Arkib Tag: kereta api

Lokomotif pertama ECRL mula tiba di Pelabuhan Kuantan

BEBERAPA lokomotif pertama East Coast Rail Link (ECRL) mula tiba di Pelabuhan Kuantan. Perkara itu disiarkan dalam satu muat naik oleh laman Facebook East Coast Rail Link – ECRL.

Tetapi anda mungkin perasan bahawa ini merupakan lokomotif diesel kerana ianya hanya akan digunakan untuk tujuan pembinaan jajaran ECRL itu.

Kereta api yang akan digunakan untuk projek menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur dengan Lembah Klang itu adalah jenis elektrik.

Projek ECRL dimiliki oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB), iaitu syarikat dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc.)

China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) pula adalah kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek ini.

Jaringan rel ECRL akan merapatkan Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia dengan menghubungkan Kota Bharu di Kelantan ke Pelabuhan Klang di Selangor.

Berdasarkan laporan berita pada Ogos lepas, projek ini telah mencapai perkembangan 48.77 peratus, menurut Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ketua Setiausaha Negara itu juga berkata perkembangan tersebut selaras dengan pembangunan projek itu dari Kota Bharu, Kelantan hingga Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026, sekali gus membolehkan perkhidmatan ECRL beroperasi pada Januari 2027.

Sarawak kemuka cadangan bina perkhidmatan kereta api rentas Borneo

MASA yang diambil untuk mengembara menggunakan jalan darat antara Sabah dan Sarawak mungkin akan dapat dikurangkan dengan ketara selepas ini.

Ini kerana negeri yang dikenali dengan jolokan Bumi Kenyalang itu telah mengemukakan cadangan untuk pembinaan perkhidmatan kereta api merentasi Kepulauan Borneo.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata cadangan itu telah disampaikan oleh kerajaan negeri kepada Kementerian Pengangkutan dalam satu pertemuan Sabtu lalu.

“Ini adalah projek Kerajaan Persekutuan dan satu kajian mengenai projek itu akan dibuat oleh Kementerian Pengangkutan. Kereta api ini dijangka melalui Sabah dan berhubung juga dengan Kalimantan, Indonesia.

“Jadi seharusnya perlu juga ada perbincangan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei kerana projek ini mungkin melibatkan ketiga-tiga negara,” katanya pada sidang media selepas mendengar taklimat projek pembangunan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).

Tan Sri Abang Johari Openg Gambar oleh: Firdaus Latif/MalayMail

Beliau berkata, sekiranya projek itu berjaya dilaksana, ia bakal membuka peluang ekonomi kepada kawasan yang dilalui kereta api terbabit.

“Saya rasa masanya telah tiba untuk kita wujudkan khidmat kereta api ini yang semestinya akan dapat merancakkan aktiviti ekonomi terutama dari segi logistik,” tambah beliau.

Kami rasakan cadangan ini sangat baik kerana ia bukan sahaja dapat memudahkan penduduk Sabah dan Sarawak, malah dapat meningkatkan sektor pelancongan negara dan juga mengeratkan hubungan antara tiga negara yang terlibat.

Bagaimanapun, kos pembangunan projek bertaraf mega seperti ini haruslah diteliti sebaik mungkin agar tidak berlaku sebarang ketirisan yang sudah tentunya akan menjejaskan pembangunannya.

Insiden kereta api langgar Axia cetus perdebatan

KEJADIAN kereta api melanggar kereta bukan sesuatu yang biasa berlaku di Malaysia kerana kebanyakan lintasan mempunyai palang dan lampu amaran.

Bagaimanapun, baru-baru ini sebuah Perodua Axia dilanggar oleh kereta api setelah pemandunya dikhabarkan cuba melintasi landasan.

Insiden ini dirakam oleh perakam papan pemuka (dashcam) dari kenderaan di belakang dan dilaporkan berlaku di Johor Port.

Di awal rakaman, Axia putih terbabit bersama-sama sebuah trak pikap dan motosikal mula bergerak selepas lampu isyarat bertukar dari merah kepada hijau.

Axia itu memecut sebelum tiba ke lintasan dan kelihatan seorang penjaga memberi isyarat suruh memberhentikan kenderaan untuk memberi laluan kepada sebuah kereta api terlebih dahulu.

Malah, penjaga itu bergerak hingga ke tengah jalan apabila melihat Axia seperti tidak memperlahankan kenderaan.

Disebabkan bahagian kereta sudah memasuki landasan dan pemandu Axia itu tidak sempat mengundurkan kenderaannya, bahagian kanan kereta api itu telah ‘tersangkut’ pada bahagian hadapan Axia dan menyeretnya perlahan-lahan sehingga ke bahu jalan.

Pemandu Axia itu segera mengundurkan kereta bagi mengelakkan kerosakan yang lebih teruk pada kenderaannya.

Netizen memberikan pelbagai reaksi terhadap insiden ‘rare’ ini. Mereka juga menyatakan jika pemandu Axia tidak ‘terlalu nekad’ dan lebih patuh kepada amaran penjaga itu, pasti insiden ini tidak berlaku.

Bagaimanapun, ramai bersependapat bahawa oleh kerana tiada tanda amaran, lampu isyarat dan palang berhampiran landasan tersebut menyebabkan kereta Axia tersebut terkeliru sehingga menyebabkan insiden tersebut terjadi.

Semasa membaca komen-komen yang dikongsikan, ada seorang pengguna Facebook memaklumkan bahawa laluan tersebut sedang dibuat semula, oleh sebab itulah tiada palang dan lampu isyarat untuk mengawal pergerakan kenderaan di laluan terbabit.

Apa pendapat anda? Bagi kami, ia kesalahan pemandu Axia itu sendiri kerana tidak peka dengan arahan dan situasi sekeliling.

Lelaki ini sempat keluar beberapa saat sebelum kapal terbangnya dilanggar kereta api

KAPAL terbang yang membuat pendaratan kecemasan di jalan raya bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia perkara yang tak dapat dielakkan.

Tetapi kadang-kadang lebih baik megelak dari mendarat di landasan kereta api seperti yang ditunjukkan di video di bawah.

Video dari orang awam yang menyaksikan kejadian memberikan gambaran dramatik saat juruterbang ditarik keluar dari pesawatnya beberapa saat sebelum pesawat itu dirempuh kereta api. Ya, hanya beberapa saat sahaja!

Tiada perincian mengenai punca kapal terbang itu terhempas, tetapi insiden itu berlaku kira-kira jam 2 petang di Los Angeles, California, tidak berapa lama selepas ia berlepas.

Pesawat itu terhempas betul-betul di atas landasan kereta api dan orang awam serta anggota polis berjaya mengeluarkan juruterbang yang cedera itu hanya beberapa saat sebelum kereta api menghentam bangkai pesawat itu.

Malah, orang awam yang merakam kejadian itu hampir terkena serpihan pesawat yang dilanggar. Menurut Reuters, juruterbang itu hanya cedera ringan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Rakaman dari badan anggota polis juga menunjukkan mereka hanya beberapa kaki sahaja dari bangkai pesawat semasa kereta api menghentamnya. Jika mereka terlambat beberapa saat, pasti keadaan jauh lebih parah.

Syabas kepada orang awam dan anggota polis yang membantu menyelamatkan juruterbang tersebut, mereka memang wira! Juruterbang itu pula pasti bersyukur kerana mendapat ‘nyawa baharu’.