Arkib Tag: KTMB

Gangguan ETS: KTMB tawar pemulangan tambang penuh dan tuntutan insurans

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan pemulangan tambang penuh kepada penumpang yang tidak meneruskan perjalanan susulan kejadian Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tergendala beberapa hari lepas.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu yang berlaku antara laluan Kamunting dan Bukit Merah.

Tren KTMB. Gambar oleh KTMB

“Kesulitan itu amat dikesali dan penumpang yang tidak meneruskan perjalanan, boleh mendapatkan pemulangan tambang penuh. Mereka diminta menghantar permohonan ke emel: callcenter@ktmb.com.my.”

“Penumpang yang membeli Pelan Takaful Premium boleh membuat tuntutan dengan menghubungi Etiqa Claim Assist 010-368 7829 atau emel kepada support@goinsure.com.my,” katanya.

Mengulas lanjut, KTMB menjelaskan bahawa seperti dimaklumkan melalui kenyataan rasmi, gangguan disebabkan talian elektrik (alat talian atas) terputus membataskan komunikasi kapten untuk membuat pengumuman kepada penumpang.

“Namun, kru tren bertugas sudah mengambil langkah membuat pengumuman di setiap gerabak bagi menyampaikan maklumat berkenaan situasi yang berlaku.

“KTMB turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penumpang yang terkesan sebagai pemakluman,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, lokomotif bantuan juga sudah dihantar tetapi gagal menyelamatkan tren ETS yang terkandas, manakala pemindahan penumpang ke tren ETS bantuan terpaksa dilakukan dengan dibantu oleh kru tren dan kakitangan KTMB yang dihantar ke lokasi.

“Selain itu, penumpang juga diberikan penyegar apabila tiba di Stesen Bukit Mertajam dan Butterworth,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berhubung isu perkhidmatan ETS Kuala Lumpur-Butterworth mengalami masalah teknikal dan terputus elektrik menyebabkannya terkandas dari sekitar jam 5 petang hingga hampir 8 malam.

KTM Komuter akan terima bayaran guna kad kredit, Apple Pay, Samsung Pay

KTM Komuter beberapa hari lepas mengumumkan mereka akan mula menerima pembayaran menggunakan kad debit di stesen Lembah Klang dan Utara.

Ini berikutan pemasangan sistem Pintu Kawalan Automatik (ACG) baharu di stesen-stesen yang menelan belanja RM29 juta selain menyokong sistem pembayaran terbuka.

Gambar oleh: Facebook KTM Berhad

Buat masa ini, hanya kad debit bank tempatan sahaja yang boleh digunakan di stesen komuter. Tetapi RM30 akan dicaj sebagai nilai pegangan sementara (pre-auth) semasa masuk ke stesen, dengan baki dipulangkan dalam tempoh 1-3 hari selepas harga tambang perjalanan ditolak.

Gambar oleh: Facebook KTM Berhad

Menurut KTMB, amaun RM30 ini dipegang untuk memastikan dana mencukupi bagi tambang komuter. Ia untuk meliputi harga tambang maksimum dan mengelakkan perjalanan pengguna terganggu akibat baki tidak mencukupi.

Selain kad debit berlogo MyDebit, sistem ACG yang baru di stesen turut menerima pembayaran kad Touch n Go dan kad Komlink sekarang. Pengguna yang mahu menikmati tambang konsesi 50 peratus seperti warga emas, OKU dan pelajar sekolah, boleh menggunakan kad Komlink.

Penerimaan kad kredit, Apple Pay dan Samsung Pay di masa depan

KTMB juga memaklumkan dalam kenyataan terbaharu, ACG akan membolehkan sistem pembayaran terbuka digunakan di stesen komuter.

Tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat kerana memerlukan sambungan ke setiap perkhidmatan pembayaran secara berasingan. Ini untuk memastikan setiap cara pembayaran benar-benar stabil sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Sehubungan itu, pembayaran menggunakan semua jenis kad kredit akan disediakan di stesen KTM pada akhir November 2023, jelas KTM. Ini akan menyediakan lebih banyak pilihan pembayaran dan fleksibiliti kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan KTM.

Di samping itu, KTM juga menyatakan bahawa pembayaran melalui Apple Pay dan Samsung Pay akan dilancarkan di semua stesen KTM pada awal tahun 2024. Ini membolehkan pembayaran yang lebih efisyen dan terbuka untuk kemudahan semua penumpang.

DMU – tren baharu KTMB dengan janaan diesel dan teknologi moden

KALI ini kita akan bercerita sedikit sebanyak mengenai tren yang bakal memasuki ‘revenue service’ pada bulan ini iaitu Keretapi Tanah Melayu (KTM) Kelas 61 atau lebih dikenali sebagai Diesel Multiple Unit (DMU).

Kalau dilihat dari segi luaran, DMU ini hampir menyerupai tren Electic Multiple Unit (EMU) milik KTM yang lain cuma bezanya adalah kuasa DMU dijana menggunakan enjin diesel.

Disebabkan itu, tren DMU ini tidak mempunyai pantograph serta tidak memerlukan landasan yang lengkap dengan kemudahan elektrifikasi atau Overhead Catenary Line (OCL).

DMU Kelas 61 ini dihasilkan oleh CRRC Zhuzhou Locomotive (CRRC) pada tahun 2018 hingga 2020 sebanyak 13 unit. Dua set tren pertama dihasilkan di kilang CRRC di Zhuzhou, China manakala baki 11 lagi unit dihasilkan di kilang Batu Gajah, Perak.

DMU ini mempunyai kelajuan maksima 140km/j dan mampu membawa 200 hingga 220 penumpang pada satu-satu masa.

Dengan empat koc atau lebih dikenali sebagai gerabak, DMU ini mempunyai surau, kafe mini dan soket 3-pin di kesemua tempat duduk penumpang.

CRRC memberikan sentuhan teknologi terkini dengan pengenalan sistem signal Wireless Train Tracker menggantikan sistem Automatic Train Protection (ATP) yang sekian lama digunapakai oleh pihak KTM.

Selain itu, ia dilengkapi dengan superkapasitor berasaskan graphene bagi menyimpan kuasa membrek serta pecutan.

Sempena laluan Gemas-Kuala Lipis yang akan mula beroperasi pada minggu hadapan, pihak KTM menawarkan tiket percuma bermula 21 hingga 23 Februari kepada pengguna untuk merasai pengalaman menaiki tren DMU ini.

Dengan menggunakan kod promo ‘JOYRIDEDMU’, orang awam boleh mendapatkan tiket percuma ini secara manual di kaunter KTM sahaja.

Jom naik tren KTMB, rebut diskaun 25 peratus!

Menyahut seruan kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memberi diskaun kepada para pelanggannya.

Menerusi Pakej Keluarga Malaysia, para pelanggan KTMB bakal menerima diskaun 25 peratus untuk Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity.

Bagaimanapun, diskaun hanya tertakluk kepada warga Malaysia dengan pembelian minimum empat tiket dalam satu transaksi termasuk dewasa dan kanak-kanak.

Pelanggan berminat mendapatkan diskaun perlu menggunakan kod promo KMKTMB2.

Terdahulu, KTMB bertekad memastikan perkhidmatan tren kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Bagi merealisasikan matlamat itu, KTMB menyasarkan peningkatan jualan tiket ketika musim cuti sekolah pada Mac ini dan sambutan Aidilfitri.

Para pengguna disaran membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau melalui laman sesawang KTMB bagi memudahkan urusan.

Pakej Keluarga Malaysia akan berakhir pada 31 Disember 2022.

KTMB lancar XKB, boleh usung basikal naik tren!

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) baru-baru ini telah melancarkan perkhidmatan terbaharu mereka iaitu tren sewa khas Ekspres Koc Basikal (XKB).

Melalui perkhidmatan baharu ini, para penggemar sukan berbasikal boleh membawa basikal terus ke destinasi pilihan untuk memulakan kayuhan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, perkhidmatan ini dapat memberikan pengalaman unik kepada peminat aktiviti berbasikal sekaligus memenuhi permintaan penumpang yang ingin menikmati perjalanan menggunakan lokomotif diesel.

Ketika majlis pelancaran baru-baru ini, seramai 150 orang peserta telah dibawa menaiki tren XKB dari Stesen Kuala Lumpur ke Stesen Tanjung Malim. Seterusnya, mereka berbasikal sejauh 49km dari Stesen Tanjung Malim melalui Sungai Bil – Behrang Ulu – Sungai Dar sebelum berpatah semula ke Stesen Tanjung Malim.

Koc basikal yang telah diubahsuai ini mampu memuatkan kira kira 60 basikal pada satu-satu masa. Buat masa ini, pihak KTMB mempunyai tiga buah koc XKB.

Pemilik basikal juga tidak perlu khuatir kerana basikal-basikal ini akan diletakkan pada alatan khusus bagi memastikan keselamatan ketika perjalanan.

Pihak KTMB juga bersedia untuk memenuhi permintaan pelanggan sekiranya para pelanggan ingin menyewa koc basikal ini bersama dengan koc tempat duduk serta tempat tidur (ADNS) mahupun koc yang mempunyai kafeteria. Kadar sewaan XKB bergantung kepada pilihan pakej pelanggan serta jarak perjalanan tren.

Untuk tempahan atau pertanyaan lanjut, anda boleh menghubungi pihak KTMB di talian 03-2263 1077 atau emel kepada chartertrain@ktmb.com.my

Tren gagal berhenti di Hentian Kuala Gris, KTMB janji siasat menyeluruh

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melakukan siasatan menyeluruh berhubung kejadian tren yang tidak berhenti di Hentian Kuala Gris, Dabong, semalam.

Siasatan dijangka selesai dalam tempoh seminggu dan akan diumum kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Operasi (KTMB) Mohd Zain Taha berkata, siasatan menyeluruh termasuk aspek teknikal, operasi dan corak perjalanan tren berkenaan.

“Jangkaan siasatan biasanya akan mengambil tempoh dua minggu sahaja kerana panel siasatan akan meneliti dengan lebih terperinci mengenai insiden terbabit.

“Ia akan diserahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan sewajarnya dikenakan terhadap kakitangan yang terlibat,” katanya.

Foto ihsan Facebook/KTMB

Mohd Zain berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Hentian Kuala Gris, hari ini.

Semalam, kegagalan Shuttle Timuran No 51 berhenti di Hentian Kuala Gris menyebabkan 100 pelajar sekolah terkandas ke sekolah,

Setakat ini, empat kakitangan KTMB terlibat terdiri daripada pemandu, pembantu pemandu, penyelia kereta api dan pemeriksa tiket telah digantung tugas.

“Kita juga akan memanggil beberapa lagi kakitangan sebagai saksi untuk melengkapkan kes siasatan.

“Pihak KTMB menganggap insiden ini sepatutnya tidak berlaku dan akan memastikan ia tidak akan berulang lagi,” katanya lagi.

Foto ihsan Facebook/KTMB

Jarak perjalanan kereta api dari Hentian Gris ke stesen Hentian Dabong mengambil masa lebih 15 minit.

Rata-rata penduduk kawasan terbabit menggunakan khidmat kereta api KTMB sebagai pengangkutan awam utama.

Komuter terkeluar landasan, 70 penumpang selamat

KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengesahkan kejadian sebuah tren komuter terkeluar dari landasan berhampiran Stesen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

KTMB dalam satu kenyataan berkata, ketika kejadian terdapat lebih 70 penumpang dalam tren berkenaan.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Mohd Zain Mat Taha bagaimanapun berkata, tiada kemalangan jiwa melibatkan kakitangan atau orang awam dalam insiden terbabit.

Insiden menyebabkan perkhidmatan komuter mengalami kelewatan bagi perjalanan dari Stesen Batu Caves menuju ke Stesen Sungai Gadut.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau menerusi saluran media sosial KTMB.