Arkib Tag: pengecasan

BMW Group Malaysia buka fasiliti pengecasan EV awam pertama di Sabah

REGAS Premium Sabah, yang merupakan wakil pengedar bertauliah BMW Group Malaysia sejak 2018, telah melancarkan fasiliti pengecasan kenderaan elektrik (EV) awam yang pertama di negeri itu.

Pelancaran fasiliti ini mencerminkan komitmen Regas Premium Sabah dalam merintis solusi-solusi mobiliti elektrik di negeri tersebut, sejajar dengan dengan pelan perluasan infrastruktur pengecasan BMW Group Malaysia untuk seluruh negara.

Fasiliti pengecasan baharu itu terletak di ruang parkir bawah tanah T1 @ Bundusan, Jalan Bundusan, Taman Cemerlang, Kota Kinabalu. Ia menampilkan dua lot dengan keupayaan pengecasan AC 11 kWj yang dibangunkan dengan kerjasama JomCharge.

Untuk kemudahan para pemilik EV di negeri itu, fasiliti pengecasan tersebut kini dibuka 24 jam sehari, dengan kadar standard bernilai RM6 sejam.

Menurut BMW Group Malaysia, fasiliti ini merupakan satu permulaan bagi visi Regas Premium Sabah yang
lebih besar untuk meluaskan infrastruktur pengecasan EV di seluruh rantau ini.

Syarikat itu merancang untuk meningkatkan aksesibiliti ke atas kemudahan pengecasan EV di seluruh pelosok negeri Sabah, dengan tumpuan terhadap lokasi-lokasi seperti Tawau yang menjadi sebahagian daripada pelan perluasan yang telah dijadualkan.

 

Setakat ini, BMW Group Malaysia telah menyediakan lebih daripada 1,000 buah fasiliti pengecasan dalam rangkaiannya.

Akses ke atas lebih 400 daripada fasiliti ini disediakan menerusi usaha sama dengan ChargEV dan Yinson Greentech, manakala usaha sama dengan JomCharge membekalkan akses ke atas lebih 100 buah fasiliti pengecasan.

Usaha sama dengan Gentari memberikan akses kepada lebih 150 buah fasiliti dan tidak cukup dengan itu, sekitar 160 buah fasiliti adalah daripada rakan-rakan baharu seperti Shell Recharge dengan ParkEasy, ChargeN’Go, ChargeSini, Go To-U dan FlexiParking.

Lebih daripada 100 buah fasiliti pengecasan BMW i dan MINI juga disediakan di kebanyakan pusat pengedaran yang bertauliah, di samping lokasi-lokasi para rakan kongsi di serata negara, dan banyak lagi yang akan menyusul melalui pelan perluasan infrastruktur yang telah disasarkan untuk tahun hadapan.

Gentari, Lotus meterai kerjasama bangunkan infrastruktur pengecasan EV

Gentari Sdn Bhd (Gentari) menerusi anak syarikatnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lotus Cars Malaysia (LCM) untuk meneroka kerjasama dalam pembangunan infrastruktur mobiliti hijau.

Majlis tandatangan yang dilakukan semasa pelancaran Lotus Eletre menyaksikan Gentari diwakili oleh Ketua Pegawai Mobiliti Hijau, Shah Yang Razalli, manakala Lotus Cars Malaysia diwakili oleh Pengurus Besar, Tengku Ezan Ley.

Merangkumi tempoh selama dua tahun, MoU tersebut akan menyaksikan Gentari bekerjasama dengan LCM bagi membangunkan infrastruktur pengecasan EV di kemudahan LCM dan juga kawasan awam, serta penawaran pakej pengecasan EV untuk pemilik kenderaan elektrik Lotus.

Selain itu, perjanjian itu turut menyasarkan kerjasama berpotensi lain seperti pengenalan solusi Armada Kenderaan Sifar Pelepasan di Malaysia, penggunaan tenaga boleh diperbaharui di kemudahan LCM serta platform digital dengan LCM.

“Hari ini, kami bekerjasama dengan Lotus Cars Malaysia untuk memudahkan pemandu kereta berprestasi tingginya untuk turut mengurangkan jejak karbon mereka dengan setiap kilometer perjalanan,” kata Shah Yang Razalli.

Sementara itu, Tengku Ezan Ley berkata kerjasama ini membolehkan pihaknya untuk menyokong pemilik EV jenama Lotus bermula dengan Eletre dengan meningkatkan kemudahan bagi membolehkan mereka merancang perjalanan dengan lebih efektif.

Sejak pengenalannya pada Jun 2022, Gentari menerusi entiti gabungannya telah membuka lebih 150 poin pengecasan di 35 lokasi di Malaysia dan 160 poin pengecasan di India.

Proton akan melabur untuk bangunkan jaringan pengecasan awam dan domestik

SEPERTI yang dilaporkan semalam, Proton telah menandatangani Perjanjian Pengedaran Am bersama smart Automobile Company yang akan menyaksikan syarikat itu menjual kenderaan elektrik (EV) smart #1 di Malaysia dan Thailand bermula tahun depan.

Selaras dengan perjanjian itu, Proton merancang untuk melabur dalam rangkaian pengecasan dengan kerjasama pembekal pengecasan tempatan, di samping menyediakan unit domestik untuk pelanggan yang berhasrat untuk mengecas kenderaan mereka di rumah.

Dalam satu sidang media yang diadakan selepas majlis tandatangan tersebut, Pengarah Kanan Strategi Proton, Yusri Yusuf berkata pihaknya kini sedang dalam perbincangan dengan tujuh hingga lapan operator infrastruktur EV.

Tambah beliau, Proton melihat dari dua sisi iaitu pengecasan di rumah dan pengecasan awam. Bagi pengecasan awam, syarikat itu akan menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi menentukan status terkini perancangan tersebut.

Secara umumnya, rangkaian pengecasan awam itu akan meliputi laluan-laluan yang sering digunakan atau popular di kalangan pengguna jalan raya, serta kawasan-kawasan luar bandar.

Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata beliau telah menubuhkan pasukan untuk mengkaji kebolehlaksanaan stesen pengecasan mudah alih bagi mengurangkan masalah kebimbangan jarak (range anxiety) di kalangan pelanggannya.

Dibangunkan bersama oleh Mercedes-Benz dan Geely, smart #1 (disebut ‘hashtag one’) akan memasuki pasaran Malaysia pada awal suku keempat tahun 2023, diikuti dengan Thailand pada separuh kedua 2024.

Menariknya, Malaysia akan menjadi negara ASEAN pertama yang menerima model itu dalam versi pemanduan sebelah kanan.