Arkib Tag: Jazz

Honda Fit (Jazz) 2023 bakal dapat varian RS dengan lebih kuasa

HONDA baru sahaja memperkenalkan Jazz/Fit generasi keempat pada Oktober 2019 dan kini mereka sudah mempertontonkan kemaskini untuk model kompak itu.

Model spesifikasi JDM terkini bakal didatangkan dengan beberapa trim pilihan iaitu Basic, Home, Luxe, Crosstar, dan RS. Ya, Jazz/Fit juga bakal mendapat varian RS, tetapi bukanlah akan menjadikannya hot hatch yang hardcore.

RS di sini bermakna ianya varian yang lebih tinggi, sama seperti Civic RS dan City RS di Malaysia. Tiada maklumat terperinci didedahkan, tetapi menurut sumber, Fit/Jazz RS akan menampilkan sistem hibrid dengan kuasa dipertingkat.

Buat masa ini, Fit/Jazz di Eropah dengan sistem hibrid e:HEV mendapat output kuasa setinggi 109hp dan 253Nm tork, dengan pecutan 0-100km/j dalam 9.4 saat serta kelajuan maksima 175km/j.

Selain output lebih tinggi, Honda juga akan menawarkan lebih respon pecutan, selain suis mod pemanduan (Normal, Sport, dan Econ) untuk RS.

Varian RS ini juga akan hadir dengan paddle-shifter di stereng yang akan mengawal kadar brek kenderaan, sama fungsi dengan City dan City Hatchback RS di pasaran kita. Kadar brek ini menggunakan fungsi regenerative braking yang akan mengubah haba brek menjadi tenaga untuk disimpan dalam bateri.

Fit/Jazz RS ini akan menggunakan konfigurasi pacuan roda-depan seperti varian-varian lain kecuali Crosstar yang mendapat sistem pacuan semua-roda di Jepun.

Dari segi rupa, Fit/Jazz RS didatangkan dengan kemasan badan lebih sporti serta jahitan kuning di dalam kabin. Sistem keselamatan Honda Sensing juga akan ditawarkan standard untuk semua varian.

Honda Fit/Jazz generasi keempat ini tidak ditawarkan di Malaysia selepas pengeluaran untuk generasi ketiga sebelum ini ditamatkan. Model kompak ini diganti dengan City Hatchback.

Honda City Hatchback 2022! Ini perkara yang anda perlu tahu

SATU kejutan hari ini, Honda Malaysia telah menyiarkan video teaser City Hatchback iaitu model yang akan menggantikan Jazz GK. Ini juga mengesahkan bahawa model ini akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dalam video pendek berdurasi 10 saat itu, Honda menyampaikan mesej bertulis “Move aside. Because This. Is. It.” (Ke tepi. Kerana inilah dia).

Honda City Hatchback membawakan rupa yang boleh dikatakan sama dengan versi sedan dari depan hingga tengah, namun mempunyai perbezaan di belakang – but pendek dan nampak lebih sporti.

Dapat dilihat juga dalam video teaser ini City Hatchback berkenaan hadir dalam varian RS, melalui kemasan hitam pada cermin sisi, emblem RS di belakang, dan rim aloi 16-inci.

Ia turut mengenakan emblem e:HEV bermakna City Hatchback dikuasakan oleh unit hibrid i-MMD yang sama dengan RS sedan.

City Hatchback sudahpun berada di pasaran Thailand selama setahun, dilancarkan pada November 2020. Di Indonesia, ia dilancarkan pada Mac lepas. Di kedua-dua pasaran, City Hatchback juga menggantikan terus model Jazz yang dihentikan jualannya.

Di Thailand, Honda City Hatchback ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1.0-liter VTEC Turbo 3-silinder berkuasa 121PS dan 145Nm tork, dengan CVT automatik.

Di Indonesia pula, ia dipacu oleh enjin 1.5-liter i-VTEC naturally-aspirated (NA) tetapi yang menariknya, selain CVT, pasaran ini mendapat pilihan manual 6-kelajuan!

Bagi Malaysia, kami jangkakan Honda City Hatchback ditawarkan dengan 1.5-liter NA – sama seperti Indonesia – dan dipadankan dengan CVT automatik sahaja. Jauh di sudut hati, kami berharap Honda Malaysia menawarkan pilihan manual 6-kelajuan untuk pasaran ini juga.

Sama-sama kita berdoa!

Nantikan laporan seterusnya sebaik sahaja kami mempunyai maklumat lanjut mengenai City Hatchback ini.

Servis mana lebih murah, Jazz atau Yaris?

DUA model kenderaan import Toyota Yaris dan Honda Jazz bukan suatu yang asing dalam kalangan pengguna jalan raya di negara kita.

Buktinya, bilangan model kenderaan ini amat mudah dicari di atas jalan serata pelosok Malaysia.

Persoalannya, mengapa kedua-dua model ini begitu popular? Bagaimana pula dengan kos servis?

Jom kita lihat perbandingan kos servis Toyota Yaris dan Honda Jazz!

Servis 1,000 kilometer

Honda tidak mengenakan sebarang bayaran untuk servis pertama 1,000 kilometer bagi model Jazz.

Toyota bagaimanapun mengenakan caj RM145.00 untuk servis pertama dengan penukaran minyak enjin, filter dan beberapa komponen lain.

Servis 10,000 kilometer

Honda mengenakan caj RM98.25 sen bagi servis kali kedua.

Namun, Toyota mengenakan caj RM266.00.

Apa yang menarik, Honda tidak mengenakan caj labour bagi servis kedua, keempat, keenam, kelapan dan kesepuluh.

Servis 20,000 kilometer

Servis kali ini Honda mengenakan caj RM267.00 termasuk kos labour sebanyak RM127.00.

Kos labour bagi Yaris pula adalah RM117.00 dengan penukaran oil filter, minyak enjin dan lain-lain.

Servis 30,000

Kos servis bagi Honda Jazz adalah RM293.00. Caj itu termasuk kos penukaran air cleanercsebanyak RM92.00.

Sementara itu, kos servis Yaris adalah RM266.00 sahaja.

Servis 40,000 kilometer

Servis 40,000 kilometer penting bagi kedua-dua model ini. Terdapat pelbagai komponen ditukar.

Honda mengenakan caj RM418.56 sementara Toyota Yaris pula adalah RM436.

Servis 60,000

Honda mengenakan caj RM508.00 bagi servis kali. Antara komponen ditukar seperti minyak enjin, oil filter, brake fluid dan filter penghawa dingin.

Toyota pula bagaimanapun kekal dengan kos RM266.00 sama seperti servis 30,000 kilometer.

Servis 70,000 kilometer

Servis Honda Jazz kali ini dikenakan caj RM98.00 sementara Toyota kekal RM266.00.

Servis 80,000 kilometer

Toyota mengenakan caj RM436.00 untuk servis kali ini dan Honda, RM442.00.

Antara komponen ditukar adalah minyak enjin, minyak gearbox dan pelbagai lagi.

Servis 90,000 kilometer

Bagi servis 90,000 kilometer Toyota mengenakan caj RM266 dan Honda pula sebanyak RM293.

Secara keseluruhan kos servis bagi Honda Jazz adalah RM3,635.24 manakala Toyota Yaris adalah RM3,242.00.

Oh ya! Untuk tahu berapakah kos servis bagi 100,000 kilometer, saksikan video di YouTube EnGear bersama Bro Shamsul.

Semoga tips kira-kira ini memberi manfaat buat anda!