Arkib Tag: mk8

Volkswagen Golf GTi kini dengan IQ. Drive – ACC, AEB, dari RM245k

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah memperkenalkan Golf GTi Mk8 yang dikemaskini, ia kini mendapat IQ. Drive iaitu sistem bantuan pemandu (ADAS).

IQ. Drive pada Golf GTi Mk8 terdiri dari Travel Assist dan Adaptive Cruise Control (ACC) untuk pengesan kenderaan di hadapan, Side Assist untuk bantuan titik buta, dan Rear Cross Traffic Alert untuk bantuan aktif semasa mengundur.

Terdapat juga Front Assist iaitu ciri bantuan brek automoni. Ia menggunakan pengesan radar di depan untuk memantau jarak kenderaan di hadapan dan turut mampu mengenal pasti kehadiran pejalan kaki dan penunggang basikal.

Sementara itu, Lane Assist dan Adaptive Lane Guidance masing-masing membantu kenderaan agar tidak terkeluar dari lorong dan mengekalkan kenderaan di tengah-tengah lorong.

Selain dari ciri keselamatan, Golf GTi 2023 mendapat ciri tambahan merangkumi  pengecaj tanpa-wayar, sulaman logo “GTI” pada tempat duduk depan, lampu kabus, cermin sisi boleh laras dengan pemanas, dan kini dengan tujuh beg udara.

Sistem pacuan dikekalkan, bermakna Golf GTi masih dikuasakan oleh enjin 2.0-liter 4-silinder TSI yang menjana 242hp dan 370Nm tork. Output disalurkan ke roda depan melalui kotak gear DSG 7-kelajuan dan sistem XDS.

Untuk harga, terdapat sedikit penambahan kerana ia kini dijual pada harga bermula RM244,990 atas jalan, tanpa insurans. Tetapi memandangkan Golf R-Line kini tidak lagi dijual, ini menjadikan GTi masih varian Golf paling mampu milik di Malaysia.

Inilah harga VW Golf Mk8 R-Line, RM169,990 dengan 150hp, 250Nm

VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) akhirnya mendedahkan harga rasmi Golf Mk8 R-Line untuk pasaran negara ini, iaitu RM169,990.

Harga ini walaubagaimanapun sedikit lebih tinggi dari anggaran RM155,000 hingga RM165,000 semasa tempahannya dibuka pada Februari lepas.

Volkswagen Golf R-Line ini dipasang CKD di Pekan, Pahang dan kerana itu harganya agak menarik, sama seperti GTI.

Golf Mk8 ini dipacu oleh enjin 1.4 TSI yang sama, dengan output 150PS dan 250Nm. Tetapi kotak gear adalah baharu, kini menggunakan automatik 8-kelajuan (torque-converter) yang menggantikan dwi-klac DSG sebelumnya.

Seterusnya, Golf R-Line seperti pada namanya, bermaksud ia mendapat pakej penggayaan seperti Golf R. Kelengkapan luaran adalah rim 17-inci, tayar Bridgestone Turanza T005, lencana R, lampu LED depan dan belakang, serta kemasan ekzos krom.

Di bahagian dalam pula, Golf Mk8 ini mendapat kokpit minimalis dengan kebanyakan kawalan adalah dari skrin dan panel sentuhan haptik.

Tempat duduk adalah fabrik Sardegna dengan pelarasan manual, dan nampak cukup sporti. Panel instrumen di depan pemandu bersaiz 10.25-inci manakala unit infotainmen di tengah bersaiz 10-inci, dengan fungsi navigasi serta Apple Carplay dan Android Auto tanpa-wayar.

Golf R-Line Mk8 hadir dengan pilihan lima warna iaitu Moonstone Grey, Kings Red, Atlantic Blue, Deep Black dan Oryx White.

Seperti biasa, Golf Mk8 dilindungi dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan, penyelenggaraan percuma 3-tahun dan bantuan tepi jalan 5-tahun.

Ulasan VW Golf GTi dan R-Line di litar – Pandu uji

INGIN dinyatakan terlebih dahulu bahawa ini bukanlah pandu uji penuh, sebaliknya hanya tanggapan pertama di litar untuk Volkswagen Golf Mk8.

Tetapi kami dapat memandu uji kedua-dua varian yang dilancarkan iaitu Golf R-Line dan juga Golf GTi, jadi saya akan kongsikan sedikit ulasan untuk kedua-dua kereta dari sesi pemanduan singkat itu.

Disebabkan kedua-dua model menggunakan enjin dan kotak gear berbeza, saya akan ulas mengikut empat aspek; penghantaran kuasa, kotak gear, casis dan pengendalian, dan adakah kereta ini sesuai untuk kegunaan litar.

Golf R-Line

Baik, kita mulakan dengan Golf R-Line dahulu, ya sabar, kita mulakan dengan model asas ya. Jangan terkeliru dengan Golf R yang berharga RM358k, kerana hot hatch itu mempunyai kuasa lebih 300hp, sistem 4Motion dan sebagainya.

Golf R-Line adalah varian ‘lebih mesra’ pemandu dan poket, diasaskan dari Golf 1.4 tetapi dikemaskan dengan pakej R-Line yang memberikannya rupa cukup sporti. Malah ada beberapa aspek seperti tempat duduknya nampak lebih sporti dari Golf GTi sendiri.

Golf R-Line dijual pada harga antara RM155k hingga RM165k, kenapa antara? Kerana Volkswagen Passenger Car Malaysia (VPCM) belum mengesahkan harganya.

Penghantaran kuasa

Untuk aspek ini, harus kita ketahui Golf R-Line dipacu oleh enjin 1.4-liter TSI yang menjana 150hp dan 250Nm tork dari 1,500 hingga 4,000rpm.

Terus terang saya katakan, pecutan Golf ini tidaklah rasa terlalu mengujakan, kerana jika dibandingkan, Honda Civic pun sudah mempunyai 180hp dari enjin 1.5-liter VTEC Turbo padanya. Mungkin juga kerana keadaan Litar Sepang yang luas dan lebar membuatkan daya pecutan dan kelajuan tidak begitu terasa.

Tetapi enjin 1.4 TSI ini mempunyai 250Nm iaitu 10Nm lebih dari Honda Civic, jadi mungkin pecutan dalam gear lebih bertenaga, dan pemanduan seharian dalam bandar lebih ‘ummpph’.

Apa pun, penghantaran kuasa cukup linear dan walaupun enjin ‘ditarik’ hingga ke redline, kabin Golf ini tidak bising dan enjin tidak terasa ‘menjerit’ atau mengaum. Jadi ini membuatkannya selesa untuk diperah ke hujung rpm walaupun enjin ini merupakan unit janaan turbo.

Kotak gear

Untuk Mk8, Golf 1.4 kini menggunakan kotak gear baharu automatik 8-kelajuan jenis torque converter menggantikan DSG dwi-klac pada generasi sebelumnya (Mk7 dan Mk7.5).

Harus dikatakan juga untuk pecutan berterusan di litar seperti ini, kotak gear 8AT ini terasa tidak begitu gembira dihenyak. Ya, ia memang mampu bertahan, tetapi pecutan dari unit 8AT dengan klac tunggal ini bukanlah yang terpantas dan terlancar.

Mungkin juga kerana penulis telah ‘dimanjakan’ dengan kereta-kereta lain dengan kotak gear lebih sporti di litar sebelum ini.

Respon dari input paddle-shifter juga tidak begitu pantas, tetapi menariknya, tetap ada ‘blip’ yang sporti semasa downshifting memasuki selekoh.

Penulis percaya Golf R-Line dengan kotak gear 8AT ini lebih selesa dalam pemanduan biasa dan benar sekali, semasa memandu perlahan memasuki South Paddock, tukaran gear pada 8AT ini sangat lancar dan selesa.

Penulis juga percaya Volkswagen menggantikan DSG dengan 8AT ini bertujuan mengurangkan kos peneyelenggaraan Golf secara amnya, kerana DSG dwi-klac adalah lebih kompleks, jadi pasti lebih tinggi kos menjaganya.

Casis dan pengendalian

Semasa mengambil selekoh tajam dari jalan lurus keluar South Paddock dan terus potong ke Turn 8 dalam konfigurasi South Circuit, casis Golf R-Line ini cukup bersahaja menampung semua daya membelok.

Dan di selekoh panjang berkelajuan tinggi seperti di Turn 12, dapat dirasakan bahawa had pengendalian R-Line ini adalah tayarnya, kerana casis tetap tegap memastikan kestabilan kereta.

Tayar pada Golf ini pun adalah Bridgestone Turanza, sejenis tayar touring dan bukan paling sporti. Jadi jika anda memiliki Golf R-Line dan ingin menaik taraf pengendaliannya, tukarlah tayar dahulu, pasti hasilnya cukup ketara.

Bukan hendak katakan Bridgestone Turanza ini tayar yang tidak bagus, tidak sama sekali, tetapi Turanza lebih kepada ketahanan jangka masa panjang dan sedikit penjimatan bahan api.

Sesuai untuk litar?

Golf R-Line boleh sahaja masuk track day, “tak segan”, orang kata. Pakej R-Line pun sememangnya memberikan gaya sporti padanya.

Tetapi untuk pemanduan lebih optima, mungkin anda boleh tukar tayar. Untuk kereta yang sudah melepasi tempoh jaminan pula, bolehlah menaik taraf pelapik brek.

Golf GTi

Kini kita ke hero pada hari ini, iaitu Golf GTi yang ikonik.

Golf GTi Mk8 dijual pada harga RM212,711 dan ia mendapat harga yang agak kompetitif kerana GTi kini merupakan model pemasangan tempatan (CKD).

Ini merupakan kali pertama kilang VPCM di Pekan memasang Golf GTi dan ini juga kali pertama GTi dipasang selain di Jerman dan China.

Penghantaran kuasa

Terus ke pandu uji, dengan ledakan 245hp dan 370Nm tork dari enjin EA888 2.0-liter TSI, Golf GTi ini jelas terasa lebih bertenaga memecut keluar South Paddock, terus mencapai 150km/j dengan mudah sebelum membrek dan downshift untuk memasuki selekoh pertama yang hampir 180-darjah.

Untuk perbandingan dengan Mk7.5, enjin pada GTi Mk8 ini adalah 15hp dan 20Nm lebih berkuasa.

Pecutan dan penghantaran kuasa juga ditemani dengan bunyi deruman yang cukup merdu, paling jelas dalam mod Sport. Tetapi saya yakin bunyi ini lebih kepada janaan pada pembesar suara, dan bunyi ekzos di luar sebenarnya lebih senyap untuk menepati piawaian Eropah yang semakin ketat.

Tetapi pemanduan setakat ini cukup untuk memberikan senyuman. Apa pun, kita yang memandu perlu kepuasan, bukannya perlukan ekzos terlalu kuat untuk ‘belanja’ orang di luar, betul tak?

Kotak gear

Sekarang, padanan unit DSG 7-kelajuan ini suatu pasangan atau peneman paling ideal untuk enjin 2.0-liter TSI tadi.

Jika enjinnya ibarat suami, kotak gear dwi-klac ini merupakan isterinya, dan boleh dikatakan mereka tidak boleh hidup tanpa satu sama lain. Eh apa yang saya melalut ni.

Point nya ialah, semasa memecut, kita boleh rasakan yang enjin TSI dan kotak gear DSG ini seolah-olah dicipta untuk bekerja bersama.

Kotak gear ini membantu menyampaikan kuasa ke roda dengan cukup cekap dan efektif. Untuk pemanduan litar, pakej drivetrain ini terasa selesa atau “feels at home” di sini.

Upshift begitu lancar dan pantas sekelip mata, dan downshift pula sempurna segala rev-matchingnya dan memberikan sensasi kepuasan untuk pemandu menggunakan paddle-shifter.

Casis dan pengendalian

Antara ciri penting pada Golf GTi yang tiada pada R-Line adalah XDS (pengunci differential elektronik) dan DCC (Dynamic Chassis Control) iaitu penyerap hentak elektronik.

GTi juga dilengkapi suspensi yang 15mm lebih rendah berbanding Golf R-Line, jadi kesemua ini memberikannya rasa yang lebih selesa dan mantap di litar.

XDS bekerja cukup cemerlang untuk memastikan cengkaman optima apabila pedal minyak ditekan rapat semasa keluar selekoh pertama yang agak tajam. Tanpa XDS ini, tayar depan sebelah dalam akan mudah tergelincir, hasilnya kuasa terbazir dan kereta menjadi understeer.

DCC pula memastikan kawalan badan cemerlang sama ada di jalan lurus atau di selekoh, olengan badan (body roll) jelas kurang pada GTi, lantas membantu tayar Bridgestone Potenza padanya membekalkan cengkaman maksima.

Menariknya, saya dapat rasakan juga bahawa tayar belakang mengikut cukup baik sebarang input agresif di tayar depan, seolah-olah tayar depan dan belakang bersama-sama membantu kereta membelok.

Ini saya percaya hasil dari talaan geometri suspensi yang cukup baik oleh jurutera-jurutera Volkswagen.

Sesuai untuk litar?

Sudah tentu! Dengan yakinnya saya berani katakan bahawa Golf GTi ini boleh sahaja terus dibawa ke litar sebaik anda menerima kuncinya dari bilik pameran. Keluar kedai terus boleh lenjan!

Kesimpulan

Dapat disimpulkan di sini bahawa Golf R-Line dan GTi masing-masing direka untuk tujuan dan golongan pemilik berbeza walaupun berasaskan model sama.

Saya tidak sabar untuk melihat bagaimana Golf R-Line cukup praktikal untuk kegunaan seharian dan adakah Golf GTi juga selesa untuk pemanduan di luar litar.

Akhir sekali, kami teruja untuk mengetahui apa yang mampu Golf R tawarkan, iaitu sebuah hot hatch lebih hardcore. Jentera ini sememangnya sebuah monster jika dilihat spesifikasinya, adakah ia seronok dan mudah dipandu? Sama-sama juga kita nantikan.

VW Golf GTI mendarat di Malaysia, 245hp/370Nm, RM212k sahaja

AKHIRNYA lagenda hot hatch, Volkswagen Golf GTI kini telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, kini dengan generasi ke-8 atau Mk8.

Ia ditawarkan pada harga cukup menarik iaitu RM212,711 (atas jalan dengan pengecualian SST, tanpa insurans). Jika anda masih ingat, Golf GTI Mk7.5 semasa dilancarkan pada 2019 adalah lebih mahal, hampir RM240k.

Golf GTI Mk8 ini mendapat harga lebih kompetitif kerana ia kini dipasang secara tempatan (CKD) di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang. Ia juga model GTI pertama dipasang di kilang CKD itu.

Tidak perlu pengenalan lagi, Volkswagen Golf GTI merupakan bapa kepada segala hot hatch, diperkenalkan sejak 1975 dan kini lebih 2.3 juta unit terjual.

Golf GTI Mk8 dikuasakan oleh enjin 2.0 TSI yang berupaya menjana 245PS dan 370Nm tork, sementara kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear DSG 7-kelajuan.

Ia menggunakan suspensi MacPherson di depan serta multilink di belakang, dan mempunyai suspensi sport serta pengunci differential XDS untuk penghantaran kuasa optima di selekoh.

Hot hatch ini menampilkan sistem Vehicle Dynamics Manager untuk pemandu melaras segala tetapan mengikut seleranya.

Dari segi rupa luaran, Golf GTI Mk8 boleh dibezakan dari lampu LED matriks IQ Light, bar lampu melintang hingga ke logo depan (bukan DRL), strip merah di fender, gril honeycomb, dan tayar Bridgestone Potenza S005.

Selain itu, GTI juga mendapat ekzos berkembar, spoiler belakang, serta lencana GTI di gril depan dan pintu but belakang.

Golf GTI Mk8 ini juga menampilkan Driver’s Workspace iaitu kokpit digital sepenuhnya. Ia terdiri dari paparan instrumen 10.25-inci, kawalan sesentuh haptik, dan sistem infotainmen dengan skrin 10-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto tanpa-wayar.

Unit infotainmen ini juga menyokong sistem arahan suara yang boleh diaktifkan dengan menegur “Hello Volkswagen” atau menekan butang suara pada stereng.

Ciri lain adalah tempat duduk sports balutan kulit Vienna dengan pelarasan berkuasa, fungsi memori dan sokongan lumbar.

Volkswagen Golf GTI Mk8 hadir dengan lima pilihan warna – Kings Red, Atlantic Blue, Moonstone Grey, Deep Black, dan Oryx White.

Golf GTI dilindungi dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan, dan penyelenggaraan percuma tiga tahun.

Volkswagen Golf Mk8 2022 bakal dilancar, GTI dan R-Line, CKD?

BUAT peminat Volkswagen Golf yang lama sudah lama menunggu, berita baik untuk anda. Volkswagen Passenger Cars Malaysia (PVCM) telah mengesahkan kehadiran Golf Mk8 serba baharu.

Setelah kira-kira setahun dilancarkan secara global, Golf Mk8 kini sedia untuk menemui pasaran Malaysia dan setakat ini, dua varian disahkan untuk pelancaran: GTI dan R-Line. Kedua-dua model juga dilaporkan akan terus dipasang secara CKD di fasiliti VPCM di Pekan, Pahang.

Satu pencapaian menarik juga untuk operasi CKD VPCM kerana ini merupakan kali pertama Golf GTI dipasang di sini, jadi tidak hairanlah mereka mengambil sedikit masa sebelum melancarkannya.

Jadi, berkenaan Golf Mk8, hatchback generasi kelapan dibina di atas platform MQB Evo dengan janaan kuasa dari enjin EA888 2.0-liter turbo 4-silinder.

Enjin ini lebih berkuasa dari GTI Mk7.5 sedia ada, membekalkan 245hp da 370Nm tork iaitu 15hp dan 20Nm lebih dari sebelumnya.

Kotak gear masih sama, iaitu DSG dwi-klac 7-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Untuk pengetahuan, Golf GTI Mk8 di pasaran lain mempunyai pilihan manual 6-kelajuan.

Apa pun, Golf GTI Mk8 ini tetap mempunyai prestasi memberangsangkan, dengan pecutan 0-100 dalam 6.2 saat dan kelajuan maksima 250km/j (dihadkan secara elektronik).

Baharu pada Mk8 ialah Vehicle Dynamics Manager yang mengaturkan kawalan differential dan penyerap hentak DCC. Namun belum dipastikan sama ada unit pasaran Malaysia mendapat ciri ini.

Untuk varian R-Line yang lebih mampu milik, ia akan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo baharu, menggantikan enjin 1.4-liter pada Mk7 dan Mk7.5 sebelum ini.

Terdapat dua tahap kuasa untuk unit 1.5-liter baharu ini iaitu 130hp/200Nm dan 150hp/250Nm, kami rasa kita akan dapat versi lebih berkuasa, dengan padanan automatik DSG 7-kelajuan.

Dari gambar-gambar yang ditayangkan di laman web Volkswagen, dapat dilihat Golf Mk8 ini menampilkan kluster instrumen digital sepenuhnya, di samping unit infotainmen yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Golf ini juga akan mendapat lampu belakang LED rekaan baharu, memberikannya imej lebih segar. Jika anda berminat, klik di sini untuk tempahan dan maklumat lanjut.