Arkib Tag: moto gp

Ducati Lenovo Team kembali di Sepang untuk ujian pra-musim 2024

SELEPAS acara Campioni di Pista dan pengenalan pasukan di Campiglio, Itali, kini Francesco Bagnaia dan Enea Bastianini akan beraksi pula di Litar Sepang selama tiga hari untuk ujian pra-musim 2024. Sesi ujian itu akan dijalankan bermula hari ini, 6 Februari hingga Khamis, 8 Februari.

Penunggang ujian, Michele Pirro terlebih dahulu telah membuat sesi ujian pada 1 hingga 3 Februari lepas. Dengan cuaca yang stabil, Pirro dapat membuat ujian terhadap Desmosedici GP, cuba beberapa komponen, dan memulakan kerja pembangunan R&D.

“Semasa sesi ‘shakedown’ yang dijalankan, kami menyempurnakan sebahagian besar pembangunan. Hari pertama kering sepenuhnya, manakala dua hari berikutnya hujan di sebelah petang,” kata Pirro.

“Cuaca panas di Sepang membolehkan kami menjalankan beberapa ujian spesifik. Kami mencuba pakej aerodinamik baharu, enjin baharu, dan membuat kerja asas untuk tiga hari akan datang yang penunggang-penunggang akan jalani,” katanya.

Sementara itu, Bagnaia teruja untuk kembali ke Sepang untuk ujian pertama 2024. “Kami mempunyai tiga hari penting menanti. Diharapkan cuaca membolehkan kami menggunakan sepenuhnya masa yang ada.”

Bastianini pula berkata: “Saya tak sabar untuk kembali beraksi. Sepanjang musim sejuk, saya mempersiapkan diri untuk ujian di Sepang.

“Di Valencia, saya mendapat maklum balas positif, dan terus menyukai jentera baharu. Di sini, kami akan mencuba beberapa komponen baharu, tetapi secara keseluruhan, saya yakin.”

Acara ujian itu akan dijalankan bermula jam 10 pagi hari ini, dengan slot masa selama lapan jam.

RapidKL sedia bas khas untuk ke MotoGP

BERITA baik bagi anda yang akan ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hujung minggu ini untuk menonton acara Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) tetapi tidak mahu memandu, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan menyediakan perkhidmatan bas khas.

Pengendali pengangkutan itu, Rapid KL berkata dalam satu siaran media, bas khas akan disediakan untuk ke SIC dari 10 hingga 12 November ini.

Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan bas khas itu disediakan di tiga lokasi iaitu Pasar Seni, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan hab bas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Tiket bas akan dijual di stesen LRT terpilih iaitu KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni, KL Sentral serta kaunter kad konsesi MyRapid di hab bas Pasar Seni dan kaunter 10 Hab Pengangkutan KLIA Terminal 2.

“Selain itu, pembelian tiket juga boleh dibuat secara dalam talian mulai 28 Okt (Sabtu) di laman shop.myrapid.com.my. Para pengunjung dinasihatkan untuk membeli tiket lebih awal bagi menggelakkan beratur panjang ketika hendak ke SIC,” menurut kenyataan itu.

Rapid Bus turut memaklumkan pihaknya akan menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di dalam kawasan SIC ketika berlangsungnya MotoGP itu.

Ducati Panigale V4 edisi terhad sempena kejuaraan MotoGP dan WSBK

DUCATI meraikan kejuaraan berganda mereka dalam MotoGP dan WorldSBK dengan mengeluarkan dua siri superbike.

Pertamanya ialah Panigale V4 diinspirasikan dari Desmosedici GP, dan kedua ialah Panigale V4 R dari Francesco Bagnaia dan Alvaro Bautista.

Kedua-dua jentera itu dilancarkan dalam satu sidang media khas dimana Ducati meraikan kemenangan berganda yang bersejarah itu dengan peminat-peminat mereka.

2022 merupakan satu tahun yang baik buat Ducati. Kemenangan dalam kedua-dua kelas perlumbaan berprestij itu adalah kali pertama untuk mereka.

Dua siri istimewa itu diasaskan dari Panigale V4 S, dan mendapat livery Pacco Bagnaia #63 dan Alvaro Bautista #19. Setiap motosikal juga akan mendapat tandatangan khas penunggang dan dilindungi dengan lapisan pelindung jernih.

Hanya 260 unit untuk setiap siri akan dikeluarkan, merujuk kepada tahun kelahiran Ducati iaitu 1926. Sama seperti jentera lumba, Panigale V4 2022 ini hanya akan hadir dalam konfigurasi tempat duduk tunggal, manakala nama dan nombor ditempa dengan laser.

Ciri teknikal termasuklah klac kering STM-EVO SBK, peredam ekzos Akrapovic (2kg lebih ringan dari asal), brek Brembo Stylema R dengan silinder MCS dengan pelaras kawalan jauh, pemijak kaki aluminium Rizoma, dan cermin plexi perlumbaan.

Motosikal edisi khas ini mendapat rupa unik pada pelindung ekzos, pelindung alternator, fender depan dan belakang, corong udara untuk brek, dimana kesemua komponen ini adalah gentian karbon.

Setiap motosikal akan diserahkan dengan bungkusan berserta grafik khas dan hadir dengan sijil ketulenan, pelindung motosikal kustom, dan sistem analisis Ducati Data Analyser+.