Arkib Tag: pronet

Proton anjur pertandingan beri nama EV, pelancaran tidak lama lagi?

PROTON New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), anak syarikat penuh Proton mengumumkan satu pertandingan bagi rakyat Malaysia menamakan EV pertama mereka.

“Pertandingan ini menandakan kesediaan kami dalam pelancaran kereta elektrik pertama yang akan datang,” kata Proton dalam satu siaran media hari ini.

Pemenang hadiah utama berpeluang memenangi wang tunai RM5,000, selain RM1,500 untuk tempat kedua dan RM1,000 bagi tempat ketiga.

Lima yang teratas juga akan diberi ganjaran, dengan setiap pemenang menerima RM100 tunai. Tunjukkan kreativiti anda dan berpeluang memenangi hadiah yang menarik.

Berikut adalah tiga langkah mudah bagi anda mencurahkan idea kepada EV Proton yang pertama:

Langkah 1: Isi borang pendaftaran di https://protonev.pronet.my
Langkah 2: Nyahkod dan susun semula imej atau kenyataan yang diberikan
Langkah 3: Kongsi pautan pertandingan kepada rakan-rakan untuk menyertainya

Lawati https://protonev.pronet.my untuk nyahkod dan teka nama untuk anda berpeluang memenangi hadiah yang menarik. Pertandingan berakhir pada 5 Jun 2024.

“Proton sangat menghargai sokongan rakyat Malaysia selama 41 tahun ini dan berhasrat untuk memulakan perjalanan EV ini bersama mereka yang berada di barisan hadapan dalam menerajui visi kami,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

Pandu uji awal smart #3 sebelum kemunculan rasmi pada 21 Mei, ini pendapat kami

SMART Malaysia baru-baru ini mengadakan sesi pratonton bagi model terbaharunya, smart #3 secara eksklusif di ibu pejabat Pro-Net.

Kami juga sempat melihat dengan lebih dekat malah memandu uji smart #3 ini di litar ujian Proton, Shah Alam. Sebelum itu, sedikit latar belakang.

Latar belakang smart #3

Untuk yang belum tahu, smart kini dimiliki oleh Geely dan Mercedes-Benz, mereka hanya memfokus menghasilkan kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) buat masa ini.

Smart #3 bukanlah sekadar versi coupe lebih sporti dari #1. Banyak juga perbezaan teknikal. Pertamanya, ia dibina pada pelantar Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dikongsi dengan #1 dan beberapa model di bawah kumpulan Geely.

Secara kasar, smart #3 lebih panjang dan lebar berbanding #1, tetapi lebih rendah. Perbezaan kira-kira 80mm antara keduanya. Jadi secara teori, smart #3 mempunyai pengendalian lebih mantap, betul? Nanti kami ceritakan.

Ciri unik smart #3 ialah bumbung melengkung coupe padanya, berbeza dari bumbung #1 yang lebih lurus. Bumbung smart #3 ini mempunyai permainan warna khas pada tiang-A dan tiang-C, memberikannya kesan ‘bumbung terapung’.

Ciri lain termasuklah lampu LED depan dan belakang, pemegang pintu flush, tingkap tanpa bingkai, dan logo menyala. smart #3 juga lebih aerodinamik berbanding #1, dengan pekali seretan 0.27 (0.29 untuk #1).

Perincian spesifikasi

Penawaran varian adalah mirip dengan smart #1, iaitu Pro, Premium dan Brabus. Varian Pro mempunyai bateri berkapasiti 49kWh manakala Premium dan Brabus adalah 66kWh.

Varian Pro dan Premium mempunyai motor elektrik tunggal di belakang dengan output 272hp dan 343Nm tork, memberikan pecutan 0-100 dalam 5.8 saat.

smart #3 Brabus pula mendapat dua motor di gandar depan dan belakang, dengan kuasa keseluruhan 428hp dan 543Nm tork. Disebabkan #3 Brabus menjadi jentera AWD, pecutan 0-100 adalah jauh lebih pantas, sekitar 3.7 saat sahaja.

Kelajuan maksima kesemua varian adalah 180km/j. Jarak pemanduan pula sekitar 455km untuk Pro dan Premium, dan 415km untuk Brabus.

Tanggapan pertama

Jadi, bagaimana pemanduan awal smart #3 ini? Apa yang boleh kami simpulkan, di litar bujur kelajuan separa-tinggi milik Proton ini, smart #3 memecut dengan bersahaja.

Varian Premium dengan pecutan ke 100km/j dalam 5.8 saat lebih dari mencukupi. Penulis membayangkan kita memandu smart #3 ini memasuki susur lebuh raya. Pecutan mantap bermakna susur masuk lebih mudah, dan aliran trafik lorong utama lebih lancar. Setuju?

Kami juga sempat menguji di bahagian dinamik yang disediakan oleh pihak Pro-Net seperti figure-8, slalom, dan pecutan jalan lurus.

Jelas terasa casis smart #3 ini lebih tegar dan lincah. Ini kerana #3 menggunakan spring, penyerap hentak, dan bar anti-oleng lebih keras berbanding #1, memberikan karakter lebih sporti. Penulis juga rasakan perubahan teknikal ini sangat penting dan sepadan dengan rupa luaran sporti #3 ini.

Menukar arah di figure-8 terasa stabil, malah pengeluaran tork juga lancar di kelajuan rendah. Ini pasti menjadikannya sesuai dipandu oleh pemandu biasa di dalam bandar.

Penulis paling suka di slalom kerana dapat menguji kestabilan casis, had cengkaman tayar, dan penghantaran kuasa.

smart #3 mudah mencapai had cengkaman kerana torknya yang cepat sepantas kilat. Ia mengikut terus kaki kanan anda. Tetapi segala sistem keselamatan dan pembinaan casis lebih tegar memastikan kereta dalam kawalan dan membantu kita sebagai pemandu mengemudi kenderaan melepasi laluan.

Body roll atau olengan badan juga jelas berkurang, menjadikan smart #3 lebih tangkas dan lincah menukar haluan sambil memecut dan membrek.

Secara keseluruhan, jelas smart #3 menunjukkan perbezaan karakternya berbanding #1 dan penulis rasa ia sesuai untuk pembeli muda yang mahukan sebuah EV mengujakan untuk dipandu secara harian.

Nantikan laporan pandu uji penuh kami secara harian dalam bandar dan jarak jauh bila kami mendapat unit pandu uji smart #3 tidak lama lagi.

Sementara itu, anda boleh berkunjung ke Malaysia Autoshow 2024, yang akan berlangsung dari 22 hingga 26 Mei 2024 kerana smart #3 akan membuat penampilan sulung di situ. Wakil smart Malaysia akan berada di Dewan A2 (Dewan Premium), MAEPS, Serdang.

100 unit dalam sebulan, smart Malaysia catat rekod penghantaran EV paling singkat

SMART Malaysia meraikan pencapaian dengan pengedaran sebanyak 100 unit kenderaan elektrik (EV) smart #1 dalam tempoh satu bulan, baru-baru ini.

Pencapaian ini didorong oleh kerjasama 10 cawangan pengedar smart #1 yang terletak di lokasi strategik, memastikan majoriti pembeli menerima kereta mereka dalam masa yang singkat.

smart Malaysia memanfaatkan pakar jualan terlatih dan berdedikasi dalam mengendalikan setiap aspek dan butiran termasuk penyelarasan proses penghantaran kereta.

Kemudahan aplikasi digital juga membantu pencapaian ini, menjadikan proses pembelian kenderaan menjadi cepat dan efisien —dari tempahan hinggalah permohonan pinjaman.

smart turut mengumumkan bahawa mereka telah menyediakan stok kenderaan yang tersedia jauh lebih awal sebelum pelancaran rasmi smart #1.

Menurut smart dalam kenyataan media, “Pengedaran 100 unit EV yang menembusi catatan rekod pengedaran paling singkat ini amat menggembirakan kami.

“Ia membuktikan kereta kami diterima oleh segmen pembeli yang menitikberatkan gaya dan keperibadian.

“Mereka tidak hanya mencari mobiliti; mereka menghargai gabungan teknologi, keselamatan, dan ketersambungan yang ditawarkan oleh smart #1 kami.

Sementara itu, Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia berkata: “Kami gembira melihat pelanggan kami menemui kualiti ini di dalam kereta kami.”

smart #1 ditawarkan pada harga bermula RM189,000 hingga RM249,000.

Berikut adalah harga dan spesifikasi ringkas smart #1:

Pro dan Premium

  • RM189,000 untuk Pro, RM219,000 untuk Premium
  • Motor tunggal di belakang
  • Output 272hp, 343Nm
  • Jarak pemanduan 440km
  • 0-100km/j dalam 6.7 saat
  • Kelajuan maksima 180km/j
  • Pengecasan AC 7.2kW: 6 jam untuk 10 hingga 80 peratus, 22kW dalam 3 jam
  • Pengecasan DC hingga 150kW: 22 minit (Pro) dan 29 minit (Premium)

Brabus

  • RM249,000
  • Dua motor elektrik (AWD)
  • Output 428hp, 543Nm
  • Jarak pemanduan 400km
  • 0-100km/j dalam 3.9 saat
  • Kelajuan maksima 180km/j
  • Pengecasan AC 22kW: 3 jam
  • Pengecasan DC hingga 150kW: 29 minit

smart #1 Brabus buat kemunculan umum pertama di ASEAN – 422hp, 0-100 3.9saat, RM200k hingga RM250k

SMART Malaysia hari ini mendedahkan smart #1 Brabus di pameran International Electric Mobility Showcase (IEMS) 2023, sekaligus menjadikan ianya penampilan sulung EV prestasi tinggi itu di Asia Tenggara (ASEAN).

Kami sebelum ini telah melaporkan mengenai smart #1 dan #1 Premium beberapa bulan lepas, tetapi perincian model varian Brabus agak terhad pada masa itu. Kini, mari kita lihatkan dengan lebih lanjut.

@engear.tv Cara Sebut Nama Kereta EV Ini “Smart Hashtag One” #engeartv #smart #1 #ev #electric #cara #smarthashtag1 #review #reels #tiktok #fyp #malaysia ♬ original sound – Engear TV

Di bahagian luar, smart #1 Brabus mendapat kelengkapan yang sama dengan varian Premium. Ini termasuklah lampu LED matriks CyberSparks, dan beberapa bahagian yang menyala seperti di gril depan, pemegang pintu dan logo di tiang-C.

Varian ini juga mendapat bumbung panoramik, rel bumbung, dan pintu but berkuasa. Paling ketara sudah tentu kemasan merah yang dapat dilihat pada bahagian bumbung, perumah cermin sisi, pemegang pintu, rim, angkup brek, dan gril. #1 Brabus juga mendapat tulisan emblem berwarna hitam.

smart #1 Brabus bukan sahaja nampak sporti, ia memang membawakan prestasi agak tinggi. Ia mendapat dua motor elektrik menjadikannya sebuah AWD, dan kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh.

Output maksima adalah 422hp dan 543Nm tork, dan ini membolehkan smart #1 Brabus memecut ke 100km/j dalam masa 3.9 saat. Kelajuan maksima ialah 180km/j dan jarak maksima ialah 400km setiap cas.

Menggunakan pengecasan AC dan kadar 22kW, Brabus ini boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam tiga jam. Tetapi dengan DC 150kW, cas yang sama boleh dilakukan kurang 29 minit.

Di bahagian dalam, ia serupa dengan smart #1 biasa, tetapi terdapat banyak kemasan merah, dan kelengkapan khas Brabus seperti roda stereng dan tempat duduk sports.

Ia masih juga mendapat paparan instrumen digital 9.2-inci, paparan infotainmen 12.8-inci, sistem audio Beats, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto.

Harga bagi smart #1 Brabus ini dianggarkan antara RM200,000 hingga RM250,000 atas jalan tanpa insurans. Jika anda berminat, tempahan boleh dibuat melalui aplikasi smart Hello, dengan bayaran RM1,000 yang boleh dipulangkan semula.

501 pelanggan pertama yang membuat pra-tempahan akan diberikan kredit mengecas sebanyak RM1,001.

Apa pendapat anda dengan smart #1 Brabus, menarik setakat ini? Atau baik beli….?