Arkib Tag: MAEPS

Art of Speed 2026 kembali gegarkan MAEPS 1-2 Ogos ini

Acara tahunan Art of Speed bakal memeriahkan Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pada 1-2 Ogos 2026.

Mempertaruhkan tema musim panas, AOS 2026 menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran kenderaan kustom serta pentas SoundCircus yang merangkumi ruang dalaman seluas 452,084 kaki persegi dan kawasan luar 320 ekar.

Pameran unik

Antara tetamu jemputan antarabangsa yang bakal memeriahkan AOS 2026 termasuklah Emi Suganuma, Michihisa “NATQQ” Shinotsuka & Shohei Murakami dari MOONEYES, Wataru Kato dari Liberty Walk, serta Ronald Wong selaku Ketua Pereka Produk Hot Wheels Premium.

Turut dipamerkan barisan motosikal dan kereta kustom seperti Harley-Davidson KnuckleHead 1945 (Hawgholic), Harley-Davidson Shovelhead 1966 (Vise Clothing), serta pameran kenderaan kustom dari Bangkok dan Taiwan.

Tidak ketinggalan, pameran jenama terkenal seperti Liberty Walk, Hot Wheels, DICE Magazine, DRUM, Touch ‘n Go, Zippo, Cricket, Skillo dan Easthood.

Segmen AOS Invitational Build-Off membariskan lapan pembina motosikal kustom seperti Chaos Custom, Valley Machines, Rocketeer Custom Art, Bad Soul Cycle Custom, Mujo Joros, AR Choppers, Fazben Custom dan Sedarah MC.

Pemenang berpeluang untuk membawa hasil kerja ke acara Yokohama Hod Rod Custom Show 2026 yang ke-34 di Jepun.

Penawaran diecast eksklusif

Seperti biasa, konvensyen rasmi Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) kembali memeriahkan Dewan C yang membawakan pelbagai aktiviti interaktif.

Antaranya ialah Activation Zone, pameran serta pertandingan Hot Wheels Diorama, zon jual beli, serta sesi perkongsian bersama pengumpul.

Untuk konvensyen tahun ini, HWCCM mempertaruhkan model kustom Nissan Skyline GT-R V-Spec II (BNR34) yang dihasilkan dalam unit terhad.

Setiap unit hadir dengan nombor siri unik, lesen rasmi daripada Nissan, serta pelekat tulen Motul dan Yokohama.

Dewan C juga akan mempamerkan barisan kereta Nissan Skyline GT-R sebenar dengan kerjasama Malaysia Skyline Owners Group (MSOG).

Sebagai pembuka tirai, acara majilis makan malam rasmi akan diadakan di BoraOmbak Marina, Putrajaya pada malam sebelum acara utama berlangsung.

Selain Hot Wheels, AOS 2026 akan menampilkan pelancaran model diecast eksklusif Kyosho x MOONEYES, Tarmac Works x RWB, dan Mini GT x Liberty Walk.

Aktiviti tambahan

Sepanjang AOS 2026, pengunjung boleh menikmati aktiviti tambahan yang disediakan termasuklah:

  • pameran Santai Scooterist
  • himpunan kelab kereta
  • pameran gaya hidup di Dewan D
  • Automotive Flea Market
  • zon jualan barangan memorabilia
  • pengalaman Flying Fox
  • sesi tunggang uji motosikal daripada jenama terkemuka

Kehadiran artis popular

Festival SoundCircus (SCF) menampilkan enam pentas membariskan artis tempatan dan antarabangsa termasuklah Ella x Cokelat, Sheila Majid, Disagree dan Hujan.

SCF akan berlangsung sepanjang hujung minggu 1-2 Ogos bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam.

Aktiviti Kembara Passport tawar hadiah lumayan

Aktiviti ikonik Kembara Passport kini dibuka kepada semua pemegang tiket tanpa mengira kategori.

Pengunjung hanya perlu mengumpulkan 24 cap untuk berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai RM80,000, serta pakej pelancongan eksklusif bersama Art of Speed.

Pemenang bertuah bakal membawa pulang hadiah berupa:

  • motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles
  • skuter Vespa S 125
  • Honda HR-V yang telah diubah suai oleh Qartel TV

Tiket kemasukan

Untuk tempoh masa terhad, AOS 2026 menawarkan pas hujung minggu berharga RM35 yang boleh dibeli secara dalam talian.

Tiket kemasukan di kaunter pula ditetapkan pada harga RM40. Kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang kad OKU akan menikmati kemasukan percuma.

 

Malaysia Autoshow 2024 cipta rekod, jualan cecah RM1.4 bilion

ACARA Malaysia Autoshow 2024 telah melabuhkan tirainya dengan mencipta rekod tersendiri. OEM (Original Equipment Manufcaturer) melaporkan potensi jualan keseluruhan RM1.4 bilion.

Ini terdiri dari 2,600 tempahan dan 13,799 jualan, sekaligus mencatatkan pencapaian dalam industri automotif negara.

Acara yang diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) dari 21 hingga 26 Mei itu telah menghimpunkan lebih 200 jenama dan pempamer. Acara ini juga mencatatkan 226,876 pengunjung, peningkatan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sebanyak 47 pelancaran dibuat, selain pelbagai sesi pandu uji dengan laluan lebih panjang termasuk litar off-road untuk 4×4. Sebanyak 6,623 sesi pandu dan tunggang uji direkodkan untuk tahun ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata: “Sambutan menggalakkan Malaysia Autoshow 2024 jelas menunjukkan minat dan keyakinan terhadap industri automotif negara.

“Rantau Asia Tenggara pula baru-baru ini dilabel sebagai pasaran auto kedua terbesar, Malaysia mempunyai asas teguh untuk memacu pertumbuhan sector ini, terutamanya kenderaan elektrik (EV),” tambahnya.

Inilah rupa jentera lumba Proton S70 R3 S1k, lihat depan mata di Malaysia Autoshow 2024

INI dia tuan-tuan dan puan-puan, jentera lumba Proton S70 R3 yang akan berentap dalam acara Sepang 1000km (S1k).

Jika anda mahu melihat dengan lebih dekat Proton S70 R3 ini, bolehlah ke acara Malaysia Autoshow 2024 yang akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula 22 hingga 26 Mei ini kerana ia akan dipamerkan kepada umum buat kali pertama.

S70 R3 merupakan kereta lumba serba baharu pertama Proton R3 sejak Saga R3 pada tahun 2019, menandakan kembalinya jenama tersebut ke perlumbaan S1k.

Setakat hari ini, Proton R3 mempunyai lima kemenangan di tangannya, lebih banyak daripada pasukan yang lain, termasuk meraih kemenangan selama tiga tahun berturut-turut dari 2017 hingga 2019.

Masih lagi dalam pembangunan, kereta yang dipamerkan menampilkan evolusi terbaru pakej aerodinamik yang disesuaikan untuk kereta lumba ini.

Dua unit kereta baharu ini bakal dipertandingkan oleh pasukan pada perlumbaan S1k tahun ini.

“Proton mempunyai sejarah panjang dalam sukan permotoran, bermula dengan Proton Saga dan penglibatan kami semakin meningkat dengan penubuhan Proton R3 pada tahun 2003,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

“Sejak itu, kami telah bersaing dan menang pelbagai pertandingan hingga ke peringkat global dengan model seperti Proton Satria, Waja, Suprima S, Iriz, dan versi terbaru Saga.

“Kini dengan Proton S70 R3, kami menambah satu lagi pencapaian dalam legasi kami, menandakan bukan sahaja kembalinya nama Proton ke acara S1K tetapi juga kereta lumba pertama berdasarkan model yang dibangunkan bersama oleh Proton dan Geely,” tambahnya.

Pembeli dan pengunjung dapat meningkatkan pengalaman mereka di Malaysia Autoshow 2024 dengan promosi eksklusif dan ganjaran dari Proton sepanjang acara tersebut.

Pengunjung yang terus membuat tempahan model Proton akan menerima hadiah eksklusif seperti pelindung matahari, pembaca tol, dan pengecas tanpa wayar untuk model terpilih.

Promosi istimewa juga ditawarkan khusus untuk tempahan yang dibuat di Malaysia Autoshow dengan pendaftaran sebelum 30 Jun 2024.

Ini termasuk penyelenggaraan percuma selama dua tahun untuk model X50, X70, dan X90 serta baucar tunai RM500 untuk model S70, Saga, dan Persona.

Terdapat juga Test Drive Lucky Spin di mana peserta dapat memutar roda bertuah untuk memenangi barangan eksklusif Proton setelah memandu uji model Proton.

Off The Grid 2024 acara khas untuk pencinta gaya hidup outdoor

PADA 23 hingga 25 Februari ini, Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) akan dimeriahkan dengan acara Off The Grid (OTG) yang dibawakan khas untuk pencinta gaya hidup outdoor.

Acara yang dianjurkan oleh Art of Speed (AOS) itu diinspirasikan daripada acara gaya hidup outdoor tahunan terbesar di Jepun iaitu Fieldstyle dan menyasarkan kira-kira 30,000 pelawat.

Bakal diadakan di Dewan A MAEPS yang menawarkan keluasan 150,000 kaki persegi, OTG 2024 menampilkan lima tarikan utama seperti berikut:

  • Pameran vendor gaya hidup outdoor yang melibatkan jenama-jenama terkemuka seperti Montanic Adventure Store, Anbot Store, Campguru, Eiger Adventure, Pahlawan Store, Outside Malaysia, EcoFlow, dan banyak lagi.
  • Brew Festa memperkenalkan konsep slow bar di mana barista meluangkan masa mereka untuk membuat kopi secara cermat khas untuk pencinta kopi yang ingin mengaktifkan neuron di otak mereka.
  • BBQ Showdown adalah mimpi ngeri buat vegan kerana ia merupakan acara memanggang daging yang akan dihoskan oleh MeatXpert Premium Butcher.
  • Makers Jamboree & Pasor Dinda Ladies Market adalah tempat terbaik untuk pemburu item vintaj dan rare.
  • Aktiviti-aktiviti menarik untuk seisi keluarga termasuk skimpoolsurf skate, Roller Disko, perlumbaan strider dan cabutan bertuah setiap jam untuk memerka yang membelanjakan RM100 dalam satu resit.

Di samping lima tarikan utama ini, pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan tradisional dan akustik, serta menyertai meet up van camper, penggemar MINI RC Crawler dan banyak lagi.

Para peniaga di OTG 2024 juga berpeluang menyertai pertandingan reruai (booth) terbaik yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Booth Penjual Terbaik (Makanan dan Komuniti) dan Booth Jenama Terbaik.

Pemenang bagi setiap kategori akan memenangi tiket perjalanan untuk seorang ke Jambori Fieldstyle 2024 di Nagoya, Jepun pada 18  dan 19 Mei 2024.

Mereka yang berminat untuk mengunjungi OTG 2024 boleh mendapatkan pas hujung minggu secara dalam talian pada harga RM35 atau RM50 jika dibeli di lokasi. Pas ini sah untuk kemasukan selama tiga hari.

Selain itu, terdapat juga pas hari berharga RM15 jika dibeli secara dalam talian atau RM20 jika dibeli secara terus di lokasi. Kemasukan adalah percuma untuk kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dan pemegang kad OKU.

Tiket boleh dibeli melalui laman web rasmi https://otg.artofspeedmy.com/ticket/. Sebarang pembelian dalam talian hanya akan dikenakan bayaran RM3 untuk yuran pemprosesan bagi setiap tiket.

BMW akan pamer pelbagai model terkini di Malaysia Autoshow 2023

BMW Group Malaysia akan mempersembahkan pelbagai model kenderaan baharu di samping tawaran ulang tahun ke-20 yang menarik di acara Malaysia Autoshow 2023 di MAEPS.

Anda dialu-alukan untuk menyaksikan barisan kenderaan yang bakal dirungkaikan oleh BMW Group Malaysia di Dewan A1 (Premium Hall) dan Dewan D (EV Hall) dan menikmati sesi pandu uji yang eksklusif serta tawaran istimewa yang disediakan hanya di Malaysia Autoshow 2023.

Berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), pintu masuk akan dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 10 malam pada tarikh 4 hingga 7 Mei 2023.

Tiket kemasukan am bagi warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia masing-masing berharga RM15 dan RM25 sehari, berserta parkir percuma di kawasan premis tersebut.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi: “Sebagai pengeluar kenderaan premium No. 1 di Malaysia untuk tiga tahun berturut-turut, kami berasa teruja untuk merungkaikan barisan kenderaan luar biasa kami yang serba ekstensif di Malaysia Autoshow – iaitu sebuah acara automotif antara yang paling dinanti-nantikan setiap tahun.

“Berlatarkan sambutan yang semakin meluas terhadap portfolio kenderaan elektrik kami dalam kalangan pelanggan baharu dan juga yang lama, kami benar-benar teruja untuk menunaikan janji Sheer Electric Driving Pleasure kami kepada ramai lagi pemilik kenderaan elektrik di pameran tersebut.

“Beberapa lagi kenderaan berprestasi tinggi merentasi portfolio-portfolio kami yang bakal mempesona para peminat jentera BMW dan MINI,” tambahnya.

BMW Group Malaysia turut menyiarkan satu video menunjukkan bayangan model-model yang akan dipamerkan, antaranya 3-Series LCI 2023, CE04 dan MINI Electric 2023.

Terus memperkukuhkan komitmen mereka terhadap Mobiliti Berelektrik, Kelestarian dan Sirkulariti di sini, BMW Group Malaysia juga akan merungkaikan sebuah solusi rintis bagi ekosistem kenderaan elektrik di Malaysia yang mengetengahkan aspek Sirkulariti dan Tanggungjawab – menerusi kerjasama dengan pembekal solusi pengecasan yang terkemuka, EV Connection.

Pembelian tiket boleh dibuat melalui ticket2u. Untuk maklumat lanjut mengenai Malaysia Autoshow 2023, sila layari https://autoshow.my/.