Arkib Tag: pesawat pejuang

Indonesia beli jet pejuang Dassault Rafale, enam unit tiba pada 2026

KEMENTERIAN Pertahanan Indonesia memaklumkan kontrak pembelian enam jet pejuang Dassault Rafale bagi memperkuatkan sistem utama persenjataan negara itu. Kesemua jet pejuang itu akan tiba pada 2026.

Menurut CNN Indonesia, Jurucakap Menteri Pertahanan, Dahnil Anzar Simanjuntak berkata, kontrak pembelian itu masih berkuatkuasa sejak 9 September lalu.

Dassault Rafale. Gambar oleh: Blog Before Flight

“Pesawat pertama akan tiba di Indonesia pada hujung 2026 selepas kontrak termeterai. Pihak kementerian juga sudah merancang sumber manusia untuk mengendali dan menyelenggara pesawat industri buatan Perancis,” katanya.

Sebelum ini, kementerian itu sudah menandatangani kontrak kerjasama pembelian enam pesawat tempur generasi ke-4 dan ke-5 Dassault Rafale buatan Perancis.

Kontrak tersebut ditandatangani oleh Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto ketika menerima kunjungan Menteri Angkatan Bersenjata Perancis, Florence Parly di Jakarta, 10 Februari lalu.

Gambar oleh: Defense Brief

Menurut Prabowo, pihaknya merancang untuk membeli 42 pesawat Rafale dan kontrak pertama itu hanya melibatkan pembelian enam pesawat terlebih dahulu.

Di samping negara-negara jiran kita memperkukuhkan pertahanan mereka, bagaimana pula dengan Malaysia?

Pesawat pejuang utama negara, F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30 MKM masing-masing akan terus berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masing-masing sehingga 2035 dan 2040.

Pada masa yang sama, pesawat-pesawat ini akan dinaiktaraf bagi memastikan ianya kekal relevan dan sentiasa mempunyai sistem terkini.

Pesawat pejuang Hawk milik TUDM. – Foto ihsan Wikipedia

Dalam perkembangan lain, tender untuk pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) telah ditutup dan TUDM dijangka mengumumkan pemenangnya kelak. Tender ini adalah bagi menggantikan armada pesawat Hawk 108/208.

F/A-18 Super Hornet Tentera Laut AS terhempas, juruterbang terkorban

SEBUAH pesawat pejuang Boeing F/A-18E Super Hornet Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) terhempas baru-baru ini di padang pasir di selatan California, mengorbankan juruterbangnya.

F/A-18 Super Hornet di pangkalan NAS Lemoore. Imej oleh: Blog Before Flight

Pihak tentera laut mengesahkan pesawat itu yang berpangkalan di Naval Air Station Lemoore terhmepas kira-kira 2:30 petang di kawasan Trona, Mojave Desert di San Bernardino County, kira-kira 236 batu ke tenggara stesen udara itu.

Juruterbangnya terkorban dalam nahas itu dan pihak tentera laut menanti untuk memaklumkan kepada waris sebelum mendedahkan identitinya.

Maklumat terperinci mengenai punca nahas belum didedahkan, tetapi apa yang pasti tiada pesawat lain atau orang awam di daratan yang terlibat sama.

Lemoore merupakan pangkalan untuk Commander Strike Fighter Wing Pacific dan Commander Joint Strike Fighter Wing, serta menempatkan 16 skuadron Strike Fighter yang aktif.

Jet pejuang itu adalah pesawat jenis sama yang ‘diterbangkan’ Tom Cruise dalam filem hit terbaharu Top Gun: Maverick.

Tom Cruise dilihat ‘menerbangkan’ pesawat itu dengan kamera-kamera di dalam kokpit – bersama juruterbang Tentera Laut AS berpengalaman yang sebenarnya menerbangkannya.

Walaubagaimanapun, Tom Cruise dan pelakon-pelakon lain melalui Latihan Aviation Survival Training Curriculum penuh sebelum menaiki F/A-18 Super Hornet itu.

Boeing T-7A Red Hawk didedah, mula diserah kepada tentera udara AS

BOEING telah mula mengeluarkan T-7A Red Hawk pertama untuk Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di bawah fasa Engineering and Manufacturing Development.

Jet-jet itu akan menjadi pesawat latihan baharu pertama menggantikan T-38 Talon yang telah dioperasikan sejak lebih 60 tahun lepas.

Dalam satu majlis pendedahan di kilang Boeing di St. Louis, Missouri, wakil-wakil industri dan pegawai Tentera Udara telah diberi taklimat mengenai ciri-ciri canggih dan unik T-7A yang dijangka digunakan dalam siri latihan.

T-7A juga merupakan pesawat Boeing pertama yang direka secara digital sepenuhnya dan sejumlah 351 unit akan diserahkan kepada Tentera Udara tahun depan.

Pesawat latihan terbaharu ini direka oleh Boeing bersama Saab dan melalui rekaan digital, kejuruteraan serta perisian canggih, membolehkan masa pembangunan pesawat disingkatkan.

Malah Red Hawk ini juga merupakan pesawat pertama Tentera Udara dengan pemula nama “e” iaitu eT-7, menunjukkan falsafah rekaan digital menyeluruh padanya.

Sebaik memasuki perkhidmatan nanti, pesawat ini dijangka mempunyai lebih banyak kebolehan berbanding pesawat sebelumnya dengan elemen latihan baharu yang boleh dimasukkan.

Hubungan antara Boeing dengan Saab juga diperkukuh, dimana Saab akan mula memasang komponen ekor pesawat di West Lafayette, Indiana, AS.

Boeing T-7A Red Hawk dikuasakan enjin General Electric F404, ia mempunyai kelajuan maksima 1,300km/j dan kelajuan meluncur skitar 975km/j.

T-7A juga mampu terbang pada altitud maksima 50,000 kaki dengan kemampuan mendaki 33,500 kaki seminit.

Buat masa ini, Boeing T-7A yang siap dipasang ini akan terus berada di St. Louis untuk ujian darat dan penerbangan sebelum diserahkan kepada 99th Flying Training Squadron.