Arkib Tag: litar sepang

Petronas mahu bawa semula F1 ke Sepang pada 2026?

SYARIKAT minyak dan tenaga negara, Petronas, telah menafikan berita berkenaan mereka akan membawa semula Formula Satu (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang pada 2026.

Dalam satu kenyataan rasmi, syarikat itu menjelaskan, “Petronas merujuk kepada laporan-laporan berita yang disiarkan pada 31 Januari 2024 berkenaan kemungkinan kembalinya Grand Prix Formula Satu ke Sepang, Malaysia, pada 2026.”

“Kami ingin mengesahkan tiada perbincangan dalam membawa semula sukan itu ke Petronas Sepang International Circuit.”

CEO Sepang International Circuit, Azhan Shafriman Hanif juga menafikan ura-ura itu semalam.

F1 di Malaysia tidak lagi dianjurkan selepas 2017 (kali terakhir) berikutan kenaikan kos penganjuran dan penurunan jualan tiket.

Litar Sepang merupakan litar pertama rekaan Hermann Tilke yang berjaya memasuki kalendar F1. Ia menjadi kegemaran para pemandu disebabkan rekaannya yang mencabar, laju, selain cuaca yang sukar dijangka menjadi penentu semasa perlumbaan.

Ura-ura berkenaan kembalinya F1 ke Malaysia telah timbul hampir setiap tahun sejak 2018, tetapi tiada yang menjadi kenyataan setakat ini.

Aston Martin i8 Vantage GT4 singgah di Litar Sepang selepas acara Thailand Super Series 2022

ASTON Martin Racing Asia memberi penghormatan kepada penampilan sulung i8 Vantage GT4 di Thailand Super Series 2022 menerusi satu acara di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.

Dalam perlumbaan pertama penuh aksi dan mendebarkan yang diadakan antara 27 Oktober hingga 30 Oktober di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Bangkok, i8 Vantage GT4 yang dipandu Adam Khalid telah berjaya menduduki tempat ketiga dalam Kelas GTC Production.

Aston Martin i8 Vantage GT4 merupakan sebuah kereta yang dibina khusus untuk perlumbaan litar yang ekstrem.

Ia berjaya mempamerkan prestasi tinggi dengan enjin V8 4.0 liter yang lebih besar dan suspensi yang dinaik taraf, sekaligus menyediakan pakej aerodinamik yang lebih baik di arena.

“Saya berterima kasih kepada Aston Martin Racing Asia dan penaja kami kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk memandu i8 Vantage GT4 ke tahap maksima di Thailand Super Series 2022,” kata Adam Khalid.

“Saya berharap dapat mencipta sejarah dengan i8 Vantage GT4 dalam perlumbaan seterusnya pada bulan Disember,” tambahnya.

Adam telah membuat pendakian menakjubkan dalam tangga perlumbaan di Asia. Dalam jangka masa yang singkat, beliau merangkul anugerah “Rookie of the Year”, menjuarai Festival Kelajuan sebanyak tiga kali dan menjadi pemenang dua kali Kejohanan Endurance Malaysia.

Pengalamannya kini melonjak jauh apabila beliau merentas batasan dengan i8 Vantage GT4.

Semasa acara di Litar Antarabangsa Sepang, para penonton telah berpeluang untuk mendekati dan menyaksikan aksi i8 Vantage GT4 melalui interaksi langsung bersama pemandunya, Adam Khalid dan pasukan perlumbaan beliau.

Pengunjung terpilih juga telah menikmati peluang eksklusif, sekali seumur hidup dipandu mengelilingi litar oleh Weiron Tan, Pengetua Pasukan Aston Martin Racing Asia, dalam satu-satunya i8 Vantage GT4.

Boleh tunggang PEV (kenderaan mudah alih elektrik) di Litar Sepang, slot RM62.50 sahaja

BAIK, ini ada peluang menarik untuk anda pemilik/penunggang kenderaan elektrik mudah alih (portable electric vehicle atau PEV). Anda boleh usung PEV anda ke Litar Sepang dan ujinya di sana!

Ya, boleh tunggang apa sahaja e-skuter, e-bike, hoverboard, electric unicycle atau e-skateboard milik anda di Litar Antarabangsa Sepang sepanjang 5.543km yang pernah menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 (F1).

Sepang International Circuit (SIC) telah mengumumkan PEV Open Track Day yang akan diadakan buat pertama kali pada 3 Disember ini.

Sesi itu akan berlangsung pada 8:00 malam hingga tengah tengah malam, di North Paddock. Pendaftaran boleh dibuat di Pit 5 dan 6 dan anda boleh parkir kereta di ruang P1, P2 dan P3.

Yuran kemasukan ialah RM62.50 sahaja satu kepala. Berminat? Boleh daftarkan slot anda secara online, hanya imbas kod QR di poster ini.

 

Untuk keselamatan, terdapat beberapa peraturan mudah yang perlu dipatuhi. Anda mestilah mempunyai top keledar dan kasut bertutup penuh. SIC juga menyarankan anda memakai pelapik siku dan lutut.

Sudah tentu peserta mestilah telah divaksinasi sepenuhnya, bermakna telah melepasi 14 hari dari tarikh dos kedua untuk Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, atau melepasi 28 hari untuk vaksin satu dos J&J dan CanSino.

Pitstop Café juga akan dibuka sepanjang masa dan makanan serta minuman luar tidak dibenarkan.

SIC berkata bahawa penganjuran ini dibuat memandangkan peningkatan populariti kenderaan PEV di Malaysia selain mempromosikan mobiliti bersih dan mesra alam.

Sebelum ini, SIC juga pernah menganjurkan Open Track Day untuk penunggang basikal.

Tiada lagi Petronas dan SIC dalam pasukan SRT, bakal bergerak solo tahun depan?

SELEPAS Petronas menamatkan kerjasama sebagai penaja Sepang Racing Team (SRT), disahkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) juga akan mengikut jejak langkah syarikat petroleum negara itu.

Perkembangan itu diumumkan sendiri Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif dalam satu sidang media.

Menurut Shafriman, SRT atau Sepang Racing Team akan bergerak secara bersendirian bermula musim 2022 dan perkara berkenaan sudah diputuskan menerusi perbincangan dengan Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali.

“Pada tahun depan, pasukan yang ada sekarang bawah Datuk Razlan akan bergerak secara persendirian dan SIC tidak akan menyokong lagi pasukan berkenaan selepas ini,” kata Shafriman.

“Ini bermakna pasukan SRT akan bergerak asing daripada SIC. Jadi SIC tidak ada pasukan di MotoGP pada tahun depan. Mungkin akan ada proses penjenamaan semula tetapi ia masih dalam perbincangan,” tambahnya.

Petronas mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak selaku penaja utama SRT selepas mula bekerjasama pada 2018 dalam saingan Moto2 dan Moto3.

Ia kemudian disusuli dengan penubuhan pasukan yang beraksi di kelas elit, MotoGP sebagai pasukan satelit Yamaha iaitu Petronas Yamaha SRT pada 2019. Mereka menggunakan khidmat pelumba Fabio Quartararo serta juara dunia Moto2 2017, Franco Morbidelli.