Arkib Tag: phev

Indonesia jadi negara ketiga buat kiraan cukai berdasarkan pelepasan karbon, bukan lagi ikut kapasiti enjin

INDONESIA akan mengubah struktur cukai kenderaan mereka yang berdasarkan kapasiti enjin kepada pengiraan berdasarkan pelepasan karbon CO2 yang lebih terkini.

Sistem ini akan bermula pada 16 Oktober 2021 dan ini menjadikan Indonesia negara yang ketiga di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan sistem ini selepas Singapura dan Thailand.

Presiden Indonesia, Joko Widodo. Sumber: Facebook

Ia sebahagian langkah menyesuaikan Cukai Barangan Mewah (Luxury Goods Tax) untuk kenderaan akan menjadikan struktur cukai Indonesia setaraf dengan negara maju ASEAN yang lain yang mula diumumkan pada 2019.

Jadi, apa perubahan yang akan berlaku dalam industri automotif negara jiran ini? Pertamanya, sedan dan SUV tidak akan dikenakan cukai yang lebih tinggi kerana tiada lagi cukai berdasarkan jenis badan kenderaan dalam sistem baharu ini.

Kenderaan seperti MPV, SUV, dan hatchback sebelum ini dikenakan cukai antara 10 hingga 125 peratus bergantung kepada kapasiti enjin, manakala sedan dan kenderaan 4WD/AWD dikenakan cukai antara 30 hingga 125 peratus.

Sumber: bestsellingcarsblog.com

Ini menjelaskan kenapa Toyota Avanza dan Innova lebih banyak dijumpai di sana berbanding Honda Civic. Sistem baharu ini akan menjadikan model sedan seperti Civic dan Toyota Corolla lebih berdaya saing.

Sumber: Kompas Otomotif

Sementara itu, kenderaan Low Cost Green Cars (LCGC) seperti Daihatsu Ayla dan Toyota Agya (kembar Perodua Axia) akan melihat sedikit kenaikan harga kerana akan dikenakan cukai 3 peratus.

LCGC di sini dikategorikan sebagai kereta bandar dengan kapasiti enjin bawah 1.2-liter dan mempunyai kecekapan bahan api sekurang-sekurangnya 20km/liter.

Untuk segmen MPV dan SUV Rendah (seperti Toyota Avanza dan Rush) juga akan mengalami kenaikan harga.

Walaubagaimanapun, kebanyakan pengguna tidak akan merasai kenaikan harga tahun ini. Struktur cukai baharu akan melihatkan cukai antara 15 hingga 70 peratus untuk kenderaan penumpang dengan penekanan untuk kenderaan elektrik bateri (BEV).

Untuk menikmati cukai terendah (15 peratus), kenderaan petrol harus memperoleh kecekapan bahan api minimum 15.5km/liter dan pelepasan karbon tidak lebih 150g/km, manakala diesel pula 17.5km/liter dengan pelepasan CO2 sama.

Pengurangan cukai seterusnya akan meningkat 5 peratus untuk setiap kenaikan 50g/km dan sehingga 25 peratus untuk tahap 250g/km.

Had kecekapan bahan api petrol bermula pada minimum 11.6 hingga 15.5 km/liter untuk lingkungan cukai 15 peratus, meningkat kepada 9.3 hingga 11.5 km/liter dan kemudiannya 9.2km/liter kebawah.

Untuk diesel: 13.1 hingga 17.5 km/liter, 10.5 hingga 13 km/liter, dan 10.5 km/liter ke bawah untuk lingkungan cukai yang sama.

Kenderaan elektrik Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV), BEV, dan Biofuel akan dikenakan cukai minimum 15 peratus sahaja.

Secara umumnya, harga kenderaan hibrid juga akan meningkat, tetapi kenaikan akan diketepikanbagi pengeluar kenderaan yang telah memberi komitmen pelaburan sekurang-kurangnya Rp5 trilion (sekitar RM1.47 bilion) dalam pengeluaran kenderaan elektrik tempatan.

Sumber: Malay Mail

Malaysia bila lagi? Ya, satu persoalan menarik. Malangnya tanah air kita masih mengenakan struktur cukai zaman dinosaur yang berdasarkan kapasiti enjin.

Jangankan bab cukai, kurikulum sekolah memandu kita pun masih lagi menyuruh penunggang motosikal mengangkat tangan jika berhenti. Siapa antara anda yang pernah praktikkan cara ini semasa menunggang di jalan raya sebenar?

Mercedes akan ‘berhijrah’ jadi elektrik sepenuhnya termasuk AMG, Maybach dan G-Class

MERCEDES-BENZ semalam membentangkan strategi mereka untuk masa depan, yang memperlihatkan pengeluar Jerman itu bersedia untuk ke arah elektrik sepenuhnya menjelang akhir dekad ini.

Ini bermakna tiada lagi Mercedes dengan enjin pembakaran dalaman (ICE), tetapi jangan risau, perubahan ini bukanlah mendadak. Ia juga bergantung kepada pasaran.

Mercedes-Benz EQS. Gambar: Mercedes

Ini susulan dari pengenalan strategi Electric First pada Oktober lepas yang menyaksikan mereka melancarkan empat model elektrik berasaskan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) – EQS, EQE, EQS SUV, dan EQE SUV.

Sub-jenama AMG, Maybach dan G-Class juga akan menerima teknologi elektrifikasi.

Sebagai permulaan, Mercedes akan menawarkan pilihan elektrik bateri untuk semua segmen menjelang 2022. Langkah ini sudahpun bermula di beberapa pasaran dengan model seperti EQA, EQB, EQC, EQS dan EQV.

Langkah dari ‘EV-first’ kepada ‘EV-only’ akan lebih intensif bermula 2025, dengan kereta-kereta baharu yang menggunakan elektrik sahaja.

Mercedes-Benz EQS. Gambar: Mercedes

Dengan kata lain, tiada lagi model dengan enjin ICE. Mercedes tidak akan menunggu industri, sebaliknya mereka yang akan menjadi pengorak langkah.

Britta Seeger berkata dalam pembentangan: “Hingga akhir-akhir ini, kami menjangkakan pembangunan dalam pasaran EV global. Kini, kami percaya minat pelanggan akan berubah lebih cepat. Kenderaan EV akan menguasai pasaran mewah menjelang 2030.”

Tiga platform EV baharu

Gambar: Mercedes

Dalam pembentangan sama, Mercedes juga mengesahkan tiga platform termasuk MB.EA (Mercedes-Benz Electric Architecture) untuk kereta saiz sederhana hingga besar.

Selain itu, AMG.EA akan turut serta untuk kenderaan prestasi, manakala VAN.EA untuk van dan kenderaan komersial.

Pengeluar itu tidak menyatakan bila ICE akan dihentikan dalam barisan tawaran mereka, tapi pastinya tidak begitu lama. Pembangunan enjin ICE juga akan dikurangkan dengan drastik.

“Pastinya, tiada siapa dapat mengetahui bila enjin ICE terakhir akan dijual, kerana ia bergantung kepada pelanggan dan situasi pasaran mereka,” ulas Seeger.

Mercedes-Benz melabur lebih 40 juta Euro untuk EV antara 2022 hingga 2030. Mereka mensasarkan 50 peratus kenderaan jualan baharu terdiri dari model-model dengan elektrifikasi (hibrid, plug-in hybrid dan EV) menjelang 2025, peningkatan 25 peratus dari sasaran tahun lepas.