fbpx

McLaren F1 ini terjual pada harga RM87 juta, paling mahal di dunia, perbatuan cuma 387km

mclaren f1 auction 08

SEBUAH McLaren F1 tahun 1990an telah terjual dalam acara lelongan dengan harga USD20,465,000 (RM86.76 juta), jauh melebihi harga jangkaan asalnya iaitu USD15 juta (RM63.59 juta). Ini menjadikannya kereta termahal yang dilelong setakat ini untuk tahun 2021.

McLaren F1 dikatakan sebagai sebuah supercar terpenting pada era 1990an. Unit yang terjual ini mempunyai perbatuan (mileage) cuma 387km! Tidak hairanlah ia mampu dilelong dengan harga itu. Ibaratnya seperti baru keluar kilang sahaja walaupun berumur hampir 30 tahun.

Supercar dengan nombor casis 029 ini dilelong dalam acara Gooding and Company’s Pebble Beach yang diadakan hujung minggu lepas. Ianya mempunyai warna Creighton Brown yang hanya pernah dikeluarkan sekali sahaja, bersama dengan kemasan kulit dalam kombinasi Light Tan dan Dark Brown. Warna pun rare!

Pemilik pertamanya tinggal di Jepun, dia telah menyelenggara McLaren ini dengan baik dan jarang memandunya. Kemudian ia dimiliki pemilik kedua yang berbangsa Amerika, yang juga jarang memandu kereta ini.

Melihat McLaren F1 untuk dijual memang jarang. Unit ini datang dengan semua aksesori asal yang menjadikannya satu pakej menarik. Ia juga hadir dengan set bagasi asal yang boleh dimuatkan ke dalam panel tepi kereta ini.

Selain itu, jam Tag Heuer yang rare dan kit alatan baik-pulih titanium berwarna emas juga turut disertakan. Memang cantik habis! Mesti sayang nak guna. Oh ya, tayar Goodyear Eagle F1 asal juga masih berada pada kereta ini.

McLaren F1 mempunyai banyak sebab ia menjadi ikon, antaranya penggunaan bahan termaju yang melangkaui zaman. Antaranya gentian karbon, Kevlar, titanium dan pembalut emas.

Di belakang kokpitnya terletak enjin 6.1-liter V12 dari BMW yang menghasilkan 618hp, memacu roda belakang melalui kotak gear manual 6-kelajuan. Jika diberi jalan yang cukup, ia mampu memecut hingga melebihi 320km/j.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved