Arkib Tag: kemalangan

Pemandu, kelindan maut treler bawa bongkah batu terbabas

DUA individu maut selepas treler muatan bongkah batu yang dinaiki terbabas dalam satu kemalangan di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak, semalam.

Laporan polis mendedahkan dua mangsa maut merupakan pemandu dan kelindan treler terbabit.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tersebut yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bentong hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan.

Mayat kedua mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

Kes disiasat menurut Seksyen  41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Blind spot punca kemalangan, ini tips perlu anda tahu!

TITIK buta atau blind spot seringkali menjadi punca berlaku kemalangan.

Walaupun pelbagai cara dilakukan pihak berwajib untuk menerangkan mengenai bahaya blind spot namun, masih banyak pemandu kurang memahami mengenai perkara ini.

Justeru, artikel kali ini EnGear ingin kongsikan kepada anda mengenai blind spot dan kaedah mengatasinya.

Blind spot dan tips atasinya

Apakah itu Blind Spot?

Blind spot adalah kawasan terlindung di bahagian kiri dan kanan kenderaan.

Ia terlindung dari penglihatan walau menggunakan cermin sisi dan cermin pandang belakang kenderaan.

Situasi ini sering terjadi apabila anda ingin memotong dan secara tiba-tiba terdapat kenderaan lain betul-betul berada rapat di sebelah kenderaan anda.

Jadi, apakah anda perlu lakukan?

Langkah pertama, anda perlu melaraskan cermin sisi kanan dan kiri kenderaan dengan menghala ke arah luar bagi mengurangkan blind spot.

Kedua, laraskan cermin pandang belakang sehingga dapat melihat keseluruhan bahagian belakang kenderaan anda.

Ketiga, sebaik anda melakukan pelarasan cermin sisi dan cermin pandang belakang maka ujilah kedudukan blind spot di jalan raya.

Semasa memandu, tumpukan juga perhatian pada kenderaan di belakang anda.

Sebaik-baiknya, beri laluan untuk kenderaan belakang anda untuk memotong dan pastikan ia berada dalam medan penglihatan pada cermin sisi.

Menerusi kaedah ini, anda boleh memandu dengan selesa memandangkan kedudukan kenderaan lain boleh dilihat dengan jelas.

Pada masa sama, ia juga membantu anda untuk menukar lorong termasuk ketika mengundurkan kenderaan.

Terus utama keselamatan dan selamat memandu!

Kongsi foto kemalangan di media sosial, apa niat kita?

BUDAYA mengambil foto atau video kemalangan dan dikongsikan di platform media sosial dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Tindakan itu bukan sahaja mengundang aib kepada mangsa dan keluarga malah, lebih membimbangkan mampu memberi persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Apakah yang dimaksudkan dengan persepsi negatif?

Sebagai contoh, wujud seakan sindiran atau kadang kala menjadi ‘bahan’ ketawa di media sosial setiap kali berlaku kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Myvi.

Wujud golongan yang menganggap bahawa kebanyakan pemandu Perodua Myvi ‘bermasalah’ dalam pemanduan sehingga sering menjadi punca kemalangan.

Mengapakah perkara ini berlaku? Sudah pasti tidak lain semuanya kerana sikap masyarakat yang gemar berkongsi foto atau video di media sosial sehingga ia menjadi tular.

Foto sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi ‘terbang’ tular di media sosial. – Foto ihsan Twitter/Aeril Zafrel

Kemalangan jalan raya: Apa sikap kita?

Kes kemalangan jalan raya boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari di negara kita. Tidak dinafikan insiden seperti itu adakala boleh mengundang rasa cemas dan trauma kepada mangsa terlibat. Ia akan menyebabkan seseorang tidak mampu berfikir secara rasional apatah lagi mengambil langkah wajar bagi menyelesaikan masalah dihadapi.

Justeru, di sini kami kongsikan kepada anda langkah-langkah yang perlu dilakukan jika berada di lokasi kemalangan.

  • Tindakan pertama perlu dilakukan adalah menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan
  • Jangan alihkan mangsa jika mengalami kecederaan parah. Ini penting untuk mengelak mangsa mengalami kecederaan lebih teruk
  • Pastikan kenderaan anda tidak menghalang lalu lintas bagi mengelak kesesakan jalan raya
  • Beri kerjasama kepada pihak berkuasa seandainya diperlukan untuk menjadi saksi kejadian
Insiden kemalangan di Bayan Lepas, Pulau Pinang tular selepas seorang lelaki memandu Perodua Myvi dipersalahkan walaupun bukan penyebab berlaku insiden terbabit.

Jadi, berbalik kepada persoalan apakah kita langsung tidak boleh mengambil foto kemalangan?

Pada pandangan kami, anda tidak perlu berbuat demikian. Ia bukan sahaja akan memberi aib kepada mangsa malah boleh menimbulkan lain-lain masalah terutama kesesakan jalan raya.

Mungkin ada yang tertanya tidakkah foto itu penting untuk dijadikan bahan bukti untuk pihak berkuasa jalankan siasatan?

Jawapannya, kita serahkan tugas mengambil foto itu kepada pihak polis yang lebih arif.

Bagaimanapun, jika kebetulan kenderaan anda dilengkapi kamera dan merakam insiden kemalangan maka, tidak perlu ditularkan kejadian tersebut.

Cukuplah jika anda serahkan video yang dirakam kepada pihak berkuasa untuk tujuan siasatan.