Arkib Tag: limosin

Peminat JDT boleh naik limosin Hummer, RM30 untuk 10 minit

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) memberi peluang kepada peminatnya dan pengunjung ke Stadium Sultan Ibrahim untuk merasai pengalaman berharga menaiki kenderaan mewah Hummer Limosin mengeliling stadium ikonik skuad Harimau Selatan itu.

Ketua Unit Komersial Kelab Bolasepak JDT Kevin Ramalingam berkata, Hummer Tour itu adalah antara tarikan baharu buat pengunjung untuk meluangkan masa di ‘rumah’ JDT bermula minggu ini.

Beliau berkata, perkhidmatan itu sejajar dengan hasrat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu stadium serba canggih itu menjadi tumpuan orang ramai susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika negara memasuki fasa endemik bermula 1 April.

Katanya, selain pembukaan pembukaan restoran makanan segera, Woodfire Burger, pihaknya turut merancang untuk mengadakan lawatan stadium secara lebih dekat buat peminat setia JDT.

“Woodfire dan Hummer Tour adalah tarikan yang pertama, selepas ini lebih banyak restoran menarik yang akan dibuka,” kata Kevin.

“Sebenarnya, banyak program menarik yang kita rancang namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan banyak sekatan, maka terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Jadi bermula 1 April ini, banyak yang akan dibuka dan harapnya dalam masa tiga bulan akan datang banyak lagi tarikan diperkenal,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Kevin berkata, apabila negara beralih ke fasa endemik, beliau berharap segala perancangan yang dibuat JDT bagi menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai tarikan pengunjung dapat berjalan dengan lancar.

Katanya, dengan bayaran serendah RM30, pengunjung berpeluang menaiki Hummer Limosin bagi mengelilingi stadium selama kira-kira 10 minit.

“Bagi peringkat awal, JDT Hummer Tour akan beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

“Jika ia mendapat sambutan luar biasa, mungkin perkhidmatan ini akan diadakan pada setiap hari dengan disertakan peluang melawat ke dalam stadium,” katanya.

Sumber gambar: Facebook JOHORean Sport Team

Cadillac Eldorado The American Dream – Dari impian menjadi kisah sedih

KEMUNCULANNYA pasti menarik perhatian ramai namun limosin panjang bukanlah sesuatu yang baru. Anda pasti pernah ternampak sebuah di jalan raya atau paling kurang pun, dalam filem-filem Hollywood seperti The Mask, Pretty Woman dan sebagainya.

Bagaimanapun, limosin yang diketengahkan dalam artikel ini bukan calang-calang kerana ia merupakan pemegang gelaran limosin terpanjang di dunia yang dianugerahkan oleh Guinness World Book of Records.

Dikenali dengan jolokan “The American Dream”, limosin unik yang berasaskan Cadillac Eldorado ini direka oleh Jay Ohrberg pada 1986.

Nama itu mungkin kurang dikenali dalam industri automotif namun dalam industri perfileman, Ohrberg dikenali ramai sebagai individu yang bertanggungjawab menghasilkan KITT dalam Knight Rider dan Delorean dalam Back to the Future.

Dengan ukuran panjang kira-kira 100 kaki, The American Dream boleh dianggap seperti kapal layar mewah darat. Ia mempunyai tidak kurang dari 24 buah tayar dan juga ruang mendarat helikopter (helipad) yang boleh dijadikan sebagai ‘putting green’ golf.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan apa sahaja kelengkapan dan kemudahan yang sepatutnya ada pada sebuah limosin mewah seperti bar mini, set televisyen, telefon, sofa kulit dan cermin privasi.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dikatakan mempunyai sebuah katil dengan tilam air bersaiz king, spa dan sebuah kolam renang lengkap dengan papan anjal.

Menurut laporan, limosin ini mempunyai bukan satu tetapi dua buah enjin dan kokpitnya dikatakan terletak pada kedua-dua bahagian hujung, bermakna ia boleh dipandu dari bahagian depan atau belakang. Bahagian tengahnya juga disambungkan dengan engsel bagi memastikan ia dapat membelok di selekoh.

Oleh kerana ia tidak sah untuk dipandu di jalan raya, The American Dream dikatakan terbiar begitu sahaja di sebuah kawasan parkir di New Jersey.

Apabila ia dijumpai semula sekitar awal 2010-an, kereta itu berada dalam keadaan yang menyedihkan dengan kebanyakan kelengkapan dalaman dan luaran telah pun dicuri.

Bagaimanapun, pada Mei 2020, Motor1.com melaporkan yang limosin itu telah pun dibawa ke muzium kereta Dezerland Park di Florida untuk proses restorasi. Namun, sehingga kini masih belum ada perkembangan terbaru mengenainya.

Nak gaya macam menteri? Ini limosin yang anda patut beli

SEKARANG situasi politik negara kita jadi perhatian selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, dan Malaysia kini menanti PM baharu.

Menteri-menteri dan pemimpin negara biasanya menaiki kenderaan rasmi yang mewah dan menarik, tapi bagaimana kalau kami beritahu yang anda juga boleh memiliki ‘kereta kayangan’?

Untuk senarai kali ini, kami akan bentangkan beberapa limosin menarik, ada yang mampu milik, ada yang harga keras sikit. Tapi gerenti menarik. Kalau lalu sekatan jalan raya naik limosin-limosin ni, pasti ‘lepas’ punya!

1. Proton Saga 1.5 Limousine – RM15,800

Ini ialah model tahun 1995, berasaskan Proton Saga generasi pertama. Limosin ni kalau anda seorang YB tahun 1990-an, mungkin ada kereta ini di rumah. Mungkin nak pergi ke parlimen atau melawat kawasan, boleh naik Saga Limousine ini.

Tapi dalam tahun 2021 ini, kami rasa Proton Saga Limousine putih ini boleh dibeli untuk hobi kalau anda berminat nak jaga. Sebabnya kita boleh lihat bampar besi depan dan belakang padanya masih yang asal, lampu pun sama. Malah rim kompang warna badan tu pun masih yang asal!

Nampak memang terjaga rapi. Harga pun kami rasa cukup berbaloi untuk satu model yang menjadi sejarah automotif negara.

2. Volvo 940 GLE Limousine – RM51,800

Yang ini up sikit, sebuah limosin yang segak dan mempunyai saiz cukup gah. Volvo GLE 940 Limousine ini semasa dilancarkan lewat 90-an dulu, harganya sekitar RM220,000 hingga RM250,000, lebih kurang sebuah BMW 5-Series.

Kini harganya lebih kurang sebuah Perodua Myvi baharu, sangat berbaloi.

Rupa luar dan dalam masih sangat cantik, menurut iklannya, “accident free, low mileage”. Volvo ini mempunyai konfigurasi tiga tempat duduk belakang, dan dua di tengah yang menghadap belakang. Di tengahnya juga terdapat satu peti kayu, memang bergaya habis.

3. Mercedes E320 Limousine – RM95,000

Baik, kalau anda nak gaya taiko Eropah, ini dia Mercedes E320 Limousine dari tahun 1996. E-Class generasi W210 walaupun sudah lebih 25 tahun, masih nampak ada kelas.

E320 Limousine ini sebenarnya model 6-pintu, tetapi dua pintu tengah hanya boleh dibuka dari dalam dan tiada pembuka di luar. Menarik.

Mercedes E320 ini dikuasakan enjin 3.2-liter V6 supercharge dengan kotak gear automatik 5-kelajuan. Kalau tukar car warna hitam mesti lagi ‘kayangan’!

4. Proton Perdana Limousine – RM105,500

Dalam banyak-banyak kereta dari senarai ini, kami rasa model ini paling sesuai kalau nak pergi parlimen.

Proton Perdana 2.4 Limousine ialah extended version dari Honda Accord yang di-rebadge oleh pengeluar nasional itu pada 2016. Difahamkan hanya 5 unit pernah dihasilkan, dimana salah-satu darinya ialah untuk Pengerusi Proton pada masa itu, Tun Mahathir.

Berbanding Honda Accord atau Proton Perdana 2016, versi Limousine ini 32-inci lebih panjang dan dikuasakan enjin 2.4-liter i-VTEC dengan 177hp dan 222Nm tork. Amacam?

5. Chrysler 300 Limousine – RM780,000

Yang seterusnya ini ialah Chrysler 300 Limousine, unit recond tahun 2016. Harganya agak ‘keras’ iaitu RM780,000, tetapi bagi kami, cukup mewah dan rare.

Kalau anda keluar dari Chrysler 300 ini, ibarat seorang superstar hendak turun ke karpet merah menghadiri acara Grammy Awards. Glamour habis!

Untuk memacu limosin gedabak panjang ini ialah unit 3.6-liter Pentastar V6 yang menjana 292hp dan 352Nm tork, dengan kota gear 8-kelajuan dan pacuan semua-roda.

6. Cadillac Escalade ESV Limousine – RM1.2 juta

Limosin terakhir untuk hari ini juga dari Amerika, tetapi sebuah SUV iaitu Cadillac Escalade ESV Limousine.

Escalade merupakan satu SUV popular di Amerika Syarikat, biasa digunakan oleh kakitangan kerajaan, pengiring presiden dan selebriti rapper.

Unit limosin ini dikatakan hanya ada 2 unit di Malaysia, dan merupakan versi pemanduan stereng kanan. Ia mempunyai ruang dalam cukup mewah dengan empat tempat duduk belakang, iaitu dua baris yang menghadap satu sama lain.

Ia dikuasakan oleh enjin V8 6.2-liter, cukup untuk 403hp dan 565Nm tork.

Jemput tonton video di bawah untuk tengok setiap limosin dengan lebih terperinci.