Arkib Tag: Karak

Lebuhraya Karak akan dilebarkan, tiada lagi ‘jem’?

LEBUHRAYA Karak menjadi antara laluan paling sesak menjelang musim perayaan. Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, kira-kira dua juta kenderaan menggunakan laluan tersebut untuk pulang ke Kelantan atau Terengganu terutama pada musim perayaan.

Untuk itu, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion untuk menaik taraf Lebuhraya Karak dengan melebarkan lorong dan membina terowong tambahan bagi mengatasi masalah kesesakan yang dialami pengguna.

Gambar oleh: Malay Mail

“Dengan pelebaran lorong dan pembinaan terowong baharu kita jangka masalah kesesakan yang sering dialami di lebuh raya itu akan diatasi,” katanya.

“Setakat ini Lembaga Lebuhraya Malaysia telah mengeluarkan tender untuk kerja-kerja pembinaan yang akan dilaksanakan di sepanjang lebuh raya itu.”

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja-kerja penyelenggaraan laluan itu tidak digalakkan untuk dilaksanakan pada musim cuti perayaaan sebagai langkah mengurangkan masalah kesesakan jalan.

“Buat sementara waktu ini saya tidak galakkan LLM melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan sepanjang musim cuti perayaan kerana ia akan mengganggu aliran trafik yang bergerak ke Pantai Timur,” ujarnya.

Kami yakin inisiatif ini akan membantu mengurangkan kesesakan kerana ianya pilihan utama untuk pulang ke Pantai Timur, tidak seperti penyelesaian seperti pengangkutan awam di dalam kawasan bandar.

Tetapi kami harap kerja-kerja menaik taraf dilakukan secara terancang agar tidak menyebabkan kesesakan lain. Keselamatan pengguna jalan raya harus diutamakan agar kemalangan seperti di lebuh raya NKVE yang melibatkan Toyota Veloz dan Innova disebabkan garisan jalan yang pudar dan mengelirukan tidak berulang.

ANIH: Kerja pembersihan, baiki LPT1 akibat banjir selesai

Sebahagian Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang ditutup kepada pengguna sebelum ini telah dibuka semula.

Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan LPT1 ANIH Berhad berkata, pengguna kini boleh melalui laluan di kilometer 77 sehingga 78 yang ditutup akibat banjir sebelum ini. 

Jelas ANIH, segala kerja pembersihan telah selesai termasuk proses membaiki kerosakan sepanjang laluan tersebut.

Sebelum ini, laluan di kilometer 77 sehingga 78 ditutup kerana dinaiki banjir sehingga merosakkan struktur jalan.

Bagaimanapun, pengguna jalan raya menghala ke Kuala Lumpur dari Karak masih perlu menggunakan laluan alternatif dengan membuat pusingan ‘U’ di Plaza Tol Karak.

Justeru, pengguna jalan raya dinasihati barhati-hati ketika menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua di Kilometer 74.8 hingga 77.3.

Sebarang maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang dan semua platform media sosial ANIH.

Untuk sebarang kecemasan atau pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 1800-88-7752 atau 09 5479111 / 1-700-818-700.

Larangan rentas negeri, bagaimana KL-Karak boleh sesak?

KESESAKAN jalan raya bukan suatu yang asing di negara ini apatah lagi ketika musim perayaan.

Walaupun kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun, masih terdapat kesesakan di beberapa jalan utama.

Semalam, tular di media sosial berlaku kesesakan teruk di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak berdekatan Plaza Tol Gombak.

Menerusi laman Twitter, seorang pengguna media sosial memuat naik foto kesesakan panjang dipercayai diambil daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Menghala ke KL, balik dari mana tu? Seronok ke beraya dekat kampung?

“Korang (anda) boleh tengok sendiri entah dari mana manusia ni,” kata pemilik akaun Twitter Shah Klang.

Sebelum ini, kerajaan melarang sebarang pergerakan rentas negeri tanpa mendapat kebenaran pihak polis.

Selain itu, setiap individu juga dilarang merentas daerah susulan arahan PKP seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei sehingga 7 Jun depan.

Sementara itu, rata-rata orang ramai mengecam tindakan individu sengaja merentas negeri bagi menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

Jelas mereka, tindakan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah, tidak membantu usaha dalam menurunkan kes Covid-19 di negara ini.