Arkib Tag: Nissan GT-R

Nissan GT-R 2025, ‘Godzilla’ ICE terakhir yang takkan dibawa masuk oleh ETCM

Jika anda perasan, Nissan Malaysia di bawah naungan Edaran Tan Chong Motor mula memperlahankan rentak mereka sejak kebelakangan ini.

Tiada lagi model-model baharu dilancarkan, malah beberapa model SUV yang dijanjikan sebelum ini masih lagi belum menunjukkan bayang di tanah air Malaysia.

Di pasaran Jepun, Nissan baharu sahaja melancarkan kemaskini untuk model berprestasi tinggi GT-R 2025, dan difahamkan ia mungkin akan menjadi model terakhir R35 sebelum ditamatkan produksinya kelak.

 

 

Versi yang dikemaskini ini membawakan kemasan luaran yang hampir sama dengan model facelift tahun lepas.

Untuk varian GT-R Premium Edition ia kini didatangkan dengan opsyen kemasan upholsteri Blue Heaven pada ruang kabin yang tampak klasik itu.

Antara perubahan ‘terbesar’ yang dibawakan ialah penggunaan komponen enjin eksklusif yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk Nismo Special Edition.

 

 

Terima kasih kepada penggunaan komponen Nismo seperti cincin omboh, rod penyambung dan aci engkol yang telah diseimbangkan beratnya, enjin 3.8 liter turbo berkembar V6 pada Nissan GT-R Premium Edition T-Spec dan Track Edition mampu menawarkan putaran enjin serta turbo spooling yang lebih pantas.

Kuasa kuda masih lagi sama, iaitu 565 hp pada model standard, dan 600 hp untuk model Nismo.

 

Disebalik perubahan yang kecil itu, harga jualan Nissan GT-R 2025 kini jauh lebih mahal, bermula dari ¥14,443,000 (~RM457,361) untuk versi standard, hinggalah ¥30,613,000 (~RM969,411) untuk versi GT-R Nismo Special Edition.

Bagaimana pula dengan GT-R masa depan?

 

 

Jika anda masih ingat, di Japan Mobility Show hujung tahun lepas Nissan telah memperlihatkan sebuah model konsep Hyper Force berkuasa elektrik sepenuh masa.

Biarpun dengan rupa paras yang terlalu agresif untuk sebuah supercar, Nissan GT-R “R36” itu dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 1,341 hp dengan sistem pacuan semua roda e-4ORCE, serta dua mod pemanduan iaitu GT (grand touring) dan R (racing).

Apapun, Nissan GT-R 2025 yang baru dilancarkan di Jepun itu berkemungkinan besar hanya akan muncul di pasaran Malaysia menerusi saluran pihak ketiga, itu pun jika wujud permintaan.

Nissan GT-R 2025

 

Nissan Hyper Force Concept

Kerja pemandu e-hailing boleh beli Nissan GT-R? Lelaki ini buktikan ia tidak mustahil

DENGAN harga yang bermula dari ratusan ribu ringgit untuk unit terpakai dan jutaan ringgit untuk unit baru, Nissan GT-R bukanlah sebuah kereta yang boleh dikategorikan sebagai ‘mampu milik’.

Malah, kos penjagaannya juga amat tinggi dan ini menyebabkan GT-R hanya mampu dimiliki oleh mereka yang benar-benar berduit.

Bagaimanapun, dalam satu video yang dimuat naik oleh pemilik akaun TikTok @koocester, seorang lelaki dari Singapura membuktikan bahawa memiliki supercar bergelar Godzilla itu bukanlah sesuatu yang mustahil walaupun hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Ketika ditanya mengenai pekerjaannya, pemandu berbaju T hitam itu dengan tenang menjawab beliau hanyalah seorang pemandu Grab dan Lalamove.

Apabila disoal bagaimana beliau mampu membeli sebuah GT-R pula, pemuda itu berkata beliau berjimat cermat.

@koocesterAs a former pandarider, it is possible! Respect the hustle!♬ original sound – Koocester

Beliau juga sempat memberi nasihat kepada golongan muda supaya rajin menyimpan, elakkan berboros, berbelanja dengan bijak dan juga berkongsi rezeki bersama ibu bapa.

Menerusi komen yang ditinggalkan, rata-rata netizen seakan tidak percaya bahawa pemuda itu hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing. Tidak kurang juga ada yang mengatakan beliau mungkin salah seorang pengasas Lalamove atau mempunyai saham di syarikat tersebut.

Anda sebagai pembaca boleh memilih untuk mempercayainya atau tidak, namun tidak boleh dinafikan bahawa nasihat yang diberikan itu memang benar.