Arkib Tag: logistik

Chery Malaysia, Tiong Nam Logistics jalin kerjasama strategik

CHERY Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menandatangani perjanjian perkhidmatan logistik bersama Tiong Nam Logistics Holdings Berhad.

Menerusi perjanjian ini, Tiong Nam Logistics memperoleh hak untuk mengendalikan penggudangan dan penghantaran alat ganti serta model-model keluaran Chery seperti Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Tiong Nam merupakan sebuah syarikat perkhidmatan logistik dan penggudangan yang bereputasi tinggi dan terkemuka dengan lebih 90 gudang alat ganti di Malaysia. Persetujuan ini menandakan satu peristiwa penting dalam penubuhan kerjasama antara kedua-dua pihak.

“Malaysia dilihat sebagai pasaran yang sangat baik dan cerah di Asia Tenggara,” kata Leo Chen, Pengarah Negara bagi Chery Malaysia.

Menurut beliau lagi, Malaysia telah muncul sebagai pasaran penting untuk perkembangan Chery di dunia. Sebagai salah satu ekonomi terbesar di ASEAN, perkembangan ekonomi Malaysia yang stabil dan pasaran automotif yang penuh potensi menjadikannya pasaran strategik untuk kenderaan pemanduan kanan Chery.

Dengan kemasukan Chery ke Malaysia, syarikat itu akan menjalinkan hubungan dengan negara-negara jiran dan terus mengukuhkan pengaruh pasarannya di Asia Tenggara.

Dalam pada itu, Chery dan Tiong Nam sedang giat membina pasukan yang kuat dan bekerja mengikut mekanisme kerja 4P + 2P Chery.

MAN Malaysia anjur acara penyerahan terbesar kepada 14 syarikat logistik

MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd baru-baru ini menyerahkan trak MAN generasi baharu kepada 14 pelanggannya dari seluruh negara yang merangkumi pelbagai sektor ekonomi dalam acara penyerahan terbesar pernah diadakan setakat ini.

Acara bersejarah itu disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua bagi Kawasan Jualan Antarabangsa bagi MAN Truck & Bus SE, Roman Sitte, yang mengunjungi Malaysia buat julung kalinya.

Sitte memuji pelanggan Malaysia kerana berpandangan jauh dan kesanggupan mereka untuk menerimapakai teknologi dan menyertai usaha ke arah kemampanan.

Syarikat-syarikat yang menerima trak MAN baharu pelbagai model dan spesifikasi adalah Juta Cahaya Gemilang Sdn Bhd (Pulau Pinang), Sikap Mawar Sdn Bhd (Pulau Pinang), Mekar Angkut Sdn Bhd (Kelantan), Pancaran Matahari Logistics Sdn Bhd (Kelantan), Zha Pengangkutan Sdn Bhd (Terengganu), SBK Logistics Sdn Bhd (Johor Bahru dan L&R Haulage Sdn Bhd (Negeri Sembilan).

Turut menerima trak MAN masing-masing adalah syarikat-syarikat dari Lembah Klang iaitu AG Sdn Bhd, Gamalux Sdn Bhd, Gill Logistics Sdn Bhd, NX Transport Service (M) Sdn Bhd, Rani Transport Sdn Bhd, Sidhu Brothers Transport Sdn Bhd dan Taipanco Sdn Bhd.

10 daripada syarikat tersebut merupakan pelanggan MAN kali pertama, mencerminkan keyakinan yang kian meningkat di kalangan ahli industri logistik terhadap jenama dari Jerman itu.

Pada November 2021, MAN menjadi pengeluar trak pertama di Malaysia yang menawarkan enjin Euro V sebagai ciri standard bagi seluruh rangkaian produknya.

Kini, setelah lebih setahun kemudian, trak MAN dengan enjin Euro V mendapat pujian daripada para pemilik syarikat dan pemandu trak.

Bagi pemilik perniagaan, manfaat yang diperolehi dapat dirasakan menerusi prestasi, ekonomi bahan api, penyenggaraan yang lebih rendah, peningkatan dari segi masa berkendali dan kecekapan kos secara keseluruhan.

Pemandu pula menghargai keselesaan, keselamatan, ergonomik, kuasa, pembrekan dan gaya.

Scania serah 16 unit trak G410 baharu kepada Kontena Nasional

SCANIA menyerahkan 16 unit trak G410A6x2NZ baharu kepada Kontena Nasional (KN), sebahagian dari 46 unit prime mover yang dijangkan diserahkan tahun ini.

Trak-trak itu dijangkan menambah baik ketahanan, kecekapan bahan api, pelepasan karbon, dan menambah kekerapan beban bagi pihak KN.

Penyerahan itu dibuat oleh Pengarah Urusan Scania Southeast Asia, Heba El Tarifi kepada CEO KN, Nik Muzani Nik Abdul Aziz di ibupejabat di Petaling Jaya.

KN dan Scania telah bekerjasama lebih 50 tahun dengan penyerahan lebih 400 buah trak.

KN yang mula ditubuhkan pada 1971 merupakan antara syarikat logistik utama di Malaysia dengan pelbagai perkhidmatan seperti membawa barangan berat, pergudangan, perkapalan, pengangkutan, dan pengagihan.

Syarikat ini juga mempunyai cawangan di Port Klang, Johor, Pulau Pinang, dan Kuantan yang meliputi jaringan logisitik seluruh semenanjung Malaysia.

Trak Scania G410 direka dengan penggunaan bahan api untuk pelepasan karbon yang rendah dengan enjin dan aerodinamik maju. Ia juga menawarkan ciri keselamatan seperti Electronic Braking System, selain pilihan pemanduan dan rehat yang selesa.

G410 juga menampilkan Economy Mode dan Fleet Management System Control 10 yang menilai kemahiran pemandu, seterusnya memberikan lebih penjimatan bahan api bagi merendahkan lagi kos operasi keseluruhan.