Arkib Tag: pelancongan

Tourism Selangor umum pelan promosi pelancongan Tahun Melawat Selangor 2025

TOURISM Selangor telah mengumumkan pelan promosi pelancongan menuju ke Tahun Melawat Selangor 2025, juga dengan matlamat menjadikan Selangor sebagai negeri tumpuan pelancong.

Fokus utama bagi pelan promosi pelancongan negeri Selangor pada kali ini adalah dengan memperkenalkan segmen pelancongan fokus seperti pelancongan kesihatan.

Selangor memiliki jumlah hospital swasta terbanyak di Malaysia – sebanyak 20 buah – seperti yang telah direkodkan oleh Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC). Ini dijangka bakal menjadikan Selangor destinasi utama bagi segmen pelancongan kesihatan.

Anjung Utara negeri Selangor akan dipromosikan dengan lebih giat melalui pelancongan berasaskan komuniti dengan beberapa inisiatif seperti Hos Komuniti Selangor dan segmentasi pelancongan agro.

Sabak Bernam Development Area (SABDA) juga akan diaplikasikan dengan lebih giat bagi merancakkan ekonomi Negeri Selangor dan memperkasa komuniti tempatan.

Misi Jualan dan Jerayawara Pelancongan

Tourism Selangor juga akan meluaskan misi jualan di luar negara, terutamanya bagi pasaran tumpuan seperti ITB Berlin di Jerman, Pameran Pelancongan Antarabangsa Seoul 2024 di Korea Selatan, South Asia’s Travel & Tourism Exchange di Delhi, India, Malaysia Healthcare Expo di Medan, Indonesia, Forum Pelancongan ASEAN di Laos, Singapore Cruise Asia 2024, 11th Asia Pacific Geoparks Network 2024 @ Cao Bang UNESCO Global Geopark di Vietnam dan jerayawara pelancongan di China.

Berdasarkan kejayaan pada tahun 2021 dan 2022 dimana Selangor telah menerima jumlah pelawat domestik tertinggi selama 2 tahun berturut-turut, Tourism Selangor kekal optimistik dengan pertumbuhan pelancongan yang berterusan bagi tahun seterusnya.

Kempen “Pusing Selangor Dulu!” yang tertumpu kepada pasaran domestik akan mempamerkan pelbagai tarikan pelancongan Selangor melalui jerayawara interaktif di sekolah-sekolah dan negeri yang terpilih bagi mempamerkan keunikan pelancongan di negeri Selangor kepada para pelancong.

Acara dan Perayaan

Bagi segmen perayaan, Selangor akan menganjurkan lebih 100 acara dan program di kesemua sembilan daerah pada tahun ini, mempamerkan tarikan pelancongan yang pelbagai melalui 10 segmentasi pelancongan yang unik.

Segmen- segmen pelancongan yang terpilih akan memberikan peluang kepada para pengunjung untuk menerokai kekayaan budaya dan nilai warisan negeri Selangor.

Pelbagai acara bakal diadakan tahun ini seperti Wings of Kuala Kubu Bharu di Hulu Selangor, Pesta Kelaut Pantai Kelanang di Kuala Langat, PJ Half Marathon 2024 di Petaling Jaya, Selangor King of the Mountain di Hulu Selangor, Sate & Program Kopi Secocok Bersama 2.0 di Kajang, Pesta Sayap di Kuala Selangor, King of Kampung Kemensah di Gombak, Karnival Ban Kanal 2024 di Sabak Bernam dan Moto GP di Sepang.

Gombak Hulu Langat Geopark

Geopark Gombak Hulu Langat dijangka akan menerima pengiktirafan global daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menjelang tahun 2027.

Permatang Kuarza Gombak juga dijangka akan dibuka semula kepada orang ramai menjelang akhir tahun 2024.

Tourism Selangor menyasarkan lebih banyak program promosi akan dijalankan bagi mempamerkan nilai khazanah landskap geologi yang unik di Daerah Gombak dan Hulu Langat.

Geopark Gombak Hulu Langat merupakan kawasan Geopark pertama di Negeri Selangor, dengan keunikan geo-komuniti tempatan dan geo-makanan sebagai tarikan gastronomi Negeri Selangor.

Perodua bekerjasama dengan Tourism Malaysia untuk promosi sektor pelancongan negara

TOURISM Malaysia dan Perodua telah memeterai memorandum kerjasama (MoC) selama tiga tahun dari 2024 hingga 2026, bertujuan mempromosikan sektor pelancongan di negara ini.

Ia dibuat berlandaskan komitmen bersama untuk memajukan sektor pelancongan di Malaysia, memudahkan kebolehcapaian, dan meningkatkan pengalaman pelancong secara keseluruhan.

MoC ini juga bertujuan mencapai beberapa objektif penting yang boleh memberi manfaat kepada industri pelancongan serta ekonomi negara.

Kebolehcapaian dipertingkatkan

Perodua selaku jenama automotif terkemuka di Malaysia akan memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kebolehcapaian bagi pelancong domestik dan antarabangsa.

Pelancongan lestari

Kerjasama ini akan mempromosikan pilihan pelancongan mesra alam dan dalam masa yang sama mengurangkan impak pelancongan terhadap alam sekitar. Fokus Perodua terhadap kenderaan cekap tenaga juga adalah selari dengan visi ini.

Pertukaran budaya

Tourism Malaysia dan Perodua akan bersama-sama terbabit dalam program pertukaran budaya, yang akan membolehkan pelanocong menyelami kepelbagaian adat dan tradisi di negara ini.

Promosi dan pemasaran

Kerjasama ini akan menyaksikan dua organisasi ini akan berkongsi sumber mereka untuk memasarkan dan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terkemuka.

Usaha ini akan membabitkan kempen pengiklanan dan acara promosi selain memanfaatkan platform digital masing-masing untuk menarik khalayak global.

Pengalaman pelanggan

Daripada perkhidmatan pengangkutan kepada cadangan acara kebudayaan dan tempat menarik, pelancong dijangka merasai perjalanan yang lancar dan menyenangkan ke Malaysia.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Dr. Ammar Abd. Ghapar berkata: “Kerjasama kami ini menandakan komitmen bersepadu dalam menjadikan Malaysia negara yang menarik kepada pelancong.

“Dengan gabungan ini, kami boleh menyediakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh pelancong termasuklah merasai sendiri kecantikan, kepelbagaian dan kemesaraan negara kita,” tambahnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad pula berkata, “Bagi Perodua, kerjasama ini dan objektifnya adalah selari dengan inisiatif ‘mobiliti adalah gaya hidup’ kami.”

Menurut Zainal, menerusi MoC ini, Perodua boleh mengembangkan model perniagaan baharunya, khasnya langganan kenderaan, dan dalam masa yang sama mendapat maklum balas masa sebenar daripada pelancong asing mengenai pandangan mereka terhadap Perodua.

Pelancong Langkawi melalui jalan udara tidak perlu surat kebenaran polis – Menteri Kesihatan

MEREKA yang melancong ke Pulau Langkawi, Kedah menaiki penerbangan bermula 16 September ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada polis, kata Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan.

Sumber: Bernama

Dalam ciapan di Twitter, Khairy berkata hanya mereka yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri tersebut sahaja perlu berbuat demikian.

“Bagi program perintis pelancongan ‘travel bubble’ Langkawi, surat dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya diperlukan sekiranya pelancong melalui jalan darat,” katanya.

Pada 9 September, kerajaan mengumumkan kebenaran kepada pengunjung domestic dari seluruh negara untuk mengunjungi Langkawi, kecuali mereka yang berada di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Purau peranginan di utara tanah air yang dipilih sebagai destinasi pertama projek rintis program gelembung pelancongan itu adalah terhad kepada individu yang lengkap dos vaksin Covid-19.

AirAsia sedia kembali terbang, harap lebih banyak negara buka sempadan

KETUA Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes memberi jaminan pihaknya sedia kembali terbang dengan mempraktikkan langkah keselamatan tertinggi.

Jelasnya, kini semua kakitangan barisan hadapan AirAsia telah lengkap menerima suntikan vaksin penuh.

Hal ini kerana AirAsia mewajibkan semua kakitangan termasuk juruterbang, kru kabin dan pasukan bahagian operasi menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kami mewajibkan semua kakitangan barisan hadapan seperti juruterbang, kru kabin dan kakitangan lapangan terbang divaksin sepenuhnya,” katanya.

Fernandes percaya pihaknya kini bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dengan memastikan tahap keselamatan berada di paras tertinggi. – Foto ihsan Malay Mail

AirAsia memberi jaminan keselamatan terhadap semua penumpangnya dengan melaksanakan protokol kesihatan dan kebersihan yang ketat.

Setakat ini, lebih daripada 50 negara seluruh dunia telah mula membuka pintu kepada para pelancong yang telah divaksin.

Justeru, Fernandes berharap lebih banyak negara memberi kelonggaran sekatan perjalanan kepada pelancong yang lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Kemelut pandemik ini semakin jelas menuju penghujungnya dan saya yakin kita akan dapat kembali terbang dalam beberapa minggu lagi.

“Apa yang paling penting, kami telah bersiap sedia sepenuhnya untuk berlepas,” katanya lagi.

AirAsia antara syarikat penerbangan pertama dunia menerima pengiktirafan tertinggi 7/7 berikutan langkah keselamatan Covid-19 yang dilaksanakan sejak pandemik bermula.

Pengiktirafan diperoleh daripada pakar penerbangan di Airlineratings.com.

Berikut merupakan antara prosedur penumpang dikeluarkan AirAsia:

  • Penumpang digalakkan mendaftar masuk secara kendiri menerusi platform dalam talian
  • Penumpang digalakkan melakukan pembayaran secara digital dan menggunakan pas masuk elektronik
  • Penumpang mengesahkan dokumen perubatan dan kesihatan secara automatik dalam talian sebelum menuju lapangan terbang
  • Penumpang perlu melalui proses pengecaman wajah biometrik di lapangan terbang dalam tempoh terdekat