Arkib Tag: koenigsegg

Koenigsegg Jesko tampil dengan badan gentian karbon, trim emas 24 karat

KOENIGSEGG Jesko diperkenalkan pada 2019 sebagai pengganti kepada Agera. Megacar Sweden ini dinamakan sempena nama Jesko von Koenigsegg, bapa kepada pengasas dan CEO, Christian von Koenigsegg.

Menurut Koenigsegg, pengeluaran Jesko dihadkan kepada 125 unit sahaja. Dalam satu hantaran di Instagram baru-baru ini, syarikat itu telah mendedahkan unit terbaru yang dihasilkan.

Pemilik Jesko ini dikatakan mendapat inspirasinya daripada sebuah Agera RS ‘Pheonix’ yang dibina khas untuk mogul hartanah terkenal Amerika Syarikat iaitu Manny Khoshbin.

Seperti Pheonix, setiap panel badan Jesko ini diperbuat daripada gentian karbon diselaputi lapisan clear coat untuk efek berkilat, dengan trim emas 24 karat pada beberapa bahagian termasuk canard depan, lengan cermin sisi, bonet dan bampar depan, sirip skirt sisi dan endplate spoiler.

Bukan itu sahaja, logo Koenigsegg dan bumbung turut dihiasi dengan trim emas, menandakan ia bukanlah sebuah Jesko biasa-biasa.

Jentera ini merupakan varian Attack yang ditala khusus untuk prestasi di litar lumba, seperti yang boleh dilihat pada komponen-komponen aerodinamik yang ditambah untuk meningkatkan downforce termasuk splitter depan, serta diffuser dan spoiler yang lebih agresif.

Di samping Attack, Jesko juga boleh didapati dalam varian Absolut yang secara teorinya boleh mencapai kelajuan maksimum melebihi 480 km/j. Varian ini tidak mempunyai spoiler.

Kedua-dua varian dikuasakan oleh enjin twin turbo 5.0 liter V8 yang boleh menghasilkan kuasa mencecah 1,280 hp dengan petrol biasa atau 1,600 hp dengan bahan api E85.

Dengan transmisi multi clutch sembilan kelajuan yang memacu roda belakang, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang 2.5 saat.

Peta Koenigsegg ini bantu kesan lokasi dan kuantiti hypercar rare seluruh dunia

HYPERCAR ialah satu kelas kereta dengan prestasi ekstrem, harga yang mahal, dan kebiasaannya dihasilkan dengan pengeluaran terhad. Ianya menjadi impian setiap peminat kereta.

Boleh dikatakan antara pembuat hypercar paling dikenali datangnya dari Angleholm, Sweden, yang mengeluarkan Koenigsegg. Mereka mengeluarkan hypercar dengan teknologi baharu dan tercanggih.

Dengan hanya bahan terbaik dan paling sukar ditemui digunakan, setiap unit kereta dihasilkan khas mengikut standard dan pilihan unik setiap klien bilionair yang menjadi pemiliknya. Kebanyakan komponen dipasang menggunakan tangan, memerlukan beratus jam untuk disiapkan.

Hasilnya, seperti dijangka, Koenigsegg sangat sukar ditemui di jalan raya biasa. Tetapi jangan risau, pemilik akaun Instagram @ghostsquadron.koenigsegg telah mencipta ‘peta’ yang boleh membantu peminat menemui lokasi-lokasi jentera hypercar ini berada.

Peta Koenigsegg untuk membantu anda

Akaun @ghostsquadron.koenigsegg dan @koenigseggjesko.registry bekerjasama merekodkan lokasi dan spesifikasi Jesko, maka lahirlah Peta Koenigsegg ini.

Ia menampilkan indeks global dengan kod warna, menunjukkan di mana lokasi pelanggan yang membeli dan mendaftar sebarang model Koenigsegg, dan berapa banyak sesuatu model di negara itu.

Seperti dijangka, terdapat kawasan-kawasan di dunia yang menjadi lokasi tempat tinggal golongan ultra-kaya seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jerman, dan Emiriah Arab Bersatu, dan lokasi sebeginilah lebih dari 10 unit Koenigsegg didaftarkan.

Di Amerika Syarikat sahaja, terdapat 10 atau lebih Koenigsegg di California, mungkin kerana negeri itu juga menjadi tumpuan golongan ultra-kaya dengan pelbagai koleksi kereta eksotik.

Selain itu, Sweden juga tersenarai kerana ianya negara Koenigsegg ini dilahirkan. Walaubagaimanapun, kawasan di Asia menunjukkan tiada Koenigsegg dilaporkan di Brunei.

Apa yang hebat sangat mengenai Koenigsegg?

Koenigsegg ialah salah satu dari beberapa pengeluar yang ditubuhkan hasil dari minat mendalam terhadap kemuncak kejuruteraan dan teknologi canggih.

Christian von Koenigsegg

Pengasasnya, Christian von Koenigsegg, ialah seorang ikon dalam komuniti automotif kerana ia menjadikan matlamatnya untuk keretanya jelas dari minat mandala melalui apa yang dia dan pasukannya hasilkan.

Malah dia sendiri seorang jurutera, jadi dia terlibat secara langsung dalam setiap aspek reka bentuk dan pembuatan setiap model Koenigsegg.

Kemudian kereta Koenigsegg itu sendiri. Hampir setiap model mempunyai rekod tersendiri. Sebagai contoh Koenigsegg CCR. Ianya kereta kedua dihasilkan syarikat itu, merangkul rekod Guiness sebagai kereta produksi terpantas di dunia. CCR mencatat 388km/j di litar ujian di Nardo, Itali.

Koenigsegg One:1

Seterusnya Koenigsegg One:1. Ia mencatatkan fakta kejuruteraan yang cukup menakjubkan. Juruteranya berjaya memperoleh nisbah kuasa-kepada-berat 1hp kepada 1kg berat, iaitu 1,360hp untuk 1,360kg. Bukan sahaja angka 1,360kg itu cukup tinggi, malah ia bersamaan 1MW (MegaWatt) kuasa.

Koenigsegg One:1 ialah kereta pertama dengan 1MW kuasa dan mencapai nisbah kuasa-kepada-berat 1:1 seperti disebut tadi.

Akhir sekali ialah Regera, dimana hypercar ini menjadi puncak kepada kereta hyper-GT. Enjin hibrid padanya mempunyai kotak gear 1-kelajuan dengan transmisi direct-drive, tidak seperti kereta biasa.

Koenigsegg CC850 ini ialah kereta manual terpantas dan paling berkuasa di dunia – 1,385hp

SEDAR-sedar sudah 20 tahun berlalu sejak Koenigsegg CC8 mula memasuki pasaran. Legasi ini diteruskan dengan Koenigsegg CC850, hypercar moden yang nampak mirip kereta asal yang dikeluarkan pada 2002.

Walaubagaimanapun, di bawahnya sangat berbeza, termasuk kotak gear manual 9-kelajuan. Sekejap, biar betul?! Ya, anda tak salah membaca.

Kami akan terangkan selepas ini. Apa pun, beberapa angka. Koenigsegg berkata enjin pada CC850 ini adalah unit 5.0-liter V8 twin-turbo dari Jesko, dan ia menjana 1,385hp dengan bahan api E85.

Dengan petrol biasa, kuasanya menurun sedikit kepada 1,185hp. Tork pula adalah 1,385Nm dan menariknya, berat hypercar ini juga 1,385kg.

Baik, untuk kotak gear tadi. Sama seperti enjin dari Jesko, kotak gear juga dari model ini, yang merupkan “Light Speed Transmission”.

Di dalam kabin, tombol gearnya menampilkan rekaan gated shifter tetapi sedikit berbeza dari Jesko yang merupakan transmisi automatik sequential. Bagi CC850, terdapat pedal klac, bermakna kotak gear ini perlu anda tukar sendiri.

Walaubagaimanapun, ianya bukan sistem manual tradisional. Koenigsegg memasang sistem lebih moden untuk manual ini.

Hasilnya, sebuah kereta yang Koenigsegg gelarkan sebagai – TWMPAFMPC. Fuh, apa maksudnya? The World’s Most Powerful And Fastest Manual Production Car.

Dalam mod manual, CC850 boleh dipandu seperti kereta biasa. Klac perlu ditekan untuk menukar gear, dan jika anda melepaskan klac terlalu laju seperti anda lakukan pada Perodua Axia semasa di sekolah memandu, enjinnya akan termati.

Hanya enam kelajuan dari sembilan gear boleh digunakan pada satu-satu masa, dan gearnya bergantung kepada mod pemanduan. Hanya mod tertentu yang akan membolehkan anda akses kepada semua sembilan gear.

Untuk prestasi, Koenigsegg belum bersedia untuk mendedahkan sebarang angka. Dengan kuasa sedikit rendah berbanding Jesko, ia bukanlah jentera yang akan memecahkan rekod kelajuan tertinggi dunia.

Tetapi dengan lebih dua kali ganda kuasa dari CC8S asal, ia tidaklah perlahan juga.

Hanya 50 unit Koenigsegg CC850 akan dibina, sempena ulang tahun ke-50 pengasas jenama Sweden itu, iaitu Christian von Koenigsegg.

Koenigsegg perkenal Quark – motor elektrik kecil dengan kuasa besar

KOENIGSEGG sememangnya terkenal dengan pelbagai inovasi mereka sendiri yang canggih dan lain dari yang lain seperti teknologi Freevalve dan transmisi Koenigsegg Direct Drive (KDD).

Kini, pengeluar hypercar dari Sweden itu memperkenalkan satu lagi teknologi penting yang bakal digunakan secara meluas dalam model-model keluarannya. Dikenali sebagai Quark, ia merupakan sebuah motor elektrik ultra-kompak yang mampu menjana kuasa yang tinggi.

Menurut Koenigsegg, Quark dibangunkan khusus untuk dipadankan dengan enjin Tiny Friendly Giant (TFG) yang digunakan oleh Gemera namun ia juga boleh digunakan dalam aplikasi lain seperti trenkuasa elektrik, aeroangkasa, Vertical Take Off and Landing (VTOL), marin dan pelbagai lagi.

Secara asasnya, Quark menggabungkan topologi radial dan axial untuk membentuk apa yang digelar sebagai ‘Raxial Flux’. Gabungan topologi ini didakwa mampu memberikan nisbah tork-kuasa-berat yang terbaik dalam industri.

Dakwaan ini mungkin benar kerana motor elektrik itu hanya seberat 30kg (28.5kg tanpa komponen driveline), manakala saiznya tidak begitu besar dengan tinggi tidak melebihi dua buah tin minuman 330ml.

Namun bak kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Satu unit Quark mampu menjana 340PS dan 600Nm secara berterusan selama 20 saat. Selepas itu, kuasanya akan diturunkan kepada 136PS dan 249Nm.

Angka tersebut mungkin tidak begitu mengagumkan pada zaman kini namun harus diingat bahawa Gemera mempunyai tiga unit Quark untuk membantu enjin TFG. Enjin twin-turbo tiga silinder itu juga boleh tahan berbisa dengan output mencecah 600PS dan 600Nm yang dihasilkan dengan sendirinya.

Untuk membuktikan kemampuan ciptaannya, Koenigsegg menggabungkan dua unit Quark dengan inverter enam fasa bernama David dan juga gear bagi menghasilkan sebuah pacuan elektrik yang dikenali sebagai Terrier.

Nama itu dipilih bersempena dengan baka anjing Terrier yang terkenal dengan sifatnya yang kecil tetapi bertenaga dan berani.

Untuk memberikan gambaran yang jelas tentang saiznya, Terrier mempunyai ukuran panjang 425mm, lebar 475mm dan tinggi 340mm, manakala beratnya ialah sekitar 85kg.

Tidaklah besar mana namun kuasanya boleh mencecah 680PS dan 1,100Nm. Apa yang menarik, ia juga mempunyai fungsi pemvektoran tork manakala saiznya yang kompak membolehkan ia dipasang terus pada casis tanpa perlu menggunakan subrangka.

Tidak dapat dipastikan pada model manakah Terrier akan digunakan kerana setakat ini, Koenigsegg masih belum mempunyai EV.

SSC mengaku Tuatara tak sampai pun kelajuan 484.5km/j!

SSC North Amerika membuat kejutan pada Oktober 2020 lepas dengan Tuatara mereka, sebuah hypercar yang didakwa mampu mencapai kelajuan luar biasa untuk kereta biasa.

Gambar: SSC North America

Menurut pengumuman rasmi mereka pada masa itu, pengganti Ultimate Aero itu mencapai 301.07 batu sejam (484.53km/j) dalam satu arah dan 331.15 batu sejam (532.93km/j) pada arah berlawanan. Purata kelajuannya ialah 316.11 batu sejam (508.73km/j).

Ternyata tidak susah untuk pemerhati dengan mata tajam untuk melihat kemusykilan dari rakaman SSC, menimbulkan rasa ragu-ragu terhadap ujian rekod kelajuan Tuatara itu.

Gambar: SSC North America

Pada Januari 2021, satu lagi ujian kelajuan dibuat untuk memperjelaskan keadaan, Tuatara pada masa itu mencatat kelajuan purata 282.9 batu sejam (455.2km/j) selepas memecut pada 279.7 batu sejam (450.1km/j) dan 286.1 batu sejam (460.4km/j).

Kini, SSC mengaku pula mereka tidak pernah memecahkan rekod kelajuan 300 batu sejam, tetapi berjanji untuk melakukannya dengan betul dalam ujian pecutan akan datang.

Gambar: SSC

Dalam satu kenyataan di Instagram, SSC berkata: “Kami ingin menjelaskan bahawa secara rasmi kami tidak mencapai kelajuan yang didakwa sebelum ini iaitu 331 batu sejam, bahkan tidak mencapai 301 batu sejam pada Oktober 2020.”

Syarikat itu berkata ianya “sangat mengecewakan” dengan kegagalan mereka untuk melepasi 300 batu sejam (482.8km/j), tetapi mereka bercita-cita mencapainya “dengan telus, rasmi, dan tanpa ragu-ragu” dalam ujian akan datang.

Cubaan itu sepatutnya dibuat lebih awal, tetapi SSC rancangan mereka terbantut disebabkan satu kemalangan melibatkan trak pembawa kereta yang menunda Tuatara.

Pengasas dan CEO SSC berkata, mereka “telah pulih dari kemalangan itu, dan dalam proses persediaan untuk ujian 300 batu sejam itu.”

Sementara itu, Hennessey dan Koenigsegg juga akan melakukan ujian sama dengan Venom F5 dan Jesko Absolut mereka.

Bugatti pula melaporkan mereka tidak mahu lagi mengejar rekod kelajuan. Jadi Chiron Super Sport+ dengan kelajuan 304 batu sejam (489.2km/j) menandakan satu pengakhiran buat pengeluar dari Molsheim itu. Mereka kini dalam kerjasama dengan Rimac.