereka mempersembahkan Carica dan Havana di Tokyo Auto Salon 2023 (TAS 2023), iaitu versi retro bagi van Toyota Hiace dan SUV Perodua Ativa (Toyota Raize dan Daihatsu Rocky).

Carica

Nama Carica merupakan singkatan dari “California Dreaming Car”, kini menukar rupa Hiace menjadi seperti sebuah van Scooby Doo.

Terdapat dua versi bagi Carica ini, pertamanya gaya Amerika dengan warna badan dwi-tona, panel putih dan bahagian krom pada gril, bampar, cermin sisi, belakang, dan rim. Gaya Euro pula mendapat bampar brushed dan kemasan hitam di bahagian lain badannya.

Di dalam kabin pula menampakkan teknologi Alpine. Terdapat skrin infotainmen 11-inci, cermin pandang belakang digital 12-inci, dan paparan 12.8-inci untuk penumpang belakang.

Sistem audio juga jenis fancy, dengan stereo dinaik taraf berserta lampu. Ciri tambahan pula adalah khemah yang boleh dikembangkan di belakang untuk anda bermalam.

Havana

Havana pula mengambil inspirasi dari kenderaan-kenderaan lama di ibu negara Cuba. Toyota Raize (Perodua Ativa) itu dilengkapi komponen gaya retro seperti gril, perumah lampu depan, dan bampar krom. Di bawah lampu depan terletaknya DRL LED dan lampu isyarat.

Di dalam pula, aksesori Alpine merangkumi paparan infotainmen 9-inci dan cermin pandang belakang digital 12-inci. Sistem audio juga dinaik taraf, manakala paparan untuk penumpang belakang merupakan aksesori tambahan.

Harga permulaan untuk Carica adalah sekitar 4.98 juta Yen (RM168k) manakala untuk Havana pada 3.98 juta Yen (RM134k).

Darul Aman Raret’ro 2022 meriah, himpun ratusan jentera klasik dan retro

Darul Aman Raret’ro (DARE) telah diadakan di perkarangan Zaques Hotel, Sungai Petani pada 4 hingga 6 Februari lepas. Acara yang menghimpunkan jentera-jentera klasik itu merupakan yang terbesar pernah diadakan dan merupakan tahun kelima penganjuran.

Pelbagai aktiviti telah diadadakan sepanjang tiga hari acara berlangsung seperti autoshow dan persembahan audio dari 40 buah kereta diwakili kumpulan audio Kedah.

Selain itu, setiap peserta dan pengunjung yang hadir layak untuk mendapatkan satu tiket cabutan bertuah dengan setiap pembelian kemeja-T rasmi.

Sesi cabutan bertuah diadakan dua hari berturut-turut, menawarkan dua hadiah utama iaitu sebuah motosikal Honda C70 sumbangan Surico Malaysia dan telah direstore sepenuhnya serta satu set rim sport 14-bintang sumbangan Atara Racing.

Secara purata, lebih 500 buah kenderaan retro memenuhi ruang acara setiap hari, terdiri dari kereta dan motosikal old school.

Hari terakhir menyaksikan himpunan Saga Big Day Out dengan lebih 200 buah Proton Saga dengan pelbagai gaya modifikasi dan restorasi. Dari modifkasi ala perlumbaan, tayar kangkang, hingga standard ‘abah-abah’, semuanya ada.

Dianggarkan hampir 7,000 pengunjung hadir ke acara tiga hari itu, rata-ratanya adalah penduduk kawasan setempat.

Aktiviti tidak terhad kepada kereta dan motosikal sahaja, sebaliknya terdapat juga jualan pasar karat, bundle, Hooligan Camp, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, demo dan klinik BMX, dan persembahan DJ piring hitam.

Pendek kata, acara Darul Aman Raret’ro ini sesuai untuk seisi keluarga dan semua peringkat umur. Acara kali ini juga mendapat sokongan dan penajaaan dari pihak Malaysia Automotive, Robotics and ioT Institute (MARii), Surico Malaysia, dan Maktok Maruku.

Acara juga dijalankan dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Gambar/teks: Raziman SiPico

Yamaha XSR900 2022 di pasaran pada April, harga RM43,000

DUNIA motosikal saban tahun tidak pernah sepi dengan kehadiran model-model baharu di seantero dunia.

Para pengeluar sering bersaing menghasilkan jentera terbaik dalam usaha menambat hati pelanggan.

Terbaharu, Yamaha tampil di pasaran dengan memperkenalkan model baharu untuk tahun 2022 yang bakal menjengah tidak lama lagi.

Model XSR900 telah diberi suntikan ‘segar’ sekaligus dijangka bakal menjadi jentera pilihan ramai.

Foto ihsan Yamaha

Mengapa?

Memiliki rekaan retro, XSR900 tidak kurang hebat dengan kuasa enjin luar biasa selain dilengkapi sistem elektronik menarik.

Jentera ini dikatakan tidak terlalu berat memandangkan kerangka badan diperbuat daripada aluminium menerusi teknik die-cast.

Jentera ini berkongsi genetik model MT-09, didatangkan dengan enjin tiga silinder CP3 890 cc (117 kuasa kuda dan 94 Nm).

Sementara itu, ia juga mempunyai pedal brek tempa, tempat pemijak kaki penumpang boleh disembunyikan dan unit lampu LED.

Foto ihsan Yamaha

Menambah keunikan jentera ini, ia juga memiliki skrin paparan TFT berwarna penuh 3.5 inci.

Oh ya…Yamaha turut memberi kelebihan lain kepada XSR900 yang mana ia juga dilengkapi sistem pendikit teknologi ride-by-wire dan quick-shifter!

Antara kelebihan lain XSR900 adalah unit pengukuran inersia (IMU), sistem kawalan wheelie serta gelongsor dan cornering ABS.

Foto ihsan Yamaha

Yamaha mengumumkan XSR900 2022 boleh didapati di pasaran bermula April dengan harga bermula sekitar RM43,000.

Kawasaki Z650RS 2022 tampil gaya retro, enjin lebih memukau

KURANG tiga bulan menjengah tahun 2022, pengeluar motosikal Kawasaki tampil memperkenalkan model baharu dikenali sebagai Z650RS.

Mengetengahkan konsep retro moden, jentera ini menyasarkan pengguna berusia lebih muda yang meminati gaya tunggangan santai.

Justeru, apa kelebihan jentera ini?

Foto ihsan Kawasaki

Z650RS dikuasakan dengan enjin parallel-twin 649cc iaitu sama seperti terdapat pada model Z650 dan Ninja 650.

Ia mampu menghasilkan kuasa lebih 68 PS dan daya kilas 64 Nm.

Sementara itu, sistem suspensi hadapan Z650RS ini menggunakan fork konvensional 41mm dengan penyerap hentak jenis horizontal link.

Sistem brek hadapan pula menggunakan angkup berkembar dua omboh  dan rotor retro bersaiz 300mm sementara, bahagian belakang dilengkapi angkup omboh tunggal rotor 200mm.

Foto ihsan Kawasaki

Terdapat tiga warna yang diperkenalkan iaitu Metallic Spark Black, Candy Emerald Green dan Metallic Moondust Gray/Ebony.

Harga yang ditawarkan bermula dari dari £7,549 atau bersamaan RM42,421.

Setakat ini, belum ada perkembangan sama ada Kawasaki akan memperkenalkan jentera ini ke Malaysia atau sebaliknya.