Arkib Tag: KTM Komuter

Laluan Lingkaran MRT3 diluluskan Menteri Pengangkutan

Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan Skim Rel Akhir bagi Laluan Lingkaran MRT3 telah diluluskan dan ditandangani oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Dalam hantaran di Facebook, MRT Corp turut mendedahkan sebanyak lebih 45,000 maklum balas telah diterima dengan 93.3 peratus memberikan sokongan terhadap projek tersebut.

Laluan Lingkaran MRT3 sepanjang 51.6 km itu akan disepadukan sepenuhnya ke dalam Rangkaian Transit Bersepadu Lembah Klang sedia ada.

Sebanyak 32 stesen akan dibina dengan 10 stesen penukaran dan sambungan strategik kepada 12 laluan rel LRT, MRT, KL Monorel dan KTM.

MRT Corp turut mengumumkan penambahbaikan termasuklah penempatan stesen dan jejambat sepanjang laluan, serta mengurangkan pengambilan tanah daripada 1,012 kepada 690 lot.

“Menerusi kelulusan hari ini, proses pengambilalihan tanah dapat dimulakan dan disasarkan siap menjelang akhir 2026.

“Pihak MRT Corp akan menghubungi komuniti yang terlibat dan memaklumkan penambahbaikan yang dilakukan di kawasan masing-masing,” ujar kenyataan itu lagi.

KTM Komuter akan terima bayaran guna kad kredit, Apple Pay, Samsung Pay

KTM Komuter beberapa hari lepas mengumumkan mereka akan mula menerima pembayaran menggunakan kad debit di stesen Lembah Klang dan Utara.

Ini berikutan pemasangan sistem Pintu Kawalan Automatik (ACG) baharu di stesen-stesen yang menelan belanja RM29 juta selain menyokong sistem pembayaran terbuka.

Gambar oleh: Facebook KTM Berhad

Buat masa ini, hanya kad debit bank tempatan sahaja yang boleh digunakan di stesen komuter. Tetapi RM30 akan dicaj sebagai nilai pegangan sementara (pre-auth) semasa masuk ke stesen, dengan baki dipulangkan dalam tempoh 1-3 hari selepas harga tambang perjalanan ditolak.

Gambar oleh: Facebook KTM Berhad

Menurut KTMB, amaun RM30 ini dipegang untuk memastikan dana mencukupi bagi tambang komuter. Ia untuk meliputi harga tambang maksimum dan mengelakkan perjalanan pengguna terganggu akibat baki tidak mencukupi.

Selain kad debit berlogo MyDebit, sistem ACG yang baru di stesen turut menerima pembayaran kad Touch n Go dan kad Komlink sekarang. Pengguna yang mahu menikmati tambang konsesi 50 peratus seperti warga emas, OKU dan pelajar sekolah, boleh menggunakan kad Komlink.

Penerimaan kad kredit, Apple Pay dan Samsung Pay di masa depan

KTMB juga memaklumkan dalam kenyataan terbaharu, ACG akan membolehkan sistem pembayaran terbuka digunakan di stesen komuter.

Tetapi ia dilaksanakan secara berperingkat kerana memerlukan sambungan ke setiap perkhidmatan pembayaran secara berasingan. Ini untuk memastikan setiap cara pembayaran benar-benar stabil sebelum dibuka untuk kegunaan orang ramai.

Sehubungan itu, pembayaran menggunakan semua jenis kad kredit akan disediakan di stesen KTM pada akhir November 2023, jelas KTM. Ini akan menyediakan lebih banyak pilihan pembayaran dan fleksibiliti kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan KTM.

Di samping itu, KTM juga menyatakan bahawa pembayaran melalui Apple Pay dan Samsung Pay akan dilancarkan di semua stesen KTM pada awal tahun 2024. Ini membolehkan pembayaran yang lebih efisyen dan terbuka untuk kemudahan semua penumpang.

Anthony Loke tinjau perkhidmatan KTM Komuter, TBS

SELEPAS menyamar sebagai penumpang bagi membuat tinjauan operasi LRT pada 5 Disember lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menggunakan taktik sama untuk meninjau perkhidmatan KTM Komuter pula.

Dalam satu hantaran di akaun Facebook rasminya, Ahli Parlimen Seremban itu berkata mengambil tren Komuter dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan bersama dua pembantu.

“Saya menerima banyak maklum balas dari media sosial berkenaan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS,” katanya.

Menurut Loke lagi, beliau akan berjumpa dengan pihak pengurusan KTMB dalam masa terdekat untuk membincangkan cara untuk menambahbaik dan menambah kekerapan perkhidmatan Komuter.

“Saya faham bahawa KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaiktaraf landasan KVDT1 yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala,” tambah beliau.

Selain itu, beliau juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan.