Arkib Tag: kecemasan

Lampu hazard waktu hujan suatu kesalahan – JSPT

ANDA pasti biasa jumpa kereta yang menyalakan lampu kecemasan ‘double signal’ atau lampu hazard semasa hujan lebat, bukan? Tetapi adakah cara ini betul dan selamat?

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, perbuatan menyalakan lampu hazard adalah dibenarkan untuk waktu kecemasan sahaja.

Lampu hazard dalam hujan. Gambar oleh: FOX 13 Tampa Bay

“Di Malaysia, perkara ini masih samar-samar disebabkan tiada yang disebutkan dengan jelas dan spesifik tentang penggunaan lampu hazard.

“Namun, sekiranya pemandu dalam konteks kecemasan (akibat hujan lebat), mereka perlu menghentikan pemanduan jika darjah penglihatan terhad dan tidak berupaya mengawal kenderaan.

“Lampu hazard ini adalah bertujuan untuk memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain serta menarik perhatian kenderaan yang mengekori untuk mengambil tindakan segera dan selamat bagi mengelak pelanggaran,” katanya.

Menurut Mohd Azman, selain penggunaan lampu hazard ketika hujan lebat, ia juga sering dilihat digunakan ketika konvoi mengiringi kenderaan jenazah, konvoi rombongan kahwin, konvoi kelab bermotor atau semasa kenderaan ditunda dan kenderaan kecemasan seperti ambulans.

“Penggunaan lampu hazard ketika kenderaan bergerak akan mengelirukan pengguna lain khususnya sewaktu hujan lebat.

“la sukar dibezakan sama ada kenderaan tersebut sedang berhenti atau bergerak. Seterusnya, ia sangat berbahaya jika kenderaan yang disangkakan sedang bergerak rupa-rupanya sedang rosak atau tersadai di tengah laluan.

“Jika lampu hazard dipasang, bagaimana kita (pemandu) ingin memberitahu pengguna jalan raya yang lain arah mana kita ingin membelok?” tambahnya.

Wanita lahir anak dalam lori di LPT

SEORANG wanita dilaporkan selamat melahirkan seorang bayi selepas dibantu oleh seorang pegawai perubatan bersama dua jururawat di Kilometer 121 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, Pahang pada Rabu.

Berkongsi detik mencemaskan itu menerusi hantaran di Facebook, Dr. Aliff Zaki berkata ketika beliau menerima panggilan mengenai kes itu, keadaan bayi dan ibu tidak diketahui.

“Sepanjang persiapan di klinik, dua tiga kali senarai semak barang-barang kerana expect the worst. Dalam ambulans masing-masing berteka teki apakah keadaan ibu? Dah bersalin ke belum? Kalau dah, keadaan baby macam mana?,” katanya menerusi hantaran itu.

Setibanya di lokasi, beliau melihat dua pegawai polis trafik sedang menjaga lalu lintas manakala pintu lori pula terbuka luas.

“Nampak di rumput pakaian yang berlumuran darah dan najis. Bau tu memang tak disangkal kepekatannya. Tanya pasangan, “mana si ibu?”. “Ada dalam lori, di tempat duduk belakang” jawabnya.

“Memanjat lori bersaiz Optimus Prime, nampak dua susuk tubuh terbaring. Si ibu pejam mata, dan ada jasad kecil di celah kangkang. Hati dah berdebar. Aku tegur si ibu, “puan, boleh dengar saya cakap? Buka mata boleh”. Si ibu buka mata dan sahut “ya dengar”, hati lega.

“Mata beralih ke si anak pula, nampak tak bergerak. Alamak. Aku pegang kaki bayi, jentik tapak kaki, keluar suara kecil menangis. Hati kembali lega, peluh jantan tak jadi keluar,” katanya.

Menurut Dr. Aliff, beliau meneruskan prosedur memotong tali pusat dan membalut bayi dengan kain tuala sebelum membawanya keluar dari lori.

“Pesakit diambil alih oleh Sumaiyah. Mencuci darah, periksa tahap koyak dan membersihkan ibu setakat boleh. Kak Azlina tunggu kat luar untuk keperluan lain-lain,” tulisnya lagi.

Sejurus selepas itu, si ibu dan bayi dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS).

Rentas negeri: PDRM tetap syarat hanya Isnin hingga Khamis

SEBARANG pergerakan rentas negeri bagi tujuan pekerjaan, perubatan dan pendidikan hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.

Arahan dikeluarkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang kembali serius.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya akan terus memperketatkan kawalan sebagai usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, lapor Bernama.

Kes Covid-19 seluruh negara menunjukkan peningkatan sejak beberapa hari lalu.

Semalam, lebih 2,078 kes Covid-19 dicatatkan seluruh negara dengan lapan kematian.

Terdahulu, Acryl Sani berkata rentas negeri hanya dibenarkan bagi individu mempunyai urusan kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh.

Bagaimanapun, rentas negeri bagi tujuan kecemasan dan kematian yang dibenarkan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat.