Arkib Tag: Netflix

Netflix bakal tayang siri dokumentari juara F1 Ayrton Senna

Sukan berprestij Formula Satu nampaknya telah berjaya menarik minat golongan pengikut baharu (terutama di Amerika Syarikat) selepas siri dokumentari Drive to Survive ditayangkan di Netflix sejak tahun 2019.

Terkini, Netflix dilapor bakal menerbitkan siri dokumentari mini enam episod berkisarkan kisah hidup juara F1 dari Brazil, Ayrton Senna yang bakal ditayangkan pada tahun ini.

 

 

Berdasarkan trailer acah yang disiarkan, dokumentari Senna itu bakal mengisahkan kerjaya Ayrton Senna sebagai pelumba F1, kehidupan serta hubungan dalam dunia sebenar.

Trailer itu turut memaparkan kesukaran yang dialami oleh Ayrton Senna dalam usaha untuk membawa pulang kejayaan semasa GP Brazil pada tahun 1991, selain mengimbas kembali sejarah penglibatan beliau dalam dunia perlumbaan sejak usia muda.

 

 

Dokumentari Senna ini bakal dibintangi oleh Gabriel Leone sebagai Senna, Pâmela Tomé (teman wanita Senna), serta beberapa bintang antarabangsa yang bakal membawakan watak penting seperti Niki Lauda, James Hunt dan Osamu Goto.

Untuk makluman, Ayrton Senna juga merupakan antara individu yang bertanggungjawab dalam menyempurnakan karakteristik pemanduan kereta sports berenjin tengah Honda NSX generasi pertama.

 

Hot Wheels lancar siri Netflix Let’s Race, bawa pengalaman unik di IOI City Mall

HOT Wheels telah melancarkan Hot Wheels Let’s Race, sebuah siri animasi kanak-kanak terbitan Mattel Television Studios secara global.

Diinspirasikan oleh Hot Wheels, jenama permainan nombor satu di dunia, siri animasi Hot Wheels Let’s Race ini merupakan sebuah siri komedi penuh aksi untuk kanak-kanak yang menggabungkan kenderaan-kenderaan luar biasa, watak-watak yang penuh aksi, perlumbaan, cabaran, dan banyak lagi.

Serentak dengan pelancaran ini, Hot Wheels membawakan unsur-unsur dari siri tersebut di IOI City Mall.

Siri Let’s Race ini memaparkan tentang sekumpulan pelumba generasi baru: Coop, Spark, Mac, Brights, Axle, dan Sidecar menyertai sebuah kem perlumbaan yang sentiasa menguji kemahiran pemanduan mereka,” ujar Encik Murat Ariksoy, Pengurus Besar Mattel Asia Selatan.

“Hot Wheels Let’s Race merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan bagi kami di Mattel. Kami berharap semua peminat ternanti-nanti akan kemunculan babak-babak yang penuh aksi dan perlumbaan yang mencemaskan menjadi kenyataan,” tambahnya.

Mattel telah mendedahkan rangkaian produk Hot Wheels yang menampilkan kenderaan, latar set, dan jalan cerita siri animasi tersebut.

Anda boleh membawa pulang aksi siri Let’s Race ke rumah dengan membeli set Hot Wheels seperti Ultimate T-Rex Transporter, Ultimate Garage, City Downtown Ice-Cream Shop, City Nemesis Bat vs. Tire Shop, City Pizza Slam Cobra Attack, Action Hyper Loop Extreme dan pelbagai lagi.

Selain itu, sebuah Kejuaraan Perlumbaan Ultimate Hot Wheels telah diadakan. Peringkat kelayakan telah bermula dari 15 Februari sehingga 3 Mac yang berlangsung di lokasi-lokasi yang terpilih seluruh Malaysia.

Bagi acara kemuncak kejuaraan Hot Wheels Let’s Race ini akan diadakan di ruang legar IOI City Mall bermula dari 5 Mac hingga 10 Mac 2024 dan pertandingan akhir bagi kejuaraan ini adalah pada 9 Mac, diikuti dengan kejuaraan kategori terbuka pada 10 Mac.

Ruang legar IOI City Mall akan berubah menjadi sebuah Bandar Hot Wheels bersaiz sebenar yang penuh keasyikan seperti yang disiarkan dalam siri tersebut.

Pengunjung boleh menantikan sebuah Ultimate Garage sebagai acara tumpuan utama dan pelbagai set permainan lain dari Hot Wheels City.

Acara tersebut akan dibahagikan kepada empat zon bagi para pelumba muda untuk mereka meneroka dan menakluk:

  • Zon Pitstop Hot Wheels adalah tempat di mana pelumba muda boleh mencuba pakaian perlumbaan untuk sesi bergambar.
  • Zon Garage Hot Wheels adalah tempat di mana pelumba muda boleh menguji kepantasan tangan mereka untuk menukar tayar semasa perlumbaan besar!
  • Di Zon Test Drive Hot Wheels, pelumba boleh cuba berlumba dalam permainan Hot Wheels Unleashed 2.0 sebelum perlumbaan besar mereka!
  • Akhir sekali pelumba akan menerima cabaran Zon Lumba Hot Wheels dengan melaungkan “Challenge Accepted!” ke Raceway Challenge, Cobra Challenge dan Flame Challenge

Pelumba yang berjaya menyelesaikan aktiviti mereka di setiap stesen, akan menerima Hot Wheels Flame Badge sebagai cenderahati untuk dibawa pulang.

Proton SAGA88 bayangan semula dengan tema Seoul Vibe!

MASIHKAH anda ingat akan lakaran konsep Proton Saga Knight versi moden yang kami paparkan pada 31 Ogos 2021 sempena sambutan Hari Merdeka ke-64? Ianya hasil karya Saharudin Busri yang merupakan Ketua Rekabentuk Industri di MIMOS Berhad.

Kali ini, beliau mendedahkan karya terbaharunya iaitu Proton SAGA88. Menariknya, SAGA88 ini mengambil inspirasi Seoul Vibe, iaitu sebuah filem berbahasa Korea yang sedang ditayangkan di Netflix bermula 26 Ogos.

Projek ini juga hasil kerjasama beliau dengan Netflix Malaysia sebagai usaha mempromosikan filem itu. Untuk pengetahuan, Seoul Vibe mengisahkan pemandu dari pasukan Sanggye-dong Supreme Team yang cuba membongkar skandal panggubahan wang haram semasa Sukan Olimpik Seoul 1988.

Menurut Netflix, budaya kereta seperti modifikasi dan perlumbaan mempunyai peminat yang kuat di Malaysia. Jadi ini antara sebab mereka bekerjasama dengan Saharudin bagi membayangkan semula Proton Saga yang menjadi ikon Malaysia, tetapi mengikut tema filem Seoul Vibe.

Proton Saga ini juga boleh dikatakan sebagai ‘period correct’ kerana ia juga dikeluarkan pada 1985, iaitu sebelum Sukan Olimpik Seoul 1988. Jadi, jika Proton Saga ditampilkan dalam filem itu, agaknya beginilah rupanya.

Pada asalnya, Netflix menugaskan Saharudin untuk menghasilkan beberapa rekaan 2D Proton Saga sebelum mereka memilih rekaan terbaik untuk ditampilkan. Kemudian, barulah Saharudin beralih ke fasa rekaan 3D.

Jika dilihat, Proton SAGA88 ini hadir dengan warna merah (mungkin Merah Saga?) lengkap dengan elemen retro seperti pelekat badan “88”, rim berwarna putih, dan penutup plastik berlapis di cermin belakang.

SAGA88 ini juga pastinya mampu bersaing dalam perlumbaan Seoul Vibe kerana ia nampak cukup sporti dengan kit badan penuh, skup di hud depan, dan spoiler besar di belakang.

Apa pendapat anda mengenai rekaan Proton SAGA88 ini?

Jemput tonton video oleh Saharudin Busri di bawah:

Drive to Survive siri empat kembali di Netflix, bermula 11 Mac

BUAT peminat suka Formula Satu (F1), ini berita baik buat anda. Netflix telah mengumumkan musim terbaru dokumentari Formula 1: Drive to Survive musim keempat yang akan bersiaran pada 11 Mac 2022, iaitu seminggu sebelum perlumbaan pertama F1 di Bahrain.

Kalendar perlumbaan F1 2022.

Sebelum ini, Netflix telah menyiarkan siri ini sebanyak tiga musim bermula 2019 hingga 2021. Dokumentari ini mengisahkan tentang kehidupan pelumba, pengurus dan juga pemilik pasukan di sebalik tabir perlumbaan F1.

Juga secara eksklusif siri ini menceritakan tentang konflik yang dihadapi sukan berprestij ini dari segi undang-undang, krisis pemilihan dan pertukaran pemandu serta masalah teknikal jentera yang sering dihadapi pasukan bertanding.

Pada siri ketiga yang lalu, dokumentari ini turut menceritakan tentang permasalahan yang dihadapi oleh pasukan F1 serta kesan pembatalan beberapa perlumbaan ketika pandemik Covid-19 melanda dunia.