Arkib Tag: panggilan semula

Pemilik Audi A4, A5, A6, Q5, TT, R8 diingatkan tukar beg udara Takata

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah mengeluarkan notis peringatan kepada pemilik Audi untuk segera memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat dengan program panggilan semula yang sedang dijalankan sekarang.

Panggilan semula itu melibatkan 2,297 unit kenderaan, terdiri daripada Q5, A5 Cabriolet dan A5 Sportback yang dihasilkan di antara tahun 2009 dan 2012.

Turut terlibat adalah model TT dan R8 yang dikilangkan bermula tahun 2014 hingga 2017 yang mana beg udara Takata dipasang pada bahagian pemandu.

Program ini juga merangkumi beg udara Takata untuk penumpang hadapan pada A4, A4 Cabriolet dan A6 yang dihasilkan di antara tahun 2005 dan 2011. Setakat ini, tahap penukaran hanyalah 25% iaitu 569 unit daripada jumlah keseluruhan.

Menurut Takata, penjana gas pada beg udara hadapan yang terjejas mungkin pecah apabila beg udara diaktifkan semasa kemalangan jika propelan di dalamnya menunjukkan tanda-tanda dimakan usia berikutan kesan keadaan sekeliling yang ekstrem.

Akibatnya, serpihan-serpihan besi penjana gas boleh masuk ke dalam kabin dan mendatangkan kecederaan parah kepada penumpang.

Justeru, pemilik dinasihatkan supaya memeriksa dan menggantikan beg udara itu secepat mungkin di pusat
servis Audi bagi memastikan kenderaan dapat berfungsi pada standard keselamatan terbaik.

Bergantung kepada pemasangan beg udara Takata dan model kereta, komponen bahan dorong atau modul penuh pemacu beg udara terbabit perlu diganti tanpa sebarang kos. Sebagai tanda penghargaan, para pemilik akan menerima pemeriksaan 20 poin secara percuma.

Pelanggan boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat di laman web Audi dengan memasukkan Nombor Pengenalan Kenderaan (Vehicle Identification Number, VIN) yang boleh didapati pada bahagian bawah kiri cermin utama.

Selain itu, pemilik boleh menghubungi Audi Customer Service di talian 1-800-22-2834, emel ke info@phsautomotive.com.my atau kunjungi mana-mana Audi Centre terdekat dan dapatkan temu janji untuk pemeriksaan percuma dan penggantian jika perlu.

PHSAM panggil semula 2,767 unit kenderaan Audi

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah mengumumkan panggilan semula sukarela ke atas 2,767 unit kenderaan Audi.

Ia melibatkan model-model seperti Audi A4 Sedan, A5 Sportback, A6 Sedan, Q5 dan TT Coupe yang dikilangkan di antara tahun 2008 hingga 2017 yang dipasang dengan beg udara Takata atau generator gas pada beg udara bahagian pemandu, penumpang dan tirai.

Berdasarkan kemas kini terbaharu daripada pengeluar, wujud kemungkinan perumah generator gas tersebut itu rosak sekiranya beg udara diaktifkan. Ini akan menyebabkan serpihan kecil melayang daripada perumah tersebut dan boleh mengakibatkan risiko keselamatan yang serius.

PHSAM menggesa pemilik yang terlibat supaya menghubungi pusat Audi Centre berhampiran untuk mendapatkan temu janji pemeriksaan serta penggantian jika perlu terhadap beg udara dan alat ganti berkaitan secepat mungkin.

“Di Audi, keselamatan menjadi keutamaan kami. Ia akan terus menjadi salah satu faktor penting dalam usaha berterusan kami untuk menambah baik aspek perkhidmatan selepas jualan. Kami mengenal pasti bahawa antara sebab utama pelanggan memilih Audi adalah kerana prestasi dan ciri keselamatannya. Jadi, standard tinggi ini akan kami laksanakan dengan penuh bertanggungjawab,” kata Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter.

Honda Malaysia panggil semula City Hybrid dan Civic – melibatkan 702 unit

HONDA Malaysia hari ini mengumumkan panggilan semula (recall) produk proaktif untuk dua model keluarannya iaitu City Hybrid dan Civic sebagai langkah keselamatan berjaga-jaga.

Kempen panggilan semula ini melibatkan 630 unit City Hybrid model tahun 2021 dan 72 unit Civic model tahun 2022.

Untuk City Hybrid, pihak Honda Malaysia akan menggantikan kamera sistem bantuan pemandu (ADAS) yang dipasang pada cermin penghadang angin depan. Menurut syarikat itu, kamera tersebut mungkin tidak beroperasi dengan betul dan menyebabkan ADAS tidak aktif semasa memandu.

Sementara itu, Civic dipanggil semula untuk membetulkan titik kimpalan pada paras gelongsor tempat duduk pemandu. Ini boleh menyebabkan tempat duduk pemandu tidak berada pada kedudukannya semasa memandu dan boleh menjejaskan perlindungan tali pinggang keledar untuk pemandu.

“Honda Malaysia memohon maaf atas kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas dan memberi jaminan bahawa semua model pengeluaran dan penjualan semasa yang lain tidak terjejas dengan panggilan semula produk ini,” kata Honda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Honda City Sedan RS

Setakat hari ini, tiada insiden kemalangan atau kecederaan yang disebabkan oleh isu ini dilaporkan di Malaysia.

Menurut syarikat itu lagi, panggilan semula ini perlu kerana keselamatan pengguna adalah keutamaan mereka.

Semua pelanggan terjejas akan dimaklumkan menerusi surat yang akan menyertakan butiran mengenai panggilan semula produk.

Honda Malaysia menggesa semua pelanggan terjejas untuk menghubungi mana-mana pengedar sah Honda untuk membuat janji temu selepas menerima surat pemberitahuan bagi membolehkan kenderaan mereka diperiksa dan dibaiki jika perlu, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

Pelanggan juga digalakkan untuk memuat turun dan mengemas kini maklumat mereka menerusi aplikasi mudah alih HondaTouch untuk pengesahan lanjut.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian bebas tol Honda Malaysia di 1-800-88-2020 atau layari productrecall.honda.com.my.