Arkib Tag: pemandu lori

Steady! Ibu berusia 57 tahun pandu lori treler 18 tayar untuk sara anak-anak

KITA tahu kebanyakan pemandu lori besar adalah lelaki. Tetapi hari ini kami ingin kongsikan kisah seorang wanita berusia 57 tahun yang menggalas cabaran menjadi ‘pilot darat’.

Perkenalkan Rosalekka Salim, seorang ibu tunggal kepada dua orang anak lelaki. Beliau juga lebih mesra dipanggil sebagai ‘Kak Lori’.

Rosalekka sebelum ini seorang pekerja kilang selama 18 tahun, kini memandu lori treler 18 tayar, menghantar kontena dari Pelabuhan Pulau Pinang.

Beliau mambuat kira-kira 150 trip atau perjalanan setiap bulan, mengambil kontena dari kapal-kapal di Pelabuhan Pulau Pinang dan menghantarnya ke depot untuk dibaiki.

Menurut Rosalekka, menjadi seorang pemandu treler tidaklah sesukar yang digambarkan. Sebaliknya, kerjanya sebagai pekerja kilang lebih sukar.

“Kerja dulu lebih sukar dan membuatkan kita tertekan, lebih-lebih lagi bila bos marah, kini memandu treler lebih mudah dan boleh menjana pendapatan yang dikira lebih tinggi,” katanya kepada SAYS.com.

Oh ya, ada masa Rosalekka juga memandu dengan memakai baju kurung!

Mungkin ada yang tertanya berapa pendapatan Rosalekka. Menurutnya, dia tidak memperoleh gaji ‘basic’ atau pokok kerana jenis pekerjaannya itu. Sebaliknya, Rosalekka bekerja dalam waktu flexi, bermakna dia menjadi bosnya sendiri.

Pada 2017, Rosalekka memperoleh RM7,000 sebulan termasuk elaun makanan, komisen, dan bonus. Kerja waktu flexi juga membolehkannya mendapat lebih pendapatan dengan membuat lebih trip.

Ibu kepada dua anak lelaki itu berharap pekerjaannya mampu memberi inspirasi kepada generasi muda agar tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa masing-masing. Pada masa yang sama, berharap agar pekerjaan itu tidak mempunyai persepsi negatif oleh orang awam.

“Ramai graduan yang memilih untuk tidak bekerja, padahal ada banyak peluang pekerjaan termasuk pemandu lori. Cubalah, dan jangan terlalu bergantung dengan wang ibu bapa,” nasihatnya.

Sumber gambar: Facebook Rosalekka Salim, Instagram Rosalekka Salim

Pemandu lori lawan arus didapati mabuk, kini ditahan

PEMANDU lori yang memandu secara lawan arus di Kilometer 5.5 Lebuhraya Linkedua sehingga menyebabkan kemalangan dengan dua buah kereta petang semalam didapati berada di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 4:30 petang.

Katanya siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori berusia 41 tahun terbabit dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Gambar oleh tangkap layar dari video media sosial.

“Apabila tiba kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori terlepas susur ke PTP.

“Pemandu lori itu kemudian memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur PTP sebelum merempuh dua kereta iaitu Mercedes-Benz E250 dan Nissan Almera yang berada di laluan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Rahmat, pemandu Mercedes-Benz mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan.

“Pemandu lori ditahan dan didapati di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

KSM: Majikan bawa pekerja positif Covid-19 naik lori ditegur

TINDAKAN majikan membawa pekerja positif Covid-19 menaiki lori mendapat teguran Kementerian Sumber Manusia (KSM).

KSM dalam satu kenyataan berkata, majikan diminta menggunakan kenderaan sesuai bagi membawa pekerja yang dijangkiti Covid-19.

Jelas KSM, tindakan membawa pekerja positif Covid-19 menggunakan lori bukan sahaja membahayakan nyawa mereka malah, turut mengancam individu lain.

“KSM menggesa para majikan mengambil tindakan sewajarnya dalam membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja,” memetik kenyataan itu.

Sebelum ini, tular di media sosial foto sekumpulan pekerja warga asing dibawa menaiki lori.

Kesemua pekerja positif Covid-19 dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.

Polis mengesahkan 48 lelaki terbabit merupakan antara 135 pekerja kilang memproses ayam di Sungai Lalang, Sungai Petani.

Pemandu lori disaman kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana menggunakan Lesen Kenderaan Memandu (LKM) bagi tujuan lain.

Pihak pengurusan kilang disiasat mengikut Seksyen 22(a) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Pada masa sama, siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan apa-apa penyakit.

Terdahulu, KSM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap majikan yang melanggar undang-undang.

Warga emas lintas jalan, sikap pemandu lori tarik perhatian warga maya

SIKAP mulia ditunjukkan seorang pemandu lori dengan memberhentikan kenderaan bagi membantu lelaki warga emas melintas jalan di garisan zebra mendapat pujian ramai.

Menerusi video tular di media sosial, kejadian menyentuh hati itu dilaporkan berlaku di negara jiran, Singapura.

Rata-rata warga maya menyifatkan tindakan pemandu lori memberhentikan kenderaan di tengah kesibukan jalan raya bagi membantu warga emas tersebut sebagai satu tindakan mulia.

Selain itu, ada juga yang memuji sikap pengguna jalan raya lain yang turut sama memberhentikan kenderaan bagi memudahkan warga emas terbabit melintas jalan.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan identiti pemandu lori berhati mulia itu.

Bagaimanapun, kami di EnGear ingin meluahkan rasa kagum dengan sikap ditunjukkan pemandu lori dan pengguna jalan raya lain selain berharap ia menjadi inspirasi kepada semua pihak.

Pengajaran daripada kisah ini, tidak salah kalau kita melakukan kebaikan dan bertolak ansur di jalan raya.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.

Semoga kita terus aman dan berhemah di jalan raya!