Arkib Tag: pemandu

Pemandu KL rugi 75 jam setahun terperangkap dalam kesesakan trafik, boleh baca 31 buah buku!

ANDA pasti pernah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dan berfikir masa yang terbuang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti berfaedah seperti membaca buku, bukan? Atau mungkin anda rasa mahu terbang naik helikopter sahaja pulang ke rumah.

Menurut satu kajian oleh syarikat pemetaan digital TomTom, pemandu-pemandu di Kuala Lumpur (KL) secara purata kerugian 159 jam setahun memandu dalam kesesakan jalan raya di pusat bandar semasa waktu puncak. Masa itu boleh digunakan untuk membaca kira-kira 31 buah buku.

Dari 159 jam yang terbuang itu, hampir separuh atau 75 jam adalah disebabkan kesesakan lalu lintas.

Anda juga telah membelanjakan RM1,023 setahun untuk petrol semasa waktu puncak, dengan satu per lima darinya atau RM221 dibelanjakan semasa kesesakan lalu lintas.

Sebagai perbandingan, anda perlu menanam 83 pokok setahun untuk ‘menyerap’ 833kg karbon dioksida yang dilepaskan oleh ekzos kereta semasa waktu puncak. 180kg dari karbon dioksida itu adalah dari kesesakan lalu lintas sahaja.

Dalam erti kata lain, disebabkan kesesakan ini, pemandu KL menghabiskan tambahan sembilan minit untuk setiap 10km semasa waktu puncak pagi, dan 12 minit lagi untuk waktu petang.

Pengiraan TomTom adalah berdasarkang anggaran pemandu KL yang memandu sejauh 10km semasa waktu paling sibuk di sebelah pagi, dan jarak yang sama di waktu petang. Anggaran ini juga dibuat dengan 230 hari bekerja setahun.

Semasa hari minggu, waktu paling sibuk di sebelah pagi adalah dari 8 hingga 9 pagi (18 hingga 21 minit), dan pukul 6 hingga 7 untuk sebelah petang (22 hingga 25 minit).

Data kajian juga menunjukkan waktu puncak paling buruk di KL biasanya jatuh pada hari Khamis dari 6 hingga 7 petang, dimana ia mengambil masa 25 minit 20 saat untuk memandu sejauh 10km secara purata.

Jika anda bekerja dari rumah selama tiga hari (dari Selasa hingga Khamis), anda akan jimat 104 jam dan RM609 untuk petrol setahun.

Kajian yang dilakukan oleh TomTom adalah berdasarkan indeks dari 389 bandar dari 56 negara seluruh dunia. Mereka yang memandu 10km di waktu puncak di London menghabiskan masa sebanyak 325 jam setahun.

Sebagai perbandingan, pemandu di KL menghabiskan 159 jam tahun lepas, pemandu Singapura menghabiskan masa sedikit kurang, pada 150 jam.

Pemandu di Manila pula menghabiskan 241 jam, manakala Jakarta dan Bangkok masing-masing menghabiskan 214 jam dan 192 jam.

Steve Jenny: Inilah orang yang bertanggungjawab pandu uji setiap Bugatti

SETIAP Bugatti yang dihasilkan di Molsheim dibina dengan penuh teliti bagi memastikan semua komponen berfungsi dengan sempurna.

Persoalannya, siapakah insan bertuah yang dipertanggungjawabkan untuk memastikan setiap unit Veyron, Chiron dan Divo mampu beraksi pada tahap optimum sebelum ia diserahkan kepada pemiliknya?

Memperkenalkan, Steve Jenny. Dibesarkan di Alsace, sebuah daerah di timur Perancis, Jenny telah dilantik sebagai pemandu uji rasmi bagi Bugatti sejak 2004, iaitu semasa Veyron masih dalam fasa prototaip lagi. Antara tugasan utama beliau adalah melakukan ujian dinamik dan pemeriksaan akhir.

Ya, memandu uji kereta Bugatti sememangnya kedengaran seperti kerjaya impian bagi mana-mana peminat kereta, namun tugas Jenny bukanlah sesuatu yang boleh dianggap mudah kerana ia memerlukan tahap fokus dan ketelitian yang tinggi.

Lagipun, beliau bukanlah calang-calang individu. Sejak memiliki lesen memandu, Jenny pernah membina kereta rali sendiri dan menyertai kejohanan rali sebagai pembantu pemandu.

Malah, beliau juga pernah bekerja sebagai mekanik, juruteknik ukuran serta membangunkan komponen-komponen sukan permotoran di syarikat-syarikat terkemuka seperti Mahle dan BBS.

Perjalanan Jenny dengan Bugatti bermula pada Mei 2004, apabila beliau diberitahu ada syarikat yang sedang menguji sebuah kereta yang dikatakan “laju seperti jet pejuang” di sebuah litar persendirian di Colmar.

Setelah mendapat tahu yang syarikat tersebut adalah Bugatti, beliau terus menghantar resume. Dipendekkan cerita, Jenny diterima sebagai salah seorang kakitangan terawal Bugatti.

Tugasan pertama Jenny adalah untuk mewujudkan proses pemeriksaan kualiti dan membangunkan bilik analisa dan ukuran di mana setiap kereta akan melalui proses penilaian secara menyeluruh sebelum ia diluluskan untuk penghantaran.

Kini, beliau bertanggungjawab untuk memeriksa sehingga dua buah Bugatti setiap minggu. Pertama sekali, beliau perlu memastikan yang unit itu mempunyai spesifikasi yang sama seperti yang dipesan oleh pelanggan dan sistem elektronik berfungsi seperti yang sepatutnya. Kemudian, barulah beliau akan memulakan sesi pandu uji.

Setiap sesi pandu uji mengambil masa kira-kira lima jam dan bermula dengan perjalanan sejauh 300 km di laluan pergunungan dan jalan berbatu di sekitar Alsace.

Di sini, Jenny akan mengambil kira aspek-aspek seperti berat pedal dan stereng, dan meneliti bunyi-bunyi asing yang mungkin datang dari bahagian suspensi dan lain-lain.

Selepas itu, beliau akan menjalankan ujian dinamik berkelajuan tinggi di landasan tertutup di lapangan terbang Colmar.

Di lokasi inilah kemampuan sebenar enjin W16 itu diuji, selain komponen-komponen seperti brek, airbrake dan sistem ESP.

Fasa terakhir ujian melibatkan pemanduan secara perlahan dari Colmar balik ke Molsheim. Setibanya di kilang, mekanik akan menukar minyak transmisi, tayar dan memasang semula underbody yang asal. Ini diikuti dengan pemanduan sejauh 50km sebelum ia diluluskan.

Secara keseluruhan, setiap unit Bugatti akan melalui ujian sejauh 350 hingga 750km dan ia menjadi tanggungjawab Jenny bagi memastikan setiap kilometer dilalui tanpa sebarang isu.

Pemandu trak dipenjara 110 tahun! Lebih 3.4 juta tandatangan petisyen mohon ringan hukuman

SEORANG pemandu lori dijatuhkan hukuman penjara 110 tahun kerana kemalangan pada 2019 di Colorado, Amerika Syarikat (AS). Kemalangan itu mengorbankan empat orang manakala beberapa lagi cedera.

Walaubagaimanapun, orang ramai telah memohon kepada hakim untuk meringankan hukuman.

Aguiler-Mederos. Gambar oleh: CBS News

Setakat laporan berita ini, lebih 3.4 juta orang telah menandatangani petisyen meminta Gabenor Colorado, Jared Polis untuk meringankan hukuman terhadap Rogel Aguilera-Mederos itu.

Menurut Heather Gilbee, penulis petisyen itu, “Kami bukan mahu menganggap kemalangan itu tidak tragik kerana nyawa memang telah terkorban.”

Gambar oleh: Daily Star UK

Pada April 2019, lori yang dipandu Aguilera-Mederos mengalami kerosakan brek – menurut laporan CBS Denver. Dia melalui lorong lori selepas menuruni satu bukit dan kemudian melanggar beberapa kereta yang berhenti di I-70 Lakewood, menyebabkan percikan api besar.

Lebuh raya itu ditutup kira-kira 24 jam untuk kedua-dua arah untuk kerja penyelamatan dan pembersihan.

Aguilera-Mederos memberitahu kepada CBS Denver bahawa dia telah mencuba sebaik mungkin mengelak kenderaan yang berhenti, tetapi tidak berjaya.

“Hidup saya tidak tenang. Ianya menyedihkan kerana empat orang terkorban,” katanya yang berharap dia terkorban dan bukan empat orang itu.

Semasa perbicaraan, hakim mengakui Aguilera-Mederos tidak berniat mencederakan sesiapa. Tetapi di bawah beberapa garis panduan undang-undang, hukumannya mungkin tidak kurang dari 110 tahun.

Balu kepada salah seorang dari yang terkorban berkata Aguilera-Mederos patut dipenjarakan dan lega dengan keputusan juri.

Penyiasat dari Lakewood Police Department melaporkan tiada pengaruh alkohol atau dadah terlibat dalam kemalangan itu.

Caj RM1 untuk per kilometer, AirAsia Ride pilihan e-hailing terbaharu

AIRASIA melancarkan perkhidmatan e-hailing dikenali sebagai AirAsia Ride yang mana ia boleh diakses menerusi aplikasi Super App.

AirAsia Ride bukan sahaja menawarkan perkhidmatan e-hailing malah meliputi penghantaran makanan, beli-belah serta tempahan hotel dan penerbangan.

Selain itu, pengguna juga boleh memilih pemandu bertugas selain menerima maklumat dan profil peribadi bagi tujuan keselamatan.

Setakat ini, perkhidmatan AirAsia Ride hanya terdapat di Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagaimanapun, perkhidmatan ini dijangka diluaskan ke negeri lain menjelang hujung 2021.

Antara negeri yang bakal menerima perkhidmatan AirAsia Ride adalah Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

Memetik kenyataan AisAsia Super App, tidak mustahil perkhidmatan ini akan turut diperkenalkan ke negara Asean lain dalam masa terdekat.

AirAsia Ride bakal dilancarkan di beberapa negeri menjelang hujung tahun ini. – Foto ihsan SoyaCincau

Tambang AirAsia Ride

Purata tambang AirAsia Ride adalah RM1 bagi setiap satu kilometer. Namun, tambang itu tidak termasuk caj perkhidmatan tol.

Pengguna juga boleh menambah tip ketika membuat tempahan untuk memberikan insentif tambahan kepada pemandu.

Bayaran boleh dibuat melalui tunai, kad kredit atau kad debit.

Insentif pemandu AirAsia Ride

Pemandu AirAsia Ride ditawarkan beberapa insentif menarik terutama membabitkan hasil pendapatan.

Ini kerana AirAsia Ride hanya mengenakan yuran 15 peratus kepada pemandu, lima peratus lebih rendah berbanding kadar syarikat lain.

Justeru, ia membolehkan pemandu menerima 85 peratus pendapatan daripada jumlah tambang penumpang.

Pihak syarikat juga tidak akan mendenda pemandu menolak perjalanan ditugaskan malah, memberi dorongan ganjaran berganda jika menerima lebih tugasan.

Terdapat pilihan pemandu untuk keselesaan penumpang. – Foto ihsan SoyaCincau

Terdapat lebih 1,500 rakan pemandu berdaftar dengan AirAsia Ride setakat ini dan jumlah itu dijangka bertambah sehingga mencecah 5,000.

Semua pemandu juga telah mendapatkan lesen PSV dan divaksin penuh.