Arkib Tag: kereta kawalan jauh

Litar RC taraf antarabangsa akan dibina di Melaka

LOKASI parkir di Pantai Tanjung Bidara di sini, akan dibangunkan sebagai litar terbesar kereta kawalan radio (RC) bertaraf antarabangsa bermula pertengahan tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu bagi menarik peminat sukan itu, bukan sahaja di Malaysia malah luar negara sekali gus bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Litar TRCC Raceway di Tampin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, Jabatan Belia dan Sukan negeri dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan berbincang supaya perancangan di atas tanah seluas 0.809 hektar dapat direalisasikan tidak lama lagi untuk menambahkan hab pelancongan sukan.

Katanya, pihak berkaitan akan melihat reka bentuk pembinaan litar tersebut dari segi panjang dan kelengkapan kemudahan lain seperti meja pit, tempat mengecas dan bengkel RC.

Gambar oleh: RC Car Action

“Saya akan mencadangkan kawasan itu dijadikan kawasan litar baharu yang bertaraf antarabangsa untuk peminat-peminat RC di seluruh negara.

“Kita lihat pada hari ini lebih 100 orang termasuk peserta yang hadir, dan ini merupakan hobi terbaik bagi memastikan anak-anak muda terlibat dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di BBRC Kupang, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara.

Sementara itu, pengerusi penganjur, Anuar Tompang, 52, berkata, sebagai penduduk tempatan dia menyambut baik hasrat Ketua Menteri yang mahu memberi limpahan rezeki kepada penduduk menerusi tapak trek baharu.

Menurutnya, meskipun trek di kampung itu sepanjang lebih 200 meter, namun dengan adanya kemudahan yang lebih lengkap, pelancong akan lebih ramai.

“Sedangkan pengajaran kecil ini banyak rumah inap desa dan chalet berdekatan tempat ini telah penuh disewa peserta.

“Bayangkan kalau penganjuran peringkat antarabangsa, lagi bertambah ramai pelancong di pusat peranginan Tanjung Bidara,” katanya.

Dapatkan kereta kawalan jauh koleksi Shell Motorsports mulai 8 Oktober ini

Shell Malaysia telah melancarkan koleksi Shell Motorsports terbaru yang menampilkan kereta kawalan jauh Bluetooth. Koleksi ini terdiri daripada tujuh model menarik seperti berikut:

Ferrari SF90
BMW M4 Motorsport
Nissan Formula E Gen 2
Hyundai i20 Coupe WRC
Shell V-Power Racing Team Ford Mustang GT
Team Penske Indycar
Team Penske Ford Mustang GT

Setiap kereta dalam koleksi ini didatangkan dengan bateri pintar sel litium yang boleh dicas semula yang dibangunkan dengan kerjasama BrandBase. Ia boleh dikawal dengan menggunakan telefon pintar menerusi aplikasi Shell Racing yang boleh didapati di App Store dan Google Play Store.

Setiap model akan dikeluarkan setiap minggu secara eksklusif di stesen minyak Shell di seluruh negara. Model kereta atau bateri boleh didapati secara berasingan pada harga RM30 dengan setiap pembelian bahan api bernilai RM50 minimum.

Apa yang menarik, pelanggan boleh membeli kotak eksklusif koleksi Shell Motorsports dengan harga RM80 dengan mengisi minyak Shell V-Power Racing berjumlah RM80 dalam satu resit.

Ferrari SF90

Untuk melengkapkan koleksi mereka, pelanggan boleh mendapatkan model eksklusif Ferrari SF90 dan satu bateri percuma dengan membeli minyak enjin Shell Helix Lubricant 4L terpilih di stesen minyak Shell. Promosi ini bermula dari 8 Oktober hingga 8 Disember.

Bagi meraikan pelancaran koleksi ini, Shell Malaysia akan menganjurkan satu acara di KL Sentral mulai 17 hingga 23 Oktober dan di Mid Valley Megamall dari 26 hingga 30 Oktober.

Selain mencuba kesemua tujuh model kawalan jauh yang ditawarkan, pengunjung juga boleh menyaksikan dengan lebih dekat lagi replika Hyundai i20 WRC yang memenangi Kejohanan Rali Dunia di Greece baru-baru ini.

Jemu lumba di litar? Jom cuba trek RC aras bumbung pertama di Malaysia

ADAKAH anda peminat kereta kawalan jauh dan tidak tahu di mana lokasi menarik untuk bermain alat itu?

Jika ya, ini berita baik untuk anda terutama yang menetap di Lembah Klang.

Semalam, sebuah trek kereta kawalan jauh secara rasmi dibuka di SACC Mall Shah Alam sebagai usaha mempromosikan aktiviti sukan dan rekreasi terbuka.

Memetik laporan Selangor Kini, ia merupakan trek kereta kawalan jauh aras bumbung pertama di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate (PREC) berkata, pembukaan trek itu juga diyakini dapat menarik minat semua golongan terutama anak muda.

“Kami percaya penganjuran bersama SACC Mall dan Bazaarlokal ini menjadi aktiviti luar yang hebat kerana menepati cita rasa semua generasi terutama golongan muda,” katanya.

Orang ramai kini boleh menyertai aktiviti perlumbaan kereta kawalan jauh di SACC Mall, Shah Alam. – Foto ihsan RC Planet Malaysia

Kereta kawalan jauh merupakan antara hobi yang diminati ramai bukan sahaja di negara ini malah, di serata dunia.

Antara kejohanan terkemuka dunia termasuk Kejohanan Dunia International Federation of Model Auto Racing (IFMAR) yang menawarkan hadiah lumayan.

Terdahulu, syarikat RC Planet turut menganjurkan pertandingan RC Car Tamiya pada semalam sebagai tanda simbolik pembukaan trek tersebut.

Ia disertai lebih 80 peserta bermula 10 pagi hingga enam petang.

Orang ramai berminat menggunakan fasiliti trek kereta kawalan jauh SACC Mall boleh berbuat demikian dengan membayar caj RM20 sehari.