Arkib Tag: jdt

Litar Pasir Gudang bakal dibangunkan semula dengan bantuan Petronas

Umum sedia maklum bahawa Petronas bakal menaja pasukan JDT Racing Team di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC). 

Dalam perkembangan terbaru, Petronas dilaporkan akan menjalinkan kerjasama secara menyeluruh bersama JDT termasuk membantu membangunkan semula Litar Pasir Gudang.

Perkara itu didedahkan prinsipal Pasukan JDT Racing Team, Steven Tan kepada Flash Sukan. 

“Memang benar saya sudah membawa Petronas untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka.

“Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri. 

“Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” jelasnya. 

Difahamkan, pembangunan Litar Pasir Gudang yang ditutup sejak 2016 itu akan membantu melahirkan bakat baharu sukan permotoran bagi akademi JDT Racing Team. 

JDT Racing Team – TMJ mulakan perbincangan dengan Hafizh Syahrin

HANYA sebulan selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan hasrat menubuhkan pasukan JDT Racing Team, nampaknya langkah pertama telah dilakukan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah membuat perbincangan awal dengan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Kedua-dua watak penting dalam penubuhan satu lagi cabang sukan dalam JDT itu bertemu dalam satu majlis di Johor Bahru yang menandakan permulaan projek baharu ini dan turut dihadiri Valeriano Rodriguez, pengurus teknikal JDT Racing Team.

Perkara itu disahkan menerusi hantaran di laman sosial rasmi JDT yang turut memperlihatkan Tunku Ismail membawa Hafizh Syahrin dan tetamunya melawat garaj kereta miliknya.

“Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor telah bertemu Hafizh Syahrin, pelumba dan Valeriano (Rodriguez) untuk berbincang mengenai pembentukan pasukan menjelang kempen musim 2024,” tulis hantaran itu.

“Bulan lalu, JDT mengumumkan niat untuk memasuki arena perlumbaan motosikal dengan pelumba terkemuka Malaysia itu.

“JDT Racing Team akan bermula di pertandingan Asia Road Racing Championship dengan hasrat untuk bersaing dalam pertandingan Superbike World Championship kelak.”

Dalam keadaan prestasi yang kurang memberangsangkan oleh pelumba negara di perlumbaan MotoGP baru-baru ini, diharap kerjasama ini akan mengembalikan semula zaman gemilang permotoran tempatan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Gambar kredit: Instagram Hafizh Syahrin

Peminat JDT boleh naik limosin Hummer, RM30 untuk 10 minit

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) memberi peluang kepada peminatnya dan pengunjung ke Stadium Sultan Ibrahim untuk merasai pengalaman berharga menaiki kenderaan mewah Hummer Limosin mengeliling stadium ikonik skuad Harimau Selatan itu.

Ketua Unit Komersial Kelab Bolasepak JDT Kevin Ramalingam berkata, Hummer Tour itu adalah antara tarikan baharu buat pengunjung untuk meluangkan masa di ‘rumah’ JDT bermula minggu ini.

Beliau berkata, perkhidmatan itu sejajar dengan hasrat Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu stadium serba canggih itu menjadi tumpuan orang ramai susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika negara memasuki fasa endemik bermula 1 April.

Katanya, selain pembukaan pembukaan restoran makanan segera, Woodfire Burger, pihaknya turut merancang untuk mengadakan lawatan stadium secara lebih dekat buat peminat setia JDT.

“Woodfire dan Hummer Tour adalah tarikan yang pertama, selepas ini lebih banyak restoran menarik yang akan dibuka,” kata Kevin.

“Sebenarnya, banyak program menarik yang kita rancang namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan banyak sekatan, maka terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Jadi bermula 1 April ini, banyak yang akan dibuka dan harapnya dalam masa tiga bulan akan datang banyak lagi tarikan diperkenal,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Kevin berkata, apabila negara beralih ke fasa endemik, beliau berharap segala perancangan yang dibuat JDT bagi menjadikan Stadium Sultan Ibrahim sebagai tarikan pengunjung dapat berjalan dengan lancar.

Katanya, dengan bayaran serendah RM30, pengunjung berpeluang menaiki Hummer Limosin bagi mengelilingi stadium selama kira-kira 10 minit.

“Bagi peringkat awal, JDT Hummer Tour akan beroperasi setiap Jumaat hingga Ahad bermula dari pukul 9 pagi hingga 6 petang.

“Jika ia mendapat sambutan luar biasa, mungkin perkhidmatan ini akan diadakan pada setiap hari dengan disertakan peluang melawat ke dalam stadium,” katanya.

Sumber gambar: Facebook JOHORean Sport Team

KL City vs JDT, Stesen LRT Bukit Jalil operasi sehingga jam 1 pagi

OPERASI perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) ke Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi bersempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2021, malam ini.

Bagaimanapun, lanjutan waktu operasi berkenaan adalah untuk Stesen LRT Bukit Jalil sahaja dan stesen lain tamat perkhidmatan mengikut jadual biasa.

Individu menonton perlawanan akhir di stadium dinasihati membeli token perjalanan balik sebelum keluar dari stesen atau membuat pembayaran secara tanpa tunai.

Pengguna LRT juga diminta kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Foto ihsan Facebook/MFL

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2021 menyaksikan pasukan KL City menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini merupakan perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-100 yang sekaligus mencatat sejarah tersendiri terutama kepada pasukan yang berjaya.

Jadi, anda pilih pasukan mana? KL City atau JDT?

TMJ hadir sambutan kejuaraan JDT julang Liga Super dengan Lincoln Navigator

TENGKU Muda Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini tiba ke Stadium Sultan Ibrahim dengan menaiki Lincoln Navigator.

Tunku Ismail hadir ke stadium itu untuk acara ‘In-Car Viewing Party’ bagi menyambut kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) bergelar juara Liga Super kali kelapan berturut-turut.

JDT menamatkan musim 2021 dengan menjulang trofi Liga Super selepas menewaskan KL City 2-1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Kemenangan itu merupakan kemenangan ke-18 buat JDT, selain mencatatkan keputusan seri 3 kali dan hanya kalah sekali.

Kelab itu telah memenangi Liga Super sejak 2014 diikuti dengan 2015, 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2020.

 

Lincoln Navigator yang dinaiki Tunku Ismail mempunyai nombor plat bertulis ‘JOHOR’ dengan warna serba hitam dan kemasan krom.

Navigator ialah model paling mewah dan besar dari penawaran jenama Amerika Syarikat (AS) ini, dengan ukuran panjang 5,639mm, tinggi 1,930mm, dan lebar 2,029mm.

Sebagai perbandingan, Lincoln Navigator ini lebih panjang dari Mercedes S-Class (5,246mm) dan lebih tinggi dari Honda CR-V (1,689mm).

Model 2021 dikuasakan oleh enjin 3.5-liter V6 twin-turbo yang mampu menghamburkan sekitar 450hp pada 5,500rpm dan 691Nm tork.

Bergantung kepada varian, Navigator mempunyai versi pacuan semua-roda 4×4 dan pacuan dua-roda 4×2, tetapi semua varian menggunakan kotak gear automatik 10-kelajuan.

Lincoln Navigator dilengkapi gril besar dengan Active Grill Shutter, lampu LED, sistem pendingin hawa tiga-zon, kemasan kayu, Co-Pilot360, Active Noise Control, paparan instrumen digital 12-inci, dan pelbagai lagi ciri mewah.

SUV ini mempunyai harga permulaan USD77,000 (RM319,896) di AS, tetapi jika ditambah pelbagai pilihan kelengkapan, pasti harganya jauh lebih tinggi.

Aston Martin dan JDT jalin kerjasama, bakal keluar edisi terhad

KELAB Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjalin kerjasama bersejarah dengan pengeluar kereta sports British, Aston Martin. Dalam majlis ringkasi di ibu pejabat JDT petang tadi, kerjasama itu dikatakan akan mengukuhkan lagi nama Harimau Selatan sebagai peneraju bolasepak di Asia Tenggara.

Kerjasama itu juga bakal menyaksikan Aston Martin mendapat hak untuk mengeluarkan edisi kash JDT dan akan dijual oleh kelab.

“JDT amat berbangga serta gembira dapat mencapai persetujuan dengan ibu pejabat jenama tersebut yang berpusat di United Kingdom (UK) dan pejabat Asia.

“Kerjasama dengan syarikat permotoran British ini bukan sahaja memberikan nilai kewangan kepada JDT, tetapi juga membuka peluang kepada JDT, Johor dan Aston Martin Racing bekerjasama dalam pelbagai bidang untuk tahun-tahun yang akan datang,” menurut kenyataan itu.

“JDT adalah juara di padang dengan kejayaan yang konsisten dan mendominasi tajuk-tajuk berita di luar padang dengan infrastruktur berkelas dunia, kekuatan jenama serta hubungan dengan kelab terkemuka antarabangsa, individu, organisasi dan entiti perniagaan.”

JDT sebelum ini telah menjalin kerjamasa dengan gergasi antarabangsa lain seperti Nike, Hublot, Subway, SWAG EV dan Unicef.

Kerjasama-kerjasama itu menunjukkan peningkatan jenama kelab sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa sejak JDT ditubuhkan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas melakukan transformasi sejak 2013.

Setakat ini kami belum mempunyai sebarang maklumat mengenai model mana yang akan dijadikan edisi terhad JDT itu, tapi kami rasa mungkin DBX atau Vantage. Anda rasa yang mana akan dijadikan edisi terhad itu?

Gambar oleh: JOHOR DARUL TA’ZIM FC