Arkib Tag: JCW

MINI Cooper SE nampak lebih garang dengan pakej John Cooper Works

PEMBELI MINI Cooper SE generasi baharu yang ingin meningkatkan penampilan kereta mereka boleh mendapatkan pakej John Cooper Works (JCW), kata syarikat itu.

Walau bagaimanapun, pakej tersebut terhad kepada aspek penampilan sahaja, bermakna EV kecil molek itu kekal dengan motor elektrik yang menjana 208 PS dan 330 Nm seperti versi standard. Ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat.

Namun dengan adanya pakej JCW, sekurang-kurangnya ia nampak lebih garang di atas jalan raya. Perubahan bermula pada bahagian hadapan, di mana keliling gril dan logo kini dihiasi dengan trim hitam berkilat.

Model ini juga mempunyai signatur lampu individu yang berbeza dengan versi standard yang menampilkan dua jalur mendatar sebagai lampu nyalaan siang.

Selain itu, pakej ini merangkumi rim Lap Spoke dua tona berukuran 18 inci, angkup brek JCW berwarna merah, diffuser hadapan dan belakang, jalur bonet serta kemasan Chilli Red pada bumbung dan cermin sisi.

Ruang dalaman turut diberikan suasana lebih sporty menerusi tema hitam dan merah, kerusi JCW yang dibalut kulit sintetik dan sulaman pada bahagian bahu, serta corak 2d pada panel pintu dan papan pemuka.

Paparan OLED berbentuk bulat dengan ukuran 240 mm itu kini mempunyai mod Go-Kart yang akan menukarkan warna paparan dan pencahayaan ambien kepada warna merah. Menurut MINI, tindak balas pendikit turut dioptimumkan untuk pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

Di samping prestasi yang tidak berubah, jarak pandu model ini juga kekal iaitu 402 km (kitaran WLTP). Tenaga dibekalkan oleh pek bateri 54.2 kWj yang boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam masa kurang 30 minit menerusi pengecasan pantas DC 95 kW.

MINI JCW Bulldog Racing Edition tampil dengan rim OZ, suspensi KW V3

MINI akan memperkenalkan model generasi baharunya tidak lama lagi namun sebelum itu, syarikat itu telah memperkenalkan satu lagi edisi khas bagi model generasi sedia ada ini.

Dikenali sebagai Bulldog Racing Edition, model ini meraikan kejayaan sebuah pasukan lumba persendirian dari Nurburg, Jerman iaitu Bulldog Racing. Pasukan tersebut berjaya mendapat tempat kedua dalam cabaran 24 Hours Nurburgring tahun ini untuk kelas kereta produksi dengan enjin turbo 1,600 hingga 2,000 cc.

Model Bulldog Racing Edition ini menggunakan model John Cooper Works tiga pintu sebagai asas. Ia mendapat pelbagai pengubahsuaian termasuk penggunaan sistem suspensi KW V3 yang telah ditala khusus di litar Nurburgring untuk pengendalian yang lebih mantap.

Sayangnya, enjin 2.0-liter turbo yang digunakan masih kekal dengan 231 hp dan 320 Nm namun sekurang-kurangnya bunyi yang dihasilkan lebih sedap terima kasih kepada sistem ekzos baharu keluaran Remus.

Seperti versi standard, kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan. Bercakap tentang roda, model ini didatangkan dengan rim OZ HyperGT berukuran 17 inci yang dibalut tayar Pirello P Zero dalam saiz 205/45 R17.

Selain rim berkenaan, ciri yang menjadikan model ini berbeza dengan versi standard adalah logo pasukan Bulldog Racing pada bahagian bumbung, sisi dan tailgate.

Di dalam, kerusi belakang telah dikeluarkan dan digantikan dengan strut untuk pengurangan berat. Selain itu, anda juga akan menemui plak dengan nombor siri pengeluaran di bawah tuil brek tangan dan pada papan pemuka.

Jumlah pengeluaran tidak diberitahu namun menurut Alexander Schabbach, pengarah urusan Bulldog Racing, setiap unit boleh dikustomkan mengikut citarasa pelanggan.

“Model khas kami menunjukkan pengubahsuaian yang boleh dilakukan pada kereta ini. Kami juga berbesar hati kerana dapat menawarkan perkhidmatan ini kepada pelanggan dengan MINI dari generasi semasa mulai 2014 dan seterusnya”, katanya.

MINI John Cooper Works 1to6 Edition – manual, 999 unit sahaja

JANGAN tak tahu, MINI adalah antara beberapa jenama yang mempunyai sejarah yang panjang dalam sukan permotoran. Sebagai tanda meraikan asal-usulnya, ia telah melancarkan model John Cooper Works 1to6 Edition yang terhad kepada 999 unit sahaja.

Nama ‘1to6’ dipilih bersempena dengan kotak gear manual enam kelajuan, yang merupakan satu-satunya pilihan transmisi yang ditawarkan untuk model ini.

Transmisi itu dipadankan dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang sama seperti pada model JCW biasa. Kuasa yang dihasilkan adalah sebanyak 231 PS dan 320 Nm.

Dari segi penampilan, JCW 1to6 Edition boleh dibezakan menerusi beberapa elemen termasuk warna Midnight Black, jalur pada bahagian bonet, bumbung dan but, serta rim Circuit Spoke 18 inci berwarna Jet Black.

Sebagai pelengkap, terdapat logo ‘1to6’ eksklusif dalam warna perak, merah dan putih pada bahagian sisi dan tiang C bagi memastikan orang ramai tahu bahawa ini bukanlah calang-calang model.

Tidak cukup dengan itu, logo edisi ‘1to6’ juga ditampilkan pada bahagian ambang pintu, stereng, papan pemuka dan karpet. Malah, kunci pun dihiasi dengan logo yang sama. Akhir sekali, anda akan menemui tulisan ‘One of 999’ pada bahagian kiri stereng.

Menurut MINI, JCW 1to6 Edition akan membuat penampilan sulungnya di perlumbaan perlumbaan 24 Jam Nurburgring pada 20 Mei ini.

Model ini akan dijual bermula September tahun ini, namun ia hanya akan ditawarkan di Eropah, Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.