Arkib Tag: lelong

Volvo TP21 keluaran 1954 untuk dilelong, ini baru betul ‘kereta kebal’

SUV pertama keluaran Volvo iaitu XC90 hanya muncul di pasaran sekitar awal 2000-an iaitu ketika kenderaan jenis itu semakin meningkat popular.

Namun tahukah anda, pada era 1950-an, pengeluar kenderaan dari Sweden itu sebenarnya sudah mempunyai sesuatu yang boleh dianggap sebagai prototaip SUV?

Dikenali sebagai TP21 “Sugga”, ia sebenarnya dibina menggunakan badan model taxicab PV800 yang dicantumkan dengan casis trak untuk dijadikan sebagai kenderaan off-road untuk kegunaan tentera Sweden.

Ia mempunyai sistem suspensi yang lebih tinggi, fender yang lebih lebar, tayar off-road serta rak akesori pada bahagian belakang dan bumbung untuk mengangkut muatan seperti tong minyak dan penyodok.

Di bawah bonet, terdapat enjin flathead 3.67-liter enam silinder sebaris yang mampu menjana kuasa sebanyak 90 hp, mungkin sudah cukup tinggi pada zaman itu.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi manual empat kelajuan dan sistem pacuan empat roda dengan transfer case dua kelajuan. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai locking differential pada bahagian depan dan belakang.

Menurut laporan, TP21 memasuki fasa produksi pada 1953 sehingga 1958 sebagai kenderaan pembawa anggota dan alat komunikasi. Hanya 720 unit dihasilkan dan ada yang digunakan oleh tentera Sweden sehingga 1990-an.

Unit yang akan dilelong ini tiba di Australia sekitar pertengahan 1980-an dan dikatakan tidak pernah bertukar pemilik sehingga ke hari ini. Ia juga mungkin TP21 yang pertama dibawa masuk negara itu.

Dari segi penyelenggaraan, unit ini telah diservis pada Januari lalu dengan bendalir, palam pencucuh dan tali sawat kipas baharu, pam air yang dibaiki dan radiator yang dibersihkan.

Melihat laman web Collecting Cars, harga pembukaan untuk TP21 ini masih belum diumumkan. Anda rasa, berapa harga tertinggi yang akan dibida?

McLaren F1 ini terjual pada harga RM87 juta, paling mahal di dunia, perbatuan cuma 387km

SEBUAH McLaren F1 tahun 1990an telah terjual dalam acara lelongan dengan harga USD20,465,000 (RM86.76 juta), jauh melebihi harga jangkaan asalnya iaitu USD15 juta (RM63.59 juta). Ini menjadikannya kereta termahal yang dilelong setakat ini untuk tahun 2021.

McLaren F1 dikatakan sebagai sebuah supercar terpenting pada era 1990an. Unit yang terjual ini mempunyai perbatuan (mileage) cuma 387km! Tidak hairanlah ia mampu dilelong dengan harga itu. Ibaratnya seperti baru keluar kilang sahaja walaupun berumur hampir 30 tahun.

Supercar dengan nombor casis 029 ini dilelong dalam acara Gooding and Company’s Pebble Beach yang diadakan hujung minggu lepas. Ianya mempunyai warna Creighton Brown yang hanya pernah dikeluarkan sekali sahaja, bersama dengan kemasan kulit dalam kombinasi Light Tan dan Dark Brown. Warna pun rare!

Pemilik pertamanya tinggal di Jepun, dia telah menyelenggara McLaren ini dengan baik dan jarang memandunya. Kemudian ia dimiliki pemilik kedua yang berbangsa Amerika, yang juga jarang memandu kereta ini.

Melihat McLaren F1 untuk dijual memang jarang. Unit ini datang dengan semua aksesori asal yang menjadikannya satu pakej menarik. Ia juga hadir dengan set bagasi asal yang boleh dimuatkan ke dalam panel tepi kereta ini.

Selain itu, jam Tag Heuer yang rare dan kit alatan baik-pulih titanium berwarna emas juga turut disertakan. Memang cantik habis! Mesti sayang nak guna. Oh ya, tayar Goodyear Eagle F1 asal juga masih berada pada kereta ini.

McLaren F1 mempunyai banyak sebab ia menjadi ikon, antaranya penggunaan bahan termaju yang melangkaui zaman. Antaranya gentian karbon, Kevlar, titanium dan pembalut emas.

Di belakang kokpitnya terletak enjin 6.1-liter V12 dari BMW yang menghasilkan 618hp, memacu roda belakang melalui kotak gear manual 6-kelajuan. Jika diberi jalan yang cukup, ia mampu memecut hingga melebihi 320km/j.

Replika GT40 kereta hero dalam filem Ford v Ferrari ini akan dilelong

PENGGAMBARAN Ford v Ferrari telah lama tamat, dan filem itu ditayangkan di panggung pada November 2019 sebelum memenangi dua Academy Award.

Filem ini menceritakan drama persaingan antara Ford dengan Ferrari di Le Mans pada akhir 1990an, dan kini anda boleh miliki secebis darinya. Apa dia? Sebuah replika Ford GT40.

Salah satu dari enam unit replika GT40 yang digunakan semasa penggambaran akan dilelong dalam acara Mecum Auction bulan depan. Inilah masanya untuk peminat Ford v Ferrari untuk jadikan GT40 itu sebagai koleksi!

Dalam filem itu, kereta ini digunakan oleh Dan Gurney sebagai GT40 bernombor 3 dalam babak perlumbaan Le Mans. Kereta ini kemudian menggunakan pelekat bernombor 88 oleh William Wonder untuk 4 Hours of Daytona.

Kesemua enam unit replika dibina oleh Race Car Replicas di Michigan, direka khas agar serupa spesifikasinya dengan Ford GT40 1966.

Istimewanya mengenai unit yang akan dilelong ini, ia satu-satunya dengan VIN, bermakna anda boleh daftarkannya untuk dipandu di jalanraya. Bayangkan anda pandu ke Publika atau Pavilion pada petang hujung minggu…

Gambar-gambar menunjukkan replika GT40 dengan cat badan oren-kemerahan, rim emas, dan livery perlumbaan yang menyerlah. Kereta ini mempunyai stereng di sebelah kanan, dan bahagian kokpitnya agak ‘kosong’ dengan kemasan berwarna hitam.

Di belakang kokpitnya ialah enjin 5.7-liter V8 dengan kotak gear manual 6-kelajuan menghantar kuasa ke roda belakang. Iklan ini tidak menyatakan angka kuasa dan tork, tetapi pasti bukan sedikit, kan?

Ford v Ferrari menceritakan cubaan Ford untuk membeli Ferrari kerana kelebihan sukan permotorannya. Cadangan Ford itu ditolak oleh Ferrari yang menerima kerjasama dengan Fiat.

Ford kemudiannya nekad mengalahkan Ferrari di perlumbaan berprestij 24 Hours of Le Mans, yang sebelum itu dikuasai Ferrari dari 1960 hingga 1965. Ford GT40 berjaya memenanginya pada 1966.