Arkib Tag: kerajaan

Kerajaan tumpu pembangunan EV, yakin terima sambutan rakyat

KERAJAAN akan terus memberi keutamaan terhadap program pembangunan, validasi dan pengkomersialan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ia bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi malah, menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Jelas Datuk Seri Dr Adham Baba, kerajaan kini berusaha meneroka lebih banyak aspek berkaitan teknologi EV menerusi Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

“Program ini menekankan pembangunan dan pengkomersialan sistem simpanan tenaga bagi kegunaan mobiliti elektrik termasuk bateri, ultra kapasitor, penyimpanan hidrogen dan reaktor, sistem pengurusan tenaga dan kitar semula bateri,” katanya.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menggunakan pendekatan ‘whole of nation’ bagi meningkatkan penerimaan terhadap teknologi EV.

Secara tidak langsung, pendekatan itu mampu menjadikan Malaysia sebagai pengeksport komponen EV tersohor di rantau Asean.

Terdahulu, Dr Adham yakin penggunaan EV bakal menerima sambutan baik daripada rakyat negara ini.

“MOSTI yakin penerimaan awam terhadap kenderaan EV akan meningkat dalam jangka pendek memandangkan kenderaan EV jimat tenaga.

“Ia hanya memerlukan infrastruktur pengisian yang sederhana melibatkan sistem pertukaran bateri.

“Teknologi EV juga mempunyai potensi yang besar untuk perkhidmatan pengangkutan awam dan penghantaran menjelang 2030,” katanya lagi.

Harga tiket laluan ke Sabah, Sarawak kembali ke paras purata

HARGA tiket penerbangan laluan ke Sabah dan Sarawak akan kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.

Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, kerajaan juga akan meneruskan pemantauan harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik.

Jelas Datuk Henry Sum Agong, harga tiket penerbangan yang tinggi itu adalah kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan oleh kerajaan Sarawak.

“Pada ketika itu, kekerapan penerbangan ke Sarawak berkurangan sebanyak 94 peratus berbanding semasa tempoh sebelum Covid-19.

“Bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sabah, kekerapan penerbangan berkurangan sebanyak 89 peratus berbanding semasa tempoh sebelum Covid-19,” katanya.

Orang ramai digalakkan melakukan ujian kendiri sebelum melakukan perjalanan merentas negeri bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19. – Foto ihsan Malay Mail

Henry berkata demikian Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti).

Terdahulu, Lukanisman mengajukan pertanyaan mengenai langkah kerajaan mengurangkan harga tiket penerbangan dari Sarawak dan Sabah ke Semenanjung Malaysia.

Dakwa Lukanisman, harga tiket penerbangan terlalu mahal ketika negara berdepan pandemik Covid-19 selain berharap perkara itu dapat ditangani segera.

Sementara itu, harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik dan mempraktikkan konsep ‘cross-subsidisation’.

Ia bermaksud, laluan penerbangan mencatatkan keuntungan akan menampung kos operasi laluan yang tidak mencatat keuntungan.

Sebelum ini, penerbangan Kuala Lumpur ke Miri dan Kuala Lumpur ke Sibu masih merekodkan harga tinggi iaitu antara RM530 hingga RM1600 untuk sehala.

Laluan Semenanjung ke Sabah pula, harga tiket lebih tinggi antara lapan peratus hingga 163 peratus berbanding pada 2019.

Cadangan kurang kadar tol masih dalam kajian, kata menteri

KERAJAAN masih mengkaji langkah terbaik berhubung cadangan pengurangan kadar tol seluruh negara.

Menteri (Kanan) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kajian meliputi pelbagai aspek termasuk bebanan kewangan kerajaan serta impak kepada ekonomi.

Memetik laporan Berita Harian,kerajaan turut mengadakan perbincangan bersama syarikat konsesi lebuh raya bagi mencapai keputusan terbaik.

“Kerajaan bersama syarikat konsesi lebuh raya sedang mengkaji pelbagai inisiatif dan kaedah boleh dipertimbangkan bagi mengurangkan kadar tol lebuh raya di negara ini.

“Kementerian Kerja Raya juga membenarkan syarikat konsesi lebuhraya mencadangkan kaedah penstrukturan semula kewangan bagi tujuan pengurangan kadar tol,” katanya.

Turut terlibat dalam perbincangan termasuk Kementerian Kewangan, Unit Kerjasama Awam dan Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri dan beberapa agensi berkaitan.

Fadillah berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat, semalam.

Menteri (Kanan) Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof. – Foto ihsan Malay Mail

Sebelum ini, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di tiga lebuhraya tahun depan.

Konsesi lebuhraya yang dimaksudkan adalah Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Penangguhan kenaikan kadar tol selepas mengambil kira kesan ekonomi akibat daripada pandemik Covid-19.

Kerajaan tangguh kenaikan kadar tol Kesas, SKVE dan LPT2

KERAJAAN tidak bercadang melaksanakan kenaikan kadar tol bagi tiga lebuh raya tahun ini.

Tiga lebuh raya berkenaan adalah Lebuh raya Shah Alam (Kesas), Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Keputusan dibuat atas dasar prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan wabak Covid-19.

Selain itu, kerajaan terus menangguhkan kenaikan kadar tol semua kelas kenderaan melibatkan 21 lebuh raya dan satu plaza tol.

Antara lebuh raya dimaksudkan adalah Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX).

Penangguhan menyaksikan kerajaan perlu menanggung kos pampasan sebanyak RM2.25 bilion.

Anggaran pampasan dibuat berdasarkan formula pengiraan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

Jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Kes kartel tender kerajaan: Ferrari, Lamborghini antara dirampas SPRM

RAKYAT Malaysia sekali lagi dikejutkan dengan tangkapan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan individu berprofil tinggi.

Memetik laporan media tempatan, agensi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan beberapa individu bagi menyiasat sindiket melibatkan tender kerajaan.

Serbuan SPRM terhadap beberapa suspek membawa kepada penemuan wang tunai lebih RM3.5 juta selain beberapa kenderaan mewah.

Apa yang menarik perhatian kami di EnGear, suspek-suspek terbabit dipercayai memiliki beberapa kenderaan mewah.

Berikut antara kenderaan mewah disita pihak berkuasa untuk dijadikan bahan bukti:-

  • Nissan Skyline GTR 35
  • Range Rover Sport Autobiography
  • Mclaren 720S 4.0 Performance
  • Toyota Alphard 3.5 V6
  • Range Rover Sport SVR 2020
  • Mercedes CLA 45 AMG
  • Ford Mustang GT 5.0 V8
  • Porsche Carrera 911 4S Turbo
  • Mercedes Benz GLA 45 AMG
  • Lamborghini Urus 4.0
  • Ferrari 458 Italia
  • Benimar Tessoro (Rumah bergerak)
Gambar hiasan.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam reaksinya kesal dengan perkara berlaku, lapor Berita Harian.

Justeru, Mohd Zuki mengingatkan penjawat awam agar mengekalkan integriti dan maruah diri daripada terlibat dengan kegiatan rasuah.