Arkib Tag: polestar

Geely gandakan pegangan saham dalam Aston Martin

GEELY kini menjadi pemegang saham ketiga terbesar dalam Aston Martin Lagonda (AML). Selepas mula menjadi pemegang saham pada September 2022, gergasi automotif China itu telah menaikkan pegangannya dari 7.6 kepada 17 peratus.

Pengerusi Aston Martin, Lawrence Stroll telah menyerahkan 42 juta saham bernilai 2.31 Pound (RM13.08) setiap satu kepada 3.35 Pound (RM18.96) seunit. Konsortium Stroll, Yew Tree turut melanggan 28 juta saham pada harga sama.

Ketika ini, konsortium Yew Tree milik pengerusi Aston Martin, Lawrence Stroll ialah pemegang saham terbesar syarikat itu, diikuti oleh Public Investment Fund (PIF) Arab Saudi.

 

 

“Geely Holding, yang pada mulanya menjadi pemegang saham tahun lalu, melihat potensi besar untuk pertumbuhan dan kejayaan jangka panjang Aston Martin,” kata Stroll dalam satu kenyataan.

“Mereka menawarkan kepada kami pemahaman mendalam mengenai pasaran pertumbuhan strategik utama yang diwakili oleh China, serta peluang untuk mengakses rangkaian teknologi dan komponen.”

Sebagai pertukaran dari dana, akses dan teknologi, Geely juga akan mendapat kerusi Lembaga. Ini penting kerana Geely merupakan syarikat penaung jenama-jenama seperti Volvo, Lotus, Polestar dan Proton.

Buat masa ini, pegangan saham Geely terhad kepada 22 peratus dalam Aston Martin sebelum Ogos 2024. Mereka juga mempunyai saham dalam Mercedes-Benz, yang juga mempunyai pegangan dalam AML. Menarik.

Polestar 4 – SUV coupe EV dengan 544 hp, jarak 600 km

POLESTAR secara rasminya memperkenalkan model keempat dalam barisan kenderaan elektrik (EV) mereka iaitu Polestar 4.

Menurut syarikat itu, Polestar 4 diposisikan antara Polestar 2 dan Polestar 3 dari segi saiz dan harga. Ia juga merupakan model SUV kedua jenama itu selepas Polestar 3 yang didedahkan pada tahun lalu.

Bercakap tentang saiz, SUV coupe segmen D itu mempunyai ukuran panjang 4,839 mm, lebar 2,139 mm, tinggi 1,544 mm, dengan tapak roda 2,999 mm. Ia dibina menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dibangunkan oleh Geely.

Dari segi reka bentuk, Polestar 4 tampil dengan elemen-elemen yang ‘dipinjam’ dari kereta konsep Polestar Precept seperti lampu hadapan berbentuk bilah berkembar dengan signatur unik Polestar.

Jika anda perasan, kereta ini tidak mempunyai cermin belakang bagi memberikan penumpang pengalaman yang lebih imersif. Namun pemandu tidak perlu risau kerana sebuah kamera yang terletak di atas bumbung akan memberikan suapan langsung kepada skrin definisi tinggi pada cermin pandang belakang.

Antara teknologi lain yang disertakan pada Polestar 4 termasuklah skrin sentuh 15.4 inci yang dikuasakan oleh sistem operasi Android Automotive dan Snapdragon Cockpit Platform. Sistem ini juga mengandungi pelbagai ciri Google lain seperti Google Assistant, Google Maps dan Google Play.

Seperti kereta-kereta Polestar yang lain, kemas kini secara atas udara (OTA) membolehkan ciri-ciri baharu dan penambahbaikan dihantar kepada Polestar 4 tanpa perlu ke pusat servis.

Untuk trenkuasa pula, Polestar 4 akan ditawarkan dalam versi Single Motor dan Dual Motor. Versi Long Range Dual Motor mempunyai 544 hp dan 686 Nm, dengan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat. Ini menjadikannya model produksi Polestar terpantas setakat ini.

Versi Single Motor pula dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa 272 hp dan 343 Nm pada gandar belakang.

Untuk jarak pemanduan pula, bateri berkapasiti 102 kWh menawarkan jarak sehingga 560 km untuk versi Dual Motor dan 600 km untuk Single Motor. Bateri itu menyokong pengecasan DC 200 kW dan AC 22 kW, serta fungsi Vehicle-to-Load (V2L).

Terdapat juga fungsi pengoptimuman pemanduan yang membolehkan pemandu memilih antara mod Range atau Performance di dalam versi Dual Motor.

Mod Performance menjadikan motor elektrik lebih responsif dan menggunakan sepenuhnya kuasa daripada kedua-dua motor, manakala mod Range pula mengutamakan kecekapan dengan menarik kuasa dari motor belakang sahaja untuk gaya pemanduan yang lebih santai.

Sudah tentu, aspek keselamatan juga menjadi keutamaan Polestar. Untuk model ini, ia didatangkan dengan sembilan beg udara serta sistem bantuan pemandu tercanggih SuperVision yang merangkumi 12 kamera, satu radar dan 12 sensor ultrasonik.

Selain itu, pelanggan boleh mendapatkan Pilot Pack yang membawakan ciri Pilot Assist dengan bantuan menukar lorong.

Polestar 4 akan dilancarkan pada tahun ini di China terlebih dahulu, diikuti dengan pasaran Eropah, Amerika Utara dan Asia Pasifik menjelang awal 2024. Harga jualan dijangka bermula dari 60,000 euro (RM291,640).

Polestar 2 facelift lebih berkuasa, boleh capai jarak 635 km

TIGA tahun selepas ia diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali, Polestar 2 kini menerima versi facelift yang tampil dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, pek bateri yang lebih besar serta varian pacuan roda belakang (RWD) baharu.

Dari segi penampilan, fastback lima pintu ini mendapat gril baharu yang diinspirasikan daripada Polestar 3. Digelar sebagai SmartZone, panel ini menempatkan ciri-ciri keselamatan aktif termasuk kamera dan radar.

Selain itu, rim aloi 20 inci dalam Performance Pack juga mendapat sentuhan segar dengan rekaan yang lebih sporty seperti Polestar 3.

Untuk model tahun 2024, semua varian motor tunggal adalah RWD dan bukannya pacuan roda hadapan (FWD) seperti sebelum ini. Varian ini mempunyai output sehingga 299 PS dan 490 Nm, naik dari 231 PS dan 330 Nm sebelum ini, sekaligus mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j dari 7.4 saat kepada 6.2 saat.

Sementara itu, varian motor berkembar kini ditala semula bagi menjadikan ia lebih cenderung kepada RWD untuk pemanduan yang lebih mengujakan. Motor belakang kini lebih berkuasa dan menjadi sumber utama pacuan, disokong oleh motor jenis ‘asynchronous’ pada gandar hadapan.

Gabungan ini menghasilkan output maksimum mencecah 421 PS dan 740 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat. Jika dilengkapi dengan Performance Pack, kuasanya meningkat kepada 476 PS dan masa pecutan pula dikurangkan sebanyak 0.3 saat.

Menurut Polestar, motor hadapan boleh dilepaskan sepenuhnya apabila tidak diperlukan bagi meningkatkan lagi kecekapan trenkuasa elektrik. Ia akan disambungkan semula sekiranya pemandu menekan pendikit untuk memandu lebih laju.

Untuk bateri pula, varian Long Range tampil dengan bateri lithium ion berkapasiti dengan 27 modul yang dibekalkan oleh CATL, manakala varian Standard Range mendapat bateri keluaran LG Chem berkapasiti 69 kWh dengan 24 modul.

Bagi varian motor tunggal, versi Standard Range boleh mencapai jarak pemanduan sehingga 518 km, naik sebanyak 40 km, manakala versi Long Range kini boleh dipandu sejauh 635 km dengan satu cas penuh, iaitu 84 km lebih jauh berbanding sebelum ini.

Varian motor berkembar Long Range pula menyaksikan peningkatan jarak pemanduan sebanyak 105 km, menjadikan angka terkini 592 km.

Bateri-bateri baharu ini boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 205 kW untuk versi Long Range dan 135 kW bagi versi Standard Range.

Harga Polestar 2 facelift bermula dari 50,190 euro (RM232,994) untuk versi Standard Range motor tunggal sehingga 64,690 euro (RM300,306) untuk Long Range motor berkembar dengan Performance Pack.

 

Polestar O2 Concept, roadster elektrik dengan dron pintar

TANPA bumbung, tanpa bunyi dan tanpa asap. Itu merupakan idea yang diperkenalkan oleh Polestar bagi konsep terbaharunya iaitu Polestar O2 Concept.

Konsep baharu ini merupakan sebuah roadster janaan elektrik yang bakal mendefinisikan semula kereta sports di masa hadapan.

Dengan konfigurasi tempat duduk 2+2, konsep roadster Polestar O2 ini mempunyai bumbung jenis hardtop yang boleh dibuka. Ia turut berkongsi kerangka seni bina berasaskan bonded aluminum sama seperti model Polestar 5.

Apa yang menarik, Polestar O2 ini turut dilengkapi dengan sebuah dron jenis autonomous cinematic yang berfungsi untuk merakam pemanduan anda dari luar.

Kredit: wired.com

Dron ini berupaya untuk merakam sehingga kelajuan 90km/j sekaligus membuatkan anda terasa seperti bintang filem seperti dalam sekuel Fast And Furious.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Polestar, Thomas Ingenlath, penggunaan dron ini bukanlah gimik semata-mata.

“Kami di Polestar merasakan dron ini akan memberikan pengalaman baru bagi merakam detik pemanduan anda berbanding hanya menggunakan telefon pintar,” katanya.

“Ini adalah hasil gabungan rekaan, kejuruteraan serta bakat dan teknologi yang kami ada di Polestar.

“Ia memberikan kesoronokan yang luar biasa melalui pengalaman pemanduan dengan bumbung terbuka tanpa sebarang gangguan dari bunyi enjin,” tambahnya lagi.

Walaubagaimanapun, Polestar masih belum mengumumkan rangkaian kuasa serta jenis pek bateri yang bakal digunakan pada model O2 ini.

Pandu: Polestar 2 – Laju seperti bil elektrik anda

UNTUK pandu uji kali ini, kami bawakan satu kereta yang sangat istimewa, lain dari biasa. Sebuah kereta elektrik sepenuhnya, dari jenama Sweden.

Ya, persembahkan Polestar 2. Jadi, kereta apa ni sebenarnya? Ini ialah model kedua dari Polestar, sebuah pengeluar terbitan dari Volvo, tetapi khas untuk kereta elektrik sepenuhnya (EV).

Maka sebab itulah anda dapat lihat gaya luaran dan dalamannya sangat menyerupai Volvo, dengan garisan ringkas yang lurus, tegak, dan rekaan moden minimalistik terutamanya di bahagian dalam.

Sebelum ini model pertama mereka ialah Polestar 1, sebuah EV dengan rekabentuk coupe dua-pintu. Ia nampak seperti Volvo S60 atau S90, hanya kurang dua pintu.

Untuk Polestar 2, mereka mengambil rekaan seperti hatchback 5-pintu, tetapi sedikit tinggi seakan-akan crossover. Boleh dikatakan Polestar 2 ini direka untuk menyaingi Tesla Model 3.

Spesifikasi ringkas Polestar 2

Harga: RM420,000-450,000
Janaan kuasa: Dua motor elektrik, bateri 78kWh
Jarak pemanduan: 400-500km

Kuasa maksima: 300kW (408hp)
Tork maksima: 660Nm
Pecutan 0-100km/j: 4.5 saat
Kelajuan maksima: 204km/j
Berat: 2,200 kg
Sistem keselamatan: Run-off Road Mitigation, Oncoming Lane Mitigation, Lane Keeping Aid, Post Impact Braking, Connected Safety, Slippery Road Alert, Hazard Light Alert, Driver Alert Control, Road Sign Information, Speed Limiter

Disebabkan Polestar dari Volvo, kereta ini berkongsi pelantar dengan XC40. Di sebelah kiri, anda akan nampak penutup seperti tempat mengisi minyak, tetapi disebabkan Polestar 2 ialah EV, di sini sebenarnya tempat ia dicaj.

Polestar 2 boleh dicaj dengan du acara, iaitu DC Fast Charging pada kadar 150kW dan AC Charging pada 11kW.

Bahagian dalam Polestar 2 mendapat vegan interior atau bahan-bahan bebas kulit dan lebih mesra alam. Dapat dilihat rekabentuk papan pemuka, stereng, konsol tengah dan tombol gear mengingatkan kita pada model-model Volvo terkini.

Sama seperti Volvo, ruang kabin Polestar ini cukup selesa, praktikal, mendapat bahan berkualiti, dan nampak ringkas dan tidak terlalu flashy atau menunjuk.

Aspek minimalistik pula ditonjolkan dengan kurangnya butang-butang kawalan, sebaliknya kebanyakan fungsi kenderaan dikawal atau diakses melalui skrin tengah, iaitu unit 11-inci bersaiz potret.

Rupa ‘baik’, prestasi sports car

Dengan kemampuan pecutan 0 ke 100 dalam 4.5 saat, ini meletakkan Polestar 2 dalam liga kereta sports. Sebagai konteks, pecutan ini lebih pantas dari VW Golf GTi MK7.5 dan Honda Civic Type-R FK8.

Pada masa yang sama, Polestar 2 boleh dipandu dengan selesa setiap hari dan tetap praktikal untuk kegunaan keluarga.

Bagaimana pula dengan gaya pemanduan dan proses mengecaj Polestar 2 ini? Jemput tonton video pandu uji kami di bawah untuk ketahui dengan lebih lanjut.