Arkib Tag: Kia EV6

Kia EV6 2025 bakal dapat bateri lebih besar, cas 10 hingga 80 peratus dalam 18 minit sahaja!

EV pertama Kia iaitu EV6 telah berada dalam pasaran global sejak 2021, dan kini lebih 210,000 unit telah terjual. Kini, Kia akan memberikan kemas kini atau facelift pertama untuk model itu.

Ia masih akan hadir dengan pilihan standard dan GT Line, dimana GT Line mendapat bar lampu depan. Kedua-dua varian juga menampilkan bampar depan baharu, selain pilihan rim 19- serta 20-inci.

Ruang kabin nampak tidak banyak berubah, tetapi jika anda perhatikan, stereng kini menggunakan rekaan tiga-bilah baharu, selain skrin berkembar baharu. Ia akan mempunyai fungsi pengecaman cap jari, paparan head-up display 12-inci, dan cermin pandang belakang digital.

Pembaharuan utama untuk facelift ini ialah bateri yang lebih besar. Kia EV6 2025 bakal mendapat pek berkapasiti 84kWh menggantikan 77.4kWh sebelumnya. Ia juga boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam 18 minit sahaja, dengan kapasiti 350kW.

EV6 Long Range pacuan roda-belakang juga mempunyai jarak pemanduan lebih jauh, iaitu 494km.

Pembaharuan lain adalah di bahagian yang tidak dapat kita lihat. EV6 akan dibekalkan dengan beg udara sisi untuk penumpang belakang, selain tiang-B lebih besar untuk ketegaran badan yang lebih baik.

Motor elektrik juga dikatakan lebih senyap, selain keselesaan telah dipertingkat melalui talaan penyerap hentak baharu. Kia juga menambah bahan kedap bunyi di bahagian motor belakang.

Akhir sekali, kemas kini OTA (over-the-air) boleh dibuat lebih dari fungsi navigasi, manakala sambungan Android Auto dan Apple Carplay tanpa wayar sebagai standard.

Ini kos ganti tayar Kia EV6 di Malaysia, jangan terkejut pula

ORANG ramai sering mengganggap kos penyelenggaraan kenderaan elektrik (EV) adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE).

Ini mungkin benar untuk penyelenggaraan komponen-komponen tertentu namun untuk penukaran tayar, pemilik sebenarnya perlu mengeluarkan belanja yang lebih tinggi.

Menurut perkongsian Alexander Wong dari SoyaCincau, salah sebiji tayar Kia EV6 yang dipandu beliau pancit dalam perjalanan ke utara baru-baru ini.

Sumber gambar: Alexander Wong/SoyaCincau

Oleh kerana EV6 tidak didatangkan dengan tayar ganti dan kit pembaikan tayar sekali guna yang dibekalkan tidak dapat membantu akibat saiz lubang yang terlalu besar, kereta terpaksa ditunda ke Kuala Lumpur.

Berdasarkan sebut harga daripada Kia Malaysia, sebiji tayar Continental PremiumContact 6 berukuran 255/45 R20 berharga RM2,412, hampir RM1,000 lebih mahal berbanding tayar yang sama bagi kereta bukan EV.

Sementara itu, kos sealant adalah RM251.50 dan kos buruh adalah RM130, menjadikan kos keseluruhan penukaran sebiji tayar kepada RM2,793.50. Untuk penukaran keempat-empat tayar, rasanya anda sendiri boleh kira kos yang diperlukan.

Sumber gambar: Alexander Wong/SoyaCincau

Kenapa mahal sangat?

Apa yang menarik, tayar PremiumContact 6 merupakan tayar OEM untuk EV6 bukan sahaja untuk pasaran Malaysia, malah juga untuk pasaran-pasaran negara lain.

Dibangunkan khusus untuk kegunaan EV, tayar PremiumContact 6 didatangkan dengan teknologi ContiSilent yang menggunakan busa polyurethan pada bahagian dalaman untuk mengurangkan bunyi golekan tayar di dalam kabin sehingga 9 dB.

Selain itu, ia juga menawarkan rintangan golekan yang rendah bagi membantu EV6 mencapai jarak pemanduan yang lebih jauh, serta mempunyai kompaun bunga yang dioptimumkan untuk prestasi brek di atas jalan basah.

Menurut Alexander, Continental bukanlah satu-satunya jenama yang mengenakan harga melebihi RM2,000 untuk sebiji tayar 20 inci. Pemeriksaannya mendapati tayar Michelin Pilot Sport EV yang digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 Max dijual pada harga kira-kira RM2,400 sebiji.