fbpx

Nak gaya macam menteri? Ini limosin yang anda patut beli

senarai limosin

SEKARANG situasi politik negara kita jadi perhatian selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan, dan Malaysia kini menanti PM baharu.

Menteri-menteri dan pemimpin negara biasanya menaiki kenderaan rasmi yang mewah dan menarik, tapi bagaimana kalau kami beritahu yang anda juga boleh memiliki ‘kereta kayangan’?

Untuk senarai kali ini, kami akan bentangkan beberapa limosin menarik, ada yang mampu milik, ada yang harga keras sikit. Tapi gerenti menarik. Kalau lalu sekatan jalan raya naik limosin-limosin ni, pasti ‘lepas’ punya!

1. Proton Saga 1.5 Limousine – RM15,800

Ini ialah model tahun 1995, berasaskan Proton Saga generasi pertama. Limosin ni kalau anda seorang YB tahun 1990-an, mungkin ada kereta ini di rumah. Mungkin nak pergi ke parlimen atau melawat kawasan, boleh naik Saga Limousine ini.

Tapi dalam tahun 2021 ini, kami rasa Proton Saga Limousine putih ini boleh dibeli untuk hobi kalau anda berminat nak jaga. Sebabnya kita boleh lihat bampar besi depan dan belakang padanya masih yang asal, lampu pun sama. Malah rim kompang warna badan tu pun masih yang asal!

Nampak memang terjaga rapi. Harga pun kami rasa cukup berbaloi untuk satu model yang menjadi sejarah automotif negara.

2. Volvo 940 GLE Limousine – RM51,800

Yang ini up sikit, sebuah limosin yang segak dan mempunyai saiz cukup gah. Volvo GLE 940 Limousine ini semasa dilancarkan lewat 90-an dulu, harganya sekitar RM220,000 hingga RM250,000, lebih kurang sebuah BMW 5-Series.

Kini harganya lebih kurang sebuah Perodua Myvi baharu, sangat berbaloi.

Rupa luar dan dalam masih sangat cantik, menurut iklannya, “accident free, low mileage”. Volvo ini mempunyai konfigurasi tiga tempat duduk belakang, dan dua di tengah yang menghadap belakang. Di tengahnya juga terdapat satu peti kayu, memang bergaya habis.

3. Mercedes E320 Limousine – RM95,000

Baik, kalau anda nak gaya taiko Eropah, ini dia Mercedes E320 Limousine dari tahun 1996. E-Class generasi W210 walaupun sudah lebih 25 tahun, masih nampak ada kelas.

E320 Limousine ini sebenarnya model 6-pintu, tetapi dua pintu tengah hanya boleh dibuka dari dalam dan tiada pembuka di luar. Menarik.

Mercedes E320 ini dikuasakan enjin 3.2-liter V6 supercharge dengan kotak gear automatik 5-kelajuan. Kalau tukar car warna hitam mesti lagi ‘kayangan’!

4. Proton Perdana Limousine – RM105,500

Dalam banyak-banyak kereta dari senarai ini, kami rasa model ini paling sesuai kalau nak pergi parlimen.

Proton Perdana 2.4 Limousine ialah extended version dari Honda Accord yang di-rebadge oleh pengeluar nasional itu pada 2016. Difahamkan hanya 5 unit pernah dihasilkan, dimana salah-satu darinya ialah untuk Pengerusi Proton pada masa itu, Tun Mahathir.

Berbanding Honda Accord atau Proton Perdana 2016, versi Limousine ini 32-inci lebih panjang dan dikuasakan enjin 2.4-liter i-VTEC dengan 177hp dan 222Nm tork. Amacam?

5. Chrysler 300 Limousine – RM780,000

Yang seterusnya ini ialah Chrysler 300 Limousine, unit recond tahun 2016. Harganya agak ‘keras’ iaitu RM780,000, tetapi bagi kami, cukup mewah dan rare.

Kalau anda keluar dari Chrysler 300 ini, ibarat seorang superstar hendak turun ke karpet merah menghadiri acara Grammy Awards. Glamour habis!

Untuk memacu limosin gedabak panjang ini ialah unit 3.6-liter Pentastar V6 yang menjana 292hp dan 352Nm tork, dengan kota gear 8-kelajuan dan pacuan semua-roda.

6. Cadillac Escalade ESV Limousine – RM1.2 juta

Limosin terakhir untuk hari ini juga dari Amerika, tetapi sebuah SUV iaitu Cadillac Escalade ESV Limousine.

Escalade merupakan satu SUV popular di Amerika Syarikat, biasa digunakan oleh kakitangan kerajaan, pengiring presiden dan selebriti rapper.

Unit limosin ini dikatakan hanya ada 2 unit di Malaysia, dan merupakan versi pemanduan stereng kanan. Ia mempunyai ruang dalam cukup mewah dengan empat tempat duduk belakang, iaitu dua baris yang menghadap satu sama lain.

Ia dikuasakan oleh enjin V8 6.2-liter, cukup untuk 403hp dan 565Nm tork.

Jemput tonton video di bawah untuk tengok setiap limosin dengan lebih terperinci.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved