Arkib Tag: m performance

Kit M Performance ini menjadikan BMW M2 2023 lebih sporti dan dinamik

BMW telah memperkenalkan M2 2023 baru-baru ini yang menimbulkan kontroversi dan perdebatan mengenai rupa parasnya. Dan kali ini, pengeluar Jerman itu melancarkan pula komponen M Performance untuk coupe sports ini.

Ia menjadikan BMW M2 ini lebih agresif, hampir seperti jentera lumba. Kesemua panel badan tambahan di depan, sisi, dan belakang adalah dari CFRP (carbon fibre reinforced plastic). Spoiler belakang boleh ditukar dengan sayap lebih besar.

Gentian karbon juga digunakan pada perumah cermin sisi dan ruang kemasukan udara di depan yang dikritik hebat. Item M Performance lain di luar ini termasuklah tali tunda merah, pelekat hitam, dan tulisan “M Performance” di skirt sisi.

M Performance turut memberikan pilihan rim aluminium dengan warna Jet Black atau Frozen Glod Bronze, dengan saiz 20-inci di depan dan 21-inci di belakang.

Modifikasi tidak terhad kepada kosmetik, kerana bahagian ekzos contohnya mendapat naik taraf. Ia kini menggunakan peredam titanium yang 8kg lebih ringan, serta flap yang dikawal secara elektronik. Flap ini akan memberikan bunyi berbeza bergantung sama ada menggunakan mod Sport atau Sport+.

Dari segi pengendalian pula, ia ditingkatkan melalui spring yang boleh dilaras ketinggian. M2 dengan M Performance boleh direndahkan sehingga 10mm untuk pengendalian lebih tajam.

Pakej M Performance ini juga merangkumi beberapa barangan di bahagian dalam seperti kemasan gentian karbon dan Alcantara, stereng Pro dengan pedal penukaran gear gentian karbon, dan jahitan dengan warna M.

BMW berkata barangan M Performance ini boleh mula didapati April depan selepas M2 mula dijual.

BMW 5-Series edisi terhad dengan ‘jajan’ M Performance, 30 unit sahaja

AUTO Bavaria mengumumkan pengeluaran BMW 5-Series G30 LCI (facelift) yang hadir dengan pelbagai barangan M Performance serta komponen percuma lain.

5-Series edisi terhad ini hadir dalam varian 530e M Sport dan 530i M Sport, dan hanya 30 unit akan ditawarkan.

Apa yang anda dapat pada versi edisi terhad ini adalah seperti berikut:

  • BMW M Performance High Gloss Black Kidney Grille
  • BMW M50 Years Wheel Cap
  • BMW M Performance Carbon Fibre Mirror Cover
  • BMW M50 Years Emblem (Front and Rear Bonnet)
  • BMW M Performance Carbon Fibre Steering Cover
  • BMW LED Door Lights Projector
  • BMW Gloss Black Air Duct Trims (Left and Right)
  • BMW M Performance Set of Paddle Shift
  • BMW M Performance Floor Mats
  • BMW Advanced Car Eye 2.0 dashcam
  • Samsung Galaxy S22 Ultra
  • Sttoke Ceramic Reusable Cup
  • Complimentary tinting

BMW 530e M Sport dan 530i M Sport ini masing-masing berharga RM362,800 dan RM420,800. Harga adalah termasuk dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej servis berjadual percuma.

Sebagai perbandingan, 530e biasa berharga RM358,217 manakala 530i berharga RM402,800, dan harga-harga ini juga termasuk dengan pakej jaminan dan servis serupa.

BMW 2-Series Limited Edition khas untuk pasaran Malaysia, 50 unit sahaja

HANYA 50 unit ditawarkan, perkenalkan BMW 2-Series Limited Edition yang padat dengan alatan M Performance seperti berikut:

Gril depan MPA Shadowline
Perumah cermin sisi gentian karbon
Spoiler belakang M
Projektor pintu LED dan M Performance Slides

Sedan ini juga hadir dengan tiga pakej berbeza iaitu “Aesthetics”, “Signature Sound”, dan “Best of Both Worlds”.

Pakej Aesthetics memberikan gaya sporti dan edgy, serta hadir dengan baucar petrol bernilai RM3,000. Signature Sound pula memberikan audio berkualiti dengan sistem premium Harman Kardon serta pembesar suara Bluetooth Harman Kardon.

Jika anda pilih pakej Best of Both Worlds, anda akan dapat kesemua barangan dari Aesthetics dan Signature Sound. Kesemua pakej juga diberikan Bersama dengan filem tint dan cawan seramik Sttoke yang boleh diguna semula.

Aspek lain adalah sama seperti BMW 218i, dimana kereta ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo 3-silinder yang menghasilkan 140hp dari 4,600 hingga 6,500rpm serta 220Nm tork dari 1,480 hingga 4,200rpm.

Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan. Ini membolehkan BMW 2-Series Limited Edition ini memecut ke 100km/j dalam 8.7 saat, dan kelajuan maksima adalah pada 213km/j.

Ciri standard lain termasuklah lampu depan LED, rim 18-inci Style 819 M dwi-tona, keyless entry, butang push start, balutan kulit Dakota, lampu kabin Boston, dan BMW Live Cockpit Professional dengan dua paparan 10.25-inci.

BMW 2-Series edisi terhad ini boleh menjadi milik anda dengan harga bermula RM227,800.