Arkib Tag: motorsport

Hayden Haikal juara Thailand Super Series 2024 dalam kelas GT4!

HAYDEN Haikal terus mengharumkan nama negara, kali ini berjaya menjuarai kelas GT4 di perlumbaan Thailand Super Series Championship. Lebih menarik lagi, perlumbaan ini merupakan penyertaan pertamanya memandu Mercedes-Benz AMG GT4 tersebut!

Kemenangan Hayden Haikal ini turut memberikan pasukan Racing Aurora (sebuah pasukan Malaysia) kemenangan pertama GT4 di peringkat antarabangsa.

Pemandu berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan lebih satu jam itu di litar Chang International Circuit yang mempunyai jarak 4.554km. Hayden melepasi garisan penamat 26 saat di depan pemandu tempat kedua, K. Kantadhee yang memandu Porsche Cayman GT4 RS Clubsport.

Hayden menyertai perlumbaan Super Series Supercar GT4 27 minit selepas ia bermula, mengambil alih tugas rakan sepasukannya, Peter Hackett semasa pertukaran pemandu di tengah-tengah perlumbaan. Pada masa itu, Kantadhee berada di depan sejauh 8 saat.

Selepas beberapa ketika, Kantadhee yang memandu untuk AAS Motorsport itu terpaksa berada di pit kerana mekanik perlu membuang balutan yang rosak di bonet depan jenteranya.

Dua pelumba lain yang juga memandu Porsche Cayman GT4 RS Clubsport telah dikenakan penalti stop-and-go 2 saat kerana melanggar had masa minima semasa hentian pit.

Hayden yang tidak menyedari akan insiden-insiden ini terus mara ke posisi depan, jauh dari pesaing lain.

“Menggalas dua tanggung jawab (bersaing dalam Super Eco dan GT4 Class) dan tamat dengan kemenangan pertama saya dalam GT4 merupakan satu perasaan menakjubkan,” kata Hayden.

“Saya berterima kasih kepada Peter (Hackett), Racing Aurora, dan para penaja kerana merealisasikan semua ini,” tambahnya.

Acara kelab kereta Puma yang sulung di Asia Tenggara terima sambutan meriah

ACARA kelab kereta Puma yang sulung di Asia Tenggara yang diadakan pada Jumaat lalu menggabungkan unsur sukan permotoran, gaya hidup, hiburan dan gastronomi dengan penuh jaya.

Bertempat di Sentul Depot, Kuala Lumpur, acara tersebut dilihat sebagai bukti komitmen Puma terhadapan dunia sukan permotoran yang sentiasa berkembang, selain selari dengan slogan jenama sukan itu iaitu ‘Forever Faster’.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai persembahan daripada artis-artis ternama tempatan dan antarabangsa termasuk Hullera, Pop Shuvit, Toshrock dan DJ Ashley Lau.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menguji kemahiran memandu kereta berprestasi tinggi dalam permainan Gran Turismo 7 di reruai PlayStation serta mengimbau kembali zaman kanak-kanak di litar Tamiya yang disediakan.

Bagaimanapun, acara kemuncak sudah tentu kemunculan atlet MMA terkemuka Choo Sung-hoon yang lebih dikenali dengan nama jolokan ‘Sexyama’. Atlet kelahiran Jepun itu telah dilantik sebagai duta sukan permotoran Asia Tenggara Puma.

“MMA dan sukan permotoran memerlukan daya tumpuan yang tinggi untuk melakukannya dengan baik. Saya kini semakin berusia, tetapi saya akan terus bekerja keras. Berkerjasama dengan Puma, saya rasa saya boleh memberi inspirasi kepada mereka untuk terus menjadi ikon harapan untuk lelaki pertengahan usia,” kata Choo.

Turut hadir memeriahkan acara adalah beberapa pempengaruh daripada komuniti kereta seperti Jeremy Lim, Asep Ahmad Iskandar, Remus Chang, Dato’ David Gurupatham dan Huang Ean Hwa.

Puma turut mempamerkan koleksi pakaian terbaru mereka di acara itu. Ia boleh didapati di kedai Puma terpilih dan secara dalam talian dengan harga bermula dari RM159 hingga RM729.

Porsche uji prototaip LMDh dengan enjin V8 twin turbo

TOYOTA dan Peugeot mahu kekal dengan enjin V6 untuk jentera lumba LeMans Daytona hybrid (LMDh) mereka, Porsche pula mengambil pendekatan “there’s no replacement for displacement” apabila memilih nadi V8 dengan turbo berkembar.

Tetapi ini bukanlah bermakna pasukan dari Zuffenhausen itu akan mempunyai lebih kuasa kerana regulasi LMDh menetapkan pasukan-pasukan supaya tidak melebihi output 500kW (670.5hp).

Menariknya, V8 itu direka untuk diisi dengan bahan api boleh diperbaharui yang lebih bersih, lantas menurunkan kadar pelepasan emisi. Rev bagaimanapun masih mampu sehingga 10,000rpm.

Unit enjin twin-turbo itu pula mestilah mempunyai berat sekurang-kurangnya 180kg termasuk sistem ekzos dan penyejukan. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Xtrac dan tahap bunyi pula mestilah tidak melebihi 110 desibel.

Ujian pertama dilakukan di litar Weissach milik Porsche dan maklum balas nampaknya positif. Urs Kuratle, Overall Project Manager LMDh di Porsche Motorsport berkata, enjin itu “mengagumkan kami di semua aspek. Kami yakin telah memilih unit yang tepat.”

Spesifikasi lain yang mesti dipatuhi setiap pasukan adalah berat minima 1,030kg, jarak roda 3,150mm, dan panjang tidak melebihi 5,100mm. Semua pasukan akan menggunakan sistem hibrid oleh Williams Advanced Engineering dan motor elektrik oleh Bosch berkuasa 50kW (67hp).

Asas kepada jentera ini ialah casis Multimatic yang diambil dari LMP2 dan akan digunakan juga oleh prototaip Audi, dan mungkin disusuli oleh Lamborghini pada 2024.

Porsche Penske Motorsport akan mempertaruhkan kereta ini dalam FIA WEC World Endurance Championship dan North American IMSA WeatherTech SportsCar Championship.