Arkib Tag: MOT

Tindakan lebih tegas jika salah guna laluan khas bas – Anthony Loke

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementeriannya akan melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat terhadap pengguna jalan raya yang menyalahgunakan laluan khas bas.

Beliau menjelaskan, penguatkuasaan itu bagi memastikan laluan khas bas berkenaan tidak dieksploitasi oleh pengguna jalan raya yang lain.

Langkah itu juga sebahagian daripada usaha kerajaan bagi memastikan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas, menjadi antara pilihan utama dalam kalangan rakyat.

“Pendekatan saya ialah carrot and stick (ganjaran dan hukuman). Jika carrot (manfaat) tidak menarik mereka, kita akan gunakan stick (penguatkuasaan).

“Orang ramai tidak berminat menaiki bas kerana terdapat kemungkinan mereka tersangkut dalam kesesakan jalan raya kerana kekerapan bas sukar dijangka. Itulah sebabnya kita berusaha keras memperkenalkan laluan bas.

“Kita ada dua laluan pada masa ini iaitu di Jalan Ampang dan Jalan Genting Klang. Jika dua koridor ini berjaya, kita bercadang untuk menambah laluan bas ini,” katanya.

Undang-undang sedia ada cukup tegas, pemantauan dilakukan berterusan – Anthony Loke

KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menafikan dakwaan yang mengatakan peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya di negara ini tidak tegas dalam mengambil tindakan terutama isu membabitkan pemandu lori.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penguatkuasaan sememangnya berjalan sepanjang masa, malah ada yang telah pun diambil tindakan sehingga diheret ke mahkamah.

 

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Undang-undang kita yang sedia ada cukup tegas bukan saja bawah Akta Pengangkutan Jalan tapi juga Akta Pengangkutan Awam Darat.

“Mereka bukan saja boleh didenda sehingga RM500,000 jika didapati bersalah, malah boleh dipenjarakan serta dilucutkan hak kenderaan,” katanya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye yang meminta kerajaan mengambil pendekatan tegas mendisiplinkan sikap pemandu lori kurang berhemah susulan kemalangan yang menyebabkan dua kematian di Putrajaya baru-baru ini.

Anthony juga mengakui bukan mudah untuk kerajaan menyelesaikan isu melibatkan pemandu lori, namun pemantauan secara berterusan dilakukan.

Ujarnya, pihaknya juga memahami kebimbangan orang ramai terhadap kemalangan yang berlaku, namun tidak sepatutnya mereka secara semberono mengatakan kerajaan tidak tegas dalam isu itu.

“Apa yang kita (MOT) tak tegas? Orang kata kita tak tegas dan pada masa sama pengusaha lori marah kita kerana terlalu tegas.

“Kita sampai menyita lori dan membatalkan lesen mereka. Itu memang tegas. Kadang kala orang ramai tak faham apabila semberono mengatakan JPJ tak ambil tindakan tegas,” katanya.

Tambahnya, penguatkuasaan yang dijalankan bertujuan memberi mesej kepada semua pihak terutama pengusaha supaya mematuhi peraturan jalan raya.

Kami di Engear TV setuju bahawa undang-undang sudah cukup tegas, malah bukan mudah untuk meminda undang-undang. Yang penting ialah penguatkuasaan menyeluruh dan konsisten agar pemandu lori khususnya sentiasa mematuhi undang-undang, selain keselamatan jalan raya sentiasa optimum.

MOT bangunkan aplikasi lupus kenderaan buruk

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam proses membangunkan sistem aplikasi atau kaedah digital lain bagi pembatalan pendaftaran kenderaan motor secara dalam talian.

Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah, sistem itu bertujuan untuk memudahkan individu yang berhasrat melupuskan kenderaan buruk atau rosak dengan membuat pembatalan pendaftaran tanpa perlu hadir ke kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kenderaan buruk seterusnya dilupus syarikat pelupusan sisa pepejal atau Authorized Automotive Treatment Facilities (AATF) yang diiktiraf mengikut peraturan ditetapkan agensi berkaitan.

“Melalui inisiatif ini diharap dapat menyelesaikan isu lambakan kenderaan buruk dan usang di negara kita,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang ingin tahu usaha kerajaan bagi menguruskan pelupusan kenderaan buruk dan Tempoh Jangka Hayat Kenderaan (ELV) di samping menjaga kelestarian alam sekitar.

Tambah Hasbi lagi, MOT melalui JPJ bersedia bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk mengkaji hala tuju jangka panjang bagi menangani pencemaran alam sekitar disebabkan kenderaan usang.

“Ini termasuk mengkaji konsep pelupusan kenderaan usang. Pelaksanaan sistem pelupusan ini berupaya menyumbang kepada peningkatan tahap keselamatan jalan raya, mengurangkan pencemaran daripada kenderaan lama.

“Ia juga akan merancakkan permintaan kenderaan yang akan menyumbang kepada kelestarian sektor automotif negara,” katanya.

Mana pilihan anda? Guna pengangkutan awam atau bayar parkir mahal?

USAHA memastikan orang ramai menggunakan pengangkutan awam demi menjaga kelestarian alam sekitar terus diperhebat pihak kerajaan.

Hal ini terbukti apabila perkara itu dimuatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menyasarkan usaha menarik minat orang ramai beralih kepada pengangkutan awam.

Bagi mencapai pelan tersebut, dua pecahan strategi dinyatakan termasuk meningkatkan kebolehcapaian kepada pengangkutan awam dan menggalakkan perubahan tingkah laku penduduk.

Ini bermaksud pengangkutan awam perlu mudah dicapai dengan sistem lebih bersepadu dan memastikan infrastruktur sokongan tersedia dengan baik.

Pengangkutan awam adalah lebih baik daripada kenderaan dimilki persendirian? – Foto ihsan Facebook/Rapid KL

Sementara itu, pola pergerakan masyarakat akan sentiasa dipantau untuk mengenal pasti pengangkutan awam yang sesuai kepada umum.

Pada masa sama, kerajaan juga bercadang mengenakan caj parkir lebih tinggi kepada kenderaan persendirian yang masuk ke pusat bandar.

Ruang parkir akan dihadkan dan bayaran letak kereta dikenakan lebih tinggi bagi kawasan mempunyai ketersambungan pengangkutan awam yang baik.

Dalam perkembangan lain, kerajaan turut memberi fokus terhadap cara memandu orang awam dalam memastikan pelepasan karbon lebih rendah.

Sudah tiba masa kenderaan elektrik dihasilkan dengan meluas demi kelestarian alam sekitar. – Foto ihsan Facebook/SCS

Justeru, kerajaan akan memasukkan program pemanduan cekap tenaga sebagai salah satu proses perlu dilalui sebelum mendapatkan lesen memandu.

Bagaimanapun, kaedah pelaksanannya masih belum diumum sama ada ia melibatkan latihan dan ujian teori atau amali sahaja.