Arkib Tag: kereta rosak

Proton S70 Flagship X alami 73 masalah sehari selepas dibeli

NASIB malang menimpa seorang pemilik Proton S70 apabila kereta baharunya itu didakwa mengalami sebanyak 73 masalah walaupun baru sahaja dibeli.

Dalam satu hantaran di laman Proton S70 Malaysian Community (MYS70COM), Ku Azhar berkata beliau menerima S70 Flagship X berwarna Space Grey pada 2 Februari 2024 namun kereta itu dikatakan mengalami masalah pada keesokan harinya (3 Februari) dengan perbatuan hanya 300 km.

Beliau menghantar keretanya ke pusat servis pada 5 Februari dan terpaksa meninggalkannya selama 15 hari. Jelas beliau, kereta itu turut dihantar ke ibu pejabat Proton selama sehari dan ke kilang Proton di Tanjung Malim selama 15 hari.

Katanya lagi, sebanyak 33 masalah dikenal pasti ketika S70 itu dihantar ke Tanjung Malim dan setakat 17 Mac, sebanyak 69 masalah telah dikesan.

Ku Azhar berkata jumlah masalah terkini adalah 73 dan setakat hantaran itu dibuat, terdapat 54 masalah yang belum dapat diselesaikan.

Berikut adalah antara masalah yang dialami oleh S70 Flagship X milik Ku Azhar:

  1. Stereng rack/absorber berbunyi
  2. Enjin terlalu bergegar (disahkan oleh SC, tidak normal berbanding S70 lain, bergegar selepas dipulangkan oleh Proton Tanjung Malim)
  3. AEB tiba-tiba membrek semasa mengambil selekoh – penjelasan pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) pemilik yang tekan brek sebab sistem tidak log sebarang info dalam EDR.
  4. IHU tergendala, tidak dapat tukar mod/buat apa-apa di screen
  5. Brake pad berbunyi nyaring: Proton Tanjung Malim dah tukar brake pad dan brake disc disebabkan ada kesan overheat spot.
  6. Air-cond bunyi bubbling kuat : Proton Tanjung Malim dah tukar o-ring, piping, condensor dan tambah coolant tangki simpanan sampai maksimum
  7. Bunyi knocking kuat setiap kali compressor mula jalan
  8. Gear rendah mula-mula jalan bunyi sangat kuat berbanding dengan S70 yang dipandu uji – disahkan oleh SC, pinjam unit pandu uji untuk buat perbandingan.
  9. Powertrain missing next service mileage semasa di Proton Tanjung Malim, perbatuan tidak berjalan tapi next service mileage tinggal 776 km – HQ suruh ke SC buat service 10,000 km pada perbatuan 9,400 km dengan kos tanggungan pemilik sendiri untuk mengelakkan masalah waranti kemudian hari.
  10. Kereta susah hidup, remote start pun tak boleh. Tiada maklumbalas daripada pihak HQ/SC bila dalam keadaan kecemasan tersadai di R&R.
  11. Gear auto-hold tak engage walaupun dah tekan brek dan berhenti, kereta masih bergerak ke depan, simbol P hijau tidak menyala.

Bukan itu sahaja, beliau berkata keretanya juga masalah kosmetik luaran dan dalaman yang rosak dan tidak dipasang dengan betul selepas dipulangkan dari Proton Tanjung Malim.

Antaranya termasuk kesan batu atau stone chip pada bahagian bampar dan hud, dan kesan calar pada papan pemuka. Malah, beliau mendakwa terdapat kesan tapak kasut pada tempat duduk belakang.

Kata Ku Azhar lagi, perjumpaan terakhir dengan CRM adalah pada 18 Mac lalu di Proton Centre of Excellence (COE) di Shah Alam.

“Rancangan untuk rektifikasi adalah pada minggu seterusnya tetapi telah ditunda ke tarikh 15 April 2024 atas sebab kereta ganti yang dijanjikan masih tidak tersedia,” tulisnya.

Katanya lagi, tarikh itu ditunda sekali lagi ke 16 April kerana PIC masih bercuti pada 15 April 2024. Buat sementara waktu, Proton sarankan pandu kereta dahulu sehingga rektifikasi dibuat.

“Kemampuan membeli Proton S70 ni bukan hanya kemampuan membayar ansuran bulanan, kesilapan saya tidak mengambil kira kemampuan dari segi masa untuk berulang alik ke SC. Ingatkan beli kereta kuranglah berkampung di bengkel,” tulis beliau.

Pemilik Honda City kecewa, baru cecah 20,000 km sudah rosak, tak boleh tuntut waranti

Seorang pemuda dilapor sangat kecewa dengan layanan buruk yang diberikan oleh jenama terkenal di Malaysia.

Menurut laporan laman Sinar Harian, pemilik kereta jenis Honda City, Heinrich Tan mendakwa beliau diminta untuk menyelesaikan kos pembaikan kenderaan sebanyak RM13,000 dan tidak boleh membuat tuntutan waranti.

Pemilik tersebut turut berkongsi kronologi peristiwa yang berlaku kepada dirinya di laman Facebook peribadi, di mana beliau mula menghantar kereta tersebut ke Honda Ban Lee Heng Melaka untuk servis 20,000 km pada Januari lepas.

Malangnya, ketika dalam perjalanan pulang, beliau mendapati ikon suhu kenderaan berkelip, dan setelah melakukan pemeriksaan mendapati tangki radiator kering walaupun baharu sahaja siap menjalani servis.

Menurut Heinrich, beliau tidak dapat melakukan tuntutan waranti disebabkan enjin keretanya dikatakan ‘sudah rosak’ sejak Julai 2023 berdasarkan laporan yang dihantar oleh sebuah pusat servis rasmi Honda di Johor Bahru pada bulan yang sama.

Biarpun menggunakan perkhidmatan servis jenama tersebut, Heinrich mendakwa proses siasatan yang dilakukan terhadap keretanya amat melulu, ditambah pula dengan tindakan pihak Honda Malaysia yang mahu terus menutup kes tersebut.

Heinrich menjelaskan beliau terpaksa membayar sendiri kos pembaikan berjumlah RM7,961.45 selepas diskaun, dan keretanya dibenarkan keluar dari pusat servis selepas dua bulan lebih berlalu.

Jelas sekali pemilik ini berasa sangat kecewa dengan sikap lepas tangan yang ditunjukkan oleh pihak Honda Malaysia sepanjang mengendalikan kes kerosakan melibatkan kereta milik beliau.

Pada akhir hantaran, beliau turut berharap agar pihak Honda Malaysia dapat mengendalikan kes ini secara adil.

Perodua selesai baiki lebih 300 kenderaan rosak akibat banjir

INISIATIF Baucar Diskaun Automotif diumum kerajaan baru-baru ini mendapat reaksi positif ramai pihak.

Perodua antara yang memuji langkah itu yang disifatkan membantu meringankan bebanan mangsa banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, langkah itu juga membuktikan keprihantinan kerajaan membantu rakyat dalam kesusahan.

Jelasnya, Perodua telah menerima ribuan kenderaan yang rosak akibat banjir dan bantuan dihulur kerajaan sudah pasti melancarkan segala proses pembaikan.

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu mangsa banjir. – Foto oleh Engear

“Perodua berterima kasih kepada pihak kerajaan atas tindakan pantas dan keprihatinan dalam membantu mangsa.

“1,987 kenderaan Perodua telah ditunda ke 200 pusat servis untuk penilaian dan setakat ini 323 unit telah dibaiki,” kata Zainal Abidin.

Minggu lalu, kerajaan telah mengumumkan inisiatif baucar bernilai RM1,000 bagi membantu mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan.

Baucar boleh digunakan bagi membuat tuntutan terhadap pembaikan serta penggantian kenderaan persendirian yang rosak.

Pemilik kenderaan boleh menebus baucar tersebut di pusat servis Perodua yang sah seluruh negara sehingga 31 Mac 2022.

Kelihatan sebuah kenderaan ditenggelami banjir dalam insiden tahun lalu. – Foto ihsan Malay Mail

Dalam perkembangan sama, Perodua juga telah melancarkan Program Bantuan Banjir Perodua pada 19 Disember 2021 selain menyediakan hab khas pembaikan banjir di Shah Alam.

Program Bantuan Banjir Perodua merangkumi diskaun 50 peratus alat ganti standard selain kos upah dan perkhidmatan tunda percuma.

Kenderaan ‘total lost’, mangsa banjir layak terima baucar RM1,000

MANGSA banjir mengalami kerosakan kenderaan sehingga ‘total lost’ layak menerima pemberian baucar RM1000.

Inisiatif menerusi program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia itu bertujuan meringankan beban mereka yang berdepan musibah banjir.

Menerusi laporan Bernama, program tersebut melibatkan peruntukan kewangan lebih RM1.4 bilion.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat juga syarikat kenderaan yang menawarkan bantuan kepada mangsa banjir seperti Proton dan Perodua.

Jelas Ismail, hampir kesemua syarikat kenderaan memberi khidmat tunda percuma selain potongan harga lebih 25 peratus bagi kos membaik pulih.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – Foto fail ihsan Malay Mail

“Hampir semua (syarikat kereta) bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma.

“Diskaun sebanyak 25% atau lebih untuk alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis berdaftar.

“Malah, beberapa syarikat pula menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun,” katanya.

Sebelum ini, Ismail mengumumkan tawaran moratorium bayaran balik selama enam bulan kepada mangsa banjir melibatkan pinjaman pembiayaan kenderaan.

Moratorium turut meliputi perumahan dan hartanah, pinjaman peribadi serta baki kad kredit tertunggak.

Pasca banjir di kaki Gunung Jerai, foto pelbagai kenderaan rosak tular

TRAGEDI banjir besar melanda sebahagian daerah Yan di Kedah pada semalam mengejutkan ramai pihak.

Menerusi foto tular di media sosial kelihatan harta benda musnah akibat bencana alam itu termasuk beberapa kenderaan milik penduduk.

Salah satu foto tular menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda hampir terjunam ke dalam gaung dipercayai berlaku sekitar kawasan Gunung Jerai.

Foto sebuah kenderaan pacuan empat roda hampir terjatuh ke dalam gaung dekat Gunung Jerai. – Foto ihsan media sosial

Memetik laporan media, insiden berpunca daripada fenomena kepala air dari puncak gunung yang berlaku pada petang Rabu.

Penduduk turut berkongsi pengalaman ngeri berdepan kejadian banjir selain mengakui terpaksa bertindak cepat mengalihkan kenderaan masing-masing ke tempat selamat.

Salah seorang penduduk ditemui Bernama berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan ketika kejadian dirinya berada di masjid bagi menunaikan solat.

“Pada mulanya air keruh biasa saja, saya pergi alihkan motosikal ke tempat lebih tinggi.

“Namun, tidak menyangka keadaan di luar masjid sudah semakin buruk,” kata Ahmad Sharihuddin Hassan, 43 tahun.

Keadaan kawasan sekitar daerah Yan, Kedah dinaiki air pada semalam. – Foto ihsan Bernama

Terdahulu, insiden banjir besar itu turut menyebabkan kemusnahan struktur jalan raya di beberapa kawasan termasuk laluan ke puncak Gunung Jerai.

Terdapat sisa lumpur dan hakisan tanah sehingga menghalang laluan daripada sebarang kenderaan untuk melaluinya.

Banjir menyebabkan struktur jalan musnah teruk. – Foto ihsan Malay Mail

Setakat ini, jumlah kerugian dan kerosakan harta benda penduduk masih lagi belum diketahui.

Bagaimanapun, pihak berkuasa terutama Kerajaan Negeri Kedah berjanji akan memastikan kebajikan penduduk yang terlibat dalam bencana terbabit terus terbela.

Kenderaan rosak akibat banjir, ketahui tips penting ini

BANJIR kilat tatkala hujan lebat bukan suatu yang asing bagi kebanyakan warga kota.

Walaupun sudah ‘lali’ dengan situasi ini, rata-rata tetap kecewa dengan masalah menimpa apatah lagi ia merosakkan harta benda terutama kenderaan.

Jadi, kami di EnGear ingin kongsi tips penting jika kenderaan anda ditenggelami banjir.

Jangan hidupkan enjin kereta

Perkara pertama perlu dielak adalah jangan hidupkan enjin kenderaan.

Ini kerana enjin yang terendam dalam banjir berisiko mengalami lintar pintas atau short circuit.

Hubungi pihak insuran

Anda diminta hubungi pihak insuran secepat mungkin.

Pastikan anda mendapatkan maklumat penting mengenai tuntutan kerugian termasuk perkhdimatan lain yang disediakan.

Kumpul bukti

Sebaik-baiknya anda mengambil foto kenderaan ketika atau sesudah ditenggelami banjir.

Tindakan ini sebagai bukti serta memudahkan urusan tuntutan kepada pihak insuran.

Lapor kepada pihak polis

Laporan kepada pihak polis perlu dilakukan dalam tempoh kurang 24 jam.

Dokumen laporan ini penting untuk tuntutan kepada pihak insuran.

Periksa kenderaan anda

Kenderaan anda hendaklah diperiksa dengan teliti sesudah diperbaiki.

Dapatkan maklumat mengenai komponen yang telah ditukar. Ini penting untuk mengelak anda daripada ditipu.

Langgan insuran bencana alam

Insuran bencana alam amat penting pada masa kini.

Malang tidak berbau, maka jangan teragak-agak untuk melanggan insuran bagi melindungi kenderaan anda daripada bencana alam.

Demikian antara tips penting yang kami kongsikan untuk anda jika kenderaan rosak akibat banjir.

Semoga tips ini memberi ilmu tambahan dan persediaan kepada anda jika berdepan insiden tidak terduga.