fbpx

Koenigsegg perkenal Quark – motor elektrik kecil dengan kuasa besar

koenigsegg quark 03

KOENIGSEGG sememangnya terkenal dengan pelbagai inovasi mereka sendiri yang canggih dan lain dari yang lain seperti teknologi Freevalve dan transmisi Koenigsegg Direct Drive (KDD).

Kini, pengeluar hypercar dari Sweden itu memperkenalkan satu lagi teknologi penting yang bakal digunakan secara meluas dalam model-model keluarannya. Dikenali sebagai Quark, ia merupakan sebuah motor elektrik ultra-kompak yang mampu menjana kuasa yang tinggi.

Menurut Koenigsegg, Quark dibangunkan khusus untuk dipadankan dengan enjin Tiny Friendly Giant (TFG) yang digunakan oleh Gemera namun ia juga boleh digunakan dalam aplikasi lain seperti trenkuasa elektrik, aeroangkasa, Vertical Take Off and Landing (VTOL), marin dan pelbagai lagi.

Secara asasnya, Quark menggabungkan topologi radial dan axial untuk membentuk apa yang digelar sebagai ‘Raxial Flux’. Gabungan topologi ini didakwa mampu memberikan nisbah tork-kuasa-berat yang terbaik dalam industri.

Dakwaan ini mungkin benar kerana motor elektrik itu hanya seberat 30kg (28.5kg tanpa komponen driveline), manakala saiznya tidak begitu besar dengan tinggi tidak melebihi dua buah tin minuman 330ml.

Namun bak kata pepatah, kecil-kecil cili padi. Satu unit Quark mampu menjana 340PS dan 600Nm secara berterusan selama 20 saat. Selepas itu, kuasanya akan diturunkan kepada 136PS dan 249Nm.

Angka tersebut mungkin tidak begitu mengagumkan pada zaman kini namun harus diingat bahawa Gemera mempunyai tiga unit Quark untuk membantu enjin TFG. Enjin twin-turbo tiga silinder itu juga boleh tahan berbisa dengan output mencecah 600PS dan 600Nm yang dihasilkan dengan sendirinya.

Untuk membuktikan kemampuan ciptaannya, Koenigsegg menggabungkan dua unit Quark dengan inverter enam fasa bernama David dan juga gear bagi menghasilkan sebuah pacuan elektrik yang dikenali sebagai Terrier.

Nama itu dipilih bersempena dengan baka anjing Terrier yang terkenal dengan sifatnya yang kecil tetapi bertenaga dan berani.

Untuk memberikan gambaran yang jelas tentang saiznya, Terrier mempunyai ukuran panjang 425mm, lebar 475mm dan tinggi 340mm, manakala beratnya ialah sekitar 85kg.

Tidaklah besar mana namun kuasanya boleh mencecah 680PS dan 1,100Nm. Apa yang menarik, ia juga mempunyai fungsi pemvektoran tork manakala saiznya yang kompak membolehkan ia dipasang terus pada casis tanpa perlu menggunakan subrangka.

Tidak dapat dipastikan pada model manakah Terrier akan digunakan kerana setakat ini, Koenigsegg masih belum mempunyai EV.

Lihatkan Ulasan (0)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved