fbpx

MINI lancar empat model sekeluarga – Cooper SE, Cooper S, Countryman SE ALL4, JCW Countryman ALL4

mini launch 01

MINI hari ini memperkenalkan bukan satu atau dua, tetapi empat model generasi baharu untuk pasaran Malaysia. Namanya masing-masing hampir sama, jadi mari kita lihatkan fakta ringkas untuk setiap model.

MINI Cooper SE

Ini ialah MINI Cooper elektrik sepenuhnya (EV). Ia hadir dengan bateri 54.2kWh yang mampu memberikan sehingga 402km jarak pemanduan.

Motor elektrik padanya membekalkan output sebanyak 218hp dan 330Nm, cukup untuk memecut hatchback ini dari pegun ke 100km/j dalam hanya 6.7 saat.

Antara ciri utama pada MINI Cooper SE adalah gril depan oktagon, rim 18-inci Night Flash, stereng dengan kemasan tekstil 3D, paparan OLED bulat 240mm dengan bar tombol suis ikonik, MINI Experience Modes, Go-Kart Mode, Driving Assistant, dan Parking Assistant Plus.

MINI Cooper SE berharga RM193,888 dan hadir dengan pilihan warna Blazing Blue, Nanuq White, Chili Red II, Legend Grey, Sunny Side Yellow, Midnight Black II, British Racing Green, dan Melting Silver.

MINI Cooper S

Seperti pada namanya, ini ialah model MINI Cooper paling asas, iaitu hatchback kompak dengan enjin petrol. Boleh dikatakan ini juga model paling ikonik, tetapi generasi baharu ini telah diperbaharui dari segala aspek.

Nadinya ialah enjin 2.0-liter turbo dengan 204hp dan 300Nm tork, dengan padanan kotak gear 7DCT dwi-klac. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa 6.6 saat, dan kelajuan maksima pada 242km/j.

Ciri standard yang anda harus ketahui pada Cooper S terdiri dari gril oktagon klasik, lampu LED adaptif, lampu signature boleh-ubah dengan tiga mod, dan rim 18-inci Slide Spoke.

Suspensi juga ditala untuk pemanduan lincah. Ini merangkumi penyerap hentak khas, penstabil muatan tinggi, dan stereng Servotronic.

Ciri lain adalah paparan OLED 240mm, stereng Classic, Head-Up Display, Comfort Package Plus, MINI Experience Modes, MINI Maps Package, dan MINI Intelligent Personal Assistant.

Harga ialah RM279,888 dan hadir dengan pilihan warna Ocean Wave Green, Legend Grey, Nanuq White dan Chili Red.

MINI Countryman SE ALL4

Model seterusnya ialah SUV EV, iaitu MINI Countryman SE ALL4. Ia mempunyai bateri berkapasiti 66.5kWh yang memberikan output 313hp dan 494Nm tork untuk motor elektriknya.

Pecutan ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.6 saat, terima kasih kepada sistem pacuan semua-roda ALL4, sementara kelajuan maksima ialah 180km/j.

Ciri utama pada Countryman SE adalah lampu LED adaptif, kelegaan tanah tambahan sebanyak 6cm, Favoured Trim dengan kemasan unik luaran, rim 20-inci Windmill Spoke, kemasan fabrik kitar semula dalam kabin, tempat duduk JCW, paparan OLED 240mm, MINI Maps Package, MINI Experience Modes, dan MINI Intelligent Personal Assistant.

Harganya ialah RM258,888 dan boleh didapati dengan warna Smokey Green, Legend Grey, Nanuq White, Melting Silver, Blazing Blue dan Chili Red.

MINI JCW Countryman ALL4

Akhir sekali ialah MINI JCW Countryman ALL4, iaitu model SUV petrol. Ia juga model dengan jiwa paling sporti kerana membawakan nama John Cooper Works (JCW).

MINI JCW Countryman ini dikuasakan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dengan 300hp dan 400Nm tork. Digandingkan dengan sistem pacuan ALL4, 100km/j boleh dicapai dalam 5.4 saat sahaja.

Ciri utama termasuklah lampu LED adaptif, bumbung dan cermin sisi merah, kemasan hitam dan merah pada beberapa bahagian badan, JCW Performance Brakes, rim 20-inci JCW Flag Spoke, kemasan tekstil pada panel pintu, stereng JCW, tempat duduk sports JCW, dan kemasan kelabu-merah.

Suspensi juga ditala khas untuk JCW dengan track lebih lebar, suspensi adapatif JCW, bar anti-oleng muatan tinggi, dan brek diintegrasi.

MINI JCW Countryman ALL4 boleh menjadi milik anda pada harga RM389,888 Ia juga hadir dengan warna Legend Grey, Nanuq White, Midnight Black dan Melting Silver.

Lihatkan Ulasan (5)

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2023 © ENGEAR TV | All Rights Reserved