Arkib Tag: Litar Nurburgring

Toyota GRMN Corolla 2027, hot hatch yang lebih ‘hardcore’ untuk tawan Nurburgring

Empat tahun selepas Toyota GR Corolla diperkenalkan, anda kini boleh dapatkan versi yang lebih ‘hardcore‘ dalam bentuk GRMN Corolla.

Sama seperti model-model GRMN terdahulu, pembangunan GRMN Corolla ini tertumpu di Litar Nurburgring selain menerapkan pengalaman daripada penglibatan dalam sukan permotoran.

Ia menampilkan casis yang lebih tegar, kuasa yang lebih tinggi, kit badan yang lebih ekstrem, dan paling penting ia kini boleh muat dua orang sahaja.

Lebih aerodinamik

GR Corolla versi standard telah pun menerima struktur casis yang lebih tegar, terima kasih kepada penambahan struktur perekat sebanyak 13.9 meter kepada 32.7 meter.

Versi GRMN pula menggunakan asas tersebut dan menambah komponen aerodinamik untuk pemanduan berkelajuan tinggi.

Antaranya ialah liang hud enjin, liang fender serta spoiler hadapan yang diperbuat daripada gentian karbon.

Selain itu, sayap belakang gentian karbon juga mempunyai mekanisme larasan manual 1 darjah sebanyak 5-tahap.

Suspensi talaan eksklusif

Hot hatch ini turut dipadankan dengan suspensi talaan khusus untuk cengkaman yang lebih baik ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Setiap komponen tersebut diberikan larasan ke tahap milimeter untuk memastikan keseimbangan yang optimum.

Aspek pemanduan dibantu dengan penggunaan getah Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih lebar 10 mm berbanding GR Corolla standard.

Akhir sekali, GRMN Corolla diberikan talaan semula pada sistem stereng EPS dan pacuan GR-Four untuk kestabilan pemanduan yang lebih baik.

Enjin lebih bertenaga

Selain casis dan aspek pengendalian, Toyota turut menaik taraf enjin sedia ada ke tahap yang lebih tinggi, 300 hp dan 415 Nm!

Angka tersebut boleh dicapai terima kasih kepada penglibatan dalam Super Taikyu Series menerusi GR Corolla yang dipadankan dengan enjin berkuasa hidrogen.

Untuk mengekalkan kestabilan prestasi, GRMN Corolla turut hadir dengan sistem penyembur intercooler tambahan.

Buat masa ini, GRMN Corolla hanya ditawarkan eksklusif dengan transmisi manual iMT 6-kelajuan.

Lebih ringan

Sebagai sebahagian daripada pakej pengurangan berat, Toyota telah membuang tempat duduk belakang.

Dengan ini, GRMN Corolla 30 kg lebih ringan berbanding GR Corolla, menyumbang kepada nisbah kuasa-ke-berat yang lebih baik.

Kokpit lebih mesra pemandu

Untuk menjadikan pemandu lebih fokus, GRMN Corolla didatangkan beberapa kelengkapan eksklusif.

Antaranya ialah tempat duduk pemandu bucket penuh berdasarkan posisi pelumba Super Taikyu Series, dengan binaan bahan polimer bertetulang gentian kaca (GFRP).

Ruang kabin GRMN Corolla menggunakan skema warna yang lebih gelap, diikuti dengan kemasan gentian karbon.

Akhir sekali, logo GRMN yang disulam pada perehat kepala, trim Alumite Red pada trim pintu dan tombol gear, tandatangan Morizo pada papan pemuka dan plet nombor bersiri GRMN.

Unit produksi terhad untuk tiga negara sahaja

Sayang sekali, GRMN Corolla hanya akan diproduksikan dalam unit yang agak terhad.

Ia juga tidak akan dijual secara meluas, sebaliknya dikhususkan untuk pasaran Jepun, Amerika Utara dan Australia sahaja.

GR Corolla Morizo RR

Tidak cukup dengan GRMN Corolla, Toyota sedang membangunkan sebuah lagi varian GR Corolla di bawah label Morizo RR.

Jika GRMN Corolla hadir dengan transmisi manual 6-kelajuan, GR Corolla Morizo RR pula direka khas dengan transmisi automatik DAT 8-kelajuan.

Lebih penting, ia masih lagi mengekalkan konfigurasi lima tempat duduk walaupun luar tampak ekstrem.

Toyota GRMN Corolla 2027

Inilah dia kereta VW paling pantas di Nurburgring – Golf GTI Edition 50

Tahun depan (2026) menandakan ulang tahun yang ke-50 sejak model Golf GTI pertama kali menjengah dunia, dan Volkswagen mempunyai cara tersendiri untuk meraikan pencapaian tersebut.

Bertempat di Litar Nurburgring, Volkswagen berjaya memecahkan rekod pusingan terpantas dengan catatan masa 7 minit 46.13 saat menggunakan hot hatch Golf GTI Edition 50.

Ini menjadikan jentera tersebut sebagai kereta jenama Volkswagen yang terpantas di Litar Neraka Hijau mengalahkan model Golf R 20 Years (7:47:31) dan Golf Clubsport S (7:49:21).

Sebagai info, catatan masa Golf GTI Edition 50 dibuat dalam konfigurasi litar penuh sepanjang 20.8 km berbanding catatan masa format lama (20.6 km) yang digunakan pada dua model Golf yang disebutkan tadi.

Sayang sekali, Golf GTI Edition 50 masih belum cukup pantas untuk memecahkan rekod pesaingnya Honda Civic Type R dalam kategori kenderaan pacuan roda depan yang mencatatkan masa 7:44:481 yang dibuat pada tahun 2023.

Volkswagen akan memperkenalkan Golf GTI Edition 50 pada acara perlumbaan endurans 24 jam di Nurburgring pada 20 Jun ini, membawakan opsyen Performance Package yang merangkumi rim aloi 19 inci yang lebih ringan, tayar semi-slick Bridgestone Potenza serta naik taraf casis.

Unit prototaip Xiaomi SU7 Ultra padamkan rekod Porsche Taycan Turbo GT di Nurburgring

Siapa sangka, pengeluar yang sinonim dengan peranti pintar kini mempunyai resepi yang cukup ampuh untuk membuatkan para jurutera Porsche tidak duduk diam di Litar Neraka Hijau.

Xiaomi Auto baru-baru ini telah berjaya mencatatkan rekod sedan elektrik terpantas mengelilingi Litar Nurburgring Nordschleife dengan catatan masa 6 minit 48.874 saat menggunakan model prototaip SU7 Ultra.

Biarpun berstatus prototaip, ia sudah cukup pantas untuk memadamkan catatan masa yang dibuat oleh Porsche Taycan Turbo GT (7 minit 7.55 saat).

Menurut laporan CarNewsChina, pengeluar tersebut pada mulanya berdepan dengan cabaran yang sukar, di mana cubaan catatan masa tersebut terpaksa ditangguhkan beberapa kali akibat faktor cuaca.

Xiaomi SU7 Ultra diumumkan pada pertengahan tahun lalu sebagai varian berprestasi tinggi yang dilengkapi dengan unit pacuan elektrik HyperEngine V8s.

Dengan tetapan tiga motor elektrik, Xiaomi SU7 Ultra mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,548 hp, memecut sepantas 1.97 saat dari pegun sebelum mencapai 100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j.

Ia merupakan satu angka yang cukup mengkagumkan datang daripada pengeluar peranti pintar.

 

Malah, produk sedan elektrik Xiaomi itu sendiri turut meninggalkan impak yang besar kepada orang besar automotif.

Menurut laporan beberapa laman media, CEO Ford Jim Farley dikatakan telah mengimport satu unit daripada Shanghai dan memandu sendiri sedan elektrik Xiaomi SU7 untuk tempoh enam bulan.

“Saya tidak begitu suka bercakap tentang persaingan terlalu banyak, namun saya sudah memandu (sedan) Xiaomi. Saya telah memandunya selama enam bulan, dan tidak mahu melepaskannya,” ujarnya.

Xiaomi bercadang untuk menziarahi Litar Nurburgring semula pada tahun 2025 untuk melakukan semula cubaan catatan terpantas menggunakan model produksi yang sebenar.

Xiaomi SU7 Ultra Prototype sedia beri cabaran kepada Porsche Taycan Turbo GT

Mercedes-AMG One pecah rekod sendiri di Litar Neraka Hijau, 6 minit 29 saat!

Setelah dua tahun berlalu, Mercedes-AMG kembali ke Litar Neraka Hijau untuk memecahkan rekod sendiri di dalam kategori kenderaan produksi terpantas.

Mercedes-AMG One yang dipandu oleh pelumba DTM Maro Engel berjaya mencatatkan rekod pusingan sepantas 6 minit 29.090 saat, atau lebih pantas lima saat berbanding rekod terdahulu (6:35.183).

Pencapaian ini sekaligus meletakkan Mercedes-AMG One sebagai kenderaan produksi pertama yang berjaya memecahkan halangan 6:30 minit dalam litar yang terkenal itu.

Cubaan memecahkan rekod tersebut dibuat pada 23 September yang lalu, di mana pada ketika itu Litar Nurburgring mencatatkan suhu serendah 15 darjah Celcius, serta suhu aspal 20 darjah Celcius.

Hypercar bernadikan enjin F1 itu dilengkapi dengan tayar standard Michelin Pilot Sport Cup 2 R MO yang direka khas untuk AMG One.

Dalam cubaan yang dibuat, pemandu uji AMG One itu menggunakan mod pemanduan Race Plus yang merendahkan ketinggian gandar hadapan sebanyak 37 mm dan gandar belakang sebanyak 30 mm.

Selain itu, jentera AMG One tersebut telah ditala dengan nilai camber maksimum yang dibenarkan, selain memanfaatkan sistem pengurangan seretan (DRS) dan sistem bateri hibrid dengan lebih cekap berdasarkan ujian simulasi yang telah dibuat sebelum ini.

Mercedes-AMG One dilengkapi dengan enjin F1 1.6 liter bentangan V6, digandingkan dengan empat motor elektrik dan kuasa keseluruhan yang mampu mencecah 1,049 hp.

 

Lotus Evija X catat masa ketiga terpantas di Litar Neraka Hijau

Litar Nurburgring Nordschleife, atau dikenali dengan nama Neraka Hijau merupakan lokasi wajib bagi para pengeluar automotif untuk menguji prestasi jentera pantas masing-masing.

Terbaharu, Lotus telah memuat naik video rakaman pemanduan mengelilingi litar terkenal tersebut di dalam sebuah hypercar binaan sekali (one-off), iaitu Evija X.

 

 

Lotus Evija X yang sangat agresif itu mencatatkan pusingan sepantas 6:24.047 saat, namun sayang sekali ia bukanlah catatan masa yang terpantas pernah direkodkan.

Kereta yang lebih pantas berbanding Lotus Evija X? Dua jentera lumba, iaitu Volkswagen ID.R dengan catatan masa 6:05.336 saat, dan Porsche 919 Hybrid Evo (5:19.546 saat).

Lotus tidak mendedahkan perincian spesifikasi Evija X, bermakna ia berkemungkinan besar mempunyai kuasa 2,011 hp dan 1,704 Nm yang sama seperti model jalanan.

 

Apa yang mencuri tumpuan ialah kehadiran pakej aero yang sangat ekstrem, seperti contoh kehadiran splitter depan gergasi, sayap belakang besar, serta ruang kabin yang kosong tanpa kelengkapan mewah.

Aspek penting seperti gantungan, brek dan tayar telah dinaik taraf untuk memastikan jentera ini melekat dengan baik di setiap selekoh.

Disebabkan naik taraf yang disebutkan itu tadi, Evija X mampu mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j, dengan janaan daya mendap maksimum sehingga 4,500 kg!

 

Toyota Technical Center Shimoyama kini lengkap, fasiliti seakan Litar Nurburgring

Selain daripada kehadiran pelbagai jenis litar lumba yang terkenal, rakyat Jepun terutama warga Toyota boleh berbangga mereka kini mempunyai sebuah fasiliti yang mirip kepada Litar Neraka Hijau (Nurburgring), atau lebih tepat lagi Toyota Technical Center Shimoyama.

Terletak di kawasan pergunungan yang melintasi bandar Toyota dan Okazaki, pusat penyelidikan dan pembangunan Toyota itu mula beroperasi sepenuhnya pada 25 Mac yang lalu.

 

 

Mula dibina pada April 2018, pusat R&D itu menampilkan tiga seksyen utama, iaitu:
Central Area
-mula beroperasi April 2019
-menempatkan litar ujian ala Nurburgring sepanjang 5.3 km

Eastern Area
-mula beroperasi Oktober 2021
-terdapat litar ujian berkelajuan tinggi serta litar ujian khusus

Western Area
-mula beroperasi Mac 2024
-fasiliti pembangunan kenderaan baharu Toyota dan Lexus

 

 

Menepati tema ‘Litar Nurburgring’, Toyota turut menghasilkan rekaan ruang dalaman pusat R&D ini yang menyerupai rasa dan pengalaman ketika berada di lorong pit Nordschleife.

Di sini, kesemua 3,000 orang kakitangan termasuklah pemandu uji akan berkumpul untuk menilai dan menambah baik kenderaan baharu yang sedang dibangunkan, dibantu dengan pelbagai jenis kelengkapan digital canggih.

Fasiliti baharu ini juga turut menempatkan bangunan pelawat di mana ia akan menjadi tempat berkumpul rakan-rakan strategik dan pembekal Toyota.

 

 

Menurut Toyota, lebih daripada 60 peratus daripada kawasan seluas 650 hektar itu mengekalkan tumbuh-tumbuhan dan pokok hijau yang asal, selain kawasan hijau yang baharu dibangunkan sepenuhnya.

Pengerusi Toyota, Akio Toyoda turut menyifatkan pusat R&D baharu ini sebagai ‘tempat untuk memandu, merosakkan dan menambahbaik kereta’ yang sedang dibangunkan.

“Lebih banyak usaha dibuat untuk memandu dan merosakkannya, kereta itu akan menjadi semakin baik. Sebagai seorang ‘master driver‘, saya sendiri tidak sabar untuk menghabiskan banyak masa memandu di sekitar Shimoyama.”