Arkib Tag: kereta curi

Polis Houston temukan kereta curi bernilai RM4.7 juta di ‘kedai potong’ kartel Mexico

HASIL siasatan selama enam bulan, Bahagian Siasatan Khas (SID) Pejabat Sheriff Harris County berjaya membuat tiga tangkapan melibatkan kartel serta menemukan sejumlah kenderaan curi bernilai $1 juta di Houston, Texas.

Menurut laporan, penangkapan dibuat di tiga ‘kedai potong’ di Houston Utara dengan bantuan daripada beberapa agensi kerajaan. Sebanyak 14 buah kenderaan curi berjaya ditemukan semula, dengan nilai keseluruhan dikatakan melebihi $1 juta.

Pihak berkuasa mendedahkan yang kebanyakan daripada kenderaan curi tersebut adalah pikap trak mewah namun jenama dan model spesifik tidak dinyatakan.

Ketiga-tiga ‘kedai potong’ tersebut didapati berselindung di sebalik perniagaan bengkel namun hakikatnya, ia menjadi lokasi di mana kenderaan curi akan dileraikan dan dijual sebagai alat ganti.

Pejabat Syerif Harris County percaya bahawa jenayah yang lebih teruk turut berlaku di lokasi-lokasi berkenaan, yang didakwa mempunyai kaitan dengan Kartel Generasi Baru Jalisco atau Cártel de Jalisco Nueva Generación (CJNG).

Foto: Pejabat Sherif Harris County

Menurut Peguam A.S. Alamdar S. Hamdani, “CJNG adalah salah satu organisasi jenayah yang paling berkuasa dan berbahaya di Mexico, bercirikan keganasan melampau dan penyeludupan bahan yang paling berbahaya.”

Buat masa ini, serbuan ini membawa kepada lima tangkapan. Mejar Paul Suarez daripada Pejabat Syerif Harris County berkata pasukan SWAT HSCO, skuad bom dan SID bekerjasam rapat dalam operasi tersebut.

“Matlamat kami bukan hanya untuk mengganggu organisasi ini tetapi untuk memusnahkannya sepenuhnya,” kata Suarez.

Selain itu, pihaknya juga sedang dalam usaha memulangkan semula kenderaan-kenderaan yang ditemukan itu kepada pemilik.

Proton Wira kereta kegemaran pencuri 11 tahun berturut-turut

SIAPA sangka, kereta yang dilancarkan kira-kira 30 tahun lalu masih lagi dianggap sebagai ‘barang panas’.

Kereta yang dimaksudkan adalah Proton Wira, yang mana menurut Majlis Pengurangan Kecurian Kenderaan Malaysia (VTREC), mengekalkan statusnya sebagai kenderaan paling kerap dicuri untuk 11 tahun berturut-turut.

Menurut penyelarasn VTREC, Mas Tina Abdul Hamid, senarai yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan tuntutan yang diterima oleh syarikat insurans.

Katanya lagi, sebanyak 131 unit Wira telah dicuri pada 2021, diikuti dengan Iswara dengan 75 kes. Sementara itu, Myvi pula berada pada tangga keenam.

Bagi kereta buatan jenama asing, Toyota Hilux muncul sebagai kenderaan yang paling banyak dicuri dengan 65 kes pada 2021. Ini meletakkannya di tangga keempat senarai itu, di belakang Perodua Kancil.

“Terdapat kereta Mercedes-Benz curi yang dijual pada harga serendah RM10,000, atau Hilux pada harga RM12,000, dan Wira pada hanya RM3,000,” kata Mas Tina.

Menurut beliau lagi, acap kali pencuri kereta adalah pembekal alat ganti Wira. Pencuri selalunya menyasarkan model kereta yang lebih tua dan lebih popular, dan beliau percaya Myvi akan menjadi sasaran seterusnya.

Untuk motosikal pula, data yang dibekalkan kepada The Star menunjukkan sebuah Yamaha 135LC dicuri setiap hari, sekaligus menjadikannya model motosikal paling kerap dicuri pada 2021.

Di tangga kedua adalah Yamaha Y15ZR dengan 165 kes, diikuti dengan Honda C100 di tempat ketiga dengan 151 kes.

“Kebiasaannya, pencuri akan menyasarkan model terkini, leraikannya dan jual alat ganti. Mereka juga menjual Yamaha 125Z pada harga RM1,500, Yamaha 135LC pada harga RM500, serta Honda EX5 dan Honda Wave pada harga RM300,” kata Mas Tina.

Untuk transaksi, pelanggan yang bersetuju dengan tawaran akan mendepositkan wang ke akaun milik sindiket sebelum kenderaan atau komponen curi tersebut dihantar kepada mereka menggunakan khidmat pos berdaftar.

Tambah Mas Tina lagi, sukar bagi pihak berkuasa untuk membanteras sindiket tersebut kerana mereka mempunyai kumpulan yang berbeza untuk mencuri dan membawanya ke Thailand. Di sana, ia akan dijual oleh pihak lain.

Terbeli kereta curi dari platform jualan online, pasangan failkan saman RM100,000

SEPASANG suami isteri telah memfailkan saman cuai ke atas satu pengedar kereta terpakai online (atas talian) dan institusi kewangan berkaitan kerana urusan jualan kereta yang dilaporkan dicuri.

Mohd Zulikram Shamsidi, seorang jurutera, dan isterinya Nor Saidatul Wanida Mohd Hazani berkata mereka terpaksa melalui kesukaran dan kerugian wang dari penggunaan kereta itu.

Dalam saman yang difailkan di mahkamah seksyen dua bulan lalu, mereka menamakan Carsome Sdn Bhd dan Maybank Islamic Bhd sebagai defendan. Mereka menuntut ganti rugi berjumlah RM100,000 dari Carsome.

Mereka juga menuntut pengisytiharan pembatalan perjanjian sewa-beli dari Maybank Islamic, pemulangan semula wang tempahan, deposit, dan ansuran sebanyak dua bulan. Turut dituntut ialah kerugian RM123,647.86 dari institusi kewangan tersebut.

Dalam kenyataan tuntutan itu – difailkan oleh Messrs Sugu K & Partners – Zulikram berkata dia melihat kereta itu di lamab web Carsome dan mengambil keputusan membelinya pada harga RM103,697.81 pada November tahun lepas. Dia kemudiannya membuat pinjaman dan perjanjian sewa-beli dengan bank itu.

Pada 12 Februari lepas, Zulikram menerima panggilan dari polis yang menyatakan bahawa kereta dimilikinya itu berkemungkinan dicuri. Dua hari kemudian, polis menyita kenderaa itu untuk ujian casis oleh Jabatan Kimia.

Kemudian pada 18 Februari, menerima surat dari pihak insurans memaklumkan bahawa pemilik sebelumnya telah mengisytiharkan kereta itu ‘total lost’ pada 2018.

Zulikram berkata Carsome telah cuai dalam memastikan kereta itu bukan kenderaan curi sebelum memasukkannya ke dalam iklan.

Sementara itu, Carsome dalam kenyataan balas berkata, mereka bergantung kepada laporan Puspakom yang mendakwa casis kereta itu tidak diubah dan semuanya berada dalam keadaan baik sebelum diiklankan.

Habizan Rahman yang mewakili pasangan itu berkata, pengurusan kes akan diadakan pada 2 November nanti.