Arkib Tag: Navara

Nissan Navara Black Edition dengan gaya lebih rugged, dari RM134,800

NISSAN Navara sememangnya sebuah trak pikap yang cukup segak dengan rupa petak bersegi. Untuk lebih gaya, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan pula Nissan Navara Black Edition baharu, dengan beberapa penambahan aksesori.

Diberikan pada varian VL dan V, Navara Black Edition didatangkan dengan pakej aksesori bernilai sehingga RM14,700, merangkumi:

  • Gril depan hitam berkilat
  • Perumah cermin sisi hita, berkilat
  • Fender dwi-tona
  • Perakam video digital (dashcam)
  • Plat pemijak kaki
  • Pelindung tangki bahan api
  • Pelindung penakung minyak
  • Filem tint V-Kool

Terdapat juga satu lagi pakej bernilai RM13,500 tetapi aksesorinya tidak sebanyak yang di atas. Varian V didatangkan dengan rim aloi hitam berkilat 17-inci manakala varian VL pula dikekalkan dengan roda aloi kemasan hitam dan digilap 18-inci.

Selain itu, Navara Black Edition turut dilengkapi dengan lampu LED quad projektor, lampu DRL berbentuk-C, visor pintu, dan tempat duduk kulit.

Kedua-dua varian VL dan V dikuasakan oleh enjin 2.5-liter common-rail diesel turbo YD25 yang menghasilkan 190PS dan 450Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan.

Kuasa disalurkan ke semua roda melalui sistem pacuan 4WD kawalan elektronik Bersama Active Brake Limited-Slip Differential. Sistem ini juga boleh ditukar kepada 2WD menggunakan butang Shift-On-The-Fly.

Kedua-dua varian Nissan Navara Black Edition dilengkapi dengan enam beg udara, Vehicle Dynamic Control, Hill Start Assist, Hill Descent Control, Anti-lock Braking System with Electronic Brake Distribution dan Brake Assist sebagai ciri standard.

Selain itu, ia juga mendapat Intelligent Predictive Forward Collision Warning yang mengesan dua kenderaan di hadapan dan Emergency Braking serta Intelligent Driver Alertness dengan Intelligent Around View Monitor (Kamera 360°) bersama Off-Road Mode dan Moving Object Detection, Blind Spot Warning, Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert dan High Beam Assist.

Harga untuk Nissan Navara Black Edition adalah RM134,800 (varian V) dan RM146,900 (varian VL). Trak pikap ini sekarang berada di bilik pameran Nissan di seluruh Malaysia untuk dilihat dan pandu uji.

Anda yang membeli Navara Black Edition juga kana mendapat kad minyak bernilai RM800 jika anda membeli dan mendaftar kenderaan dalam bulan ini.

Nissan Navara R – Jelmaan GT-R R35 dalam sebuah trak pikap, kuasa sehingga 1,000hp!

PADA 2008, dunia modifikasi diserikan dengan kehadiran Nissan GT-R (R35). Manakan tidaknya, sejak model itu dilancarkan ke pasaran, enjinnya yang dikenali dengan kod nama VR38DETT sering digunakan sebagai ‘jalan pintas’ bagi sesiapa sahaja yang ingin menjadikan jentera mereka lebih pantas.

Malah, Nissan sendiri pernah menyumbat enjin tersebut ke dalam model crossover Juke untuk menghasilkan Juke-R. Ini secara tidak langsung mendorong tuner-tuner lain untuk melakukan perkara yang sama.

Terbaru, drifter dari United Kingdom iaitu Steve “Baggsy” Biagioni telah mendedahkan Nissan Navara R, sebuah trak pikap Navara yang bernadikan enjin twin-turbo V6 buatan tangan itu.

Menurut Baggsy, ia dibangunkan dan dibina oleh pasukannya di SB Motorsport dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan. Memang agak lama, tetapi ada sebabnya.

Ini kerana SB Motorsport telah memperbesarkan sesaran enjin tersebut dari 3.8-liter kepada 4.1-liter.

Dipadankan dengan unit kawalan Syvecs, enjin yang diberi jolokan VR41 itu dikatakan mampu menjana 1,000hp. Jumlah tork tidak didedahkan namun tidak mustahil jika ia juga mencecah empat angka.

Sudah tentu, dengan output yang begitu tinggi, transmisi dan klac asal tidak lagi memadai. Tugas untuk membina semula komponen itu diserahkan kepada pakar transmisi klac berkembar dari Auckland, New Zealand iaitu Dodson Motorsport. Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda.

Angka berkaitan prestasi seperti masa pecutan 0-100km/j dan kelajuan maksimum dirahsiakan namun cukuplah sekadar mengetahui yang Navara R akan menggerunkan sesiapa sahaja yang menaikinya.

Modifikasi pada Navara R tidak terhad kepada trenkuasa sahaja. Sistem suspensi trak pikap ini turut diubah suai bagi memuatkan subframe GT-R, sistem coilover perlumbaan KW V4 dan sistem hidraulik HLS 4.

Roda asal pula telah ditukar dengan roda BBS berukuran 20 inci, dengan sistem brek Alcon RC6 dan RC4 tersembunyi disebaliknya. Seperti yang boleh dilihat, gabungan sistem suspensi dan roda aftermarket tersebut memberikan Navara R stance yang begitu agresif.

Tidak cukup dengan itu, Baggsy turut memilih untuk menggunakan kit badan kustom dan balutan yang direka oleh Fleet Livery Solutions untuk menaikkan lagi seri jenteranya.

Sentuhan pada ruang dalaman tidak begitu meluas namun kehadiran tempat duduk bucket Sparco dan stereng GT-R sudah cukup untuk menjadikan suasana lebih sporti.

Nissan Navara PRO-4X yang gagah dan hensem – Pandu uji

JUJUR kata, semasa mula mengambil unit pandu uji Nissan Navara PRO-4X, penulis rasakan inilah trak pikap paling hensem dalam segmennya.

Ya, Ford Ranger Raptor mungkin lebih kemas, tetapi yang itu dalam liga berbeza. Harga pun jauh berbeza, kan.

Nissan Navara PRO-4X merupakan varian baharu dalam barisan facelift dan ia memang satu pakej cukup menarik sebelum Navara beralih ke generasi baharu.

Mari kita lihatkan beberapa nota ringkas penulis sepanjang memandu uji trak pikap ini selama beberapa hari.

1. Pakej penampilan cukup segak

Seperti dikatakan tadi, penulis cukup sukakan penampilan luaran Navara ini. Dengan warna Stealth Grey, kemasan merah-oren pada beberapa komponen yang menaikkan kontra, lampu depan LED, dan rim hitam berkilat, ia tampil cukup unik.

Malah semasa mula-mula melihat gambar Navara PRO-4X ini di laman web luar negara, penulis hampir tidak percaya Navara mampu kelihatan cukup tampan dan kemas sebegini. Nampak futuristik pun ada.

Paling penting, tiada lagi panel-panel krom berkilat seperti pada gril, semua digantikan dengan warna hitam.

2. Ruang dalaman ‘potong stim’

Tetapi bila masuk ke dalam, alamak, sedikit ‘potong stim’. Ruang kabin Navara ini secara keseluruhannya masih seperti versi biasa, tidak selari dengan mood yang dibawakan penampilan luaran.

Dari segi penggunaan bahan pun, kelihatan agak ketinggalan jika dibandingkan dengan Toyota Hilux, Isuzu D-MAX dan Mitsubishi Triton.

Cuma yang bagusnya, ia tetap terasa lapang, selesa dan cukup dari segi kelengkapan. Paling penting bagi penulis, ada Apple CarPlay.

3. Pemanduan senyap dan mudah

Antara penambahbaikan penting dalam facelift kali ini ialah cermin akustik bukan sahaja di depan, malah tingkap tepi.

Ini memberikan pemanduan cukup senyap di kelajuan lebuh raya, memberikan keselesaan untuk pemandu dan penumpang.

Ini memang jelas terasa kerana boleh dikatakan tiada langsung bunyi angin dan tayar masuk ke dalam kabin, hanya sedikit bunyi enjin, itu pun hanya jika pedal minyak ditekan banyak dan rpm naik melebihi 3,000rpm.

Oh ya, pemanduan senyap ini juga disumbang oleh pemijak tepi yang direka semula, lantas memberikan aliran udara lebih kemas di bahagian ini.

Nissan Navara ini juga mudah dikendalikan. Walaupun saiznya besar seperti trak pikap lain, penulis mempunyai lebih keyakinan mengemudi Navara ini di laluan sempit, bukan sahaja kerana posisi duduk dan bukaan cermin sisi luas, tetapi juga hud depan yang berlekuk memberi gambaran kedudukan tayar depan.

4. Fungsi praktikal sebuah trak pikap

Sebagai sebuah trak pikap, ruang kargo belakang pastinya memainkan peranan dalam menentukan keputusan membeli.

Untuk Navara PRO-4X ini, ia didatangkan dengan sistem Utili-Track yang sebenarnya sepasang cangkuk aluminium di dinding ruang kargo yang boleh digelungsurkan untuk memudahkan anda mengikat barang.

Kemudian Tailgate Assist meringankan lagi beban diperlukan untuk menutup pintu kargo belakang ini.

5. Enjin cukup menjimatkan

Nissan Navara PRO-4X ini dikuasakan oleh enjin YD25 2.5-liter seperti sebelumnya, sayang sekali negara kita tidak mendapat enjin baharu 2.3-liter yang kini dijual di Thailand.

Apa pun, enjin 2.5-liter diesel ini menjana 190PS dan 450Nm tork, satu angka output yang dikira lebih dari mencukupi.

 

Terus terang katakan, penulis langsung tidak merasa kekurangan kuasa semasa memandu Navara ini walaupun membawa keluarga di jalan berbukit di Janda Baik, Pahang.

Mungkin lain ceritanya jika kita membawa muatan kargo kegunaan kerja di belakang.

Juga harus dikatakan enjin ini tetap menjimatkan, dengan mudah boleh mendapat 12 atau 13km per liter dengan pemanduan biasa. Tetapi dengan penggunaan penulis yang ada ‘mencuba’ kuasanya serta ‘idling’ dalam tempoh lama, penulis hanya mendapat bacaan purata 8.6km per liter.

6. Cukup ciri keselamatan

Dari segi keselamatan, Nissan Navara PRO-4X didatangkan dengan ciri terkini seperti Autonomous Emergency Braking, Lane Departure Warning, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert.

Kesemua ini bukanlah terbaik atau terkini dalam kelasnya, tetapi masih dikira lebih dari mencukupi untuk kegunaan harian.

7. Kesimpulan

Nissan Navara PRO-4X ini secara khususnya lebih kepada trak pikap gaya hidup ataua lifestyle kerana penampilannya yang cukup bergaya dan kemas.

Dengan rupa sebegini, pastinya ‘sayang’ untuk menggunakannya untuk melakukan kerja berat atau untuk ‘dilenjan’ pekerja-pekerja syarikat. Mungkin lebih sesuai dengan Nissan Navara varian biasa.

Untuk PRO-4X ini, ia sesuai untuk anda masukkan dalam senarai trak pikap keluarga dan kegunaan persendirian, mungkin jika anda jenis yang sukakan aktiviti luar seperti berkhemah atau pergi memancing di hujung minggu.

Jemput tonton video review penuh kami di bawah:

Spesifikasi Nissan Navara PRO-4X

Harga: RM142,200
Enjin: 2.5-liter DOHC, variable geometry turbo
Kotak gear: Automatik 7-kelajuan
Kuasa: 190PS @ 3,600rpm
Tork: 450Nm @ 2,000rpm

Sertai BoostUp Pick & Win untuk menangi sebuah Nissan Navara

PELUANG baik kepada anda yang berhajat memenangi sebuah kenderaan jenis Nissan!

Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) dengan kerjasama Boost kini menawarkan sebuah trak pikap Nissan Navara 2.5L PRO-4X kepada pengguna bertuah.

Apa yang perlu dilakukan hanya menyertai peraduan BoostUp Pick & Win bersempena ulang tahun ke-4 Boost.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi hadiah menarik termasuk peranti pintar, peralatan rumah serta ganjaran pulangan tunai sehingga RM1,400,000.

Ketua Pegawai Operasi Tan Chong Motor Holdings Berhad Daniel Ho berkata, pihaknya gembira bekerjasama dengan Boost.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Boost sebagai pembekal perkhidmatan eWallet yang mempromosikan gaya hidup digital.

“Pada masa sama, ia turut menawarkan kemudahan kepada pelanggan dalam menyelesaikan urusan seperti pembayaran bil dan insurans,” katanya.

Semalam, ETCM dalam satu kenyataan turut mengucapkan selamat ulang tahun ke-4 kepada Boost.

ETCM juga berharap individu bertuah memenangi Nissan Navara 2.5L PRO-4X akan merasai pengalaman berharga serta terus memberi kepercayaan kepada jenama Nissan dan Boost.