Arkib Tag: Kia Sales Malaysia

Kia Carnival tawar pakej lengkap dan selesa untuk seisi keluarga – pandu uji

Antara kenderaan yang mampu memberikan kesan yang mendalam dalam hati penulis ialah Kia Carnival.

Bukan sebab rupa paras atau harga yang lebih mampu beli berbanding MPV kotak premium lain di pasaran, akan tetapi pakej yang ditawarkan.

Mujur dua kali raya tahun ini, pihak Kia Sales Malaysia dengan murah hatinya membenarkan kami untuk menguji dua varian Kia Carnival yang ditawarkan di Malaysia.

Sebelum anda membaca ulasan panjang ini, sejujurnya kami dapat simpulkan yang Kia Carnival merupakan salah satu model MPV yang patut anda pertimbangkan demi keselesaan keluarga.

Rupa paras lebih moden

Ketika mula diperkenalkan empat tahun yang lalu, Kia Carnival sudah menjadi antara MPV yang segak penampilannya, bukan lagi tipikal MPV yang membosankan.

Versi facelift membawakan rekaan tersebut ke satu aras yang lebih tinggi, dan ia kini tidak malu untuk diparkir bersebelahan dengan MPV kotak buatan Jepun.

Muka depan kini lebih tajam dan garang, ditambah dengan struktur jeriji yang lebih lebar untuk mewujudkan ilusi yang lebih besar.

Seperkara yang penulis amat hargai ialah lampu isyarat membelok belakang kini disatukan pada perumah lampu utama.

Kalau versi pra-facelift, lampu membelok diposisikan agak rendah dan mungkin menyebabkan pemandu lain tidak perasan niat kita untuk membelok atau menukar laluan.

Ruang kabin luas

Dimensi Carnival memang agak panjang disebabkan tiada keperluan untuk mengehadkan ukurannya berdasarkan keadaan kota metropolitan yang sempit.

Disebabkan itu juga, ia menyumbang kepada ruang kabin yang cukup luas sehingga boleh memuatkan 11 orang pada satu-sat masa.

Untuk sebuah keluarga moden, tetapan sehingga 11-tempat duduk itu mungkin akan kedengaran keterlaluan atau bak kata orang ‘membazir ruang’.

Namun usah risau kerana baris keempat tempat duduk Carnival ini boleh dilipat dan disimpan terus ke dalam lantai untuk ruang kargo yang lebih besar.

Ia boleh digunakan kembali sekiranya terdapat keperluan untuk membawa lebih ramai orang, terutama kanak-kanak atau dewasa yang kecil saiznya.

Jika 11-tempat duduk dirasakan terlalu banyak, pilih sahaja Carnival versi 7 atau 8-tempat duduk.

Berdasarkan pengalaman membawa penumpang sepanjang dua kali raya tahun ini, anda tidak perlu risau kerana Carnival sememangnya cukup selesa.

Cukup untuk membuatkan penumpang belakang tidur dengan lena, ditambah pula dengan ruang kabin yang kedap dan sistem pendingin hawa yang berfungsi cemerlang ketika panas terik.

Ruang kargo? Bukan satu masalah kerana Carnival ini memang luas.

Kokpit mesra pemandu

Selain keselesaan penumpang, pemandu juga menghargai apa yang ditawarkan pada Carnival facelift ini.

Biarpun tetapan meter analog telah digantikan dengan paparan digital 12.3 inci, tema meter analog masih lagi dikekalkan supaya pemandu tidak rasa kekok.

Skrin tengah 12.3 inci turut menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto, selain menawarkan paparan yang mudah untuk digunakan.

Yang lebih penulis hargai ialah panel kawalan audio yang boleh diubah menjadi panel kawalan suhu kabin, di mana dua tombol tersebut berubah fungsinya berdasarkan apa yang anda pilih.

Tiada lagi keperluan untuk mengusik skrin tengah yang kemudian hari akan membuatkan anda lebih terleka sewaktu memandu.

Tempat duduk hadapan juga selesa untuk perjalanan jauh merentas negeri sepanjang tempoh perayaan.

Kehadiran sistem kamera keliling dengan paparan yang jelas ternyata memudahkan pemandu mengendalikan MPV yang agak besar dan panjang ini.

Pemanduan bertenaga

Antara faktor utama yang membuatkan Carnival ini sesuai untuk dijadikan sebagai mod pengangkutan keluarga ialah nadi diesel yang digunakan.

Ya, diesel. Seram bila dengar harga per liter pada masa kini, kan?

Namun, enjin Smartsteam 2.2 liter itu sememangnya terbukti mampu untuk menggerakkan badan anak gajah ini tanpa sebarang drama.

Nadi itu akan terus menyalurkan kuasa berkuasa 199 hp dan 440 Nm kepada roda depan (ya, tiada pilihan pacuan semua roda).

Gandingan enjin 2.2L dengan kotak gear automatik 8-kelajuan itu memberikan bacaan penggunaan bahan api serendah 6.5 liter untuk setiap 100 km.

Biarpun sarat dengan muatan penumpang dan barang, Kia Carnival boleh dipandu sejauh 900 km untuk setangki penuh.

Pengendalian dan keselesaan

Apa yang membuatkan penulis teruja ialah aspek pengendaliannya yang lebih mirip kepada sebuah kereta penumpang.

Stereng Carnival menawarkan respons yang cukup rasa ketika di selekoh, dan memberikan keyakinan sewaktu di jalan yang lurus.

Biarpun dengan badan seberat lebih 2 tan, sistem brek standard mempamerkan prestasi yang konsisten walaupun ada kalanya berdepan dengan situasi yang tidak diingini.

Lebih penting, enjin diesel tersebut tidak mengaum bila dikerah, dan patuh pada arahan pemandu ketika kuasa lebih diperlukan.

Tekan sikit pedal pendikit, Carnival ini akan mara mencapai kelajuan yang diinginkan tanpa sebarang drama.

Disebabkan sistem penebat bunyi yang baik, anda mungkin tidak akan perasan bilakah enjin tersebut bekerja keras membakar bahan api daripada tempat duduk pemandu.

Kestabilan pemanduan pada kelajuan lebuh raya juga tidak mengecewakan.

Biarpun kualiti tar yang berbeza-beza, sistem suspensi standard Carnival (tanpa sebarang larasan) mampu menyerap segala hentakan dengan baik tanpa menjejaskan tahap keselesaan penumpang.

 

Sejujurnya, tiada perbezaan ketara dari segi pengalaman pemanduan antara Carnival 11-tempat duduk dengan versi 7-tempat duduk.

Cuma, varian yang lebih premium itu menawarkan ciri yang tiada pada varian rendah.

Kelebihan Carnival versi 7-tempat duduk

Ini merupakan versi yang anda boleh pertimbangkan sekiranya Carnival 11-tempat duduk dirasakan terlalu asas.

Antara ciri tambahan yang disertakan:

  • rim 19 inci
  • konfigurasi tempat duduk 2-2-3
  • tempat duduk kapten baris kedua
  • fungsi Premium Relaxation

Untuk memastikan penumpang VIP duduk dengan lebih selesa, tempat duduk baris kedua boleh dilaraskan kedudukannya ke belakang, serta ke kanan atau ke kiri mengikut keperluan.

Selain itu, sistem audio standard pada Carnival 11-tempat duduk digantikan dengan sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara.

Pada pengamatan penulis yang memang bukan audiophile, sistem audio standard Carnival sudah cukup bagus.

Namun, pada Carnival 7-tempat duduk sistem Bose mampu membuatkan ruang kabin MPV ini seakan dewan konsert bergerak.

Jadi sepanjang perjalanan anda boleh melayan alunan muzik kegemaran yang jelas, rangup dan diiringi dengan dentuman bass yang mengasyikkan.

Keselamatan

Sayang sekali, Kia tidak menyertakan sistem keselamatan standard untuk kedua-dua varian.

Versi 11-tempat duduk hanya mendapat kelengkapan asas seperti 8-beg udara, cagak ISOFIX, ABS, EBD, Bantuan Brek, ESC dan Kawalan Cengkaman.

Untuk sebuah MPV yang agak besar, sayang sekali apabila ia tidak disertakan dengan sistem pemantauan titik buta (BSM).

Mujur juga Kia menyertakan fungsi Paparan Titik Buta (BVM) apabila lampu isyarat membelok diaktifkan untuk memastikan tiada kenderaan dari arah belakang.

Atau sekadar memantau supaya badan Carnival yang cantik ini tidak disagat oleh dinding.

Carnival 7-tempat duduk pula hadir dengan ciri ADAS yang lebih lengkap, termasuklah brek kecemasan autonomi (AEB), bantuan mengikut lorong (LFA) dan amaran tumpuan pemandu (DAW).

Kesimpulan

Dengan harga serendah RM188,000 anda sudah boleh mendapatkan sebuah MPV yang cukup besar dan selesa untuk seisi keluarga.

Sekiranya ruang dan keselamatan merupakan keutamaan, anda perlu sanggup melabur sehingga RM250 ribu.

Kerana di penghujung hari, senyuman ahli keluarga yang terukir setiap kali perjalanan akan membuatkan anda rasa setiap Ringgit yang dilaburkan itu berbaloi-baloi.

Kia Carnival 11-tempat duduk

Kia Carnival 7-tempat duduk

KLIMS2026: Empat model global Kia dipamerkan – K4, EV4, EV5 dan PV5

Kia Sales Malaysia mempamerkan empat model global menarik untuk tatapan rakyat Malaysia di acara KLIMS 2026 yang sedang berlangsung.

Model yang dimaksudkan ialah:

  • sedan Kia K4
  • sedan elektrik Kia EV4
  • SUV elektrik Kia EV5
  • van komersial elektrik Kia PV5

Penampilan sulung Kia K4

Sedan Kia K4 dipamerkan dalam spesifikasi GT-Line, menampilkan falsafah rekaan Opposites United yang menggabungkan gaya sporti dan praktikaliti harian.

Ia dipacu enjin 1.6L TGDi yang mampu menghasilkan 193 PS dan 265 Nm.

Sedan ini dilengkapi dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan suspensi Multi-Link di belakang, dipadankan dengan rim 18 inci serta tayar 235/40R18.

Kabin pula menempatkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • skrin paparan kawalan iklim 5 inci
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • kawalan iklim dwi-zon

Kia PV5

Kia PV5 merupakan model pertama yang dibangun berdasarkan senibina khusus E-GMP.S Platform Beyond Vehicle (PBV).

Direka untuk kegunaan komersial, Kia PV5 dipacu motor elektrik roda depan menghasilkan kuasa 161 hp, serta dilengkapi fungsi V2L dan V2X.

Di pasaran luar negara, model ini boleh didapati dalam versi:

  • Passenger – konfigurasi tiga baris tempat duduk
  • Cargo – hadir dalam konfigurasi Compact, Long dan High Roof
  • WAV (Wheelchair Accessible Vehicle) – lebih mesra pengguna kerusi roda

Kia EV4

Kia EV4 pula dipacu motor elektrik tunggal roda depan menghasilkan 201 hp dan daya kilas 283 Nm, membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 170 km/j.

Dipadankan dengan pek bateri 81.4 kWh, ia boleh bergerak sejauh 612 km (data WLTP) selain menyokong pengecasan pantas DC sehingga 350 kW (pengecasan 10-80% dalam 29 minit).

Antara ciri lain termasuklah fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dan Integrated Panoramic Display.

Kia EV5

Kia EV5 merupakan SUV elektrik yang hadir dengan pilihan pacuan roda depan atau semua roda (AWD), dengan kuasa mencecah 308 hp dan daya kilas 480 Nm.

Dalam varian paling berkuasa, ia boleh memecut sepantas 6.1 saat dari 0-100 km/j.

Jarak pandu WLTP boleh mencecah 540 km, dan ia turut menyokong pengecasan DC sehingga 141 kW.

Ciri lain termasuklah skrin paparan berkembar 12.3 inci, sistem audio premium, pengesahan cap jari dan fungsi V2L.

Kia Sales Malaysia umum pelan penyelenggaraan untuk Sportage & Carnival, harga serendah RM2,980

Kia Sales Malaysia mengumumkan ‘Kia Maintenance Plan’ untuk model terpilih Kia Sportage dan Kia Carnival pada harga serendah RM2,980.

Pelan ini direka untuk memberikan kemudahan lebih baik, kos servis lebih terancang dan ketenangan minda untuk jangka panjang.

Selain itu, ia juga membolehkan pelanggan memiliki kos servis tetap sepanjang tempoh perlindungan tanpa dipengaruhi kenaikan kos buruh, alat ganti dan minyak enjin.

Kia Maintenance Plan merangkumi perkara berikut:

  • minyak enjin sintetik penuh dan penapis minyak
  • penapis udara enjin
  • penapis udara kabin
  • cecair brek
  • palam pencucuh
  • pemeriksaan kenderaan pelbagai titik secara menyeluruh

Berikut merupakan pelan yang ditawarkan oleh Kia Sales Malaysia:

Kia Sportage 1.6T

  • RM2,980 untuk tempoh 5-tahun atau 50,000 km
  • berdasarkan sela servis satu tahun/10,000 km

Kia Sportage 2.0

  • RM3,680 untuk tempoh 5-tahun atau 75,000 km
  • berdasarkan sela servis satu tahun/15,000 km

Kia Carnival 2.2D (7,8 dan 11-tempat duduk)

  • RM3,580 untuk tempoh 5-tahun atau 50,000 km
  • berdasarkan sela servis satu tahun/10,000 km

Kia Ownership Experience @ Glenmarie

Bertempat di Pusat 3S Utama Kia Glenmarie, Kia Sales Malaysia turut menganjurkan program Kia Ownership Experience.

Inisiatif ini berlangsung selama seminggu bermula dari 7 hingga 11 Mei 2026.

Ia memberikan peluang kepada semua pihak untuk melihat usaha berterusan KSM dalam memperkukuh perkara berikut:

  • operasi selepas jualan
  • piawaian perkhidmatan
  • penjagaan pelanggan jangka panjang

Semua ini demi memberikan pengalaman pemilikan yang terbaik kepada semua pelanggan di Malaysia.

Terdapat demonstrasi teknikal yang diketuai oleh Hyung Gyu Choi, Pengurus Kanan Teknikal bagi Operasi Pemilikan Kia.

Beliau menyertai Kia sejak 1993 dan memiliki pengalaman tahap global dalam perkhidmatan selepas jualan dan teknikal melebihi 34 tahun.

Choi bersama pasukan teknikal KSM akan memeriksa lebih 100 kenderaan Kia termasuklah:

  • Forte
  • Cerato
  • Optima
  • Picanto
  • Sorento
  • Grand Carnival
  • Sportage
  • Sephia

Ia bertujuan untuk membantu pemilik memahami keadaan kenderaan mereka dengan lebih baik di samping menangani isu penyelenggaraan dan pertanyaan teknikal tertentu.

Pelanggan yang mengambil bahagian akan menerima minyak enjin percuma, pengelap cermin hadapan serta cucian kereta selepas pemeriksaan dibuat.

Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada beberapa pihak seperti TotalEnergies, Goodyear, TRAPO dan EV Connection (EVC).

Sepanjang program berlangsung, pengunjung boleh menikmati promosi eksklusif, tawaran istimewa dan hadiah daripada rakan industri yang mengambil bahagian.

Pusat 3S Glenmarie dikendalikan Cycle & Carriage

Pusat 3S Kia Glenmarie kini dikendalikan oleh kumpulan pengedar baharu, Cycle & Carriage.

Dengan keluasan 39,240 kaki persegi, fasiliti ini mempunyai ruang pameran boleh memuatkan lapan kenderaan pada satu-satu masa.

Fasiliti selepas jualan mempunyai kemudahan seperti:

  • 20 ruang servis
  • sistem diagnostik terkini
  • peralatan penyelenggaraan khusus
  • kelengkapan teknikal

Dengan kemudahan tersebut, Kia Sales Malaysia dapat memastikan piawaian kualiti servsi dan penjagaan pelanggan pada tahap tertinggi.

Cycle & Carriage dilantik sebagai pengedar baharu Kia Sales Malaysia

Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM) mengumumkan pelantikan Cycle & Carriage (C&C) sebagai rakan pengedar sah baharu.

Ini sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang dan peluasan rangkaian Kia di Malaysia.

Kerjasama antara dua kuasa utama ini menawarkan manfaat selaras standard global terkini Kia seperti berikut:

  • akses jualan yang lebih meluas
  • sokongan selepas jualan yang dipertingkatkan
  • pengalaman pemilikan lebih premium

Menurut Hyung Ho Kim selaku Ketua Pegawai Eksekutif KSM, “Pelantikan C&C yang mempunyai legasi menjangkau lebih 125 tahun mencerminkan komitmen untuk memperkukuh rangkaian jualan Kia.

“Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di seluruh negara, sekali gus meletakkan jenama Kia pada kedudukan yang lebih kompetitif.

Adrian Short, Ketua Pegawai Eksekutif C&C menambah, “sebagai salah satu pengeluar kereta terbesar di dunia, Kia merupakan penambahan kukuh kepada portfolio kami.

Dengan kepakaran dan kecemerlangan perkhidmatan pelanggannya, C&C berharap dapat memperluas rangkaian Kia dan memberikan pengalaman pemilikan yang luar biasa kepada pelanggan di Malaysia.

Kia Carnival 2026 versi 8-tempat duduk diperkenalkan di Malaysia – harga RM238,888

Kia Sales Malaysia (KSM) memperkenalkan Kia Carnival 8-tempat duduk untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan RM238,888.

Kehadiran varian baharu ini melengkapi penawaran sedia ada terdiri daripada varian 11-tempat duduk (RM188,888) dan 7-tempat duduk (RM248,888).

Ciri baris kedua yang unik

Varian 8-tempat duduk ini menawarkan konfigurasi 2-3-3 dengan kemasan leatherette lembut.

Baris kedua pula hadir dengan nisbah 40:20:40, fungsi gelongsor jarak jauh dan boleh dilaras untuk menghadap ke depan atau belakang.

Baris ketiga pula boleh dilipat dengan nisbah 60:40 untuk membolehkan susunan kargo dan penumpang yang lebih fleksibel.

Kelengkapan setara varian 7-tempat duduk

Varian baharu ini turut dilengkapi dengan panel melengkung yang menggabungkan skrin kluster digital 12.3 inci dan skrin infohibur 12.3 inci.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem audio Bose dengan 12- pembesar suara.

Kia Carnival 8-tempat duduk ini masih kekal dengan nadi diesel turbo 2.2 liter Smartstream menghasilkan 202 PS @ 3,800 rpm dan 440 Nm @ 1,750-2,750 rpm.

Kadar penggunaan bahan api pula adalah sekitar 6.5 liter/100 km (data WLTP), di mana setangki penuh membenarkan pemanduan sehingga lebih 900 km.

Ciri keselamatan termasuklah 8 beg udara, serta sistem ADAS yang sama seperti varian 7-tempat duduk termasuklah:

  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA 2.0)
  • Bantuan Had Kelajuan Pintar (ISLA)
  • Bantuan Pemanduan Lebuh Raya (HDA 2)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAW)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Trafik Silang (RCTA)
  • Amaran Penumpang Belakang (ROA)

Terdapat empat pilihan warna luaran iaitu:

  • Meteor Grey
  • Snowflake White Pearl
  • Astra Blue
  • Jet Black

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan 5-tahun atau had perbatuan 150,000 km (yang mana tiba dahulu).

KSM turut menawarkan kadar faedah serendah 1.98 peratus setahun untuk tempoh pembiayaan sehingga 9 tahun atau kredit minyak RM6,000 menerusi inisiatif ‘We Fuel You’.

Menerusi Kia Cares, KSM menawarkan pakej insurans komprehensif dengan manfaat seperti:

  • nilai dipersetujui sehingga 15 tahun
  • kelulusan tuntutan bawah RM30 ribu dalam tempoh 24 jam
  • penambahbaikan percuma sehingga 10 tahun serta tanpa caj lebihan bagi insiden terpilih

Kia Carnival 2026 facelift rasmi di Malaysia – dua varian, harga dari RM188,888

Kia Sales Malaysia (KSM) hari ini secara rasmi melancarkan Kia Carnival 2026 versi facelift, merangkap model pertama sejak penubuhannya.

Kia Carnival 2026 merupakan unit pemasangan tempatan (CKD) dan ditawarkan dalam dua varian, iaitu:

  • 2.2D 11-tempat duduk
  • 2.2D 7-tempat duduk

Kedua-dua varian dipacu oleh enjin empat silinder sebaris diesel turbo Smartstream 2.2 liter menghasilkan 202 PS @ 3,800 rpm dan daya kilas 440 Nm @ 1,750-2,750 rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang memacu roda depan, memberikan bacaan penggunaan bahan api 6.5 liter untuk setiap 100 km.

 

Luaran

Carnival facelift membawakan imej baharu berpandukan pendekatan Opposites United, dengan unit lampu serba baharu, jeriji lebar, serta lampu belakang baharu.

Varian 11-tempat duduk dilengkapi rim bersaiz 18 inci sementara varian 7-tempat duduk pula mendapat rim 19-inci.

 

Kabin

Masuk ke dalam, terdapat kelengkapan seperti skrin kluster digital 12.3 inci dan skrin infohibur 12.3 inci dalam satu panel tunggal, roda stereng balutan kulit, sistem pendingin hawa dua-zon.

Carnival baharu juga turut mendapat sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Varian 11-tempat duduk mendapat kerusi tengah yang boleh dilipat pada baris kedua dan ketiga untuk memudahkan penumpang keluar masuk.

Sementara varian 7-tempat duduk disediakan susunan tempat duduk 2-2-3, diikuti kerusi Relaxation Premium dengan fungsi luncur sisi untuk baris kedua, dan kerusi baris ketiga yang boleh dilipat rata.

Ciri khusus untuk varian 7-tempat duduk termasuklah skrin paparan head-up, fungsi pemanas dan ventilasi tempat duduk, serta sistem audio Bose dengan 12-pembesar suara.

 

Kargo

Varian 11-tempat duduk menawarkan ruang kargo sebesar 56 liter dan boleh mencapai sehingga 2,689 liter.

Varian 7-tempat duduk pula hadir dengan ruang kargo lebih besar, sekitar 627 liter dan ruang sebesar 2,827 liter apabila tempat duduk dilipat.

 

Keselamatan

Secara standard, Kia Carnival facelift dilengkapi dengan lapan beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HAC), cagak ISOFIX dan fungsi Auto Hold.

Ciri keselamatan termaju ADAS dikhususkan untuk varian 7-tempat duduk merangkumi fungsi seperti:

  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAW)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA)
  • Bantuan Mengikut Lorong (LFA)

 

Harga

Kia Carnival 2026 facelift dijual pada harga bermula dari RM188,888 untuk varian 11-tempat duduk, dan dari RM248,888 untuk varian 7-tempat duduk.

Kia Sales Malaysia mula operasi secara rasmi, Sportage kini serendah RM128,800

Kia Sales Malaysia Sdn Bhd (KSM) memulakan operasinya di Malaysia dengan mengumumkan penstrukturan semula harga bagi portfolio produk sedia ada.

Berkuat kuasa 1 Januari 2026, rakyat Malaysia boleh mendapatkan model Kia pada harga baharu seperti berikut:

Kia Sportage

  • 2.0G 2WD – RM128,800
  • 2.0G 2WD Hi – RM138,800
  • 1.6T 2WD Hi – RM158,800
  • 1.6T 4WD Hi – RM178,800

Kia Carnival

  • 2.2D 8-Seater – RM193,000
  • 2.2D 7-Seater – RM218,000

Kia EV9

  • GT-Line AWD 7-Seater – RM368,888
  • GT-Line AWD 6-Seater – RM373,888

Kesemua kenderaan baharu Kia di Malaysia dilindungi jaminan sah selama lima tahun atau had perbatuan 150,000 km yang mana tiba dahulu.

Untuk meningkatkan keyakinan pemilik, KSM turut melaksanakan perkara berikut:

  • mengurangkan harga purata alat ganti tulen Kia sebanyak 15 peratus
  • mendirikan gudang alat ganti khusus di Shah Alam

Selain itu, KSM memperkenalkan program kesetiaan pelanggan Kia Circle yang menawarkan rebat tunai RM6,000 kepada pemilik Kia sedia ada untuk menaik taraf kepada kenderaan Kia baharu.

Program ini turut diperluas kepada ahli keluarga terdekat termasuk ibu bapa, pasangan dan anak-anak.

Terdapat juga program fleet korporat dan profesional Kia Professional yang menawarkan konsesi eksklusif sehingga 3 peratus kepada ahli badan profesional dan syarikat utama bagi pembelian kenderaan individu, serta insentif tersuai bagi pembelian armada yang lebih besar.

Sebagai pelengkap, KSM menawarkan perlindungan menyeluruh Kia Cares, sebuah program insurans yang dijamin oleh Berjaya Sompo, Zurich dan Zurich Takaful.

 

Jenama Kia kembali bertapak di Malaysia

Jenama automotif Korea Selatan, iaitu Kia kembali bertapak di pasaran Malaysia di mana ia kini dikendalikan secara langsung oleh Kia Corporation, dan bukannya melalui pengedar.

Dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini, Kia Sales Malaysia Sdn Bhd turut mengumumkan barisan pimpinan yang akan menerajui operasi jualan di Malaysia, terdiri daripada:

  • Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif: Hyung Ho Kim
  • Pengarah Urusan: Emily Lek
  • Pengarah Produk & Perhubungan Kerajaan: Hafiz Zaim
  • Pengurus Besar Jualan: Victor Chan
  • Pengurus Besar Pemilikan: Rafhan Saiah
  • Pengurus Besar Pemasaran: Vince Yeoh
  • Pengurus Besar Saluran: Phang Chee Wei

 

Di bawah model pimpinan prinsipal langsung yang akan berkuat kuasa 1 Januari 2026, KSM bakal mengawal sepenuhnya kehadiran jenama, pemasaran, jualan, pengalaman pemilikan dan latihan di seluruh Malaysia.

Kia juga akan memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama dalam usaha untuk mengukuhkan kedudukannya di Malaysia.

Tunggak utama ialah pelaksanaan piawaian operasi global bagi mengukuhkan asas pertumbuhan, selain memberikan tumpuan kepada strategi penjenamaan dan pemasaran bagi menjawab persoalan “Kenapa Pilih Kia?”

Kedua, KSM bercadang untuk membina semula rangkaian pengedar bagi memastikan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

Akhir sekali, KSM akan mengukuhkan semula barisan produk bagi memastikan setiap produk dapat memenuhi keperluan pasaran Malaysia.

Menurut Hyung Ho Kim, “Di peringkat global, Kia ialah pengeluar automotif ke-9 terbesar dunia. Fokus kami ialah bergerak ke hadapan pada kadar yang mapan untuk jangka panjang.

“Matlamat kami bukan sekadar untuk menjadi jenama pantas berkembang, tetapi jenama yang dapat memberi perhatian kepada pelanggan, pengedar dan industri automotif Malaysia,” jelasnya.

Emily Lek berkata, “Ini merupakan masa yang penting bagi kami memulakan langkah kembali ke pasaran Malaysia sebagai entiti tersendiri.

“Jenama ini tidak lagi diwakili oleh pengedar, tetapi diterajui oleh syarikat induk yang mengawal sepenuhnya suara, nilai dan wawasan kami. Dengan sistem kukuh dan rancangan yang jelas, kami bersedia untuk mengembalikan pengalaman jenama Kia yang sebenar.

Untuk info, Malaysia menempatkan ibu pejabat Kia Asia Pasifik yang berperanan sebagai pusat pemikiran strategik bagi rantai Asia.

Kia APAC memantau enam anak syarikat termasuklah Kia Sales Malaysia (KSM) dan unit pengeluarannya Kia Malaysia.

Selain itu, Kia APAC menguruskan operasi di 33 pasaran termasuklah negara-negara ASEAN, Australia dan New Zealand.

Kia menguasai 3.4 peratus pasaran di rantau APAC dengan hasil jualan lebih 165,000 unit dicatatkan pada tahun 2024.

Kia Sales Malaysia ambil alih operasi daripada Bermaz bermula Januari 2026

Setelah empat tahun, Kia Corporation dan Bermaz Auto Berhad akhirnya menamatkan kerjasama strategik sekaligus menandakan era baharu operasi Kia di Malaysia.

Bermula 1 Januari 2026, Kia Sales Malaysia akan mengambil alih segala aspek urusan jualan, selepas jualan, pemasaran, khidmat pelanggan, serta latihan di seluruh Malaysia daripada Bermaz.

Entiti baharu itu akan diterajui oleh Hyung Ho Kim selaku Presiden dan CEO, dan Emily Lek sebagai Pengarah Urusan yang sebelum ini pernah berkhidmat di Omoda | Jaecoo Malaysia.

Dalam satu kenyataan rasmi, Ki Seok Ahn selaku Presiden dan CEO Kia Asia Pasifik berkata, “Kia amat teruja untuk memperkukuhkan semula kehadiran jenama di Malaysia.

“Kami percaya strategi dan inovasi berpusatkan pelanggan akan terus memperkayakan pengalaman pelanggan dalam usaha kami untuk terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan industri automotif Malaysia.

Kia Sales Malaysia juga akan terus membuat penambahbaikan terhadap jaringan pengedar Kia, pelaburan untuk perkhidmatan selepas jualan serta pengenalan model baharu kelak.

Sepanjang tempoh peralihan ini, mana-mana tempahan yang telah dibuat sebelum 30 November akan terus dipenuhi.

Pelanggan boleh membuat tempahan untuk kenderaan baharu bermula Januari 2026 demi memberikan laluan kepada peralihan operasi yang lebih lancar.