fbpx

Ini dia Kawasaki Ninja ZX-4R, ada versi SE dan RR, suspensi Showa, quickshifter dan bermacam lagi

Kawasaki Ninja ZX-4RR 02

KAWASAKI secara rasminya telah memperkenalkan penawaran terbarunya dalam segmen super sport iaitu Ninja ZX-4R. Selain varian standard, barisan jentera berprestasi tinggi saiz pertengahan ini terdiri daripada varian SE dan RR.

Tidak seperti Ninja 400 yang dikuasakan oleh enjin silinder berkembar, Ninja ZX-4R mempunyai enjin empat silinder sebaris serba baharu yang mampu menjana kuasa maksimum 77 PS atau 80 PS jika sistem ambilan udara (ram air intake) diberi tekanan.

Enjin DOHC bersesaran 399 cc itu dikatakan mampu menawarkan daya kilas yang kuat pada julat rpm rendah dan pertengahan, selain kuasa yang tinggi pada rpm tinggi (redline 15,000 rpm), menjadikannya sesuai untuk tunggangan harian dan juga untuk beraksi di litar.

Untuk casis, ZX-4R menampilkan kerangka trellis dan lengan ayun melengkung untuk mencapai nisbah berat depan-belakang yang ideal dan kestabilan. Ia dilengkapi dengan fork Showa SFF-BP dan suspensi jenis back-link, berserta ciri pelarasan pramuatan pada SE dan RR.

Bukan itu sahaja, versi RR turut mendapat penyerap hentak belakang Showa BFRC-lite yang turut digunakan oleh Ninja ZX-10R.

Ukuran dimensinya adalah 1,990 mm panjang, 765 mm lebar dan 1,110 mm tinggi, dengan tapak roda 1,380 mm. Ketinggian tempat duduk adalah 800 mm, manakala kapasiti tangki minyak adalah 15 liter. Ia mempunyai berat sekitar 188 kg hingga 189 kg.

Kuasa membrek pada bahagian hadapan dibekalkan oleh cakera separa-terapung berkembar berukuran 290 mm dan angkup monobloc, manakala untuk bahagian belakang pula, motosikal ini menggunakan cakera tunggal 220 mm.

Untuk sistem elektronik pula, ZX-4R didatangkan dengan Kawasaki Traction Control (KTRC) dan empat mod tunggangan iaitu Sport, Road, Rain dan Rider. Turut terdapat pada SE dan RR adalah Kawasaki Quick Shifter (KQS) yang membolehkan penunggang menaikkan atau menurunkan gear tanpa klac.

Ciri-ciri lain yang disertakan pada ZX-4R termasuklah lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang, dan panel meter LCD berukuran 4.3 inci. Panel ini mempunyai mod litar yang memaparkan masa lap, posisi gear dan meter RPM dari 10,000 rpm.

Harga serta tarikh pelancaran masih belum diumumkan, namun model ini dijangka memasuki pasaran Eropah pada musim luruh tahun ini.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved