Arkib Tag: Ninja

Modenas lancar Ninja ZX-25RR Februari ini

Pelancaran Modenas Ninja ZX-25R SE untuk pasaran tempatan sekitar September tahun lalu sememangnya mendapat sambutan menggalakkan. 

Motosikal tersebut bingkas menarik minat pembeli di Malaysia terutamanya mereka yang mahukan prestasi jentera berkuasa tinggi tanpa perlu menaik taraf lesen B2 kepada B (full). 

Bagaimanapun, Modenas bakal menghadirkan berita gembira bagi motosikal empat dapur itu apabila dikatakan bakal memperkenalkan varian tertinggi menerusi Ninja ZX-25RR pada bulan Februari ini.

Meskipun Ninja ZX-25RR berkongsi komponen sama dengan Ninja ZX_25R SE namun perbezaan utama terarah kepada kelengkapan monoshock belakang yang dilengkapi Showa BFRC (Balance Free Rear Cushion) boleh laras sepenuhnya. 

Monoshock premium tersebut merupakan komponen sama yang diguna pakai pada ‘abang besar’ , Ninja ZX-10R.

 

Sementara itu, versi RR kekal dikuasakan enjin 249.8cc empat silinder yang sama terdapat pada varian SE dan menghasilkan 51hp (dengan Ram-Air) dan 22.9Nm. 

Soal harga, sudah tentunya kami menjangkakan perbezaan antara RM2,000 hingga RM3,000 (sekadar jangkaan). 

Warna dan grafik baharu untuk Modenas Kawasaki Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X

Edaran Modenas Sdn Bhd  mengumumkan warna dan grafik baharu untuk barisan model di Malaysia, iaitu Z250 ABS, Z650, Versys 1000 SE, Ninja 1000 SE, KX250, KX250X.

Z250 ABS

Z250 mendapat warna Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony Frame Golden Blazed Green, dijual pada harga RM20,600.

Z650 ABS

Bagi Z650 ABS, ia ditawarkan dengan kombinasi warna Candy Persimmon Red/Noble Frame Metallic Red/Wheel Metallic Persimmon Red. Harga adalah RM35,900.

Versys 1000 SE

Versys 1000 SE pula kini hadir dengan warna Phantom Silver/Metallic Diablo Black, berharga RM81,900.

ZX1000 SE

Seterusnya merupakan Ninja ZX1000 SE, yang kini mendapat warna Emerald Blazed Green/Metallic Diablo Black/Metallic Graphite Grey. Superbike ini ditawarkan pada harga RM71,400.

KX250 dan KX250X

Akhir sekali adalah duo KX250 dan KX250X, dimana masing-masing hadir dengan warna Lime Green. KX250 berharga RM35,000 manakala KX250X RM35,500.

Kesemua model dengan warna baharu ini adalah bagi tahun 2024, dan setiap satu mengekalkan kelengkapan serta prestasi yang ditawarkan model semasa. Dengan pengenalan warna-warna baharu ini juga, warna lama akan ditamatkan penawarannya.

Kawasaki ZX-25R kini di Malaysia! Dua warna, RM33,900

INI dia satu motosikal yang dinanti-nanti ramai peminat sportbike, Kawasaki Ninja ZX-25R telah secara rasmi dilancar di Malaysia.

Dibawakan secara rasmi oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), ZX-25R ditawarkan pada harga RM33,900 dan hadir dengan dua warna – Metallic Matte Graphensteel Gray dan Lime Green.

Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8cc 4-silinder sebaris yang menghasilkan 47hp pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dengan Quickshifter dan Assist & Slipper Clutch.

Dari segi dimensi, sportbike ini mempunyai panjang 1,980mm, lebar 750mm, dan tinggi 1,100mm serta jarak roda 1,380mm. Ia mempunyai tinggi tempat duduk 785mm, berat 184kg dan kapasiti tangki bahan api 15 liter.

Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Ini harga rasmi untuk Ninja ZX-25R – Bermula RM33,900, enjin 250cc dengan 51hp/22.9Nm

SELEPAS dibuka untuk tempahan baru-baru ini, Kawasaki Ninja ZX-25R akhirnya rasmi memasuki pasaran Malaysia.

Dibawakan oleh Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), sportbike itu ditawarkan pada harga bermula RM33,900 untuk ZX-25R SE.

Motosikal ini menampilkan nadi empat-silinder 249.8cc dengan output 51hp pada 15,500rpm dan 22.9Nm tork pada 14,000rpm, menjadikannya model paling berkuasa dalam segmennya.

Kuasa dihantar ke roda belakang melalui kotak gear 6-kelajuan dengan quickshifter dan klac slipper & assist sebagai standard.

Selain itu, Ninja ZX-25R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Mode, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Untuk pasaran Malaysia, Ninja ZX-25R SE ditawarkan dengan dua warna iaitu Lime Green/Ebony dan Metallic Matte Graphenesteel Grey/Ebony.

Belum ada harga untuk ZX-25RR iaitu varian lebih sporty. Ia dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Kawasaki Ninja ZX-25R akhirnya dibuka untuk tempahan di Malaysia

PENGEDAR rasmi motosikal Kawasaki di Malaysia iaitu Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mengumumkan bahawa tempahan untuk Kawasaki Ninja ZX-25R telah pun dibuka.

Harga jualan masih belum diumumkan namun menurut laporan media tempatan, model sportbike ini akan dilancarkan secara rasmi pada September tahun ini.

Untuk pasaran tempatan, Ninja ZX-25R akan ditawarkan dalam dua versi iaitu SE dan RR. Sebagai model varian lebih sporty, RR dilengkapi dengan fork jenis Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 37 mm pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock Showa BFRC pada bahagian belakang.

Untuk enjin, kedua-dua versi dikuasakan oleh enjin 249.8 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 51 PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm pada 14,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan teknologi quickshifter dan klac slipper & assist.

Selain itu, Ninja ZX25-R juga didatangkan dengan panel instrumen TFT, Kawasaki Traction Control (KTRC), Power Modes, serta brek cakera berukuran 310 mm dengan angkup monobloc empat piston di hadapan dan cakera 210 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Kawasaki Ninja ZX-6R dapat kemaskini menyeluruh untuk 2024

SEGMEN motosikal supersport mungkin tidak serancak segmen-segmen lain namun ia tidaklah ‘mati’ sepenuhnya. Kawasaki, salah satu pengeluar yang masih bersaing dalam pasaran ini, baru-baru ini telah mengemaskini Ninja ZX-6R bagi model tahun 2024.

Dari segi penampilan, ZX-6R mendapat ‘wajah’ baharu menerusi cowling depan dan lampu LED yang direka semula, serta cermin penghadang angin yang lebih rendah. Tidak seperti sebelum ini, bahagian di sekeliling RAM Air Intake dicat sepenuhnya.

Jentera ini masih lagi dikuasakan oleh enjin DOHC 636 cc empat silinder sebaris cuma cam profile-nya telah dikemas kini untuk mendapatkan prestasi rpm julat rendah yang lebih baik dan membantu mematuhi piawaian emisi yang lebih ketat.

Selain itu, Kawasaki turut menala semula penyuntik untuk pengabusan (atomisation) bahan api yang lebih tepat dan mereka bentuk semula corong kemasukan kotak udara untuk meningkatkan pecutan pada rpm julat pertengahan.

Satu lagi penambahbaikan yang telah dilakukan adalah pada sistem ekzos. Menurut syarikat itu, paip header kini mempunyai susun atur baharu untuk mencapai emisi yang lebih bersih serta meningkatkan respon dari sensor O2.

Sistem suspensi terdiri daripada Showa Separate Function Fork—Big Piston (SFF-BP) pada bahagian depan dan penyerap hentak Showa dengan fungsi pelarasan sepenuhnya pada bahagian belakang.

Untuk kuasa membrek, ZX-6R menggunakan cakera berkembar 310 mm dengan angkup monobloc empat piston pada bahagian depan. Bahagian belakang pula dilengkapi dengan cakera 220 mm dan angkup tunggal. Tayar yang digunakan adalah jenis Pirelli Diablo Rosso IV.

Sistem elektronik juga telah dipertingkatkan menerusi penambahan Kawasaki Intelligent Anti-Lock Brake System (KIBS) dan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain. Ciri-ciri seperti Kawasaki TRaction Control (KTRC), Power Mode Selection dan Quickshifter masih tersedia seperti sebelum ini.

Sistem-sistem ini boleh diakses menerusi paparan TFT berwarna 4.3 inci baharu yang turut memuatkan speedometer digital, tachomoter jenis bar, posisi gear, lampu penukaran gear, tolok bahan api, meter perjalanan, kadar penggunaan bahan api dan pelbagai lagi.

Bukan itu sahaja, penunggang kini boleh menyambungkan telefon pintar mereka menerusi Bluetooth dan menggunakan aplikasi Rideology untuk mengakses fungsi-fungsi seperti info kenderaan, log tunggangan dan panggilan.

Di Amerika Syarikat, harga jualan Ninja ZX-6R bermula dari USD11,299 (RM52,173) hingga USD12,299 (RM56,790).

Ini dia Kawasaki Ninja ZX-4R, ada versi SE dan RR, suspensi Showa, quickshifter dan bermacam lagi

KAWASAKI secara rasminya telah memperkenalkan penawaran terbarunya dalam segmen super sport iaitu Ninja ZX-4R. Selain varian standard, barisan jentera berprestasi tinggi saiz pertengahan ini terdiri daripada varian SE dan RR.

Tidak seperti Ninja 400 yang dikuasakan oleh enjin silinder berkembar, Ninja ZX-4R mempunyai enjin empat silinder sebaris serba baharu yang mampu menjana kuasa maksimum 77 PS atau 80 PS jika sistem ambilan udara (ram air intake) diberi tekanan.

Enjin DOHC bersesaran 399 cc itu dikatakan mampu menawarkan daya kilas yang kuat pada julat rpm rendah dan pertengahan, selain kuasa yang tinggi pada rpm tinggi (redline 15,000 rpm), menjadikannya sesuai untuk tunggangan harian dan juga untuk beraksi di litar.

Untuk casis, ZX-4R menampilkan kerangka trellis dan lengan ayun melengkung untuk mencapai nisbah berat depan-belakang yang ideal dan kestabilan. Ia dilengkapi dengan fork Showa SFF-BP dan suspensi jenis back-link, berserta ciri pelarasan pramuatan pada SE dan RR.

Bukan itu sahaja, versi RR turut mendapat penyerap hentak belakang Showa BFRC-lite yang turut digunakan oleh Ninja ZX-10R.

Ukuran dimensinya adalah 1,990 mm panjang, 765 mm lebar dan 1,110 mm tinggi, dengan tapak roda 1,380 mm. Ketinggian tempat duduk adalah 800 mm, manakala kapasiti tangki minyak adalah 15 liter. Ia mempunyai berat sekitar 188 kg hingga 189 kg.

Kuasa membrek pada bahagian hadapan dibekalkan oleh cakera separa-terapung berkembar berukuran 290 mm dan angkup monobloc, manakala untuk bahagian belakang pula, motosikal ini menggunakan cakera tunggal 220 mm.

Untuk sistem elektronik pula, ZX-4R didatangkan dengan Kawasaki Traction Control (KTRC) dan empat mod tunggangan iaitu Sport, Road, Rain dan Rider. Turut terdapat pada SE dan RR adalah Kawasaki Quick Shifter (KQS) yang membolehkan penunggang menaikkan atau menurunkan gear tanpa klac.

Ciri-ciri lain yang disertakan pada ZX-4R termasuklah lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, dan panel meter LCD berukuran 4.3 inci. Panel ini mempunyai mod litar yang memaparkan masa lap, posisi gear dan meter RPM dari 10,000 rpm.

Harga serta tarikh pelancaran masih belum diumumkan, namun model ini dijangka memasuki pasaran Eropah pada musim luruh tahun ini.

Modenas Z250 dan Ninja 250 ABS terima 5-bintang dari MIROS

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat MODENAS menerima penarafan lima bintang daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi model Ninja 250 ABS dan Z250 ABS.

Penarafan itu diberikan selepas kedua-dua motosikal itu menjalani ujian di bawah Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).

Selain Anti-lock Braking System (ABS), kedua-dua model tersebut berkongsi teknologi keselamatan tambahan seperti klac ‘assist and slipper’, penunjuk tunggangan ekonomi serta Argo Fit bagi pengurusan casis ringan yang lebih efektif.

Dengan itu, MyMAP secara rasmi memberi penarafan lima bintang kepada kedua-dua model ini sejurus proses penilaian dan audit yang telah dilalui MODENAS pada Oktober 2022 lalu.

Program MyMAP merupakan sebuah usaha terus kerajaan untuk menaik taraf tahap keselamatan motosikal di Malaysia dengan mengintegerasi teknologi dan fungsi keselamatan baharu pada motosikal berkapasiti rendah.

Dan dalam masa yang sama, untuk mendidik pengguna untuk mempraktikan tunggangan selamat sebagai pencegahan kemalangan.

Program MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) yang turut mempunyai sistem penilaian yang sama seperti NCAP.

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS berkata, “Kami di MODENAS amat berbangga dengan pengiktirafan yang telah dianugerahkan pada kedua-dua model Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 versi ABS.

“Kedua-dua model ini merupakan motosikal pertama yang menerima penarafan 5 bintang MyMAP bagi segmen Naked Bike dan Sports Bike bersasaran 250cc.

“Dengan itu, kami amat berharap para pembeli akan lebih cakna dalam membuat keputusan ketika membeli motosikal dana lebih mementingkan teknologi keselamatan yang ditawarkan pada setiap motosikal mereka.”

Modenas Ninja 250 kini dengan Ohlins Edition – RM20,500, terhad 180 unit

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), anak syarikat kepada MODENAS hari ini membawakan Ninja 250, tetapi dengan Ohlins Edition.

Seperti pada namanya, Ninja 250 ini hadir dilengkapi dengan suspensi Ohlins, menjadikannya satu-satunya model dalam segmen 250cc di negara ini dengan ciri tersebut.

Suspensi Ohlins ini walaubagaimanapun hanya di belakang, dan menurut MODENAS, mampu memberikan kestabilan lebih baik.

“Motosikal akan lebih stabil terutamanya ketika memasuki selekoh. Walaupun penunggang memulas pendikit minyak atau brek mengejut semasa selekoh di kawasan yang tidak rata, motosikal itu tetap stabil,” kata Roslan Roskan Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.

Suspensi Ohlins KA 744, STX 36 Supersport pada Ninja ini merupakan unit boleh-laras dan menerima jaminan penuh dari kilang selama dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Ianya unit tiub tunggal berdiameter 36mm dan dengan gas berketekanan tinggi. Ia menampilkan ciri pelarasan untuk rebound dan compression, dengan panjang keseluruhan 320mm.

Tiada perubahan lain pada sportbike ini, ia berasaskan model Ninja 250 ABS yang dikuasakan oleh enjin 249cc dua-silinder sebaris dengan output 37hp pada 12,500rpm dan 23Nm tork pada 10,000rpm.

Ia boleh didapati dengan satu warna khas iaitu Metallic Carbon Gray, dan dijual pada harga RM20,500. Model ini juga terhad kepada 180 unit sahaja.

Warna baharu Ninja ZX-25R di Indonesia, Malaysia masih jadi ‘penonton’

KAWASAKI meneruskan usaha ‘menawan’ pasaran permotoran negara jiran Indonesia dengan memperkenalkan pilihan warna baharu bagi model Ninja ZX-25R.

Lima warna baharu termasuk Lime Green, Passion Red, Metallic Matte Graphene, Steel Grey dan Metallic Spark Black.

Bagaimanapun, Kawasaki mengumumkan tiada perubahan terhadap komponen lain termasuk enjin.

Ninja ZX-25R memiliki enjin empat silinder DOHC 249.8 cc dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Pada masa sama, model ini turut didatangkan dengan quickshifter sekaligus memberi kepuasan tunggangan menyeluruh.

Mengikut spesifikasi oleh Kawasaki, model ini mampu menghasilkan kuasa 51PS pada 15,500 rpm dan 22.9 Nm tork pada 14,500 rpm.

Selain itu, antara spesifikasi menarik ada pada ZX-25R termasuk sistem mod tunggangan full dan low, cengkaman KTRC dan throttle valve elektronik.

Model Kawasaki Ninja ZX-25R menggunakan tayar bersaiz 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. – Foto ihsan Kawasaki Indonesia

Keistimewaan lain Ninja ZX-25R

Model Ninja ZX-25R direka bagi tunggangan sporty sama seperti ‘saudaranya’ yang lain iaitu ZX-6R dan ZX-10R.

Sistem brek pula menggunakan unit cakera tunggal 310 mm berserta angkup monoblock di hadapan dan cakera 220 mm di belakang.

Berikut antara perincian lain mengenai Ninja ZX-25R:_

• Penggunaan suspensi USD SFF-BP 37mm
• Monoshock Horizontal Back-link
• Berat keseluruhan 182 kilogram
• Tangki bahan api 15 liter

Setakat ini, masih belum ada tanda bahawa model ini akan memasuki pasaran Malaysia.

Hanya untuk pengetahuan anda, harga sebuah Ninja ZX-25R dijual pada harga bermula 98.95 juta rupiah atau bersamaan RM28,582 bagi varian asas.

Bagi model SE dan ABS, ia boleh mencecah sehingga 116 juta rupiah atau RM33,540.