Arkib Tag: jaminan

Jaminan dua tahun untuk semua model Kawasaki dan Modenas

EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS), pengedar rasmi Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), mengumumkan pelaksanaan program jaminan dua-tahun tanpa had perbatuan untuk semua model Kawasaki dan Modenas.

Perkara itu berkuatkuasa bermula 1 Julai 2023, untuk semua model dari 250cc hingga 1,000cc. Jaminan ini merupakan penambahan dari sebelum ini yang mengehadkan perbatuan sebanyak 20,000km untuk tempoh dua tahun.

Program jaminan ini akan datang sebagai piawaian standard kilang yang terdiri daripada:

  • Kawasaki menjamin setiap produk baharu bebas daripada kecacatan pembuatan untuk tempoh 24 bulan dari tarikh asal jualan oleh pengedar Kawasaki yang sah.
  • Terma dan syarat yang sama dikenakan kepada pemilik baharu tetapi ambil perhatian bahawa jaminan tamat dalam semua kes selepas tempoh tertentu dari tarikh jualan kepada pembeli asal.
  • Produk Kawasaki berprestasi terbaik dengan penyelenggaraan dan servis biasa, dan setiap model mempunyai jadual penyelenggaraan yang direka untuk memastikan ia beroperasi pada tahap prestasi optimumnya. Kami mengesyorkan kenderaan diservis oleh pengedar Kawasaki yang sah mengikut jadual servis yang diperincikan dalam manual pemilik anda.

Sebagai tambahan, perkhidmatan bantuan 24/7 juga akan disertakan dalam program jaminan baharu ini. Jaminan ini mempunyai terma dan syarat semasa yang sama seperti jaminan pengilang standard dan hendaklah kekal bersama motosikal apabila dijual atau dipindahkan kepada pemilik baru

Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas berkata: “Dengan menghapuskan sekatan jarak daripada jaminan sedia ada, pengguna kami akan dapat menikmati pengalaman tunggangan dengan bebas dan tenang.

“Program ini juga sebagai tanda keyakinan daripada Modenas kepada semua penggunanya di luar sana terhadap kualiti setiap produknya.

“Selain itu, kepada semua pemilik, sila pastikan untuk mengikuti jadual servis di pusat servis atau pengedar Kawasaki/Modenas yang sah anda dengan teliti untuk mengelakkan jaminan terbatal kerana mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi KAWASAKI Malaysia di: http://www.kawasaki.com.my/home.

Semua tuntutan ditolak, ini keluhan sebenar pemilik Honda Civic FE

“Inilah kali pertama dan terakhir Honda dalam hidup saya,” tulis seorang pemilik Honda Civic FE yang meluahkan keluhannya dalam portal paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook.

Pengguna akaun yang bernama Choon Keet itu menulis tentang kekecewaannya kerana semua tuntutan jaminannya ditolak.

Menurut tulisannya, dia perasan akan suatu isu di bahagian tingkap sisi belakang beberapa hari selepas mengambil kereta baharunya. Dia kemudian membuat laporan semasa servis pertama 1,000km.

“Selepas satu bulan menunggu, saya difahamkan dari pusat servis bahawa tuntutan jaminan saya itu ditolak, alasannya ini bukan kecacatan pembuatan (pengeluaran dari kilang).

“Saya kemudian menghubungi pula Honda Malaysia untuk membuat rayuan dari tuntutan itu. Ini bukan isu pengeluaran (kilang) tetapi isu pemasangan,” katanya.

Beberapa minggu kemudian, dia dihubungi pihak Honda Malaysia dan mendapat makluman yang rayuannya ditolak.

“Kali ini alasan yang diberi ialah kerana saya memasang filem cermin gelap pihak ketiga!

“Seminggu kemudian saya merayu lagi kerana berjaya menjumpai foto semasa saya mengambil kereta di bilik pameran, ia jelas menunjukkan bahagian itu telahpun begitu (mempunyai kecacatan).

“Minggu berikutnya saya menerima panggilan dari Honda Malaysia, dan tuntutan saya ditolak lagi! Kali ini alasan lebih mengarut diberikan! Katanya saya tidak melaporkannya semasa mengambil kereta!”

Menurutnya lagi, isu ini sepatutnya hal kecil sahaja, dan dia tidak faham mengapa Honda Malaysia berkeras mahu menolak rayuannya walaupun alasan kukuh telah diberikan.

Tulisannya di forum itu telah mendapat lebih 900 Like, 600 komen dan 128 perkongsian semasa artikel ini ditulis. Rata-rata komen bersimpati dengan nasibnya.

Ada juga yang berkongsi pengalaman serupa dari Honda dan tak lupa juga dari jenama-jenama lain.

Anda boleh baca tulisannya di sini.

Volvo Car Malaysia lancar program jaminan alat ganti sepanjang hayat untuk pemilik

PELANGGAN dan pemilik Volvo kini tidak perlu risau lagi akan alat ganti kenderaan mereka. Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan program jaminan baharu iaitu Customer Lifetime Parts Warranty.

Di bawah program jaminan ini, pelanggan yang telah membeli dan memasang alat ganti tulen Volvo melalui wakil pengedar sah Volvo mulai 1 Oktober 2021 akan layak untuk mengambil bahagian dalam program ini.

Jaminan itu bermula pada tarikh pembelian alat ganti kereta dan sah selagi kereta tersebut berada di bawah hak milik pemilik kereta yang didaftarkan.

Sekiranya pelanggan memerlukan pembaikan atau penggantian mana-mana bahagian Volvo yang tulen kerana kerosakan bahan atau pembuatan, Volvo Car Malaysia akan membaik pulih dan mengganti alat ganti tersebut secara percuma.

Sebaliknya, pelanggan yang memiliki model lama kereta Volvo yang tidak mengunjungi wakil pengedar Volvo lebih dari dua tahun perlu membawa kereta mereka untuk menjalani Pemeriksaan Kenderaan Volvo (Volvo Health Check).

Keperluan ini membolehkan pelanggan layak untuk mengambil bahagian dalam program jaminan ini sambil memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai dengan apa cara sekalipun.

Pelanggan kemudiannya boleh membeli alat ganti di bawah program jaminan ini dan diminta untuk menghantar kereta ke mana-mana pengedar sah Volvo untuk perkhidmatan servis di masa hadapan bagi memastikan jaminan tersebut sah digunakan.

Customer Lifetime Parts Warranty tidak termasuk alat ganti haus dan lusuh (wear and tear) seperti yang dinyatakan dalam manual jaminan.

Anda boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo kami untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai skop keseluruhan bahagian yang dilindungi.

Pemilik Ferrari LaFerrari kini dapat lanjutan waranti

BERTUAH betul pemilik Ferrari LaFerrari, sudahlah dapat memilik jentera flagship yang terhad dari jenama Prancing Horse, kini dapat pula satu lagi berita baik. Jaminan dan program servis penyelenggaraan mereka dipanjangkan pula.

Ferrari mengumumkan lanjutan jaminan ini khas untuk dua varian LaFerrari iaitu model coupe dan Aperta iaitu convertible/spyder.

Dinamakan LaFerrari Power, servis ini khas untuk mereka yang mahu mengekalkan prestasi kereta hibrid pertama Ferrari itu, yang dilengkapi dengan sistem HY-KERS dari Formula 1.

LaFerrari Power ialah program dua-tahun yang boleh diperbaharui dan boleh diaktifkan di mana-mana pengedar rasmi Ferrari, tanpa mengira tahun pengeluaran kereta.

Pemilik LaFerrari atau LaFerrari Aperta yang mengambil program ini akan mendapat lanjutan jaminan kilang termasuk untuk sistem HY-KERS dan bateri bervoltan tinggi.

Ini ialah kali pertama Maranello menawarkan lanjutan jaminan untuk salah satu model terhad mereka. Ini juga menunjukkan kualiti dan ketahanan kereta-kereta ini.

LaFerrari Power juga merangkumi penyelenggaraan berjadual tahunan dimana juruteknik terlatih akan membuat pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kereta berada pada tahap optimum.

Pelancaran LaFerrari Power ini serentak dengan ulangtahun ke-10 pengenalan Genuine Maintenance, iaitu program penyelenggaraan premium yang memberikan jaminan model-model terkini Ferrari hingga tujuh tahun.