Arkib Tag: n line

Hyundai Kona N Line: “Tekan tekan preggy” versi Korea – Pandu uji

BEBERAPA tahun selepas pengenalan Perodua Ativa, bilangan pemilik semakin ramai dan group-group Facebook semakin aktif, banyak lah gelagat dan kerenah dapat kita lihat.

Selain seronok dan teruja dengan SUV berenjin turbo, timbul pula satu trend yang nampaknya telah menjadi meme, iaitu “tekan, tekan preggy”. Bunyi semacam?

Ayat ini kami percaya asalnya adalah “tekan, tekan pergi” untuk menunjukkan kemampuan pecutan Ativa yang mempunyai prestasi agak menarik walaupun berenjin 1.0-liter. Tetapi kemudian mungkin telah berlaku typo “pergi” menjadi “pregi”, maka lahirlah ayat di atas tadi.

Penulis tidak mahu ulas terlalu panjang mengenai hal ini, tetapi kenapa perkara ini disebut dalam laporan pandu uji Hyundai Kona N Line?

Sebabnya penulis rasa Kona N Line ini ibarat SUV “tekan, tekan preggy” versi Korea. Sama seperti Ativa, model ini merupakan SUV kompak, dan mempunyai enjin turbo.

“Nuleuda, nuleuda gasoghada”

Nadi kepada Kona N Line ini ialah enjin 1.6-liter turbo petrol dengan output 195hp pada 6,000rpm dan 265Nm tork pada 1,800rpm.

Kona N Line diasaskan dari varian 1.6 turbo yang duduk di atas varian permulaan 2.0, cuma N Line digayakan dengan kit badan dan rupa lebih sporti. Kami ada pandu uji Kona 2.0 Active kira-kira setahun lepas.

Rupa pada N Line ini mirip dengan Kona N berkuasa 280hp dan 392Nm yang tidak masuk pasaran kita. N Line ialah versi ‘lebih lembut’, sama seperti AMG Line dan M Sport. Apa pun, Kona N Line ini tetap menawarkan prestasi cukup mengujakan untuk segmennya di sini.

Sebagai perbandingan, Honda HR-V 1.5 turbo menghasilkan 174hp dan 240Nm, manakala Mazda CX-3 2.0 menjana 154hp dan 204Nm. Proton X50 hampir menyamai kuasa Kona N Line ini, dengan 175hp dan 255Nm.

Itu dari segi angka, tapi bagaimana dengan ‘feel’ pemanduannya? Pengeluaran kuasa itu dapat kita nikmati dengan lebih jelas disebabkan enjin Kona N Line ini dipadankan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan.

Ianya berbeza dengan Kona 2.0 naturally-aspirated yang menggunakan kotak gear automatik 6-kelajuan jenis torque converter. Pecutan Kona N Line adalah lebih direct, terasa lebih clean, malah pertukaran gear jauh lebih pantas.

Semasa upshift, ia tidak menyentap sehingga membuatkan kita rasa tidak selesa atau seolah-olah kotak gear itu didera. Ia masih lancar, tetapi downshift pula cukup sporti, lengkap dengan blip enjin seperti kereta sports.

Bercakap mengenai enjin, ia memberikan bunyi sporti terutamanya semasa cold start. Pertama kali penulis menekan butang Start sewaktu mengambil kereta ini, terdetik “wow” di dalam hati, seperti memberi singkapan awal mengenai prestasi keseluruhan Kona N Line ini.

Kemudian apabila jalan raya mulai berliku, kita dapat rasakan talaan stereng dan suspensi Kona N Line jelas berbeza dari Kona biasa.

Sterengnya lebih berat dan ketat. Semasa penulis mula memandu keluar kereta ini dari perkarangan Hyundai Sime Darby di Ara Damansara, melalui beberapa selekoh sahaja sudah dapat memberikan keterujaan.

“Ok, ini lain macam. Bukan biasa-biasa,” detik hati penulis. Tidak disangka pula perbezaannya agak ketara dari Kona 2.0.

Talaan spring dan penyerap hentak lebih kemas dan tegap, mengingatkan penulis kepada model-model MINI. Gandingan stereng, suspensi, enjin dan kotak gear mampu memberikan kepuasan.

Ibaratnya jika anda sebelum ini semasa bujang memandu hatchback seperti Volkswagen Golf 1.4 atau Polo GTi, atau Honda Civic Type-R (FD2 dan FN2), kemudian sudah berkeluarga, penulis jamin pemanduan Kona N Line dapat mengubat rindu anda terhadap pemanduan penuh sensasi itu.

Jika dilihat pada spesifikasi atas kertas juga memang sukar untuk menjustifikasi harga lebih RM150,000 untuk crossover segmen-B keluarga ini, tetapi bila memandu lebih laju, anda sedar kemana duit dan pelaburan anda pergi.

Praktikal untuk kegunaan seharian?

Dari segi praktikaliti, biasa-biasa sahaja Hyundai Kona N Line. Tiada yang terlalu istimewa, tetapi tiada juga rungutan dari penulis.

Ruang kabin cukup okay, luas dan selesa untuk empat orang dewasa. Ruang kargo juga agak baik, 361 liter. Walaupun model paling sporti dalam kelasnya, tetap tidak mengorbankan aspek ini, ruang kargo Kona lebih besar dari Proton X50 dan Subaru XV.

Pemilihan bahan seperti model-model Hyundai lain, cukup baik. Hyundai Kona N Line tidak berpura-pura menjadi crossover premium atau luas, tetapi ‘berterus-terang’ dengan imej sporti.

Tempat duduk kulitnya berwarna hitam dengan beberapa bahagian mendapat permukaan baldu seperti Alcantara, serta jahitan merah. Begitu juga dengan papan pemuka, roda stereng dan tombol gear. Semuanya hitam berjahitan merah. Cukup jelas.

Penulis cukup suka dengan ergonomik tempat duduk dan pelarasan stereng. Mudah untuk mendapatkan posisi yang sedap dipandu untuk semua keadaan, sama ada ke kedai runcit atau melayan selekoh tajam.

Satu sahaja rungutan dari aspek praktikaliti pada Kona N Line ini ialah dari segi menu sistem keselamatannya.

Kelengkapan keselamatan aktif padanya dikira hampir setanding dengan pesaingnya, dilengkapi dengan ciri seperti Autonomous Emergency Braking dan Lane Departure Warning berserta Steering Assist.

Memang bagus, cuma bila kita tak perlukan sistem-sistem ini contohnya semasa memandu dalam bandar, kitab oleh matikannya, tetapi tetapan ini tidak kekal. Sebaik kita matikan enjin dan hidupkan semula, semua sistem ini akan aktif semula.

Bagi penulis ianya agak menjengkelkan jika kerap keluar masuk kereta untuk pemanduan dekat, dalam bandar yang sibuk. Tak dinafikan sistem-sistem ini berguna bila memandu dalam perjalanan jauh dan di lebuh raya.

Siapa patut beli?

Hyundai Kona N Line ini kami rasa sangat sesuai untuk mereka yang mahukan kelainan, tak sama dengan orang lain, dan yakin dengan pilihan sendiri. Crossover ini juga sesuai untuk mereka yang mahukan pemanduan paling sporti untuk kategori ini.

Spesifikasi Hyundai Kona 1.6 N Line

Harga: RM156,888
Enjin: 1.6-liter turbo 4-silinder suntikan terus bahan api
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 195hp @ 6,000rpm
Tork: 265Nm @ 1,800rpm

Hyundai Kona 1.6 Turbo dan N Line rasmi dilancar – Crossover kompak dengan 198hp dan 265Nm, dari RM147k

SELEPAS dibuka tempahannya awal bulan lalu, Hyundai Kona 1.6 Turbo dan N Line telah dilancar secara rasmi hari ini.

Hyundai Kona ialah crossover kompak yang berada sekelas dengan Proton X50, Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross. Tetapi varian 1.6 Turbo dan 1.6 Turbo N Line ini menawarkan pakej lebih sporti dan prestasi tinggi, sangat sesuai untuk anda yang inginkan kelainan.

Harga adalah seperti berikut:

Hyundai Kona 1.6 Turbo: RM146,888
Hyundai Kona 1.6 N Line: RM156,888

(Harga untuk Semenanjung Malaysia, atas jalan tanpa insurans)

Kedua-dua varian ini menggunakan enjin sama, bezanya N Line mendapat gaya dan prestasi tambahan berbanding model biasa.

Antara penambahannya adalah:

  • Kemasukan udara lebih besar dengan gril honeycomb
  • Kit badan lebih agresif dan sporti dengan skirt tepi dan diffuser
  • Rim 18-inci dan tayar premium

Enjin pada Kona 1.6 Turbo dan N Line ialah unit Smartstream G1.6 T-GDi 4-silinder yang dipadankan dengan kotak gear 7DCT yang merupakan dwi-klac generasi kedua Hyundai.

Bahagian dalaman N Line juga unik dengan kemasan kulit hitam disulami suede, serta tempat duduk dengan pendingin hawa dan pemanas untuk pemandu dan penumpang depan.

Terdapat juga jahitan merah di seluruh kabin, pedal besi, serta logo N pada tombol gear, roda stereng dan tempat duduk.

Hyundai Kona juga hadir dengan pakej keselamatan aktif dan bantuan pemanduan Smartsense. Ini merangkumi:

  • Blind-Spot Collision Avoidance Assist (BCA) dengan Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA)
  • Lane Keeping Assist (LKA)
  • Lane Following Assist (LFA)
  • Smart Cruise Control dengan Stop and Go

Ciri keselamatan lain adalah:

  • Forward Collision Avoidance Assist (FCA)
  • Driver Attention Warning (DAW) dengan Leading Vehicle Departure Alert (LVDA)
  • Rear Occupant Alert (ROA)
  • Safe Exit Warning (SEW)
  • High Beam Assist (HBA)

Hyundai Kona hadir dengan jaminan 5-tahun atau 300,000km (yang mana dahulu) serta pakej penyelenggaraan percuma 3-tahun atau 50,000km.

Untuk maklumat lanjut, layari www.hyundai.com.my/clicktobuy atau hubungi 1-300-13-2000.